Ahad, 17 Januari 2010

Sistem Pentadbiran Malaysia

a.Huraikan secara ringkas sejarah awal penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu
1896-189

Pendahuluan
Perlu diketahui bahawa Raja-Raja dahulu kala merupakan Raja-Raja mutlak, yang mempunyai kuasa perundangan eksekutif dan kehakiman. Raja-Raja ketika itu memerintah negeri masing-masing berdasarkan dasar mereka sendiri serta dibantu pelbagai kategori pegawai. Pada zaman Kesultanan Melaka, para pegawai diketuai oleh Bendahara. Penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511, dan Belanda pada tahun 1641, tidak mengubah struktur tradisi kesultanan Melayu. Pada tahun 1874, pihak British mula mencampuri urusan pentadbiran kesultanan Melayu melalui Perjanjian Pangkor. Sultan-sultan kekal sebagai Raja berdaulat tetapi mereka terikat untuk menerima nasihat daripada Residen British, Penasihat atau Penasihat Jeneral.

Pihak British telah melengkapkan penguasaan politik mereka terhadap kesultanan Melayu pada tahun 1919, dan negeri Terengganu adalah merupakan negeri yang terakhir menerima Penasihat British. Namun British terlebih dahulu menggabungkan kuasa pentadbiran mereka dengan membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kemudian pada tahun 1909, mereka menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Persekutuan yang dianggotai oleh empat orang Raja-Raja Melayu dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Dari segi teori perlembagaan, Raja-Raja Melayu masih mengekali kuasa perundangan, tetapi hakikatnya pihak Britishlah yang berkuasa dalam membentuk dan menentukan polisi pentadbiran di negeri-negeri tersebut. Raja-Raja Melayu hanya mempunyai kuasa dalam hal ehwal yang berkaitan dengan upacara adat istiadat dan hal-hal keagamaan. Keadaan demikian telah membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan Raja-Raja Melayu, yang kemudiannya telah melahirkan Durbar yang pertama di Istana Negeri, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak pada 13 hingga 17 Julai 1897.
Sejarah Pembentukan Majlis Raja-Raja Melayu

Pada 1 Julai 1896, pihak British telah membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan menetapkan suatu mesyuarat antara Raja-Raja Melayu dengan pihak British hendaklah diadakan dengan serta merta, untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh negeri-negeri di Tanah Melayu. Mesyuarat Pertama Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu, juga dikenali Durbar. Nama ini berasal daripada perkataan Urdu-Parsi, Darbar membawa maksud istana Raja. Durbar juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British. Mesyuarat tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama Raja-Raja Melayu serta mengeratkan persahabatan dengan pihak British.

Durbar pertama yang diadakan di Istana Negeri, Bukit Chandan, Kuala Kangsar berlangsung selama empat hari, telah dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dari negeri Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Hugh Clifford, Residen British di Pahang, J.P. Rodger, Residen British di Selangor, dan W.H. Treacher, Residen British di Perak. Negeri Sembilan tidak diwakili kerana Residennya Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Durbar pertama yang asalnya dijadualkan pada penghujung tahun 1896, terpaksa ditunda kerana Sultan Abdul Samad telah jatuh gering. Sementara itu Kuala Kangsar dipilih sebagai tempat mesyuarat Durbar yang pertama adalah atas keyakinan pihak British terhadap Sultan Idris. Baginda mempunyai hubungan yang baik dengan pihak British, malah sebelum itu, pendapat baginda memang selalu diambil kira oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dijadikan sebagai raison d’etre bagi pembentukan polisi.
Menurt Nik Abd Rashid Nik Abd Majid (1998), berikut adalah ringkasan yang dibuat oleh Sir Frank Swettenham mengenai mesyuarat Durbar yang pertama :
Sekiranya dilihat dari pelbagai sudut, mesyuarat ini boleh dikatakan suatu kejayaan dan kini sukar untuk meramalkan kepentingan semasa dan masa hadapan mesyuarat antara Raja-Raja Melayu ini. Mesyuarat yang diadakan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam sejarah Tanah Melayu. Rasa saya, belum pernah kita mendengar seorang Raja sesebuah negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke negeri lain, tetapi kejayaan mengumpulkan kesemua Sultan dari Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di satu tempat pertemuan merupakan suatu kejayaan besar yang mungkin dianggap mustahil.

Pertimbangan ahli Majlis amat menarik dan berguna dan tidak dapat dinafikan bahawa ada pada ketikanya sebarang keputusan sudah pasti tidak akan tercapai sekiranya pertemuan antara Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu dengan Penasihat mereka yang bertanggungjawab tidak diadakan. Segala perbincangan menggunakan Bahasa Melayu dan saya pasti sekiranya perlu diadakan tafsiran, maka mesyuarat yang diadakan sebegini tidak mungkin akan menemui kejayaan. Sultan dan pembesar negeri membincang hal yang diminati oleh mereka, tanpa teragak-agak dan kesukaran, dan juga hal berkenaan dengan agama Islam, adat resam Melayu, dan juga persoalan yang menyentuh hak orang Melayu, segala pengalaman dan pengetahuan mengenai hal-hal ini amatlah sukar untuk diperolehi daripada sumber-sumber lain kecuali pada mesyuarat sebegini.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, keahlian Majlis Raja-Raja ditambah dengan kemasukan Negeri-Negeri Tidak Bersekutu, iaitu Negeri Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Namanya juga dipendekkan menjadi “Majlis Raja-Raja”. Mesyuarat pertama bagi tempoh ini telah diadakan pada 18 Februari 1948, di Kuala Lumpur dan telah dipengerusikan oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor. Kemudian selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Negeri Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli dan diikuti pula oleh Sabah dan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Majlis Raja-Raja yang pertama selepas merdeka telah diadakan pada 30 dan 31 Oktober 1957, dan dipengerusikan oleh Sultan Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Oleh yang demikian, Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Antara fungsi Majlis Raja-Raja termasuklah urusan pemilihan dan perlantikan Yang DiPertuan Agong. Di samping itu, majlis ini menjadi medium untuk berbincang beberapa perkara yang tertentu terutamanya isu-isu yang berkaitan agama Islam kerana Majlis Raja-Raja merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal agama Islam di negara kita.

