Isnin, 18 Januari 2010

Pendidikan Moral Tahun 5 & 6

1.0 Pengenalan

Menurut Brown J.W. (1983), bahan bantu mengajar ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru dan murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam bilik darjah. Bahan bantu mengajar bukan hanya terhad kepada buku teks, papan tulis, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pancaindera, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh para pelajar. Bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru sekurang-kurangnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang terdiri daripada pelbagai jenis, iaitu bahan bantu mengajar bukan elektronik, bahan bantu mengajar elektronik dan bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar.

Namun walau apa jua kategori bahan bantu mengajar yang digunapakai oleh seseorang guru dalam pengajarannya, matlamatnya adalah untuk memperjelaskan lagi penyampaian maklumat agar tidak terlalu bersifat verbalistik, mengatasi keterbatasan ruang, mengatasi sifat pasif pelajar dan memberi rangsangan, mempersamakan pengalaman serta membangkitkan persepsi di kalangan pelajar. Menurut Noor Din Maulud (1999), guru sepatutnya menyampaikan pengajaran sebaik mungkin dengan membuat persediaan awal dari segi perancangan kaedah penyampaian, pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar yang mencukupi. Oleh yang demikian adalah jelas bahawa, bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik.

Pada masa sekarang penggunaan bahan bantu mengajar telah berkembang dengan pesat dalam dunia pendidikan. Perkembangan ini amat ketara sekali disebabkan oleh kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Peralatan yang dihasilkan berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktis dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut Omardin Ashaari (1997), perkembangan teknologi dalam mencipta peralatan pengajaran dan pembelajaran memberi kesan yang sangat nyata dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dilakukan oleh guru dan juga dalam mempercepatkan proses pembelajaran di kalangan para pelajar.

Keberkesanan setiap bahan bantu mengajar bukan terletak pada kecanggihan bahan atau alat tersebut, namun yang lebih utamanya ialah kesesuaiannya berdasarkan penggunaan serta penyerlahan konsep atau idea kandungan sesuatu mata pelajaran. Di samping itu kecekapan seseorang guru mengapliksikan bahan bantu mengajar adalah penting kerana kegagalannya menyebabkan pengajaran menjadi tidak berkesan atau merosakkan pengajaran dan pembelajaran seluruhnya. Selanjutnya Omardin Ashaari (1997), berpendapat sebagai pendidik, guru juga harus dapat membuat penilaian mengenai bahan bantu mengajar yang dipilih untuk digunakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.


1.1 Kepentingan Bahan Bantu Mengajar

Kamarudin Hj Husin (1988) telah merumuskan bahawa bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru dalam sesuatu pengajaran mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Antaranya bahan bantu mengajar yang digunakan dapat memberi rangsangan dan mengekalkan minat murid. Bahan bantu mengajar yang berkualiti dan diselenggarakan dengan baik akan dapat meransangkan para pelajar untuk belajar. Para pelajar akan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Disamping itu, bahan bantu mengajar yang baik juga akan dapat mengekalkan minat para pelajar untuk terus memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Dalam pengajaran moral, bahan-bahan seperti cerita-cerita teladan atau rakaman video sebenar, mampu menarik perhatian kepada proses ingin tahu dalam hati para pelajar.


Seterusnya beliau menyatakan bahawa bahan bantu mengajar dapat menyediakan dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran serta mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada pelajar-pelajar. Penggunaan bahan sokongan seperti gambar, komputer atau internet atau sebarang bahan sokongan akan memberikan kesan peneguhan. Contohnya dengan melayari internet banyak maklumat yang akan diperolehi oleh murid, sekaligus internet akan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak perlu di kalangan para pelajar. Mereka akan memberikan tumpuan kepada bahan-bahan atau maklumat yang sedang diterokai.

Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar juga dapat mempelbagaikan aktiviti dalam proses sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Melalui bahan bantu yang sesuai akan memberi peluang pelajar berinteraksi dengan bahan tersebut atau dalam kumpulan pembelajaran. Justeru dapat mengurangkan kaedah chalk dan talk, yang kurang digemari oleh para pelajar. Contohnya dalam aktiviti menggunakan bahan rangsangan gambar tunggal, guru meminta para pelajar memberikan idea berdasarkan gambar tersebut, di samping meramalkan kemungkinan-kemungkinan yang lain.

