Ahad, 17 Januari 2010

Tokoh Tempatan


1.0 Pengenalan
Setelah meneliti soalan tugasan untuk diselesaikan pada kali ini, kami secara sepakat telah bersetuju untuk membuat kajian tentang seorang tokoh tempatan yang belum dikenali umum namun tetap berjasa. Dalam perbincangan seterusnya kami telah berjaya menyenaraikan tiga kategori tokoh untuk kami pilih sebagai kajian kami. Kami telah kenalpasti seorang tokoh guru negeri Kedah tahun 2005, seorang guru pondok dan seorang guru silat.
Setelah diperincikan lagi, kami telah sepakat untuk memilih guru silat sebagai tokoh pilihan kami dalam kajian ini. Kami merasakan tokoh seperti ini tidak begitu diendahkan oleh masyarakat sedangkan peranan mereka amat bermakna sekali. Tambahan pula tokoh-tokoh yang zahirnya nampak amat biasa ini, kalau tidak diselidiki betul-betul, mereka seolah-olah tiada keistimewaannya. Di kawasan kami ini tidak ada lagi guru silat yang kami ketahui melainkan tokoh yang kami pilih ini.
Bermulalah langkah seterusnya kami untuk menemu bual tokoh yang dimaksudkan. Suatu petang kami bertiga telah ke tempat kediamannya, setelah bertanya alamat dan mendapatkan petua untuk ke sana daripada orang-orang kampung di situ. Malangnya tokoh tersebut tiada di rumah, tapi apa yang amat menambat hati kami untuk meneruskan juga kajian tersebut apabila kami ternampak ada galeri kecil di ruang depan rumahnya yang mempamerkan berbagai-bagai gambar kenangan disamping artikel-artikel akhbar dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan beliau. Kami meluangkan sedikit masa untuk melihat bahan-bahan yang dipamerkan di situ.
Kami dicadangkan untuk datang pada waktu malam oleh anaknya kerana pada kebiasaannya tokoh tersebut berada di rumah pada waktu malam.
Pada 09 Februari 2007, kami sekali lagi ke rumah tokoh tersebut, ternyata malam itu kami amat bertuah kerana telah disambut dan dipersetujui untuk menemu bual dengan beliau, walaupun temuramah kami sering diganggu dengan tetamu yang lain atau panggilan-panggilan telefon. Kami yakin tokoh ini memang hebat.