Hingga ke hari ini, majlis tersebut dianggotai oleh semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang Di-Pertua Negeri di Malaysia. Mengikut peraturan hanya Raja-Raja sahaja yang layak mempengerusikan mesyuarat dan ia dipengerusikan mengikut giliran yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh majlis. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai setiausaha Majlis Mesyuarat Raja-Raja. Selain itu, Yang DiPertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat. Ini menjadikan mesyuarat ini sebagai mesyuarat tertinggi di Malaysia.

Kesimpulan, Majlis Raja-Raja yang telah diwujudkan ini merupakan perhimpunan yang paling agung di negara kita. Malah Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi unik kerana majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa yang wujud di dunia pada masa kini. Meskipun mesyuarat Raja-Raja tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang atau mengenakan cukai, atau membuat belanjawan negara, namun ia sangat berpengaruh. Majlis ini merupakan badan penghubung yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri pada tahap yang tertinggi. Mesyuarat yang dihadiri oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan, dan Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri bersama-sama dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing, memberikan peluang kepada mereka untuk membincangkan masalah bersama yang mungkin dihadapi oleh mana-mana negeri. Memandang perjalanan mesyuarat sebegini biasanya dijalankan secara sulit, mereka boleh berterus terang secara hormat. Bagi Perdana Menteri pula, Mesyuarat Majlis Raja-Raja merupakan forum yang bernilai untuk beliau menjelaskan dengan lebih lanjut tentang dasar-dasar persekutuan yang telah dan akan ditetapkan.


b. Bincangkan sejarah perkembangan Majlis Raja-Raja 1948-1957 dengan
memberi tumpuan kepada isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, serta Laporan Suruhanjaya Reid mengenai Raja-Raja Melayu

Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formal hasil perancangan British dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, keahlian Majlis Raja-Raja telah bertambah dengan kemasukan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Mesyuarat pertama Majlis Raja-raja telah diadakan pada 18 Februari 1948, di Kuala Lumpur dan telah dipengerusikan oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor. Sementara pihak British telah diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

Melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Raja-Raja diperbadankan dengan rasmi dan dilengkapkan dengan kuasa dan sekretariat sesuai dengan kedudukan dan peranannya. Majlis yang dianggotai oleh kesemua sembilan orang Raja, akan bermesyuarat sekiranya dirasakan perlu dan dipengerusikan oleh salah seorang daripada mereka. Ketika itu Majlis Raja-Raja eksklusif untuk Raja, sehingga pengerusi mesyuarat ditentukan oleh Raja-Raja sendiri. Di bawah perjanjian tersebut juga, majlis diberi hak menemui Pesuruhjaya Tinggi British sekurang-kurangya tiga kali setahun.

Raja-Raja juga telah mempunyai hak dan kuasa yang sebelum ini tidak wujud. Raja-Raja diberi hak untuk mengambil tahu hal- hal berkaitan dengan pembuatan undang-undang. Selain itu Majlis Raja-Raja juga boleh membahaskan tentang draf gaji baru serta penyusunan jabatan-jabatan persekutuan jika Raja-Raja mahu berbuat demikian. Seperkara lagi, Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu adalah bertanggungjawab untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan persekutuan kepada Raja-Raja, dan Pesuruhjaya tinggi tersebut juga diberi tugas untuk menimbangkan pandangan Raja-Raja.

Catatan sejarah telah membuktikan bahawa, di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Raja-Raja diberi kuasa untuk meneliti pelbagai perkara berkenaan pentadbiran kerajaan Persekutuan ketika itu. Raja seolah-olah bertindak sebagai wakil kepada rakyat untuk mengimbangi kuasa British pada waktu itu. Beberapa institusi Melayu yang wujud hingga ke hari ini seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu, tanah rezab Melayu, Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan hasil yang diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu kerana pada ketika itu parti politik Melayu belum wujud.

Antara tahun 1948 hingga 1957, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diadakan sebanyak 50 kali. Dicatatkan beberapa sumbangan yang besar untuk kebajikan orang-orang Melayu diperolehi melalui mesyuarat-mesyuarat tersebut. Antaranya dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-8, pada tahun 1949, pihak majlis telah bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-Raja. Dalam mesyuarat yang lain pula, Majlis Raja-Raja telah berjaya mengambil keputusan dengan menghadkan kemasukan tenaga buruh daripada negara China dan India. Tidak kurang pentingnya, ialah keputusan yang turut dicapai bahawa menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan.

Pada 4 Disember 1951, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Dewan Astana Selangor, menumpukan perbincangan mengenai perkembangan darurat yang sedang dialami. Seterusnya pada bulan Mac 1952, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berkenan menganugerahkan cokmar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan. Pada 30 Mei 1952, Majlis Raja-Raja telah memperkenalkan Jata Kerajaan Persekutuan. Kemudian Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 29 September 1955, berbincang untuk mendapatkan kelulusan pindaan kepada Perlembagaan yang dibuat menjurus kepada pencapaian kemerdekaan. Pada 14 Mac 1957, Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan bahawa Yang Di-Pertuan Agong akan menerajui negara serta bertindak sebagai Pengerusi Tetap Majlis Raja-Raja dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, dan satu lagi mesyuarat khas yang berlangsung pada 3 Ogos 1957, telah memilih Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Yang Di-Pertuan Agong Pertama.

Suruhanjaya Reid merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang berperanan merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada pihak Britain pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya ini telah dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, iaitu Lord William Reid. Suruhanjaya tersebut telah menyerahkan draf kerja atau laporan pada Februari 1957 yang telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Kerja tersebut diwakili oleh empat orang pemerintah Melayu, empat orang daripada parti yang memenangi pilihanraya pertama, iaitu Parti Perikatan, Suruhanjaya Tinggi British, Setiausaha Agung dan Peguam Negara. Perbincangan mengenai laporan yang dikeluarkan mengambil masa dua bulan dan apabila pindaan telah diterima, rang perlembagaan itu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk disahkan.

Dalam draf Perlembagaan Suruhanjaya Reid, Majlis Raja-Raja tidak diberikan kedudukan dan kuasa yang istimewa seperti yang telah sedia wujud. Suruhanjaya tersebut hanya menyebut kuasa Majlis Raja-Raja hanyalah melantik Yang Di-Pertuan Agong. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kedudukan majlis serta peranannya dalam perjalanan pentadbiran negara. Namun Rang Perlembagaan tersebut telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja pada bulan Jun 1957, dan Majlis Undangan Persekutuan telah menerima dan meluluskannya pada 15 Ogos 1957, dan Perlembagaan tersebut berkuat kuasa pada 27 Ogos.