Tidak kurang penting, bahan bantu mengajar juga dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para pelajar berbanding kaedah konvesional yang lebih memfokuskan penggunaan kaedah syarahan dan buku teks. Dengan menggunakan bahan yang menarik seperti boneka, pengajaran pendidikan moral akan memberikan keseronokan kepada para pelajar. Mereka akan rasa terhibur dan terangsang lebih-lebih lagi sekiranya guru yang mengajar bijak memainkan peranan sebagai tukang cerita serta jalan cerita juga tidak membosankan. Para pelajar juga boleh dilibatkan bersama dan secara tidak langsung pembelajaran secara interaktif dapat dilaksnakan.


Kepentingan bahan bantu mengajar bukan sekadar yang telah dinyatakan dia atas sahaja, malah ia juga dapat membina pemikiran yang berterusan, membantu pemahaman dan perbendaharaan kata pelajar, mendorong pelajar menyiasat sesuatu isu atau perkara melalui peningkatan lagi aktiviti bacaan mereka dan dapat memberi pengalaman baru serta menjadikan pembelajaran lebih mendalam dan beragam.


2.0 Sediakan bahan bantu mengajar untuk mengajar nilai 4.3 Peka terhadap isu alam sekitar (Tahun 5).

Merujuk kepada Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tahun Lima, bagi nilai peka terhadap isu alam sekitar, kandungan akademiknya memfokuskan kepada hidup sihat tanpa pencemaran, merangkumi kebijaksanaan dalam menjaga alam sekitar boleh mengelakkan daripada berlakunya pencemaran alam sekitar, dan seterusnya penjagaan alam sekitar secara bijaksana dapat mengelakkan kesan pencemaran seperti jerebu, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon dan hujan asid. Hasil pembelajaran bagi nilai tersebut ialah melibatkan diri dalam usaha-usaha yang boleh mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Bagi mengajar tajuk ini, guru memerlukan satu bahan bantu mengajar yang sesuai dan dijangka mampu memberikan kesan pembelajaran yang optimum kepada para pelajar. Justeru, guru telah memilih internet sebagai medium yang paling relevan sebagai bahan bantu mengajar yang sangat sesuai dengan nilai serta kandungan pelajaran yang akan disampaikan. Sumber maklumat yang diperlukan sangat banyak dan mudah untuk diperolehi oleh para pelajar. Maklumat yang diperolehi bukan sahaja dalam bentuk teks semata-mata, tetapi juga dalam bentuk gambar-gambar warna dan rakaman-rakaman video. Gambar-gambar serta rakaman video amat berkesan untuk kefahaman dan mampu membantu daya ingatan para pelajar.


2.1 Internet

Internet atau International Network of Networks ialah sebuah rangkaian gergasi komputer di peringkat antarabangsa dan merupakan cara komputer berkomunikasi antara satu sama lain. Dalam rangkaian internet terdapat pelbagai jenis bahan yang berjuta-juta bilangan dan sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Bahan-bahan tersebut termasuklah artikel, imej grafik, perisian komputer, video, audio, majalah, kertas persidangan, permainan projek dan sebagainya. Menurut Ismail Zain (2002), dalam internet terdapat lebih daripada 8000 kumpulan diskusi elektronik. Kumpulan ini mungkin terdiri daripada beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama.

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh para pendidik berhubung dengan penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran . Pertama, internet hanya akan bertindak sebagai sumber alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran, justeru aktiviti pembelajaran hendaklah dirancang dengan teliti oleh guru supaya internet dapat digunakan dengan berkesan. Kedua, komputer dan internet tidak mengubah peranan guru, sebaliknya guru akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, khususnya dalam bidang IT. Ketiga, penggunaan komputer dan internet dapat mengurangkan beban tugas guru dan murid di samping setiap kerja dapat dilakukan dengan kemas, teratur dan sistematik dan keempat, internet amat bermanfaat kepada guru dan murid serta ibu bapa dalam menghadapi cabaran IT dan era globalisasi. Industri berasaskan maklumat akan mencorakkan kehidupan pada masa hadapan, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap ahli masyarakat, khususnya warga pendidik dan ibu bapa.