2.0 Latar Belakang Tokoh
2.1 Zaman Kanak-Kanak
Tokoh masyarakat yang telah berjaya kami kesan ialah Tuan Haji Hussain b Din seperti di dalam Mykad yang ditunjukkan kepada kami. Namun bagi masyarakat setempat nama Haji Ismail Silat Gayong adalah lebih popular. Nama Ismail diberikan oleh nenek beliau ketika beliau berusia lebih kurang 2 tahun, kononnya ketika masih bayi Tuan Haji Hussain selalu menangis tanpa diketahui sebabnya. Fahaman orang tua-tua ketika itu, bayi yang kerap menangis kerana nama yang diberikan kepadanya adalah tidak sesuai dan perlu diberikan dengan nama yang lain.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah dilahirkan pada tahun 1938 di Kampong Permatang Tinggi, Bertam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Tarikh lahir yang tepat tidak diketahui kerana tiada dokumen bertulis seperti sijil kelahiran sebagai bukti. Ayahandanya Din bin Hussin berasal dari kampung tersebut. Pada tahun 1941 ketika berusia kira-kira 3 tahun beliau telah mengikut ayahanda dan bondanya meninggalkan kampung tanah kelahirannya di Permatang Tinggi, lalu berhijrah ke Kampung Limbong, Mukim Langgar, Alor Star, Kedah.
Ketika berusia 7 tahun, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, seperti kanak-kanak yang lain telah melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Beliau memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Langgar, Alor Star. Sekolah tersebut masih wujud hingga kehari ini dengan wajah yang serba baru lagi selesa. Beliau belajar di sekolah tersebut sehingga ke darjah empat sahaja. Kemudiannya beliau telah berpindah dan balik semula ke kampung halamannya yang asal di Permatang Tinggi dan tinggal bersama dengan datuk dan nenek yang disayangi. Namun ibu dan bapa serta adik beradik yang lain terus menetap di Kampung Limbong, Langgar. Beliau menyambung persekolahannya hingga ke darjah 6 di sekolah yang berhampiran dengan rumah datuknya.
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Agama Daeratul Ma’arif Al Wataniah (DMW), Kepala Batas, Pulau Pinang. Selepas tiga tahun belajar di peringkat menengah di situ, beliau telah kembali semula ke pangkuan ayahanda dan bondanya di Kampung Limbong, Langgar kerana datuknya telah kembali ke rahmatullah. Di sini ayahandanya telah menghantar Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail meneruskan pengajiannya secara pondok, di Pondok Syeh Abdullah, Langgar.
2.2 Latar belakang Persilatan
Ketika usia mencecah remaja dan sudah mampu berdikari, dengan berat hati Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah menyampaikan hasrat hatinya kepada kedua ayahanda dan bonda yang sangat dikasihi untuk membawa diri mencari rezeki di tempat orang. Menurut Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, bondanya Hajah Habsah bt Hj Jaafar amat keberatan untuk melepaskan anak jejakanya yang masih lembut ubun-ubun membawa diri berkelana, memperjudikan nasib di tempat orang. Sebaliknya, ayahanda Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail langsung tidak menunjukkan rasa ragu terhadap hasrat hati yang telah diluahkannya itu. Barangkali ayahandanya yakin dengan bekalan ilmu agama yang telah ditimba oleh anaknya.
Suatu pagi yang penuh syahdu dalam tahun 1955, selepas bersalaman dan berpeluk-pelukan dengan semua ahli keluarga terdekat, rakan sepermainan serta jiran tetangga, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah nekad untuk ke Kota Singapura. Jauh di lubuk jiwa ketika itu ialah ingin memasuki perkhidmatan Tentera British atau lebih dikenali British Army. Benarlah kata cerdik pandai, kita hanya merancang, tapi Allah jua yang menentukan. Hati kecil terguris dan menangis sendirian kerana pekerjaan yang diidamkan ditolak permohonannya, dengan alasan Tanah Melayu sudah hampir mencapai kemerdekaan. Walaupun tidak begitu jelas maksud kemerdekaan pada ketika itu, namun hati kecil sedikit terubat apabila masyarakat setempat mula membicarakan bahawa Inggeris akan menyerahkan Tanah Melayu kepada anak bangsanya sendiri.
Di Kota Singapuralah tempat yang pada mulanya menghancur luluhkan perasaannya, telah menjadi detik permulaan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail terlibat dalam dunia persilatan melayu. Oleh kerana tidak mendapat kerja yang dipohon, maka tidak ada apa yang hendak dilakukan, sehinggalah pada suatu hari beliau telah menjinakkan diri untuk belajar Seni Silat Gayong di Jalan Kayu Seleta, Singapura sebagai memenuhi masa yang terluang.
Setelah berguru lebih kurang 2 tahun, ketika Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah mengambil keputusan untuk kembali semula kepangkuan keluarga di kampung.
Beberapa tahun kemudian, kira-kira pada tahun 1963, dengan berkat rezeki yang Allah swt berikan, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, telah berjaya menunaikan haji di Tanah Suci Mekah. Sekembalinya dari menunaikan fardu haji yang menjadi rukun Islam yang kelima, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail kembali menetap Permatang Tinggi, Seberang Perai untuk menemani nenek yang tinggal keseorangan. Di sini beliau telah menyambung belajar Seni Silat Gayong dengan seorang guru silat yang hebat iaitu Tuan Guru Datuk Meor Abdul Rahman b Daeng Mohd Hashim. Tuan Guru Datuk Meor Abdul Rahman b Daeng Mohd Hashim juga adalah merupakan pengasas kepada Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia. Selepas 3 tahun berguru dengan Tuan Guru Datuk Meor Abdul Rahman b Daeng Mohd Hashim beliau sekali lagi kembali ke kampung halaman tempat beliau dibesarkan. Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah mengorak langkah membuka gelanggang untuk mengajarkan ilmu mempertahankan diri kepada anak-anak remaja tempatan. Keazaman ini lahir kerana semasa peristiwa 13 Mei tersebut , beliau dapat merasakan bahawa anak bangsanya sangat lemah dalam mempertahankan diri dan mereka perlu didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri. Bermula dari tarikh tersebut hinggalah ke hari ini, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail masih aktif meneruskan kewajipannya itu.
2.3 Selepas Berkahwin
Latar belakang Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, banyak sekali yang perlu dimuatkan di sini kerana hampir semuanya menarik. Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, telah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali dan dikurniakan seramai lapan orang cahaya mata. Perkahwinan yang pertama beliau dengan Siti Aminah bt Yaacob seorang gadis dari Seberang Perai. Jodoh mereka tidak panjang, selepas menimang seorang putera, isteri tercinta telah menghembuskan nafasnya terakhir. Mendudalah Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail buat seketika.
Kemudian beliau bertemu pula jodohnya dengan Siti Zubaidah bt Hashim tetapi jodoh mereka juga tidak panjang, kerana tiada persefahaman, mahligai yang dibina tidak mampu bertahan. Mereka berpisah cerai selepas mendapat seorang putera. Selang tidak berapa lama, buat kali yang ketiganya beliau dijodohkan dengan gadis jelita Siti Fatimah bt Osman. Peristiwa lalu berulang lagi, Siti Fatimah juga pergi buat selama-lamanya mengadap Ilahi selepas memputerakan seorang zuriat buat ditinggalkan untuk mengubat kesunyian suami tercinta.
Kata orang tua-tua jodoh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail ringan. Beliau dipertemukan jodoh dengan seorang gadis kampung yang sopan, Siti Aminah bt Mahmud. Bersamanya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, hidup bahagia melayari bahtera rumah tangga hingga ke hari ini dengan dikurniakan lima orang cahaya mata.
Begitulah sedikit sebanyak latar belakang tokoh yang kami kagumi ini. Di samping itu, tokoh yang kami tonjolkan ini memiliki beberapa keistimewaan yang lain, yang tidak berkaitan dengan dunia persilatan.