Menurut laporan Suruhanjaya Reid, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka diketuai oleh seorang Raja, iaitu Yang Di-Pertuan Agong. Cadangan jawatan Yang Di-Pertuan Agong timbul berikutan penentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu. Pada bulan Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang Di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum ini, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang pertama. Baginda menjadi Raja Berpelembagaan dengan mengikut nasihat Jemaah Menteri Persekutuan serta Majlis Raja-Raja.

Antara peranan Yang Di-Pertuan Agong ialah melantik Perdana Menteri Malaysia dari kalangan parti politik yang mendapat majoriti dalam pilihanraya umum yang diadakan. Selain itu baginda juga akan melantik seramai 16 oarang Senator dari pelbagai latar belakang untuk menganggotai Dewan Negara. Di samping itu Yang Di-Pertuan Agong akan bertitah pada setiap kali sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat. Maka titah ucapan baginda akan menyentuh pelbagai aspek yang berkaitan di peringkat nasional termasuk menegur hal berkaitan pentadbiran kerajaan yang kemudiannya akan dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat. Perkara tersebut termaktub dalam Perkara 38 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mengizinkan raja-raja membincangkan apa saja hal berkepentingan nasional.

Raja-Raja Melayu pula akan terus kekal sebagai Ketua negeri masing-masing, dan Sultan-sultan akan menjalankan pentadbiran mereka dengan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Negeri. Manakala bagi negeri-negeri tidak beraja seperti Pulau Pinang dan Melaka, ia akan bergabung dalam Persekutuan dan diketuai oleh Yang DiPertua Negeri dan berperanan seperti Gabenor. Di setiap negeri Sultan dan Gabenor memilih Menteri Besar atau Ketua Menteri dari parti yang mendapat suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Selain itu Suruhanjaya Reid juga memperuntukkan bahawa, nasihat Majlis Raja-Raja dikehendaki dalam perlantikan hakim, suruhanjaya pilihanraya dan perkhidmatan, kedudukan dan hak istimewa orang Melayu.

c.Bincangkan kedudukan dan peranan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan
Persekutuan

Beberapa abad lamanya orang-orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka diperintah oleh Sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Semasa zaman penjajahan British, Sultan-Sultan diterima sebagai pemerintah berdaulat dan memiliki kuasa penuh di dalam negeri masing-masing walaupun mereka dikehendaki menerima nasihat daripada pegawai-pegawai British yang dilantik sebagai Residen atau Penasihat British. Keadaan demikian berlanjutan hingga menjelang hari kemerdekaan. Pada tahun 1946, kerajaan British memperkenalkan sebuah perlembagaan unitari untuk Semenanjung Tanah Melayu yang dipanggil Malayan Union.

Di bawah perlembagaan Malayan Union, Sultan-sultan hilang kebanyakan daripada kuasa mereka, kerana pihak British memerintah secara langsung. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang-orang Melayu, mereka bangkit menentang rancangan British tersebut. Kesan atas penentangan tersebut perlembagaan Malayan Union dimansuhkan dan satu lagi perlembagaan bikinan penjajah, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 diperkenalkan. Perlembagaan ini sedikit sebanyak mengembalikan Raja-Raja Melayu kepada kedudukan yang asal mereka.

Pada tahun 1957, selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British, institusi pemerintahan beraja diteruskan. Namun, terdapat beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berpalimen dan kemerdekaan. Justeru daripada terpaksa menerima penasihat British, kini Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat daripada menteri-menteri mereka serta bertindak menurut nasihat tersebut. Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak menurut nasihat Kabinet, dan Raja sesebuah negeri pula hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Struktur Kerajaan Persekutuan
Mengikut peruntukan Perkara 38 Perlembagaan, peranan majlis merangkumi pelantikan dan pemecatan Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Peruntukan juga memberi hak dan kuasa untuk majlis menyetujui atau sebaliknya undang-undang yang menyentuh kedudukan, kuasa, keistimewaan dan kehormatan Raja-Raja. Keadaan jelas menunjukkan kedudukan majlis mengatasi Parlimen. Selain itu majlis juga berhak membincangkan hal-hal mengenai negara yang dirasakannya sesuai untuk dibincangkan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja dalam Sistem Kerajaan Malaysia.

Sistem Kerajaan Malaysia
Seperti dinyatakan di atas, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Apabila Majlis Raja-Raja bermesyuarat bagi maksud ini, majlis tersebut terdiri daripada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Perlis dan tujuh orang Sultan dari neger-negeri Melayu yang lain. Ketika menjalankan tugas untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja mestilah bertindak mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga.

Seksyen 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga menyatakan bahawa
......Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang Di-Pertuan Agong kepada raja yang layak untuk dipilih yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan......dan jika raja itu tidak menerima jawatan itu maka Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan itu kepada raja yang negerinya ialah yang kemudian selepas negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang raja menerima jawatan itu.

Oleh yang demikian, seseorang raja tidaklah layak dipilih jika ia adalah seorang yang belum dewasa atau jika dia telah memberitahu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa ia tidak berkehendak dipilih. Sebagai contoh, Almarhum Sultan Johor pada tahun 1957 dan Almarhum Sultan Pahang dalam tahun 1970 telah berbuat demikian. Jika kedua-dua raja ini tidak menarik diri dengan sukarelanya, maka Majlis Raja-Raja juga boleh membuat ketetapan dengan undi sulit bahawa mana-mana Raja adalah tidak layak dipilih oleh kerana mereka percaya bahawa seseorang Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan tugas-tugas Yang Di-Pertuan Agong oleh kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh kerana apa-apa sebab yang lain.

Yang Di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja dan oleh sebab itu jawatan Yang Di-Pertuan Agong juga boleh dipecat oleh Majlis Raja-Raja. Pemecatan tersebut boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan atas apa-apa sebab jua dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan. Hal tersebut telah termaktub dalam Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam melaksanakan pemecatan Yang Di-Pertuan Agong daripada jawatannya. Satu ketetapan untuk memecat Yang Di-Pertuan Agong mestilah mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima orang daripada sembilan orang Raja. Di samping itu Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong mestilah berhenti memegang jawatan jika ia berhenti menjadi seorang Raja.