Menurut Ryder dan Hughes dalam Hassan Mohd Ghazali (2006), terdapat tiga bentuk sistem yang menggunakan internet dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertama Web Course, iaitu penggunaan internet untuk keperluan pembelajaran, di mana seluruh bahan belajar, diskusi, konsultasi, tugasan dan ujian sepenuhnya disampaikan melalui internet. Guru dan pelajar sepenuhnya terpisah, namun komunikasi antara kedua-dua pihak boleh dilakukan pada setiap saat, secara ansynchronous atau synchronous. Kedua, Web Centric Course, iaitu sebahagian bahan belajar, disukusi, konsultasi, tugasan dan latihan disampaikan melalui internet, sedangkan sebahagian lagi amalan tersebut berlaku secara bersemuka atau secara trsdisi. Ketiga Web Enhanced Course, iaitu pemanfaatan internet dalam pendidikan hanya untuk membantu peningkatan kualiti kegiatan pengajaran dan pembelajaran di kelas. Peranan internet adalah untuk menyediakan sumber-sumber yang sangat kaya dengan memberi alamat-alamat atau membuat hubungan (link) ke pelbagai sumber pembelajaran yang sesuai yang boleh diakseskan secara online.

Proses pengajaran dan pembelajaran bagi nilai peka terhadap isu alam sekitar tersebut menggunakan teknik inkuiri penemuan, yakni satu teknik yang memberi peluang kepada para pelajar dalam mencerna serta mencanai daya pemikiran mereka. Bagi tujuan penyatuan idea serta perkongsian maklumat yang lebih mantap, guru telah menetapkan bahawa pembelajaran ini dijalankan dalam bentuk kumpulan. Berkenaan nilai dan tajuk pelajaran yang hendak disampaikan guru akan memberikan arahan yang jelas tentang sesuatu projek yang akan dilaksanakan oleh kumpulan. Berdasarkan projek ini setiap kumpulan diharap dapat membuat pemerhatian atau penyelesaian. Teknik inkuiri penemuan ini akan dapat membina daya pemikiran para pelajar dalam menyelesaikan masalah, meransang perasaan ingin tahu, memberi kebebasan dalam membuat keputusan dan sangat mencabar.

Untuk mengajar nilai 4.3 Peka kepada isu alam sekitar, guru perlu merancang pembelajaran dengan teliti supaya proses pembelajaran menggunakan internet dapat berjalan lancar, berkesan, menarik, meransang dan tidak membazir masa. Berikut adalah beberapa langkah pembelajaran yang dirancang oleh guru tentang penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut :

1. Guru membahagikan para pelajar kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 3 hingga 4 orang ahli dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan ditentukan tugas masing-masing untuk mendapat maklumat dengan melayari laman-laman web tertentu. Sebagai contoh Kumpulan A : jenis-jenis pencemaran, Kumpulan B : Punca-punca pencemaran air, Kumpulan C : punca-punca pencemaran udara, Kumpulan D : punca-punca pencemaran alam sekitar, Kumpulan E : langkah-langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar, Kumpuylan F : kesan pencemaran alam.

2. Seterusnya guru akan mencadangkan beberapa laman web yang boleh diakseskan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Antara nya : http://www.scribd.com/doc/44927232/Artikel-Pencemaran-Alam-Sekitar
http://mazlan66.wordpress.com/2009/05/25/langkah-langkah-untuk-mengurangkan-pencemaran-alan-sekitar
http://kudeed.blog.com/post/1969953506
http://www.dxportal.com/stats/contents/260485
http://www.kpkt.gov.my/kitarsemula/main-asp
http://www.scribd.com/doc/6064805/Kesan-Pencemaran-Alam-Sekitar-Terhadap-Dunia-Hari-Ini

3. Pelajar juga boleh mengakses maklumat tambahan yang diperlukan melalui engin carian google, yahoo atau Lycos dengan menaip kata kunci yang sesuai, seperti punca pencemaran, jenis pencemaran,pencemaran udara, langkah pencegahan pencemaran, kesan pencemaran dan seumpamanya melalui engin carian tersebut :
http://www.google.com
http://www.yahoo.com
http://www.lycos.com

4. Setiap kumpulan diberikan masa selama 30 minit untuk mendapatkan maklumat mengenai tajuk-tajuk yang telah ditentukan. Guru sentisasa memantau dan memberikan bantuan bagi kumpulan yang menghadapi masalah. Maklumat yang telah diperolehi boleh dicetak, kemudian disalin dalam bentuk peta minda pada kad manila.