3.0 Keistimewaan tokoh
Dari temubual, pemerhatian dan lawatan kami ke galeri kecil di rumahnya, Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, sebenarnya seorang tokoh masyarakat yang memiliki beberapa keistimewaannya yang tersendiri.
3.1 Dalam Seni Silat Gayong
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah berguru secara langsung dengan pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong iaitu Tuan Guru Datuk Meor Abdul Rahman b Daeng Mohd Hashim.
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail pula telah membuka gelanggang dan mengajarkan seni silat gayong selama 38 tahun iaitu bermula tahun 1969.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail sedang menyumbangkan khidmatnya di 9 buah sekolah menengah dan 4 buah sekolah rendah di sekitar Alor Star, di samping mengadakan perhimpunan mingguan di rumahnya pada setiap malam Jumaat sejak tahun 1969 hingga ke hari ini tanpa ada minggu yang terkecuali.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail tidak mengenakan sebarang yuran bulanan kepada mereka yang datang belajar di rumahnya dan mengenakan yuran sebanyak RM5.00 kepada setiap pelajar bagi sekolah-sekolah yang diajarnya. Yuran itu pula diberikan kepada tenaga pengajar atau jurulatih yang membantunya.
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga telah mengadakan Majlis Mandi Minyak secara tahunan dengan menjemput bekas murid-muridnya, masyarakat setempat dan orang kenamaan tempatan untuk sama-sama melakukan upacara mandi minyak tersebut. Mandi minyak tersebut boleh menjadikan seseorang yang sihat terus sihat dan yang berpenyakit sembuh daripada sakitnya dengan izin Allah.
3.2 Sebagai Guru Quran
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga berkebolehan mengajar Al Quran. Tanggungjawab ini dipikulnya serentak dengan tugas mengajarkan ilmu persilatan. Beliau mengajarkan Al Quran kepada orang dewasa dari rumah ke rumah pada zaman mudanya, di samping mengajarkan kanak-kanak sekolah di rumahnya yang sebahagiannya telah dijadikan surau. Sejak kebelakangan ini oleh kerana kekangan masa, beliau tidak lagi keluar mengajar Al Quran dari rumah ke rumah.
`3.3 Sebagai bilal
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail telah menjadi bilal di Masjid Limbong yang letaknya kira-kira 500 meter dari rumahnya sejak masjid tersebut dibina kira-kira 15 tahun yang lalu. Sekarang usia beliau telah mencecah 69 tahun, namun beliau tetap mampu melaungkan azan dengan baik.
3.4 Kesihatan yang baik
Menurut Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, sehingga sekarang beliau bebas daripada sebarang penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan rakan-rakan yang seusia dengannya, seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan sebagainya. Sepanjang hayatnya beliau tidak pernah dimasukkan ke wad hospital kecuali semasa terlibat dalam kemalangan jalan raya. Lebih mengkagumkan diusia emas sebegini, pada setiap malam Jumaat beliau akan mula mengajarkan murid seniornya pada jam 11.00 atau 12.00 malam dan berlarutan hingga jam 2.00 pagi. Namun kesihatan beliau masih lagi boleh bertahan.
3.5 Tukang Urut
Dengan merendah diri beliau mengaku, bahawa beliau juga boleh
menjadi tukang urut apabila anak-anak buahnya tercedara seperti terseliuh atau bengkak anggota tertentu ketika menjalani latihan. Di samping itu beliau juga boleh mengubati masalah lemah tenaga kelakian. Beliau menafikan kemampuannya untuk mengubati patah tulang, walaupun ada cerita yang beliau mampu melakukannya.
3.6 Galeri dan Surau
Tokoh ini memang hebat dan istimewa apabila beliau telah menjadikan sebahagian daripada rumahnya sebagai surau dan galeri yang mempamerkan gambar-gambar,keratan-keratan akhbar serta dokumen-dokumen yang diperolehi sepanjang penglibatan beliau dalam Pertubuhan Seni Silat Gayong.
3.7 Jemputan Persembahan dan Pertunjukkan
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail pernah dijemput untuk mengadakan persembahan dan pertunjukkan di majlis-majlis perasmian yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan. Beliau pernah membuat persembahan atau pertunjukkan di Stadium Bukit Jalil dan pernah berbuat demikian di Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah atas jemputan pihak istana.
3.8 Kelab Vespa
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga menyertai Kelab Vespa Alor Star, kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Beliau memiliki sebuah Vespa antik yang berusia sekitar 20 tahun. Bagi Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, menunggang Vespa ke Sungai Petani, Butterworth dan sekali sekala ke Taiping secara sendirian atau berkonvoi satu riadah yang mengasyikkan.
3.9 Jawatan Politik
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, juga terlibat dalam politik dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam sebuah parti politik di peringkat Cawangan. Sekarang beliau masih memegang jawatan Timbalan Pengerusi atau Timbalan Yang DiPertua.
3.10 Meminati Bola Sepak
Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail juga amat meminati permainan bola sepak. Minat tersebut telah menyebabkan beliau pernah menjadi Pengurus Pasukan Putera Perdana Limbong suatu ketika dahulu, dan pasukan tersebut pernah menjelajah hingga ke negeri Perlis.

4.0 Sumbangan Kepada Negara
4.1 Mengekalkan Warisan Bangsa
Dizaman globalisasi ini, semakin hari semakin banyak seni warisan bangsa seperti silat, wayang kulit, makyong, dan seumpamanya lagi telah mula dilupakan oleh masyarakat. Malah ramai generasi muda sekarang sudah tidak mengenali lagi seni warisan kebanggaan datuk nenek mereka dahulu. Namun, kita patut berbangga kerana masih ada lagi orang seperti Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, yang sanggup meneruskan usaha dan mempertahankan salah satu seni warisan bangsa kita supaya tidak pupus ditelan arus kemajuan yang sedang menghambat dan menghimpit kehidupan kita. Aktiviti silat ini adalah merupakan warisan pusaka bangsa melayu dan negara sejak ratusan tahun yang lalu. Silat melayu secara umumnya merujuk kepada silat yang terdapat dalam masyarakat melayu di Semenanjung Tanah Melayu.
4.2 Seni Mempertahankan Diri
Seterusnya Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, telah menyumbangkan kepada masyarakat setempatnya seni silat gayong tersebut sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Sekiranya langkah tersebut tidak dipikul oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, kami yakin masyarakat kita telah kehilangan sesuatu yang berharga yang ditinggalkan sebagai pusaka bangsa. Seni silat gayong atau seni silat Melayu untuk mempertahankan diri ini semakin diambil alih tempatnya dengan ilmu mempertahankan diri yang lain, seperti tea kwando, judo, karate dan sebagainya. Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail sedaya mampu ingin mempertahankannya, dan yang merunsingkan kita juga hanya beliau sahaja yang masih bertahan mengajarkan ilmu persilatan melayu di kawasan ini.
4.3 Mendidik Remaja
Sumbangan seperti mendidik anak-anak remaja menjadi insan yang berakhlak, menghargai kesenian warisan, menggunakan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah telah berjaya diterapkan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, kepada ribuan anak-anak remaja semenjak 38 tahun yang lalu. Melalui silat juga dapat dipupuk semangat jati diri di kalangan remaja. Mereka mesti yakin dan berpendirian silat gayong merupakan lambang keperibadian bangsa dan seni budaya melayu yang sudah sebati dalam jatuh bangun kerajaan melayu sepanjang zaman
4.4 Mencegah Masalah Sosial Remaja
Para remaja yang melibatkan diri dengan seni silat gayong ini, secara keseluruhannya tidak terlibat dengan masalah sosial yang hebat melanda mereka. Ini memang ditekankan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail kepada anak-anak muridnya. Dalam persilatan melayu banyak pantang larang yang perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya. Melalui silat secara tidak langsung telah mendisplinkan seseorang supaya tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak diingini, seperti maksiat, pergaduhan serta masalah sosial yang lain.
4.5 Pembinaan Insan berdisplin
Semua jenis silat memang memfokuskan kepada disiplin individu yang tinggi. Seseorang yang tidak berdisiplin tidak mungkin dapat mempelajari atau mengikuti setiap ilmu yang disampaikan oleh para jurulatih atau guru mereka. Ini bermakna peranan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, dalam membentuk disiplin anak-anak muda di kawasan ini adalah amat berharga sekali. Sekaligus anak-anak muda yang terlibat dengan dunia persilatan ini sudah terbiasa dengan amalan yang berdisiplin dan ini membantu mereka untuk mengekalkan disiplin diri dalam setiap masa dan ketika.
4.6 Kemantapan Rohani
Seni silat gayong sangat berkait rapat dengan agama islam, banyak sekali doa-doa dan amalan yang diajarkan bersangkut paut dengan pegangan agama. Sehinggakan semua yang dilarang oleh agama Islam juga adalah dilarang dalam seni silat gayong. Secara tidak langsung semua murid beliau juga mendapat ilmu agama untuk memantapkan aqidah dan kepercayaan serta mengamalkan akhlak Islam yang menjadi tunjang dalam ilmu persilatan Melayu khasnya seni silat gayong.
Dalam agama Islam kitab suci Al Quran adalah panduan hidup di dunia dan akhirat. Sebelum memahami kandungan Al Quran, adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menguasai bacaan Al Quran dengan baik. Sebagai guru Al Quran, sumbangan Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail adalah merupakan satu sumbangan yang tinggi nilainya.
4.7 Riadah Bermanfaat
Selain daripada sebagai seni mempertahankan diri, seni silat gayong juga merupakan salah satu cara untuk melakukan riadah atau senaman yang berkesan. Ini dapat dibuktikan oleh Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, ketika usianya mencecah 69 tahun, beliau masih sihat dan bebas dari segala penyakit.

5.0 Penutup
Tuan Haji Hussain bin Din atau yang lebih dikenali dengan Haji Ismail Silat Gayong adalah antara ribuan tokoh masyarakat yang tidak pernah diberikan pengiktirafan oleh mana-mana pihak terhadap jasa dan bakti mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Bagi orang seperti Tuan Haji Hussain atau Tuan Haji Ismail, sumbangan mereka kepada masyarakat bukan untuk mendapatkan apa-apa ganjaran, jauh sekali untuk mencari gelaran dan pengiktirafan. Keikhlasan mereka untuk menyumbangkan jasa hanya semata-mata sebagai tanggungjawab kepada masyarakat. Mudah-mudahan kita berharap akan lahir dan kekallah tokoh-tokoh kecil
seperti ini yang akan menyumbang dan seterusnya mempertahankan warisan bangsa daripada ditelan zaman. Semoga Allah memberkati usaha beliau dan mendapat ganjaran pahala atas amal bakti beliau selama ini.


RUJUKAN

Temubual : Haji Hussain Din (09/02/2007). Guru Seni Silat Gayong.

Pemerhatian: Ruang Pameran (Galeri) (07/02/2007). No 57 Gelanggang Seni Silat Gayong, Limbong.

Pendekar Muslim.(12/06/2006). Allahyarham Datuk Meor Abd Rahman. [Online]. http://www.geocities.com/gayong_utmkl/mahaguru/html. [12 Februari 2007]

Pendekar Muslim (26/11/2006). Silat Gayong. [Online]. http://www.wikipedia.org/wiki/silat_Gayong. [12 Februari 2007].

Seni Silat Gayong Malaysia Hulu Langat (tiada tarikh). [Online]. http://ulu_langat.idesa.net.my/budaya.html#gayong. [12 Februari 2007]







Tiada ulasan:

Catat Ulasan