Kepala utama bagi Persekutuan ialah yang Di-Pertuan Agong, iaitu seorang Raja yang dipilih di kalangan Raja-Raja sembilan negeri Melayu. Melalui Sistem Raja Berpelembagaan, Yang Di-Pertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan, tetapi sebagai Raja Berpelembagaan, baginda dikehendaki bertindak atas nasihat kabinet baginda atau seorang menteri yang dikuasakan oleh kabinet. Selain itu, Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, dan mempunyai kuasa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman kepada anggota yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah tentera dan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang diketuai oleh Yang DiPertua Negeri. Sebagai kepala Persekutuan, baginda juga mempunyai kuasa untuk membuat perlantikan-perlantikan yang penting seperti yang terkandung juga dalam Akta-akta Parlimen.

Dalam tiap-tiap Perlembagaan Negeri Melayu, kecuali Perlembagaan Negeri Sembilan, Sultan merupakan Ketua Negerinya dan mempunyai kuasa eksekutif negeri, walaupun kuasa itu hendaklah dilaksanakan atas nasihat Majlis Mesyuarat atau Ketua Menterinya. Sultan juga mempunyai kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman kepada mereka yang telah disabitkan atau atas kesalahan yang dilakukan di dalam negerinya. Selain itu Sultan juga mempunyai kuasa untuk membuat perlantikan di bawah Perlembagaan Negeri dan undang-undang negeri. Di samping itu, Sultan mempunyai hak kedaulatan untuk mengurniakan anugerah, penghormatan dan bintang kehormatan kepada sesiapa yang disukai oleh baginda.

Dalam tahun 1949, Majlis Raja-Raja telah melantik suatu Jawatankuasa Tetap terdiri daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebagai pengerusi dan dua orang wakil dari tiap-tiap sebuah negeri untuk menasihatkan majlis mengenai perkara-perkara ugama dengan tujuan untuk mencapai sesuatu persamaan di seluruh persekutuan. Di samping untuk menasihatkan majlis mengenai perkara-perkara yang khusus dirujukkan kepadanya. Pada asasnya, tiap-tiap orang Raja boleh bertindak secara berasingan dalam perkara-perakara ugama, tetapi adalah dirasakan bahawa sepatutnya hendaklah ada sedikit persamaan dan Yang Di-Pertuan Agong patut diberi kuasa untuk mewakili tiap-tiap seorang Raja dalam perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Fasal (2) Perkara 3, menyebutkan bahawa
.. dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang Di-Pertuan Agong mewakilinya.

Peruntukan tersebut telah digunakan untuk menentukan mulanya puasa pada 1 Ramadhan dan menentukan tarikh Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Selain itu Yang Di-Pertuan Agong juga diberi kuasa oleh Majlis Raja-Raja untuk mengeluarkan tauliah atau surat kuasa kepada guru-guru agama dalam Angkatan Tentera selepas tiap-tiap orang guru itu telah dipilih dengan sempurnanya secara berasingan oleh Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Untuk mewujudkan hubungan kerja yang baik, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang Di-Pertuan Agong dan semua Raja serta Gabenor supaya kerap mengadakan pertemuan. Perkara demikian dapat dilaksanakan melalui penubuhan sebuah badan yang dipanggil Majlis Raja-Raja, yang mempunyai sekretariat tetap diketuai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Antara fungsi-fungsi Majlis Raja-Raja ialah seperti, memilih Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, mempesetujui atau tidak mempesetujui supaya sebarang perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan. Selain itu Majlis juga boleh mempersetujui atau tidak mempesetujui sebarang undang-undang dan membuat atau memberi nasihat ke atas sebarang perlantikan yang di bawah perlembagaan ini memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan majlis itu. Di samping itu majlis juga boleh menimbangkan soalan-soalan yang bersabit dengan dasar negara dan apa-apa lain yang difikirkan patut.

Majlis Raja-Raja terdiri daripada Sultan-sultan dan Yang DiPertua Negeri. Akan tetapi kedudukan Yang DiPertua Negeri tidak dianggap sebagai anggota majlis apabila majlis bersidang untuk memilih atau menamatkan tempoh perlantikan Yang Di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, atau perkara yang berkaitan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja atau terhadap perbuatan, dan amalan atau upacara agama.

Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh didakwa dalam sebarang perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Begitu halnya bagi Raja-Raja yang lain, kedaulatan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa mereka tidak tersentuh dan tidak ada sebarang tindakan dalam mana-mana mahkamah yang boleh dikenakann ke atas Raja mana-mana negeri atas sifat dirinya sendiri. Perlembagaan juga membuat peruntukan bagi memelihara kedaulatan kuasa dan bidang kuasa Pembesar-pembesar memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah masing-masing dan mereka juga kebal daripada tindakan mahkamah atas sifat diri masing-masing. Namun Pindaan Perlembagaan 1993, tentang kekebalan Raja daripada tindakan mahkamah telah mencabut sebahagian kedaulatan dan kekebalan tersebut.

Perlembagaan juga membuat peruntukan berhubung dengan susunan keutamaan bagi Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja lain. Kedudukan Yang Di-Pertuan Agong diutamakan daripada kesemua orang di Persekutuan ini dan kedudukan keutamaan Raja-Raja lain di kalangan mereka adalah menurut tarikh mereka diangkat menjadi Raja. Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, memberi peruntukan untuk menjamin hak seseorang Raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi perlembagaan bagi seseorang Raja dalam sesebuah negeri. Hak-hak itu mestilah ditentukan mengikut perlembagaan negeri.

Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara, tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai Raja Negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Selanjutnya tiada undang-undang yang secara langsung yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Di bawah Seksyen 19 (2) dari Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan bahawa tiada apa-apa peruntukan mana-mana Perlembagaan Negeri berhubung dengan berhubung dengan mewarisi takhta Kerajaan atau kedudukan Pembesar-pembesar Memerintah atau Pembesar-pembesar Adat Melayu yang seumpamanya yang boleh dipinda oleh Dewan Perundangan Negeri. Ini bermakna satu-satunya cara yang diperuntukkan ini dapat dipinda oleh Raja sendiri menurut amalan adat dalam negeri masing-masing. Di sini jelas bahawa institusi pemerintahan beraja di negara ini terlindung dengan rapi sebagai satu daripada sifat asasi undang-undang Perlembagaan kita dengan cara bahawa Ketua sesebuah negeri Melayu ialah seorang Sultan dan Ketua bagi Persekutuan juga seorang Sultan tetapi digelar Yang Di-Pertuan Agong. Institusi ini diterima oleh bekas tanah jajahan British, iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak yang masing-masing tidak mengamalkan pemerintahan beraja dan Ketua Negerinya ialah seorang Gabenor yang digelar Yang DiPertua Negeri, yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja dianggap unggul dalam beberapa aspek, kerana sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda oleh Parlimen tanpa persetujuan daripada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah, pindaan terhadap Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum lain, dan pindaan Perkara 152 mengenai kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, memberikan tanggungjawab yang berat kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera negeri Sabah dan Sarawak dan juga kepentingan sah kaum-kaum lain. Menutut Mohd Salleh Abas (1985), apabila negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tanggungjawab khas Pesuruhjaya itu dipindahkan ke bahu Yang Di-Pertuan Agong dan apabila Sabah dan Sarawak memasuki Persekutuan ini pada tahun 1963, kedudukan istimewa bumiputera kedua-dua negeri ini diiktiraf sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Yang Di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153. Di bawah Perkara ini Yang Di-Pertuan Agong dikehendaki, di dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang Persekutuan, melaksanakan dasar melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera negeri Sabah dan Sarawak dan membuat persiapan untuk mereka dari segi perjawatan dalam perkhidmatan awam, dalam pemberian biasiswa dan bantuan atau lain-lain kemudahan pelajaran, dan permit serta lesen yang diperlukan untuk perniagaan dan perdagangan. Yang Di-Pertuan Agong juga diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan-arahan yang perlu kepada pihak berkuasa yang sesuai untuk memastikan dasar sedemikian rupa dipatuhi.

Perlembagaan juga mewajibkan pihak kerajaan meminta pandangan Majlis Raja-Raja sebelum kerajaan membuat perubahan dasar tentang tindakan pentadbiran berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain itu, Majlis Raja-Raja mempunyai hak untuk tidak memberi perkenan atau persetujuan kepada undang-undang yang secara langsung meyentuh
keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan kebebasan Raja-Raja.

Sebagai kesimpulannya, Majlis Raja-Raja dianggap unggul dan unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa yang wujud di dunia ini. Walaupun Majlis Raja-Raja tidak diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam perlembagaan, khususnya dalam bentuk kuasa-kuasa yang dinyatakan untuk cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman, tetapi Majlis Raja-Raja telah diberikan peranan tertentu oleh Perlembagaan. Secara umumnya, peranan majlis seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Antaranya, peranan yang berhubung dengan istitusi beraja sendiri, peranan yang berhubung dengan hal-hal negara di peringkat kebangsaan, sebagai institusi yang menjaga kedudukan dan keistimewaan orang-orang Melayu dan bahasa mereka, sebagai institusi tertinggi dan rasmi di peringkat persekutuan mengenai hal-hal pentadbiran agama Islam, dan boleh bertindak sebagai jurucakap rasmi bagi pihak negeri-negeri dalam persoalan-persoalan tertentu.

d.Dengan merujuk kepada beberapa insiden, bincangkan secara kritikal bagaimana Majlis Raja-Raja mengalami perubahan autoriti dan peranan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan

Beberapa peristiwa menarik yang juga disebut insiden atau krisis berkaitan Perlembagaan Persekutuan telah terjadi beberapa kali. Krisis atau insisden yang dimaksudkan adalah yang melibatkan Majlis Raja-Raja atau institusi beraja di negara kita. Antara krisis-krisis tersebut ialah Krisis Pindaan Perlembagaan 1983, Krisis UMNO dan PAS 1984, Krisis Pindaan Perlembagaan 1993, Krisis Perpecahan Melayu 1999, Krisis Pengambilan Tanah di Putrajaya dan yang terakhir ialah Krisis Perebutan Kuasa di Perak.

Krisis Pindaan Perlembagaan pada tahun 1983, ialah krisis yang melibatkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong dalam soal mempekenankan satu-satu rang undang-undang dan juga soal mengisytiharkan darurat. Dalam hal ini dinyatakan bahawa satu-satu Rang Undang-Undang akan menjadi undang-undang dan boleh dikuatkuasakan setelah diwartakan walaupun tanpa mendapat perkenan dari yang Di-Pertuan Agong setelah melalui beberapa proses. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada dakwaan ada terdapat dalam kes-kes tertentu bahawa Raja-Raja enggan memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan Raja-Raja sebagai ketua negeri mungkin enggan memberi perkenan sekiranya sesuatu Rang Undang-Undang diluluskan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan atau Rang Undang-Undang tersebut bersifat draconians dan bertentangan dengan amalan demokrasi. Melalui pindaan tersebut Rang Undang-Undang yang telah diluluskan akan menjadi undang-undang selepas tiga puluh hari setelah dipersembahkan, walaupun tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Natijahnya daripada pindaan Perlembagaan tersebut, mungkin suatu masa yang akan datang akan berlaku Rang Undang-Undang yang diluluskan berasaskan kepentingan pihak-pihak tertentu, seperti kepentingan politik, kepentingan sesuatu kaum, melibatkan perkara-perkara yang sensitif dan seumpamanya tidak dapat ditolak lagi kerana kuasa Yang Di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian telah lupus melalui Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut.

Pindaan Perlembagaan 1983 juga membuat cadangan untuk memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada Yang Di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri. Namun Rang Undang-Undang tersebut tidak dipersetujui oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Setelah hampir empat bulan krisis tersebut berlarutan, akhirnya krisis tersebut dapat diselesaikan secara berkompromi. Kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang Di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan nasihat ini mesti dipatuhi. Sepatutnya peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat tidak perlu dibuat pindaan sedemikian. Ini memandangkan belum ada catatan sejarah yang menunjukkan pengisytiharan darurat yang diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong secara tidak munasabah. Malah sekiranya hak mengisytiharkan darurat diserahkan kepada Perdana Menteri, mungkin akan berlaku penyelewangan kuasa untuk mempertahankan survival politik kepartian atau seumpamanya. Darurat hanya diisytiharkan apabila suasana keselamatan berada di tahap luar kawalan. Jika pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri mungkin berlaku penentangan daripada musuh-musuh politik khususnya parti-parti pembangkang, yang melihat pengisytiharan tersebut sebagai tidak wajar atau sebagai jalan penyelamat bagi pihak Perdana Menteri, tetapi dengan kuasa tersebut dikekalkan di bawah Yang Di-Pertuan Agong, seluruh rakyat yang telibat dengan perintah darurat akan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi.