5. Setiap kumpulan akan membentangkan maklumat yang telah diperolehi berdasarkan peta minda yang dipamerkan kepada kelas. Semasa sesi perbentangan, pelajar lain dibenarkan berinteraksi dengan kumpulan perbentangan supaya semua pelajar dapat maklumat yang jelas.

6. Lanjutan daripada pembelajaran tersebut dan sebagai langkah pengukuhan, setiap kumpulan dikehendaki menyediakan Folio yang berkaitan dengan pelajaran yang telah disampaikan. Guru boleh memberi sedikit kelonggaran masa supaya tugasan tersebut dapat dihasilkan dengan baik tetapi tidak membebankan para pelajar.


2.2 Kebaikan Internet dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Antara kebaikan yang mungkin dikecapi oleh para pelajar melalui penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah kebebasan belajar. Para pelajar diberi peluang untuk belajar atau memilih maklumat dengan cara yang disukai, di samping dapat melatih para pelajar untuk berdikari. Kebaikan yang seterusnya ialah penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menyediakan capaian ke pelbagai sumber maklumat secara pantas. Para pelajar berupaya memperolehi input yang begitu banyak, relevan dan berkesan.

Penggunaan komputer juga akan menggalakkan minat para pelajar terhadap aplikasi komputer, yakni berpotensi mengurangkan jurang fobia penggunaan komputer di kalangan para pelajar terutamanya pelajar yang kurang berinteraksi dengan komputer. Selain itu, penggunaan internet juga menyediakan kesempatan belajar yang baik kepada pelajar. Proses pembelajaran boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira waktu, tiada had waktu belajar seperti di bilik darjah biasa. Penggunaan medium internet sebagai bilik darjah maya mampu membekalkan pengajaran dan pembelajaran secara interaktif walaupun tidak bersemuka.

3.0 Sediakan 15 soalan untuk menilai penguasaan murid-murid tahun 5 tentang nilai 4.2 Menyayangi alam sekitar dan 4.3 Peka terhadap isu alam sekitar.

3.1 Aras Pengetahuan (aneka pilihan)
1. Manakah antara tempat-tempat berikut akan digemari oleh lalat?
A. bilik air yang bersih
B. Tempat buang sampah
C. lantai yang selalu dicuci
D. almari lauk yang bertutup

2. Manakah antara bahan-bahan berikut yang tidak dapat dikitar semula?
A. minyak
B. kertas
C. kaca
D. tin

3. Pilih penyataan yang benar tentang kesan pencemaran alam sekitar
I. jerebu
II. hujan asid
III. kesan rumah hijau
IV. penipisan lapisan ozon
A. I, II dan III
B. I, II dan IV
C. I, III dan IV
D. I, II, III dan IV


3.2 Aras Kefahaman (aneka pilihan)
1. Apakah kesan pembakaran terbuka terhadap alam sekitar?
A. kawasan sekitar menjadi bersih
B. udara di kawasan sekitar tercemar
C. pihak bomba datang memadam kebakaran
D. orang ramai berkumpul di tempat pembakaran

2. Antara berikut penyataan manakah yang tidak benar tentang penjagaan alam sekitar?
A. bahan-bahan terbuang boleh boleh digunakan semula
B. projek mengitar semula bahan terbuang adalah satu pembaziran
C. penggunaan sumber alam secara sederhana adalah amalan yang baik
D. kita harus menyokong usaha-usaha kerajaan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar

3. Antara yang berikut, yang manakah bukan usaha kerajaan bagi mengatasi masalah pencemaran alam?
A. mengadakan tunjuk perasaan
B. menguatkuasakan undang-undang
C. memberi ceramah tentang alam sekitar
D. menganjurkan kempen kesedaran alam sekitar

4. Pilih penyataan yang benar tentang cara mengatasi masalah pencemaran alam
I. pembakaran secara terbuka
II. membuang sisa toksid ke dalam laut
III. tidak membuang sampah-sarap ke dalam sungai
IV. menanam semula pokok selepas aktiviti penebangan
A. I dan II
B. I dan III
C. II dan III
D. III dan IV

3.3 Aras aplikasi (soalan berstruktur)
1. Nyatakan dua akibat daripada perlakuan tidak mematuhi peraturan menjaga
kebersihan alam sekitar
a. ___________________________________________
b. ___________________________________________

2. Berikan dua sebab mengapa kita perlu menjaga kebersihan alam sekitar
a. ___________________________________________
b. ___________________________________________

3. Nyatakan dua cara menjaga alam sekitar
a. ___________________________________________
b. ___________________________________________

4. Nyatakan dua cara menggunakan sumber alam sekitar dengan bijak
a. ________________________________________________
b. ________________________________________________

3.4 Aras Analisis, (soalan berstruktur)
1. Jelaskan kebaikan kitar semula
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________


3.5 Aras Sintesis, (soalan esei)
1. Bagaimanakah anda boleh membantu mengelakkan pencemaran alam?
___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
_____________________________________________________________
3.6 Aras Penilaian, (soalan esei)
1. Sejauh manakah kesan buruk pencemaran kepada manusia dan alam sekitar?
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________


4.0 Kesimpulan

Bahan bantu mengajar adalah sebahagian daripada faktor yang membantu sesuatu pengajaran dan pembelajaran dapat mencapai matkamatnya. Sebagai seorang guru yang berdedikasi aspek tersebut tidak boleh dipandang ringan. Pengajaran guru yang menggunakan bahan bantu pengajaran berbanding dengan guru yang mengajar secara tradisi tentu sekali mempunyai perbezaan yang ketara dari segi penerimaan dan tumpuan pelajar, aktiviti yang dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian pelajar. Apa yang penting, seseorang guru yang dedikasi perlu menyedari hakikat bahawa pengajaran yang menggunakan bahan bantu mengajar lebih diharapkan oleh anak didik yang dahagakan ilmu daripada gurunya.

Selain bahan bantu mengajar, seseorang guru juga hendaklah peka tentang penyediakan soalan-soalan latihan atau soalan-soalan peperiksaan. Mengikut Taksanomi Bloom terdapat enam aras kognitif yang berbeza. Justeru guru yang baik perlu menguasai kemahiran membina soalan, untuk disesuaikan dengan kemampuan dan latar belakang para pelajar, kandungan pelajaran serta tujuan sesuatu soalan tersebut dikemukakan.

Kesimpulannya sekiranya kedua-dua faktor di atas dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh para guru, maka pembelajaran Pendidikan Moral akan mencapai matlamat seperti yang diharapkan oleh pihak kerajaan. Mata pelajaran Pendidikan Moral tidak lagi dilabelkan sebagai mata pelajaran yang membosankan atau sebagai mata pelajaran suka-suka sahaja.



RUJUKAN

Ee Ah Meng. 2003. Ilmu Pendidikan: Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas (Semester 1). Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hassan Mohd Ghazali. 2006. Kelebihan dan Kelemahan Penggunaan Sumber dan Perkhidmatan Internet Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. UPSI: Tesis Sarjana

Ismail Zain. 2002. Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kamarudin Hj Husin. 1986. Kesedaran Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2004. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tahun 5. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Lam Sook Heng, Hasnita Hassan Basari & Sangeetajit Kaur. 2006. Pendidikan Moral Sekolah Kebangsaan – Tahun 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lim Chap Sam, Fatimah Salleh & Munirah Ghazali. 2004. Alat Bantu Mengajar Matematik. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Mat Nor Hussin, Ab. Rahman Ab. Rashid. 1988. Alat Bantu Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa. Selangor: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Noor Din Maulud. 1999. Faktor Mempengaruhi Pencapaian Sains PMR. UTM. Tesis Sarjana Muda.

Omardin Ashaari. 1997. Prinsip Pengajaran Mikro. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/kelebihan_internet.htm

http://www.wangcyber.com/f








Tiada ulasan:

Catat Ulasan