Majlis Raja-Raja telah memainkan peranan yang besar dalam kisis tersebut. Episodnya bermula apabila Yang Di-Pertuan Agong enggan menandatangani Rang Undang-Undang berkenaan. Ini membuka jalan kepada Majlis Raja-Raja untuk terlibat dalam krisis ini, dengan mengadakan beberapa siri perundingan atau perbincangan antara parti pemerintah yakni kerajaan dengan Raja-Raja dalam majlis. Raja-Raja membawa hujah bahawa pindaan tersebut menyentuh kedudukan, kemuliaan Raja-Raja dan dengan itu perkara tersebut perlu diberi persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Keadaan ini memberikan gambaran bahawa pihak pemerintah seolah-olah sedang membuat persediaan untuk memperkukuhkan cengkaman kuasa eksekutif terhadap doktrin pengasingan kuasa serta semangatnya yang didokong oleh semangat Perlembagaam. Agak keterlaluan juga, apabila dalam penghujahan pindaan tersebut, kerajaan Perseketuan mendakwa bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak mempunyai sebarang kuasa dalam soal perkenan itu.

Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1984, satu lagi krisis bergolak yang melibatkan pergeseran politik antara dua parti utama orang-orang Melayu, iaitu antara UMNO dan PAS. Pergeseran tersebut berlaku agak luar biasa hingga membawa kepada hasrat untuk mengadakan debat secara terbuka untuk membuktikan kebenaran masing-masing. Berbagai-bagai tembelang musuh politik didedahkan oleh media massa. Cabaran untuk berdebat itu timbul apabila UMNO mendakwa PAS telah menuduh UMNO sebagai kafir, sedangkan dalam masa yang sama PAS menafikannya. PAS mendakwa UMNO sengaja membangkitkan isu tersebut untuk mengelakkan diri daripada dilihat sebagai keengganan UMNO untuk melaksanakan kehendak dan tuntutan Islam dalam pemerintahannya. Lantaran itu, Yang Di-Pertuan Agong dengan resolusi dari Majlis Raja-Raja telah membatalkan debat terbuka yang ingin diadakan. Kedua-dua parti politik tersebut akur dengan perintah dari Yang Di-Pertuan Agong. Majlis Raja-Raja berpendapat bahawa sekiranya cadangan perdebatan terbuka itu diteruskan, ia bakal mengundang perpecahan umat Islam yang lebih parah. Namun PAS berpendapat UMNO mendapat keuntungan politik dengan pembatalan tersebut.

Pembatalan debat tersebut menimbulkan pelbagai tanggapan, walaupun hakikatnya semua pihak menerima keputusan tersebut. Ada pihak yang berpendapat sepatutnya debat tersebut harus diteruskan supaya dapat menghentikan pertikaian tentang agama antara kedua-dua parti politik tersebut. Sewajarnya Majlis Raja-Raja menjadi penasihat dengan menetapkan peraturan atau kaedah perdebatan tersebut dilaksanakan dan bukan membatalkannya. Dalam isu sensitif seperti ini penyelesaian perlu diperolehi. Oleh kerana debat terbuka tersebut dibatalkan, sekali sekala isu kafir ditiup semula apabila menjelang musim pilihanraya umpamanya. Para pengikut dan masyarakat kebanyakan menjadi tidak tenteram dengan keadaan ini. Namun yang nyata bahawa Majlis Raja-Raja dalam masa-masa tertentu memainkan peranan yang sangat mustahak demi kesejahteraan umat.

Krisis seterusnya muncul lagi pada tahun 1993, yang melibatkan pindaan Perlembagaan tentang imuniti Raja-Raja. Krisis tersebut bermula dengan peristiwa yang menempa sejarah pada 10 Disember 1992. Pada hari itu, Dewan Rakyat telah meluluskan dengan sebulat suara usul yang dicadangkan oleh YAB Encik Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, mengenai Peristiwa Bukit Serene. Peristiwa itu dilaporkan, bahawa seorang guru di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Douglas Gomez telah dipukul oleh Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar Shah.

Sebenarnya berbagai-bagai perkara telah berlaku sebelum peristiwa bukit Serene. Antaranya ialah kejadian seorang penjaga gol pasukan hoki negeri Perak dipukul dan dicederakan oleh Tengku Bendahara Johor, Tengku Majid pada bulan Julai 1992. Semasa mudanya, Tengku Mahmud Iskandar juga dilaporkan pernah mengurung seorang anggota polis di dalam kandang anjing, menyebabkan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu terpaksa turun ke Johor Bahru untuk menyelesaikan masalah tersebut. Satu lagi kejadian yang tersebar luas suatu ketika dahulu, tentang seorang pemuda yang menjadi caddy golf dipukul hingga mati. Malah semasa menyokong usul Timbalan Perdana Menteri, salah seorang ahli Parlimen menyatakan bahawa Tengku Mahmud Iskandar, Sultan Johor bersama kerabatnya pernah melakukan berbagai-bagai penyiksaan serta penganiayaan dan penyiksaan tersebut sekurang-kurangnya sebanyak 23 kali. Namun, selama ini seluruh rakyat dan ahli keluarga mereka yang dianiaya terpaksa menelan kepahitan tersebut, kerana menganggap Raja serta kerabatnya adalah insan yang sangat dimuliakan di atas muka bumi ini.

Dengan pelbagai kejadian yang berlaku, akhirnya pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad nampaknya tidak tahan lagi dengan keadaan yang seumpama itu. Kita amat yakin tentu pihak kerajaan atau Perdana Menteri telah menerima terlalu banyak maklumat tentang salah laku dan penganiayaan Raja-Raja dan kaum kerabat mereka terhadap rakyat jelata. Oleh sebab itu Dr Mahathir mengumumkan bahawa Parlimen akan meminda Perlembagaan agar tindakan mahkamah boleh diambil ke atas Raja yang melakukan penganiayaan atau kezaliman ke atas sesiapa juapun. Ini ialah caranya untuk memastikan peristiwa seperti di Bukit Serene tidak berulang lagi.

Bahagian Perlembagaan yang akan dipinda ialah Perkara 181 (2), yang berbunyi;
“Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara tersebut telah meletakkan Raja di atas undang-undang dan memberikan imuniti atau kekebalan kepada Raja-Raja dari segi undang-undang. Justeru, usaha tersebut mendapat sokongan daripada seluruh media massa, khususnya akhbar-akhbar yang dimiliki oleh orang-orang parti kerajaan, mereka bersuara dengan lantang mengkritik perilaku sesetengah Raja dan menyokong syor untuk meminda Perlembagaan itu. Semua media menggambarkan bahawa pihak pemerintah tidak berhajat untuk menghapuskan sistem beraja dan menggantikan dengan sistem republik. Sebaliknya keperluan untuk membuat pindaan tersebut adalah untuk memastikan institusi Raja akan terus bertahan dan disanjung oleh seluruh rakyat jelata.

Akhirnya pada 18 Januari 1993, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat. Berbagai-bagai perkara disebut dan diungkitkan oleh Dr Mahathir dalam ucapannya itu. Dan pada 8 Mac 1993 sekali lagi beliau membahaskan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat. Beliau menjelaskan bahawa, Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Rang Undang-Undang tersebut telah dihantar kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Setelah diterima, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai dua pilihan iaitu, baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang tersebut dalam tempoh masa 30 hari atau baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang tersebut tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula atau diubahsuaikan oleh Parlimen. Yang Di-Pertuan Agong telah mengembalikan Rang Undang-Undang tersebut dengan cadangan beberapa pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula oleh Parlimen. Jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang tersebut, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Jika Yang Di-Pertuan Agong memperkenankannya maka ia menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sah. Jika tidak diperkenankan ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.

Pindaan tersebut, telah melibatkan perubahan yang besar dalam Perlembagaan kerana perubahan ini menyebabkan kewujudan sebuah institusi yang tidak pernah wujud sebelum ini, yakni Mahkamah Khas untuk Raja-Raja. Mahkamah Khas tersebut mengandungi lima orang hakim, serta membenarkan dua orang hakim yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja. Undang-undang berkenaan juga menyatakan bahawa kes-kes yang melibatkan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja boleh dibawa ke mahkamah tersebut. Selain pembentukan Mahkamah Khas, pindaan itu juga memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja untuk mengambil alih kuasa pengampunan yang dimiliki Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dalam keadaan melibatkan mereka sendiri atau permaisuri atau putera dan puteri mereka. Pindaan itu juga telah melonggarkan larangan kritikan terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Kritikan boleh dibuat dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri selagi tidak menganjurkan pemansuhan sistem beraja.

Melalui pindaan yang telahpun berlaku ini, muncul beberapa keraguan dan persoalan tentangnya. Pertama, terdapat beberapa sekatan dalam Perlembagaan itu sendiri. Antaranya, Perkara 38 (4) dalam Perlembagaan menyatakan bahawa ;
“Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja”.
Kemudian disokong oleh Perkara 159 (5) yang menyatakan bahawa pindaan Perlembagaan berkaitan Perkara 38 (dan perkara-perkara lain) tidak boleh dilukuskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Keraguan kedua timbul apabila kelihatan sebahagian besar Raja-Raja mengambil pendirian menentang pindaan Perlembagaan yang boleh menjejaskan kedudukan dan keistimewan diri mereka sendiri.

Persoalan juga timbul, mengapakah pihak pemerintah merempuh Perlembagaan untuk membuat pindaan Perlembagaan. Mengapa pihak pemerintah tidak membuat pungutan suara untuk memastikan pendirian rakyat terhadap masa depan Raja-Raja ataupun pindaan yang akan dibuat. Sekiranya keputusan pungutan suara tersebut menunjukkan bahawa pindaan tersebut perlu dilaksnakan maka pihak pemerintah boleh berunding dengan Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan persetujuan. Akan tetapi persetujuan majlis itu tidak pernah diperolehi, oleh sebab itu kesahihan pindaan tersebut dipertikaikan. Persoalan kedua, bagaimana pula keadaannya apabila seseorang Raja yang dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah serta dijatuhi hukuman, sedangkan baginda adalah seorang Raja yang sedang menduduki takhta. Adakah pula peruntukan untuk menurunkan baginda daripada takhta, kalau tidak mana mungkin seseorang penjenayah boleh menjadi Raja. Sekarang rakyat Malaysia menyebut kembali, bahawa sebenarnya pindaan Perlembagaan 1993 inilah yang telah memberikan ruang kepada Presiden DAP, YB Karpal Singh untuk mengambil tindakan mahkamah kepada Sultan Azlan Shah, Sultan Perak kerana telah mempekenankan perlantikan Menteri Besar yang baru, YB Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini.

Seterusnya, ditinjau pula krisis yang sedang melanda negeri Perak sejak akhir Januari 2009 yang lalu. Krisis ini bermula apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat dan seorang ADUN DAP telah mengisytiharkan meningggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong Barisan Nasional. Tindakan ketiga-tiga ADUN tersebut meninggalkan Pakatan Rakyat dikatakan telah dibeli oleh Barisan Nasional. Di pihak Pakatan Rakyat mereka merasakan perkara tersebut satu pengkhianatan kepada amanah rakyat yang telah memilih mereka sebagai ADUN dalam pilihan raya umum yang lalu. Sewajarnya mereka mengosongkan kerusi mereka dan diadakan pilihanraya kecil untuk dikembalikan hak kepada rakyat untuk memilih ADUN yang baru atau dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diadakan pilihanraya kecil Negeri Perak. Sementara pihak Barisan Nasional mendakwa bahawa mereka telah mempunyai majoriti dalam DUN Perak. Justeru Barisan Nasional melaui YAB Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak memohon perkenan Sultan Perak untuk mengadap bagi mengadakan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru. Baginda Sultan Perak, memberi perkenan mengadakan majlis tersebut dan sebelum itu telah menitahkan supaya jawatan Menteri Besar yang disandang oleh YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat dikosongkan. Maka berlangsunglah majlis angkat sumpah dan dengan itu, sekarang Perak mempunyai Menteri Besar yang baru. Pakatan Rakyat mendakwa ini satu bentuk rampasan kuasa yang tidak sah, dan Pakatan Rakyat tetap tidak akan berundur malah akan mempertahankan kuasa yang telah diberikan oleh rakyat.

Satu kecelaruan mula berlaku, bila Sultan Perak mempekenankan pelantikan Menteri Besar baru dari Barisan Nasional, sedangkan Perlembagaan Negeri Perak tidak menyatakan hak Tuanku Sultan untuk memecat mana-mana Menteri Besar. Undang-undang Tubuh Negeri Perak, menyatakan jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan apabila DUN dibubarkan, atau melalui undi tidak percaya di DUN ataupun apabila Menteri Besar sendiri meletak jawatan atau disebabkan oleh kematiannya. Keadaan semakin meruncing apabila Speaker DUN Perak, telah menggantungkan Menteri Besar dan enam Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) yang baru, masing-masing 18 bulan dan 12 bulan dari mengahadiri persidangan DUN. Dalam pada itu, pada 3 Mac 2009, Persidangan tergempar DUN Perak telah meluluskan tiga usul, iaitu usul untuk membubarkan DUN Perak, undi percaya kepada Menteri Besar dari Pakatan Rakyat dan mengesahkan tindakan Speaker DUN menggantung Menteri Besar serta enam EXCO Barisan Nasional.

Dalam krisis yang sedang bercelaru ini, agak malang apabila perebutan atau pertelingkahan politik telah membabitkan institusi yang mulia iaitu institusi raja. Tindakan degil kedua-dua belah pihak, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional telah mencalarkan imej Raja-Raja khususnya Tuanku Sultan Azlan Shah, Sultan Perak. Kegopohan Barisan Nasional melantik Menteri Besar dan rampasan kuasa ini boleh dielakkan jika mereka mengadakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Keadaan yang semakin meruncing ini amat sukar untuk ditenangkan, melainkan atas kebijaksanaan Tuanku Sultan membubarkan DUN seperti yang diharapkan kebanyakan rakyat dan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat perhitungan dalam pilihanraya yang baru. Sekiranya tidak dibubarkan juga DUN, sukar untuk kita meramalkan apakah episod-episod tanpa skrip yang akan berlaku seterusnya.

Kesimpulannya, daripada krisis-krisis yang dibincangkan di atas, telah menunjukkan bahawa istitusi Raja di negara kita masih relevan dan amat perlu dipertahankan. Namun sebagai manusia, makhluk Allah yang bersifat dengan serba kekurangan, tentu terdapat sedikit sebanyak cacat cela serta kelemahannya. Justerus sebagai rakyat yang bernaung di bawah payung Mahkota Tuanku, kita berharap kesemua pihak, Majis Raja-Raja, para pemerintah dan ahli politik serta rakyat jelata mesti tahu serta bijak memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mempertahankan institusi warisan bangsa tersebut. Tida gunanya sebelah pihak menunjukkan jaguh dan hero sedangkan institusi yang wajar dihormati akan jatuh tersungkur menutup lipatan sejarah agung yang silam.

Kita amat yakin bahawa seluruh rakyat Malaysia yang waras ingin melihat warisan kesultanan ini terus unggul dan disanjung, walaupun catatan sejarah pernah melakarkan ada pihak-pihak baik di pihak Raja-Raja mahupun dipihak rakyat dan pemerintah, pernah terlanjur kata juga berlaku sumbang dalam perbuatan serta tindakan, tetapi nawaitunya jelas institusi ini mahu dijaga dan dihargai. Tiada sekelumit pun di dalam dada mereka yang terlanjur itu untuk memusnah institusi Raja untuk disimpan di muzium sejarah dan digantikan dengan sistem republik. Tidak. Itu tidak mungkin, selagi Raja-Raja mahu menjadi Raja tentu sekali rakyat jelata yang ada mahu memberikan taat setianya. Namun, Sultan Azlan Shah, Sultan Perak pernah bertitah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980 :
Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil dan peluru meriam sekalipun digunakan, namun tiada satupun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya...

Dengan lafaz yang demikian daripada salah seorang Raja yang sedang berkuasa, maka di pihak Raja-Raja hendaklah memahami kata-kata tersebut. Seperkara lagi, Raja-Raja sebagai ketua negeri atau negara dan kerajaan yang mempunyai kuasa eksekutif perlu saling bekerjasama, menghormati batas sempadan kuasa masing-masing, berkompromi dalam perkara yang perlu demi memelihara keharmonian rakyat dan negara keseluruhannya. Tidak perlu ada pihak yang mendakwa pihak lain kejam dan zalim dan mendakwa pihaknya adil lagi mulia. Yang penting di mata rakyat institusi Raja akan dipelihara kemuliaannya. Sedarilah bahawa dengan adanya institusi inilah, maka negeri-negeri yang ada dalam persekutuan dapat menikmati kestabilan, kemakmuran serta keamanan, kerana Raja-Raja adalah lambang kedaulatan negara. Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah sebahagian daripada konsep kedaulatan yang telah wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka.


RUJUKAN
Abd Aziz Bari. (2001). Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abd Aziz Bari. (2002). Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Faizal Nazaruddin (6 Mac 2009). ‘Pertahankan Institusi Raja Melayu’. Kosmo (Kuala Lumpur)

Ishak Saat. (2007). Kajian Sosial untuk Kursus Persediaan Ijazah sarjana Muda Pendidikan [PISMP]: Institut Perguruan Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif Semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993.(8 Mac 1993) [atas talian]. http://www.pmo.gov.my/ucapan/?t=2003&b=all&m=s&p=mahathir. [22 Februari 2009]

Majlis Raja-Raja. (tiada tarikh). [atas talian]. http://ms.wikipedia.org/w/index.php?title=Majlis_Raja-raja&redirect=no. [01 Mac 2009]

Mohd Ayob Abd Razid (2 Mac 2009). ‘Institusi Raja Perkasa Kedaulatan Negara’. Berita Harian (Kuala Lumpur)

Mohd Fadzli Fadhilah. (27 Julai 2007). Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-211 Kesinambungan Raja Berpelembagaan. [atas talian]. http://www.bernama.com.my/v3/bm/index.php [22 Februari 2009]

Mohd Salleh Abas. (1985). Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhamed Suffian, H. P. Lee & F. A. Trindade. (1983). Perlembagaan Malaysia: Perkembangannya 1957 – 1977. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Nik Abd Rashid Nik Abd Majid. (1998). Satu Abad Majlis Raja-Raja Melayu. Kuala Lumpur : Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Open University Malaysia. (2008). HBSS4203: Sistem Pentadbiran Malaysia. Kuala Lumpur : Open Universty Malaysia.

Peranan Majlis Raja-Raja Dalam Sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia. (tiada tarikh). [atas talian]. http://www.malaysianmonarchy.org.my/portal_bm/rkl/rkla.php
[28 Februari 2009]

Shamsul Hamri Sulaiman. (2009). Perlembagaan Malaysia: Sumber Asas Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur : Federal Marshall Cavendish Education.

Suruhanjaya Reid. (tiada tarikh). [atas talian]. http://ms.wikipedia.org/wiki/Suruhanjaya_Reid [28 Frbruari 2009]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan