Ahad, 17 Januari 2010

Sejarah Ketamadunan Manusia

(a) Berikan takrif tamadun berdasarkan pandangan beberapa sarjana

Pengenalan

Tamadun Yunani dan Tamadun Islam adalah antara tamadun utama dunia yang telah memberikan sumbangan ke atas tamadun-tamadun lain yang sezaman dengannya. Terdapat juga sumbangan tamadun utama tersebut yang berjaya melepasi zamannya serta dapat pula diterima sebagai sumbangan yang bersifat sejagat oleh tamadun lain. Sebagai contoh tokoh-tokoh falsafah Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle telah memberikan sumbangan yang menjadi mercu kehebatan pemikiran dan falsafah tamadun Yunani. Al-Kindi, Al-Biruni dan Ibnu Sina pula merupakan tokoh-tokoh yang menjadi kebanggaan tamadun Islam kerana mereka telah berjaya meninggalkan sumbangan dalam bidang sains dan perubatan, malah karya-karya mereka kemudiannya telah menjadi rujukan utama perkembangan kedua-dua bidang tersebut di Eropah.

Sumbangan besar kedua-dua tamadun Yunani dan Islam adalah merupakan prinsip-prinsip asas bagi kelahiran dan kemunculan tamadun yang benar-benar mantap pada zaman itu dan mereka yang hidup lebih awal daripadanya. Maknanya memang terdapat kesinambungan atau pertalian antara satu tamadun dengan tamadun yang lain, sehingga memungkinkan perkembangan yang dibawa oleh tamadun itu dirasai dan dikongsi bersama oleh manusia sejagat. Melalui persamaan inilah yang menjadikan takrif dan konsep tamadun dapat ditanggapi daripada sudut yang hampir sama walaupun mempunyai sedikit perbezaan latar belakangnya. Justeru, adalah lebih baik diteliti pula beberapa takrif tamadun supaya gambarannya lebih jelas.

Takrif Tamadun

Tamadun adalah berasal daripada bahasa Arab iaitu mudun dan mada’in. Madana juga bererti tamadun yang membawa maksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Mengikut Ghazali Basri dalam Ghazali Darusalam (2001), madana bererti membangunkan dan memodenkan sesuatu. Tamadun juga boleh dikaitkan dengan hadharah yang bermaksud diam di bandar, tahu adab sopan dan manis tingkah laku. Menurut Marzuki Hj Mahmood dalam Mohd Liki Hamid (2006), secara umumnya hadharah adalah gambaran bagi kehidupan secara menetap yang berada pada tahap yang maju.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan yang sama pengertiannya dengan tamadun ialah civilization. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin iaitu civitas yang bererti bandar. Mengikut A.S Hornby dan E.C Pornwell dalam Ghazali Darusalam (2001), civilization membawa maksud meningkatkan pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains, teknologi, politik dan moral. Samuel Hutington dalam Esa Khalid dan Mohd Azhar Abd Hamid (2004) menyatakan, civilization diertikan sebagai budaya tinggi yang membezakan manusia daripada haiwan yang merupakan satu entiti yang penting dalam budaya dan melahirkan perbezaan dalam isu polisi, hak manusia, migrasi, dan perdagangan. Penggunaan perkataan tersebut mula digunakan dan terjelma dalam buku-buku Inggeris pada kurun ke-19 masihi.

Tamadun dalam bahasa Melayu pula membawa erti kebudayaan, kemajuan dan peradaban. Kamus Dewan (1998), perkataan tamadun merujuk kepada suatu tahap pemikiran tinggi, negara dan penduduknya mencapai taraf pemikiran tinggi, budaya hidup orang-orang dan keadaan pemikiran yang halus. Namun Esa Khalid dan Mohd Azhar Abd Hamid (2004) menjelaskan, tamadun ialah pencapaian tinggi oleh manusia dalam apa jua aspek kehidupan yang baik. Pencapaian tersebut termasuk kemajuan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kepercayaan, sistem nilai dan sains serta teknologi. Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa kayu ukur yang digunakan untuk mentakrifkan tamadun sangatlah luas dan berbagai-bagai. Malah kadang-kadang keadaan ini menjadi rencam dan kompleks.

Justeru, berikut ini dinukilkan semula pandangan-pandangan tokoh-tokoh terkemuka Barat, dan Islam mengenai perspektif masing-masing terhadap tamadun mereka. Mohd Liki Hamid (2006), memetik pandangan Ibnu Khaldun, Muhammad Rasyid Redha, Sayyid Qutb dan Said Hawa, seperti berikut :

Menurut Ibnu Khaldun , tamadun ialah kemuncak pembangunan yang amat berkait dengan peningkatan kemewahan, keindahan suasana serta minat kepada pelbagai aspek industri yang boleh mempertingkatkan kualitinya. Hal tersebut merangkumi keperluan kepada bahan-bahan makanan, pakaian, peralatan rumah tangga dan seumpamanya.

Bagi Muhammad Rasyid Redha, agama adalah asas bagi tamadun, beliau berhujah bahawa peningkatan unsur-unsur maknawi akan mendorong kebangkitan fizikal. Sebagai rasionalnya semua tamadun di dunia ini dibangunkan berasaskan kepada kepercayaan agama. Peningkatan atau kehancuran sesuatu tamadun amat bergantung kepada keteguhan pegangan agama para pengikut ataupun sebaliknya.

Seorang lagi tokoh Islam yang terkenal, Sayyid Qutb menyatakan bahawa tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral yang dianjurkan oleh Islam. Sayyid Qutb juga menegaskan bahawa manusia bertamadun ialah manusia yang telah membebaskan dirinya daripada mana-mana kuasa atau pengaruh makhluk, dan hanya berpandukan dan menurut kuasa Maha Pencipta.

Said Hawa pula memberikan satu pandangan mengenai takrif tamadun, yakni tamadun terbahagi kepada dua kategori utama iaitu tamadun Islam dan tamadun jahiliah. Tamadun Islam membawa maksud segala aspek kemajuan yang tertegak di atas kebudayaan Islam dan hasilnya relevan dengan kebudayaan itu. Manakala tamadun jahiliah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral yang menjadi pegangan masyarakat.

Seterusnya tokoh-tokoh barat mentakrifkan tamadun seperti berikut. Menurut Arnold Toynbee dalam Esa Khalid & Mohd Azhar Abd Hamid (2004), faktor yang terpenting bagi sesebuah tamadun itu bertahan dan kekal ialah agama dan sistem nilai yang dapat dipertahankan oleh sesebuah masyarakat itu. Tamadun yang dibina tanpa memiliki roh agama akan hancur dan musnah. Pandangannya banyak dipengaruhi oleh idea-idea Ibnu Khaldun. Seterusnya Mohd Liki Hamid (2006), merumuskan pandangan Arnold Toynbee bahawa tamadun ialah suatu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambahkan hasil pengeluaran atau produktiviti berdasarkan empat elemen utama iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni. Seterusnya, perkembangan tamadun dapat diperhatikan melalui tiga fasa iaitu awal, semasa dan tamadun berakhir dengan kejatuhan.

Bagi Edward B. Taylor dalam Mohd Liki Hamid (2006), tamadun ialah satu rangkaian rumit yang merangkumi aspek-aspek keilmuan, kepercayaan, kesenian, nilai-nilai moral, perundangan, tradisi, bakat dan kebolehan yang dihasilkan oleh masyarakat. Edward B. Taylor juga merumuskan bahawa untuk mencapai ketamadunan, manusia perlu mencapai kemajuan dalam hidup mereka dari segi kemunculan bandar-bandar, penciptaan skrip-skrip sebagai media perhubungan mental dan tugu peringatan seperti tempat ibadat serta istana-istana.

Seterusnya J.K. Fiebleman merumuskan tamadun sebagai kepandaian mengeksploitasi material oleh masyarakat. Ini menggambarkan bahawa keupayaan masyarakat memproses material yang ada untuk menjadikannya barang baru demi memenuhi sesuatu keperluan. Sementara Oswarld Spengler secara ringkas menyebutkan bahawa tamadun Barat lebih mementingkan kebendaan, kerana kebendaan itu yang membawa kepada kemajuan.

Sebagai akhirnya saya turut memetik pendapat tokoh-tokoh Melayu mentakrifkan perkataan tamadun. Menurut Wan Hashim Wan Teh dalam Mohd Liki Hamid (2006), tamadun ialah pencapaian tinggi pemikiran ahli masyarakat dalam aspek budaya dan kesusasteraan, agama dan moral, pelbagai aspek kesenian, tatasusila iaitu adab, budi pekerti, serta organisasi politik atau kemampuan mewujud dan menguruskan sesebuah kerajaan yang demokratis. Termasuk dalam konsepsi tamadun ialah kemajuan dalam pengurusan ekonomi dan perdagangan serta peningkatan dalam teknologi yang berkemampuan meningkatkan keselesaan hidup manusia. Sementara Abu Bakar Hamzah pula menjelaskan tamadun ialah sesuatu yang lahir dan berkembang bersama-sama dengan kehidupan manusia dan perkembangan yang lahir itu, sama ada sesuatu yang berupa abstark atau yang berupa material.

Kesimpulannya, pentakrifan tamadun iaitu satu bentuk pencapaian kehidupan manusia dalam aspek pemikiran, rohaniah dan jasmaniah. Ia meliputi kehidupan yang diatur oleh hukum dan mempunyai tingkat kebudayaan yang tinggi.Tamadun merujuk kepada tahap kemajuan yang tinggi dan mampu dicapai oleh sekelompok manusia yang sudah meninggalkan tatacara hidup nomad. Tamadun terbentuk secara alami atau semulajadi ekoran daripada perkumpulan atau interaksi sekelompok manusia. Melalui interaksi tersebut timbullah tuntutan manusia untuk memenuhi desakan dan keperluan hidupnya melalui interaksi dengan alam, kreativiti manusia dalam memenuhi tuntutan, persaingan manusia serta peminjaman kepakaran.

(b) Huraiakan kemunculan sesuatu tamadun daripada perspektif :
(i) Petempatan dan Perbandaran
(ii) Organisasi Sosial
(iii) Kepercayaan dan Agama
(10 markah)

Kemunculan Sesuatu Tamadun

Tamadun ialah keadaan masyarakat manusia telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta pemikiran yang tinggi. Masyarakat yang dianggap mula bertamadun apabila wujud hubungan penyesuaian antara manusia dengan alam sekelilingnya. Masyarakat yang bertamadun mempunyai bahasa dan tulisan, sistem kepercayaan dan agama, mempunyai petempatan tetap di bandar-bandar serta pertumbuhan bandar, mempunyai organisasi sosial dan pengkhususan sosial, sistem kerajaan dan pemerintahan serta mempunyai teknologi. Justeru kemunculan sesuatu tamadun dunia berdasarkan tiga ciri utama, iaitu petempatan dan perbandaran, organisasi sosial serta kepercayaan dan agama.

i. Petempatan dan Perbandaran

Antara ciri kemunculan tamadun dunia ialah kewujudan sebuah petempatan yang kekal yang didiami oleh sekumpulan manusia yang membentuk sebuah komuniti atau masyarakat yang tersusun. Kewujudan petempatan kekal adalah penting bagi perkembangan sesebuah tamadun, kerana melalui petempatan yang kekal masyarakat akan dapat menumpukan kepada kegiatan pertanian, sosial, ekonomi dan politik dengan lebih cekap dan bersistematik. Kawasan yang dipilih untuk petempatan kekal kebiasaannya adalah kawasan yang mempunyai sumber makanan yang menjadi keperluan kehidupan mereka.

Lembah-lembah sungai biasanya dipilih sebagai petempatan kekal, kerana tanah di kawasan tersebut sangat subur untuk kegiatan pertanian, kemudahan bekalan air untuk aktiviti pertanian dan penternakan, sungai sebagai bekalan sumber perikanan, dan sebagai kemudahan bagi perhubungan serta pengangkutan. Di samping itu tanah liat atau lumpur yang banyak terdapat di kawasan lembah sungai telah menyediakan bahan asas untuk dijadikan batu-bata bagi membina rumah, atau peralatan rumah seperti kendi, mangkuk, pinggan, belanga, pasu dan tempayan. Kawasan berhampiran sungai juga adalah lebih selamat, kerana jika diserang dari arah darat, mereka mudah melarikan diri. Keadaan ini telah mendorong kewujudan Tamadun Mesopotamia, Tamadun Indus, Tamadun Shang, dan Tamadun Mesir.

Tamadun Mesopotamia yang wujud antara tahun 3500 SM hingga 2000 SM, terletak di sebuah lembah antara Sungai Tigris dan Euphrates. Lembah Sungai Tigris dan Euphrates sangat luas, rata serta subur membolehkan penduduknya mengusahakan pertanian secara besar-besaran. Selain itu Sungai Tigris dan Euphrates turut membekalkan sumber air yang sangat diperlukan oleh manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Mesopotamia bermakna ‘Lembah antara dua sungai’. Petempatan di Mesopotamia diasaskan oleh orang Sumeria dan diteruskan oleh orang Babylonia dan diikuti oleh orang-orang Assyria. Petempatan di sini wujud dalam bentuk kampung-kampung pertanian untuk tempoh beratus-ratus tahun sebelum berkembang menjadi bandar. Bandar-bandar yang dilahirkan oleh Tamadun Sumeria ialah Ur, Lagash, Uruk dan Kish. Bandar-bandar Ur, Assur dan Nippur dikategorikan sebagai bandar-bandar metropolis yang dibina secara terancang.

Terdapat sebanyak 13 buah bandar di Mesopotamia pada zaman dinasti awal. Babylon, Uruk dan Lagash adalah antara bandar yang paling besar dan utama. Setiap bandar mempunyai pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan dan kemegahan sesebuah negara kota. Kota Babylon mempunyai lapan pintu gerbang dan setiap pintgu gerbang dinamakan bersempena nama tuhan-tuhan mereka.

Tamadun Indus bermula apabila masyarakat di bahagian barat laut India yang sebelumnya menjalani kehidupan secara nomad iaitu berpindah-randah serta menyara diri dengan memburu dan mengutip makanan telah mendirikan pertempatan kekal di sepanjang Sungai Indus. Setelah tinggal menetap, mereka terlibat dalam kegiatan penternakan dan pertanian. Menurut Yasir Mansor (2009), kegiatan pertanian telah dikesan di dataran lanar Sungai Indus sejak 3000 SM. lagi. Kehadiran Sungai Indus menjadikan kawasan Lembah Indus sebagai kawasan yang sangat subur dan sesuai untuk kegiatan pertanian, penternakan dan petempatan. Oleh yang demikian hasil pertanian telah meningkat dan dapat menampung bilangan penduduk yang kian bertambah hasil daripada kebijaksanaan penduduk di kawasan tersebut menyesuaikan diri dengan alam sekitar. Perkembangan petempatan yang berlaku di Lembah Indus dinamakan oleh ahli sejarah sebagai tahap “Kebudayaan Harappa Awal”

Menurut Yasir Mansor (2009), Tahap Kebudayaan Harappa Awal ini bermula lebih kurang pada tahun 3000 SM dan berterusan sehingga tahun 200 SM. Perkembangan petempatan pada tahap ini meliputi seluruh kawasan Tamadun Lembah Indus, iaitu dari Wilayah Baluchistan di barat hinggalah ke Rajashtan di timur dan dari Punjab di utara hinggalah ke Kathiawar di selatan. Kawasan ini meliputi keluasan 800 juta kilometer persegi dan terdapat beratus-ratus tapak petempatan di kawasan ini. Antara petempatan terawal di Lembah Indus terletak di Amri, Kot Diji, Rehman Deri, Kalibangan, Banawali dan Mithatal. Kesemua petempatan ini bermula sebagai kampung-kampung kecil dan sebahagiannya telah berkembang menjadi bandar besar yang terancang. Tiga buah bandar paling besar yang mempunyai pengaruh sejarah yang paling kuat di Lembah Indus ialah Mohenjo-Daro, Harappa dan Kalibangan. Mohenjo-Daro terletak di barat Sungai Indus, Kota Harappa pula terletak jauh di utara sementara Kota Kalibangan terletak di timur Lembah Indus. Bandar-bandar besar tersebut walaupun terletak amat jauh antara satu sama lain tetapi mempunyai reka bentuk yang hampir sama, yang membuktikan bandar-bandar tersebut dibina dan dimajukan secara terancang.

Antara penemuan yang menjadi bukti bandar-bandar tersebut dibina secara terancang ialah kewujudan sebuah kubu dalam kota dan tembok (dinding) di luar kota, kawasan kolam permandian yang luas, bangunan-bangunan yang seragam dan tersusun, gudang-gudang besar bagi menyimpan bijirin, sistem perparitan yang tertutup di sepanjang jalan dan lain-lain lagi. Menurut Afifah Abu Yazid (2003), kematangan penghuninya ditunjukkan melalui keupayaan mereka dalam aspek perancang bandar, pembinaan kediaman, saliran, hasil pertanian, tulisan, cop mohor, dan sebagainya.

Tamadun Shang yang diasaskan oleh Dinasti Shang wujud pada tahun 1500 SM, juga memilih kawasan lembah sebagai pusat penempatannya. Petempatan masyarakat Shang bermula di kawasan yang sangat subur di Lembah Sungai Kuning atau Sungai Hwang Ho di utara negara China. Kesuburan tanah lanar telah membantu kepesatan kegiatan pertanian apabila penduduknya semakin ramai. Oleh itu kawasan-kawasan petempatan tersebut telah berkembang menjadi bandar-bandar metropolis. Antaranya Kota Shang, Anyang, Loyang dan Chang An. Anyang ibu Kota Dinasti Shang muncul kira-kira 1800 SM dan kekal sebagai bandar tertua di negara China.

Selain daripada Tamadun Mesopotamia, Tamadun Indus dan Tamadun Shang, Tamadun Mesir juga terletak di kawasan berhampiran sungai. Tamadun Mesir terletak di delta Sungai Nil. Orang-orang Mesir percaya bahawa tanah air mereka adalah ‘hadiah daripada Sungai Nil’, kerana lebih daripada 90% daripada negara Mesir adalah merupakan kawasan gurun yang tidak subur. Namun sebahagian besar daripada penduduk Mesir tinggal di sepanjang lembah dan delta Sungai Nil dapat menjalankan kegiatan penanaman dua atau tiga kali pada satu musim. Sebelum tahun 3000 SM, telah berlaku revolusi pertanian yang pesat di Mesir menyebabkan petempatan-petempatan kecil telah berkembang menjadi bandar-bandar besar. Akhirnya muncul negara kota seperti Memphis, Thebes, Karnak, Akhetaton, dan bandar Hatep Senousert.

ii. Organisasi Sosial

Masyarakat yang bertamadun mempunyai organisasi sosial yang tersusun. Pertambahan bilangan penduduk, kepesatan kegiatan ekonomi akan turut diimbangi dengan pengkhususan kerja dan pembahagian sosial masyrakat, seterusnya mewujudkan golongan-golongan yang berbeza dalam masyarakat dari segi peranan, kedudukan atau kekayaan. Menurut Yasir Mansor (2009), akan ada golongan pegawai tinggi dan pekerja biasa, golongan bangsawan dan hamba, golongan pedagang yang kaya dan petani miskin, golongan panglima dan tentera berjalan kaki, golongan pendeta dan hamba rumah suci. Semua ini mewujudkan pengelasan masyarakat yang kompleks dan saling berkaitan atau bergantungan, yang disebut pembahagian masyarakat atau organisasi sosial.

Terdapat tiga kelas masyarakat yang utama di Mesopotamia dan Mesir. Kelas yang tertinggi disebut sebagai amelu atau pemerintah yang terdiri daripada raja, ketua pendeta, ketua tentera serta golongan bangsawan. Kelas kedua ialah muskhinu atau kelas pertengahan terdiri daripada rakyat bebas seperti petani, pedagang dan artisan. Manakala kelas yang paling bawah sekali ialah hamba atau tawanan perang.

Bagi masyarakat Mesir, Firaun diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam hierarki masyarakat Mesir kerana mereka dianggap sebagai anak tuhan. Di bawah Firaun ialah golongan bangsawan, rahib, tuan tanah dan juru tulis. Golongan bangsawan dianggap penting kerana mereka membantu Firaun dalam pentadbiran sebagai gabenor daerah, pemungut cukai dan pegawai istana. Lapisan seterusnya ialah golongan rakyat bebas yang terdiri daripada petani, pedagang dan artisan. Para petani menyerahkan sebahagian hasil mereka kepada kerajaan sebagai cukai. Sementara hamba abdi merupakan golongan terendah, mereka terdiri daripada tawanan perang dan orang yang dijual beli. Kebanyakan hamba abdi bekerja di projek pengairan, kuari kerajaan dan kuil. Namun terdapat mobiliti sosial dalam masyarakat Mesir, yakni seseorang yang berbakat boleh bergerak dari peringkat bawah ke peringkat yang lebih tinggi.

Tamadun Indus tidak meninggalkan maklumat yang jelas tentang organisasi sosialnya. Menurut Yasir Mansor (2009), kemusnahan Tamadun Indus secara ‘tiba-tiba’ tanpa meninggalkan sebarang catatan atau rekod bertulis telah menyukarkan ahli sejarah untuk mengkaji sistem sosial mereka. Jumpaan arkeologi membayangkan masyarakat di Lembah Indus terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan atasan dan golongan bawahan. Golongan atasan terdiri daripada pendeta dan pedagang manakala golongan bawahan pula terdiri daripada petani, buruh dan hamba. Pendeta merupakan kelas atasan yang utama sangat berkuasa dan berpengaruh dalam mengawal aktiviti masyarakat khasnya yang melibatkan kegiatan keagamaan. Sejarawan berpendapat bahawa tampuk pemerintahan dipegang oleh pendeta kerana tiada bukti tentang kewujudan sistem beraja di Lembah Indus.

Dalam struktur sosial masyarakat Indus, golongan pendeta mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang keagamaan dan pemerintahan, mereka mentadbir dan menguruskan tanah pertanian yang luas. Tanah pertanian tersebut dimiliki oleh kuil. Hasil pertanian tersebut dikumpulkan dan diagihkan di bawah pengawasan Pendeta. Golongan ini juga bertanggungjawab menggubal, melaksanakan peraturan dan undang-undang. Manakala golongan bawahan pula menjalankan aktiviti pertanian dan menyalurkan sebahagian daripada hasil tersebut kepada pihak berkuasa kuil. Hamba dan buruh turut menjalankan kerja seperti menjaga kebersihan bandar, membina tembok dan membina terusan.

Terdapat sedikit perbezaan sistem sosial bagi masyarakat Yunani, kerana merka menjalani kehidupan secara berkelompok dalam kota-kota mereka yang mempunyai sistem sosial yang berbeza-beza antara satu sama lain. Dua golongan yang mempunyai kesan yang penting ke atas kehidupan sosial msyarakat Yunani ialah masyarakat Athens dan Sparta. Masyarakat Athens terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan bangsawan dan golongan rakyat biasa. Golongan rakyat biasa pula terdiri daripada golongan warganegara dan bukan warganegara. Golongan bangsawan memiliki kawasan tanah yang terbaik serta menguasai bidang politik sementara golongan petani yang gagal membayar hutang akan menjadi hamba kepada golongan bangsawan. Bagi masyarakat Sparta pula, sistem sosialnya terbahagi kepada tiga golongan, iaitu golongan peer yang terdiri daripada pemerintah dan pemilik tanah, golongan perioeci iaitu rakyat bebas yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perusahaan, dan golongan ketiga iaitu golongan helot iaitu hamba abdi dan petani yang mengerjakan tanah golongan peer.

Masyarakat Rom juga terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan patrician, plebeian dan golongan hamba. Golongan patrician ialah golongan bangsawan yang merupakan pemilik tanah yang kaya, mereka memonopoli jawatan konsul dan keahlian senat. Golongan plebeian pula ialah rakyat jelata yang terdiri daripada petani kecil, artisan dan peniaga. Mereka merupakan golongan yang terbesar di Rom, di samping itu dipaksa membayar cukai yang tinggi serta perlu berkhidmat dalam angkatan tentera. Golongan hamba dalam masyarakat Rom tidak jauh bezanya dengan golongan hamba dalam masyarakat Mesopotomia, Indus, Mesir dan sebagainya. Mereka merupakan golongan yang paling rendah tarafnya dan merupakan bekas tawanan perang, yang bekerja di ladang-ladang, kilang atau menjadi pembantu rumah kepada golongan atasan.
Seterusnya sistem sosial dalam msyarakat Melayu terbahagi kepada dua kelas utama, iaitu kelas pertama, golongan pemimpin yang terdiri daripada raja serta kaum bangsawan. Kelas kedua pula terdiri daripada rakyat jelata yang menjadi hamba kepada golongan kelas pertama. Golongan pemerintah terdiri daripada raja, kaum kerabat diraja, kaum bangsawan seperti pembesar negara dan ahli agama seperti pendeta. Kerabat diraja tidak memerintah kerajaan tetapi mereka menerima pelbagai keistimewaan sosial seperti yang diterima oleh golongan raja. Golongan yang diperintah pula terdiri daripada rakyat biasa ataupun hamba. Rakyat biasa terbahagi kepada rakyat tempatan dan orang asing. Rakyat tempatan ialah penduduk asal sesebuah kerajaan, mereka menjadi pengikut pembesar di peringkat kerajaan pusat atau penyokong pentadbir di jajahan takluk. Sementara orang asing terdiri daripada orang luar yang datang ke negeri-negeri Melayu sebagai pedagang, pendakwah atau penuntut ilmu yang merantau dan biasanya mereka bukan orang Melayu. Golongan hamba pula terbahagi kepada hamba raja yang tinggal di istana, hamba berhutang iaitu orang yang gagal membayar hutang dan menjadi hamba untuk jangka masa tertentu sebagai ganti kepada hutang, dan hamba biasa iaitu orang yang menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun temurun.

Kesimpulannya sistem sosial masyarakat tamadun awal kebanyakan berbentuk piramid yang mempunyai susun lapis. Secara umumnya lapisan yang paling atas ialah raja atau pemerintah, diikuti kaum bangsawan, golongan pertengahan dan lapisan yang paling bawah sekali ialah hamba. sistem sosial dalam masyarakat tamadun awal secara amnya adalah hampir sama antara satu tamadun dengan tamadun yang lain.


iii. Kepercayaan dan Agama

Unsur kepercayaan dan ketuhanan merupakan suatu unsur yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan sekelian masyarakat manusia, sama ada yang telah mencapai tamadun atau sebaliknya. Nilai-nilai kepercayaan dan agama merupakan satu ciri yang penting dalam kemunculan sesuatu tamadun seperti yang terdapat dalam Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir, Tamadun Indus dan Tamadun Hwang Ho. Golongan pemerintah bagi tamadun-tamadun tersebut memberi keutamaan dan tumpuan yang lebih dengan memperuntukan perbelanjaan yang tinggi untuk perkara-perkara keagamaan. Sebagai contoh di Mesopotamia, pendeta telah membina bangunan ziggurat di puncak-puncak bukit supaya mereka senang berhubung dengan tuhan mereka.

Pemerintah pada zaman purba di mana-mana pusat tamadun dunia telah mengaitkan diri mereka dengan unsur-unsur ketuhanan. Umpamanya, golongan Firaun di Mesir percaya bahawa mereka adalah anak Tuhan Matahari. Pemerintah China pula mempercayai bahawa mereka menerima mandat daripada syurga untuk memerintah. Begitulah halnya dengan masyarakat di Lembah Indus yang meletakkan kedudukan pendeta lebih mulia daripada raja mereka.

Masyarakat tamadun awal mempercayai kemunculan banyak tuhan. Sistem keperacayaan mereka adalah bersifat politeisme dengan menjadikan unsur alam semulajadi sebagai sesuatu asas untuk disembah. Ini adalah sebahagian daripada pengaruh hubungan manusia dengan alam sekelilingnya. Kepercayaan terhadap pengaruh alam ini mempengaruhi setiap aspek kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang pertanian, masyarakat purba akan memuja unsur alam untuk mendapatkan hasil yang banyak. Ekoran daripada itu telah membawa kepada penyembahan tuhan-tuhan alam atau patung-patung berhala untuk mendapatkan perlindungan atau untuk menjauhkan malapetaka.

Bagi orang-orang Sumeria di Mesopotamia, mereka menganut agama yang bersifat politiesme, mereka menyembah banyak tuhan atau dewa-dewi yang mewakili alam sekeliling. Mereka percaya dewa-dewi boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan, dan mereka juga percaya bahawa raja mereka adalah merupakan wakil tuhan di dunia ini. Orang-orang Sumeria berpegang teguh bahawa nasib negara, rakyat dan kejadian alam ditentukan oleh dewa-dewi yang mereka sembah itu. ‘Anu’ (tuhan langit), ‘Enlil’ (tuhan bumi) dan ‘Enki’ (tuhan air) ialah tuhan utama mereka. Di samping itu Dewa Dumumi dan Dewa Inanna ialah tuhan mereka yang menentukan musim bunga dan musim salji.

Masyarakat Sumeria mempunyai satu kepercayaan tentang kematian. Bagi mereka jika mayat tidak dikebumikan, si mati akan bangkit merayau-rayau di lorong-lorong untuk mencari makanan. Oleh itu, mayat yang ditanam akan dibekalkan dengan makanan yang mencukupi. Mayat lelaki dibekalkan dengan kail dan senjata, manakala mayat perempuan akan dibekalkan dengan cermin yang diperbuat daripada tembaga. Barang-barang lain seperti kereta kuda, barang perhiasan dan barang milik si mati turut dibekalkan bersama. Sekiranya si mati ialah daripada golongan bangsawan, barang-barang yang dibekalkan untuknya termasuklah orang gaji mereka yang masih hidup. Orang gaji itu turut ditanam bersama-sama di bawah lantai rumah supaya roh si mati tidak berasa diketepikan malah sentiasa dapat bersama dengan keluarganya.

Masyarakat Mesir percaya bahawa Firaun adalah sebagai anak tuhan, di samping mempercayai seluruh alam dikuasai oleh tuhan-tuhan yang menentukan hidup dan mati segala benda yang wujud di atas muka bumi ini. Antara tuhan masyarakat Mesir ialah, Aman-Re (Tuhan Matahari), Seth, Isis (Tuhan Bulan), Osiris (Tuhan Sungai Nil), Thoth, Horus, Bast, Anubis, Khnum, Nepthys, Nut (Tuhan Langit), Shu (Tuhan Udara) dan Ptah. Masyarakat Mesir juga menyembah tuhan tanaman dan tuhan binatang. Tuhan yang penting serta diagung-agungkan oleh mereka ialah Amon-Re dan Osiris, manakala mereka juga percaya Seth ialah tuhan jahat yang selalu membawa kemusnahan kepada tanaman.
Masyarakat Mesir mempercayai kehidupan di alam lain selepas kematian. Oleh itu mereka mengawet mayat (mumia) untuk menghalang dari menjadi reput. Mereka yakin tuhan Osiris akan memberi nyawa di akhirat selepas seseorang itu mati. Mayat si mati akan ditanam bersama-sama dengan makanan, pakaian, perkakas rumah dan barang kemas supaya hidup mereka akan terus bahagia di akhirat kelak. Selain itu, mayat juga dibekalkan dengan patung-patung kecil dan model-model kapal sebagai lambang kekayaan yang dimiliki di akhirat. Lembaran-lembaran papyrus bergulung yang ditulis mentera tertentu ditanam bersama supaya rohnya tidak menceritakan kejahatan seseorang semasa tuhan akhirat mengadilinya. Kadang-kadang ilmu sihir, buku-buku nyanyian dan puisi ditanam bersama untuk menjadi hiburan kepada si mati di akhirat kelak.

Masyarakat di Lembah Indus juga percaya kepada banyak tuhan atau dewa-dewi. Salah satu tuhan yang mereka sembah ialah Tuhan Bermuka Tiga iaitu Dewa Siva. Bagi masyarakat Lembah Indus, dewi yang paling utama ialah Dewi Alam atau Tuhan Ibu. Menurut Yasir Mansor (2009), bilangan patung yang banyak dijumpai di tapak-tapak arkeologi Harappa dan Mohenjo-Daro menunjukkan bahawa penduduk di Lembah Indus menyembah pokok-pokok, binatang, dan matahari . Selepas kedatangan orang-orang Aryan pada sekitar tahun 1500 SM. masyarakat Lembah Indus mula menerima beberapa kepercayaan baru. Sistem kepercayaan dan keagamaan orang Aryan mula mengalami proses asimilasi dengan diterima oleh orang-orang tempatan dari bangsa Dravidia. Menurut Afifah Abu Yazid (2003), Agama Hindu terbentuk hasil campuran antara kepercayaan orang-orang Indus dengan orang-orang Aryan dari Asia Tengah. Perkataan Hindu berasal daripada perkataan Sindhu iaitu nama tempat permulaan Tamadun India di Lembah Sungai Indus.

Selain daripada perkataan Hindu, agama ini turut mempunyai beberapa nama lain yang mempunyai kaitan dengannya. Antara nama itu adalah Sanataradharma yang membawa erti agama yang abadi, Vaidika Dharma iaitu agama yang mengikut kitab-kitab Veda dan juga Brahmanisme yang merujuk kepada kepercayaan asas bahawa dunia ini bermula dengan wujudnya ‘roh dunia’ yang agung yang bergelar Brahman. Penganut agama Hindu berpegang kepada konsep Trimurti iaitu tiga penjelmaan yang bermaksud tiga dewa jelmaan tuhan; Tuhan Brahma atau Dewa Pencipta, Tuhan Vishnu atau Dewa Pelindung dan yang ketiga Tuhan Siva atau Dewa Pemusnah. Di samping itu agama Hindu mempunyai beberapa sumber yang menjadi rujukan dan panduan para penganutnya mempraktikan ajaran yang sepatutnya diamalkan. Antara sumber rujukan tersebut adalah kitab Veda, Upanisyad, epik Mahabrata, Ramayana dan Upa Purana.

Konsep Trimurti serta sumber rujukan yang pelbagai telah menyebabkan agama Hindu berpecah kepada beberapa mazhab, antaranya mazhab Saivisme, Vaishnavisme, Shaktisme, Ganapatisme, Kumarisme, Saumarisme dan Smartisme. Menurut Afifah Abu Yazid (2003), dua mazhab terbesar yang mendapat tempat dihati pengikut ajaran Hindu ialah Saivisme dan Vaishnavisme. Penganut mazhab Saivisme menyembah Dewa Siva manakala penganut mazhab Vaishnavisme pula menyembah Dewa Vishnu.

Hinduisme merupakan satu sistem kepercayaan dan upacara, lebih berbentuk satu cara kehidupan dan tidak cenderung kepada agama. Hinduisme juga menggariskan peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu sebagai petunjuk kepada tingkah laku para penganutnya, supaya matlamat utama para penganutnya untuk mencapai nirvana atau mokhsha yang membolehkan mereka bersatu atau bercantum dengan tuhan atau Dewa Brahma akan tercapai.

Selain menganut agama Hindu, terdapat sebilangan masyarakat Lembah Indus yang menganut agama Buddha. Agama kedua terbesar di Lembah Indus telah diasaskan oleh Siddharta Gautama Buddha pada kurun ke-6 SM. Siddharta ialah nama yang diberikan oleh ibu bapanya manakal Gautama pula ialah nama keluarga. Beliau bukan seorang dewa seperti yang dipercayai orang ramai, tetapi cuma seorang guru yang menjadi tempat rujukan orang ramai dalam persoalan kehidupan. Menurut Afifah Abu Yazid (2003), Buddha menandakan seseorang manusia itu sudah mencapai taraf kesedaran kerohanian yang sempurna.

Seperti agama Hindu, Buddha juga mempunyai kitab-kitab rujukannya tersendiri seperti Tripitaka bermaksud Tiga Himpunan Hikmah, iaitu Sutta Pitaka, Vinaya Pitaka dan Adhidhamma Pitaka yang dicipta selepas zaman Buddha. Sutta Pitaka mengandungi ajaran-ajaran Buddha, Vinaya Pitaka mengandungi peraturan-peraturan yang dijadikan panduan oleh sami dan Adhidhamma Pitaka pula menyentuh berkenaan ajaran-ajaran berkaitan metafizik dan falsafah cara hidup manusia, kesedaran kerohanian serta pencapaian nirwana.

Secara umumnya dalam pengajaran agama Buddha terdapat banyak nilai dan antara yang terkenal adalah Empat Kebenaran Mulia dan Jalan Lapan Lapis. Empat Kebenaran Mulia merangkumi perkara Dukka, Samudaya, Niradha dan Marga. Menurut Mohd Yusof Hasan (2000), Dukka diterjemahkan sebagai kesenggsaraan ataupun perasaan duka, Samudaya pula punca atau pembawa penderitaan, Niradha pula berfungsi sebagai pemadam kepada punca penderitaan dan Marga menjadi jalan atau cara untuk memadam punca penderitaan itu dan ianya dapat dicapai melalui pengamalan Jalan Lapan Lapis. Menurut Yasin Mansor (2009), antara prinsip-prinsip yang terdapat dalam Jalan Lapan Lapis adalah kepercayaan yang benar, usaha yang benar, ingatan yang benar, perbuatan yang benar, ketekunan yang benar, fikiran yang benar, kehidupan yang benar dan pertuturan yang benar.

Penganut Buddha juga percaya kepada konsep kelahiran semula (reinkarnasi) dan nirvana iaitu peringkat yang paling bahagia. Nirvana menjadi matlamat yang paling ungggul bagi seluruh penganut Buddha. Buddha sendiri semasa hayatnya mengajar tentang amalan ahimsa iaitu tidak boleh merosakkan atau memudaratkan segala benda hidup.

Pada zaman yang sama dengan kelahiran Buddha, terdapat satu lagi agama yang muncul dan mempengaruhi kepercayaan agama orang-orang India Utara. Agama ini diasaskan oleh Nataputa Vardhamana yang mempunyai gelaran Mahavira yang bermaksud pahlawan besar. Agama Jaina yang diasaskan ini mempunyai banyak persamaan dengan ajaran agama Buddha. Ajaran agama ini sangat menitik beratkan undang-undang, sebab dan akibat yang dipercayai dapat melahirkan semula roh-roh individu. Agama ini menjelaskan dalam jasad terdapat roh. Penyiksaan diri adalah jalan bagi mengawal nafsu, namun demikian agama Jaina percaya dan mengamalkan estetika.

Kekuatan agama Jaina tidak terletak kepada pendeta agamanya, tetapi kepada orang awamnya. Mereka mengamalkan lima sumpah iaitu, tidak boleh membunuh, tidak boleh bercakap bohong, tidak mengambil sesuatu yang tidak diberi atau mencuri, menolak semua nikmat kebendaan dan amalkan kesucian.

Kesimpulannya konsep kepercayaan dan nilai yang terdapat dalam masyarakat dan tamadun India menjelaskan bahawa, manusia sangat memerlukan sesuatu wadah untuk dijadikan panduan dalam kehidupan. Walaupun mempunyai pelbagai konsep kepercayaan seperti Hindu, Buddha, Jaina dan lain-lain, kebanyakannya mempunyai persamaan dari segi pengamalan dan kepercayaan.

Bagi masyarakat tamadun awal di Lembah Hwang Ho iaitu masyarakat Shang, mereka percaya bahawa tuhan mereka menguasai semua aspek kehidupan manusia di dunia ini. Oleh yng demikian mereka menyembah berbagai-bagai objek di bumi dan di langit seperti bulan, matahari, bumi (tanah), sungai, angin dan juga arah timur, barat, utara dan selatan. Namun begitu tuhan utama masyarakat Lembah Hwang Ho adalah Shang Ti yang dianggap mempunyai kuasa ke atas seluruh alam. Mereka percaya objek-objek tersebut mempunyai kuasa yang boleh menyebabkan banjir, kemarau, wabak penyakit, serta serangan belalang ke atas tanaman. Justeru masyarakat di situ, menjalankan upacara korban untuk tuhan-tuhan mereka supaya dapat mengelakkan daripada ditimpa malapetaka.

Masyarakat Shang juga percaya bahawa mereka boleh mendapatkan panduan atau petua tentang kehidupan mereka daripada roh nenek moyang mereka melalui perantaraan ahli nujum atau pendeta. Ahli nujum atau pendeta akan menggunakan tulang nujum (oracle bones) untuk mendapatkan nasihat atau ramalan daripada nenek moyang atau dewa-dewi tentang tindakan yang dicadangkan. Seterusnya masyarakat di Lembah Hwang Ho juga mempercayai bahawa tuhan-tuhan mereka tinggal dalam kerajaan syurga yang terletak di langit. Tuhan-tuhan di syurga tersebut dapat melindungi pemuja-pemujanya dengan mengorbankan binatang untuk hajat tetentu.

Masyarakat China juga percaya bahawa ada kehidupan selepas mati, walaupun jasad si mati akan musnah tetapi rohnya akan kekal. Oleh itu apabila seseorang raja meninggal dunia, orang gaji serta orang tawanannya akan dibunuh dan dikebumikan bersama-sama. Barang-barang seperti kereta kuda, jed, sutera, bahan gangsa serta alat-alat muzik akan ditanam bersama. Semasa Maharaja Shih Huang Ti meninggal dunia, beribu-ribu orang tentera elit telah ditanam bersama-samanya. Namun atas kebijaksanaan para menterinya, mereka telah menggantikan setiap orang tentera dengan patung-patung berbentuk manusia dan setiap patung mewakili wajah sebenar tentera elit Shih Huang Ti. Tiada dua patung pun serupa dan setakat ini pengkaji sejarah telah mengeluarkan lebih daripada 6000 patung manusia dan kuda daripada kawasan perkuburan maharaja Shih Huang Ti.

Masyarakat di China juga menganut fahaman Confucianisme yang berdasarkan ajaran Confucius atau Kung Fu Tze yang hidup pada zaman Dinasti Chou. Ajaran Conficius memberi penekanan tentang harga diri serta perasaan kemanusiaan, iaitu amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati. Confucius juga menekankan lima jenis hubungan yang baik iaitu hubungan pemerintah dengan rakyat, ibu bapa dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan.

Selain fahaman Confucianisme, masyarakat China juga mengamalkan fahaman Taoisme yang diasaskan oleh Lao Tzu dan Chuang Tzu yang juga hidup dalam Dinasti Chou. Ajaran Taoisme mementingkan kesederhanaan, perdampingan dengan alam semula jadi dan amalan meditasi. Raja dan kerajaan tidak penting kerana manusia boleh menjalani kehidupan mengikut undang-undang alam. Fahaman ini hanya tersebar di kalangan rakyat luar bandar tetapi tidak kepada golongan terpelajar. Namun begitu sami-sami ajaran tersebut telah membuat berbagai penemuan dalam bidang perubatan tradisional, mencipta ubat bedil, jarum magnetik serta herba-herba asli.

Bagi masyarakat Yunani purba pula, mereka mempercayai tuhan dewa-dewi seperti Zeus, Apollo, Athena dan lain-lain, tuhan-tuhan tersebut dipercayai menetap di Gunung Olimpus. Di situ semua dewa-dewi tinggal sebagai sebuah keluarga di bawah seorang dewa bapa iaitu Zeus yang menguasai guruh, kilat, serta taufan. Mereka percaya seluruh alam akan bergoncang hanya apabila rambut Zeus bergerak. Seterusnya bagi masyarakat Yunani, setiap dewa-dewi mempunyai gelaran tertentu, sifat-sifat yang khusus serta mempunyai tugas-tugas yang khas. Dewa-dewi ini dipercayai seperti orang lelaki dan perempuan namun boleh hidup kekal abadi. Masyarakat Yunani berpegang kuat bahawa dewa-dewi tersebut amat mementingkan keadilan serta mempunyai sifat belas kasihan. Namun tuhan-tuhan ini akan tersinggung jika diketepikan, serta merasa marah kepada orang-orang yang mengeji penyembahan dan pemujaan, orang yang menyakitkan hati mereka yang lemah dan tidak berdosa, dan orang yang berbangga di atas kezaliman yang dilakukannya. Masyarakat Yunani percaya dewa-dewi ini tidak sengaja menurunkan bala atau kesusahan ke atas manusia, sebaliknya kecelakaan atau bencana yang menimpa bukanlah kesalahan dewa-dewi tetapi terkandung dalam hati manusia itu sendiri.

Seterusnya ialah kepercayaan masyarakat Melayu, masyarakat Melayu sebelum menerima pengaruh hindu telah berpegang kuat pada fahaman animisme. Mereka menyembah pelbagai bentuk semangat yang dipercayai terdapat pada objek-objek di sekeliling mereka, seperti pokok-pokok besar, telaga buruk, air terjun, dan sebagainya. Di kalangan para petani pula mereka mempercayai ‘semangat padi’. Mereka mengadakan upacara persembahan kepada ‘semangat padi’ supaya akan mendapat hasil yang banyak serta dapat menghindari bencana banjir dan sebagainya.

Masyarakat Melayu seterusnya menerima beberapa ajaran agama yang dibawa masuk ke situ, seperti ajaran agama Hindu, Buddha dan ajaran Islam. Agama Hindu meresap masuk dan diikuti oleh agama Buddha pada sebelum kurun pertama masihi, kemudian pada kurun ketujuh masihi agama Islam mula disebarkan kepada masyarakat Melayu melalui pedagang-pedagang dan pendakwah-pendakwah dari negara Arab dan Gujerat. Apabila kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda serta Inggeris menjajah negeri-negeri di Alam Melayu, pengaruh agama Kristian pula disebarkan.

Namun begitu, ajaran agama Islam tersebar meluas ke seluruh Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang Arab dan Gejerat yang singgah di pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu sebelum menuju ke China. Sebagai agama fitrah iaitu agama yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan, agama Islam meluas dengan cepat serta mudah diterima oleh penganutnya. Pedagang-pedagang Islam menyebarkan Islam melalui perkahwinan dengan wanita-wanita Melayu yang menyebabkan Islam turut diterima oleh ahli keluarga berkenaan, jiran-jiran mereka serta masyarakat setempat. Pedagang Islam juga menyebarkan Islam kepada pedagang-pedagang lain semasa berurus niaga. Malah Islam semakin bertapak kuat di Alam Melayu setelah kerajaan-kerajaan penting seperti Perlak, Pasai, Melaka dan Acheh mula menerima Islam. Negeri-negeri jajahan takluk juga turut menerima Islam untuk mendapat perlindungan daripada kerajaan-kerajaan tersebut.
Setelah menerima ajaran Islam, masyarakat Melayu mula mengalami perubahan akidah serta sistem kepercayaan. Mereka berpegang dengan konsep tuhan yang Esa iaitu penyembahan kepada satu tuhan yang maha sempurna iaitu Allah swt. Penganut Islam beriman dengan rukun-rukun iman seperti percaya kepada malaikat, percaya kepada para rasul, percaya kepada kitab-kitab, percaya kepada Hari Akhirat dan mematuhi suratan takdir iaitu Qada’ dan Qadar Allah.



(c) Bincangkan sejarah ringkas perkembangan negara-kota di :
(i) Yunani
(ii) Nusantara
(10 markah)

Sejarah Perkembangan negara-kota

Maksud Negara Kota ialah bandar yang juga merupakan negeri yang berdaulat dan merdeka. Sesebuah kota itu sendiri merupakan sebagai sebuah negara. Pada zaman purba, kerajaan yang berbentuk negara kota merupakan sesuatu yang lumrah. Setiap negara kota mempunyai sistem pemerintahan dan masyarakatnya sendiri. Di Yunani misalnya, Athens dan Sparta adalah contoh dua buah negara kota yang berlainan. Selain daripada Yunani, negara kota juga terdapat di kawasan-kawasan tamadun lain seperti negara kota di Memphis Mesir, Urech, Kish dan Babylon di Mesopotamia, Mohenjo-Daro dan Harappa di India dan Anyang di China.

i. Yunani

Negara kota Yunani bermula dari kampung-kampung kecil yang terletak secara berselerak di seluruh Yunani dan kepulauan di selatannya. Setelah beberapa lama, penduduk di setiap lembah atau daratan menjalinkan hubungan dan membentuk satu komuniti politik yang besar dan berpengaruh. Mereka mula menyembah dewa-dewa yang sama, melibatkan diri dalam aktiviti berjual-beli, memelihara keselamatan bersama serta menjalankan pemerintahan. Komuniti yang lebih besar ini disebut bandar. Beberapa bandar pula bergabung membentuk kota.

Dalam tamadun Yunani, Negara Kotanya dikenali sebagai polis yang merupakan sebuah pusat berkubu dan menjadi ibu kota bagi Yunani serta merupakan pusat yang sangat dihormati. Biasanya di tengah-tengah negara kota terdapat sebuah akropolis (acropolis) yang menjadi pusat pentadbiran dan tumpuan aktiviti setiap negara kota di Yunani. Akropolis juga menjadi pusat komuniti bagi seluruh warganegara kota. Biasanya akropolis terletak di kawasan berbatu yang tinggi di tengah-tengah dataran dan dari situ dapat dilihat seluruh kawasan sekitar.

Antara negara kota yang terdapat dalam tamadun Yunani ialah Athens, Sparta, Thebes, Corinth, Olympia dan Argos. Negara kota Yunani mempunyai keluasan yang berbeza-beza dengan jumlah penduduk antara 5000 hingga 10 000 orang. Menurut Yasir Mansor (2009), bilangan penduduk dan keluasan tersebut adalah sesuai untuk negara kota yang wujud pada masa itu dan keadaan ini akan memudahkan pengawasan pihak pemerintah kerana penduduk yang terlalu ramai akan menimbulkan masalah kepada pemerintah untuk mengawasinya. Secara asasnya setiap penduduk menyedari tentang persamaan kebudayaan, agama, bahasa serta keturunan mereka. Kesedaran ini dikukuhkan lagi dengan sentiman perkauman yang menganggap masyarakat mereka adalah lebih baik daripada negara kota jiran mereka. Oleh yang demikian, setiap negara kota mempunyai dewa-dewi yang berbeza-beza. Ini dikuatkan lagi dengan kepercayaan bahawa tanah-tanah mereka disucikan oleh dewa-dewi mereka, menyebabkan orang-orang Yunani amat menyayangi negara kota mereka. Dalam peperangan yang sering berlaku antara negara kota, warganegaranya membuktikan kesetiaan dengan kesanggupan mempetaruhkan nyawa demi negara kota mereka.

Athens merupakan salah sebuah negara kota dalam tamadun Yunani yang paling terkenal. Sehingga pertengahan abad ke-8 SM Athens seperti negara kota yang lain di Yunani menjalankan pemerintahan secara monarki atau sistem beraja. Kira-kira pada tahun 750 SM, raja Athens telah digulingkan kerana rakyat inginkan suara yang lebih dalam pentadbiran serta mereka tidak sanggup lagi menerima penindasan yang dilakukan oleh raja. Pemerintahan diambil alih oleh sekumpulan bangsawan yang digelar eupatrid. Mereka telah melakukan aktiviti perlanunan dan merampas tanah untuk menambahkan kekayaan mereka. Golongan ini mengambilalih kuasa politik dengan menguasai Majlis dan tentera. Mereka memerintah Athens menerusi Majlis Bangsawan (Council of Nobles). Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kebangsawanan atau Aristokrasi.
Pegawai awam utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun dari golongan bangsawan. Pada tahun 594 SM golongan bangsawan telah memilih Solon sebagai Ketua Majistret dan diberi kuasa mutlak untuk membuat perubahan. Solon telah menubuhkan ‘Majlis Empat Ratus’ (Council of Four Hundred) terdiri daripada golongan bangsawan dan pemilik harta yang kaya. Kemudian majlis ini bertukar menjadi ‘Majlis Lima Ratus’ (Council of Five Hundred). Beliau juga menubuhkan semula Perhimpunan Agung yang berfungsi sebagai badan perundangan. Selain itu Solon juga menubuhkan sebuah Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa untuk menimbangkan rayuan terhadap keputusan majistret.

Tahap kegemilangan sistem demokrasi Athens dicapai di bawah pimpinan Pericles (495-429 SM). Beliau telah menubuhkan sebuah lembaga yang terdiri daripada 10 orang jeneral yang dilantik oleh Perhimpunan Agung untuk tempoh setahun yang bertindak sebagai badan eksekutif tertinggi bagi Athens. Seterusnya beliau membuat perubahan terhadap kuasa membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman iaitu tidak lagi oleh majistret tetapi oleh sekumpulan juri. Semasa di bawah pemerintahan Pericles, negara kota Athens telah menjadi pusat seni dan persuratan Yunani sehingga menimbulkan cemburu negara kota lain. Kekayaan negara telah membolehkan Pericles membina bangunan baru dan memulihkan bangunan yang rosak akibat peperangan dengan tentera Parsi. Antara bangunan yang dibinanya ialah Parthenon di puncak akropolis.

Sebuah lagi negara kota Yunani yang terkenal dengan kekuatannya ialah Sparta. Kerajaan ini berbentuk kerajaan tentera atau militeri. Tenteranya terdiri daripada tentera darat dan laut. Kanak-kanak Sparta akan menjalani latihan ketenteraan semenjak berusia 7 tahun dan memasuki tentera ketika berusia 20 tahun dan terpaksa tinggal di berek tentera hingga berusia 30 tahun. Kanak-kanak yang lemah akan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan. Masyarakat Sparta terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan peer (Spartiatai) yang terdiri daripada golongan pemerintah dan pemilik tanah, golongan perioeci iaitu orang bebas menjalankan kegiatan perdagangan dan perusahaan serta golongan helot iaitu petani, hamba abdi yang mengerjakan tanah goongan peer. Di samping itu kerajaan Sparta diketuai oleh dua orang raja (dari keluarga Agiadac dan Eurypontidac) serta 5 orang Ephor yang dilantik oleh Majlis Perhimpunan.

Negara kota Sparta hanya terdiri daripada kelompok lima buah kampung dengan binaan rumah-rumah yang mudah serta beberapa bangunan sahaja. Laluan untuk memasuki negara kota Sparta ialah melalui sebuah genting yang mudah dipertahankan oleh penduduk tempatan. Kekuatan tentera dan kedudukan genting yang memudahkan pertahanan itu menyebabkan negara kota Sparta tidak memerlukan tembok-tembok tinggi di sekelilingnya.


ii. Nusantara

Kerajaan-kerajaan Melayu lama berkembang atas dua faktor utama iaitu kekuatan ketenteraan serta faktor perdagangan. Sebagai kerajaan maritim, aktiviti kelautan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kerajaan-kerajaan ini. Ini ditambah pula dengan kedudukan Asia Tenggara yang strategik iaitu di tengah-tengah laluan perdagangan antara timur dan barat, telah menjadikannya lokasi persinggahan yang penting untuk pedagang-pedagang dari Arab dan China.

Antara kerajaan terawal di Alam Melayu ialah Langkasuka, Tun-sun, Tan-tan, Kedah, Chih-tu (semuanya di Tanah Melayu), Srivijaya dan Majapahit di Jawa. Secara amnya, kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai persamaan kebudayaan dan keagamaan. Kerajaan-kerajaan tersebut menerima pengaruh agama Hindu dan Buddha serta mengamalkan kebudayaan India.

Kerajaan Langkasuka merupakan sebuah negeri bebas di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, berhampiran dengan Patani di selatan Thailand. Kerajaan Langkasuka diasaskan pada awal kurun ke-2M. Langkasuka menjalankan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Barat, India, China juga kerajaan Gugusan Kepulauan Melayu. Para pedagang China menggelarkan Langkasuka sebagai Lang-ya-shiu atau Lang chia-shu. Para pedagang Arab pula menyebutnya sebagai Langasyuka, manakala pedagang dari India memanggilnya Ilangasoka.

Kerajaan Langkasuka dipengaruhi oleh pengaruh Hindu dari segi politik, sosial dan budaya. Bagaimanapun pada abad berikutnya iaitu abad ke-3M., Langkasuka dilanggar oleh Funan, sejak itu Langkasuka tidak putus-putus dijajah oleh kuasa-kuasa luar. Faktor penjajahan ini menjadi faktor asas yang mempengaruhi kemajuan dan kemundurannya selepas itu. Meskipun kedudukannya yang strategik di pertengahan jalan perdagangan antara India dan China, serta kekayaan hasil bumi yang menjadi penyumbang kepada kemajuannya, namun faktor luaran adalah lebih dominan dalam menentukan nasib Langkasuka.

Pada abad ke-5M, Langkasuka dapat memulihkan kemerdekaannya apabila kerajaan Funan mula mengalami kemunduran pada abad ke-6M. Selepas itu Langkasuka mencapai zaman keagungannya di bawah pemerintahan Bhagadatta. Ketika itu Langkasuka mempunyai jajahan takhluknya seperti Songkla, Kelantan dan Terengganu. Namun dengan kebangkitan Srivijaya pada abad ke-7, Langkasuka dijajah semula. Kemudian dijajah oleh Majapahit dan apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, kerajaan Langkasuka turut lenyap dalam sejarah kerana diserang oleh Raja Chola dari India Selatan yang dipimpin oleh Raja Rajendra 1.

Sebuah lagi negara kota di Alam Melayu ialah Kerajaan Kedah yang wujud pada kurun ke-5M. Kerajaan Kedah juga dikenali sebagai Kedah Tua berpusat di Lembah Bujang. Pada awalnya kerajaan ini muncul sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan entreport yang penting. Pelabuhan ini disinggahi oleh kapal-kapal pedagang dari China, India, dan Asia Barat. Selain daripada kedudukannya yang strategik untuk para pedagang, kerajaan Kedah juga menghasilkan emas, bijih timah dan kayu cendana. Pedagang-pedagang dari China memanggilnya sebagai Chieh-cha manakala pedagang India yang singgah di situ memanggilnya Kalagam atau Kadaram.

Kerajaan Kedah mempunyai dua pusat pentadbiran iaitu yang terletak di Kampung Sungai Emas, pada kurun ke-5 hingga kurun ke-10M dan di Pengkalan Bujang antara kurun ke-10 hingga kurun ke-14M. Penduduknya dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha dan antara tahun 550 hingga 750M, Lembah Sungai Merbok menjadi pusat agama Buddha dan Hindu yang menyembah Dewa Siva. Namun menjelang tahun 695M, kerajaan Kedah menjadi tanah jajahan kerajaan Srivijaya dan seterusnya mula merosot pada abad ke-11M kerana diserang oleh Raja Chola, Raja Rajendra 1 pada tahun 1025M. Selepas kekalahan tersebut pengaruh Kedah semakin merosot.

Kerajaan Tun-sun terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu di kawasan Segenting Kra. Tun-sun menjadi pusat perdagangan yang penting pada abad ke-3M. Antara masyarakat utama dalam kerajaan ini ialah golongan brahmin iaitu sami Hindu serta pedagang India. Penduduk Tun-sun mengamalkan satu tradisi mengebumikan burung.

Sebuah lagi Negara Kota Alam Melayu yang terkenal ialah Srivijaya. Kerajaan Srivijaya berpusat di Palembang, Sumatera dan merupakan kerajaan Melayu yang terawal di Alam Melayu. Menjelang akhir abad ke-8M, kerajaan Srijaya telahpun menguasai wilayah-wilayah di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra, wilayah-wilayah timur dan selatan Pulau Sumatera, Jawa Barat dan Wilayah barat Borneo.

Kerajaan Srivijaya amat mengambil berat tentang pusat-pusat pelabuhan mereka seperti di Palembang, Kedah dan Takuapa kerana ia amat bergantung kepada kegiatan maritim. Selain daripada itu Srivijaya juga merupakan pusat pengajian agama Buddha dan bahasa Sanskrit di Asia Tenggara. Pada kurun ke-9 hingga kurun ke-11M, kerajaan Srivijaya berada di puncak keagungannya. Namun selepas kurun ke-11M kerajaan Srivijaya mula merosot akibat diserang Raja Chola, Raja Rajendra 1. Ini menyebabkan wilayah-wilayah jajahannya terlepas kepada kuasa-kuasa lain, wilayah-wilayah barat Tanah Melayu dan Segenting Kra dirampas oleh kerajaan Sukhotai, manakala wilayah di Jawa pula dikuasai kerajaan Singhasari.

Akibat kemorosotan kerajaan Srivijaya, muncul pula kerajaan Majapahit yang berpusat di Jawa. Kerajaan ini diasaskan oleh Raden Vijaya pada kira-kira 1292M. Menjelang kurun ke-14, kerajaan Majapahit telah menjadi pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara. Kerajaan Majapahit mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Hayam Wuruk dan Pendana Menterinya Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada bertanggungjawab meluaskan empayarnya hingga meliputi beberapa wilayah di Tanah Mealayu, Borneo Barat, Jawa, Pulau Bali dan selatan Sumatera. Namun kematian Patih Gajah Mada serta kewujudan kerajaan Melaka membawa kepada kemerosotan kerajaan Majapahit.

Sebuah lagi Negara Kota di Alam Melayu, iaitu kerajaan Tan-tan yang terletak di timur laut Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Terengganu. Kerajaan ini mempunyai undang-undang jenayah khusus untuk pencuri, pencuri yang ditangkap jika didapati bersalah akan dikenakan hukuman mati. Tidak banyak rekod sejarah yang mengenai kerajaan ini, melainkan berdasarkan catatan sejarah China kerana kerajaan ini dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan China. Pemerintah Tan-tan pernah menghantar hadiah kepada Maharaja Chung Ta Tung dari Dinasti Liang pada tahun 530M, dan selepas itu utusan-utusan kerajaan Tan-tan dihantar ke China lebih daripada tujuh kali.


(d) Dengan merujuk kepada sumber primer, huraikan secara kronologi sejarah perkembangan Empayar Melayu di Nusantara
(10 markah)

Perkembangan Empayar Melayu Nusantara

Empayar ialah sebuah kerajaan atau pemerintah yang tertinggi dan berdaulat yang menguasai daerah yang luas atau beberapa buah daerah dengan diketuai oleh seorang Maharaja. Empayar yang terbesar di dunia ialah Empayar British yang diketuai oleh Ratu England. Antara empayar yang terkenal pada zaman purba ialah Empayar Maurya di India dan Empayar Chin di China. Manakala Iskandar Zulkarnain dari Makedonia pula adalah tokoh pertama yang membina empayar meliputi dua buah benua.

Sejarah peradaban manusia telah membuktikan bahawa sesebuah empayar wujud melalui penaklukan, melaluinya seseorang pemerintah akan dapat meluaskan wilayah kekuasaannya dan mengukuhkan kuasa politiknya. Punca-punca penaklukan itu boleh disebabkan perang saudara, perselisihan faham atau didorong oleh idealisme seseorang raja. Namun tidak semua peperangan akan membawa kepada penubuhan empayar. Peperangan antara Athens dengan Sparta tidak menjadikan salah satunya sebagai empayar.

Lazimnya penubuhan sesebuah empayar amat bergantung kepada kekuatan ketenteraan dan kehebatan pemerintah. Kekuatan ketenteraan akan menyebabkan sesebuah kerajaan mencapai peperangan dengan mudah. Umpamanya tentera legion Rom terkenal kerana kekuatan dan disiplinnya yang hebat. Faktor ini telah menjadikan Rom sebagai sebuah empayar yang terkemuka. Sebaliknya Empayar Iskandar Zulkarnain lebih bergantung kepada kelebihan yang ada pada dirinya. Beliau merupakan seorang pemimpin tentera yang hebat dan sukar ditandingi. Kehebatan Empayar Makedonia adalah disebabkan kehebatan Iskandar Zulkarnain semata-mata, sebab itu selepas kematian Iskandar Zulkarnain, para penggantinya gagal untuk mempertahankan empayarnya walaupun telah berusaha bertahun-tahun lamanya.

Terdapat sedikit kelainan tentang penubuhan empayar oleh kerajaan Alam Melayu seperti Srivijaya, Majapahit dan Melaka. Ketiga-tiga kerajaan ini meluaskan empayar masing-masing melalui peperangan, perkahwinan politik, naungan dan penggunaan unsur-unsur lagenda dan mitos. Namun, kerajaan-kerajaan awal Asia Tenggara membina empayar dengan tujuan untuk memperluaskan pengaruh politik serta mengukuhkan kedudukan ekonomi kerajaan masing-masing.

Terdapat banyak kerajaan yang wujud di Asia Tenggara atau di Alam Melayu, tetapi bukan semua kerajaan tersebut mempunyai empayar, malah terdapat beberapa kerajaan yang lemah yang berada di bawah jajah takluk negeri lain. Antara kerajaan Alam Melayu yang mempunyai empayar ialah Kerajaan Funan yang dibuka pada kurun pertama masihi, Kerajaan Srivijaya yang lahir dari kurun ke-7 hingga kurun ke-14, Angkor akhir kurun ke-9. Majapahit pula muncul di awal abad ke-13, diikuti dengan Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15, Empayar Brunei pada kurun ke-15 dan seterusnya Empayar Acheh lahir di akhir kurun ke-15.

Funan ialah kerajaan yang pertama di Indocina dan terletak di Lembah Sungai Mekong. Funan telah dibuka pada kurun masihi yang pertama. Bermula dari sebuah petempatan biasa, Funan telah berkembang menjadi sebuah negeri yang maju di bawah pemerintahan Kaundinya yang menggunakan gelaran Kurun Baum atau Kurun Phnom yang bermakna Raja Gunung. Funan mulai meluas dan menawan wilayah-wilayah lain. Pada kurun ke-3M banyak negeri ditakhluki di bawah raja yang masyhur Fan Shih Man. Dalam kurun ke-5 pula, Funan telah menguasai kawasan-kawasan dari Indocina ke Siam hingga ke utara Tanah Melayu termasuklah Langkasuka. Dari sebuah kerajaan kecil, Funan telah menjadi sebuah empayar.
Empayar Funan ialah sebuah pusat perdagangan yang besar. Funan menjalankan perdagangan dengan India, China dan Parsi. Selain itu Funan juga mempunyai hubungan perdagangan dengan negeri-negeri Asia Tengggara, iaitu dengan penduduk-penduduk di Segenting Kra, negeri-negeri Melayu, Jawa dan Sumatera. Ini bermakna Funan mempunyai sistem kerajaan yang kuat dan teratur. Namun dalam kurun ke-6M, Funan mulai merosot, akibat peperangan saudara merebut takhta kerajaan. Ketika itu negeri-negeri di bawah pemerintahan Funan mulai keluar dari pemerintahannya. Kelasi-kelasi Funan mulai melanun menyebabkan pedagang-pedagang asing takut untuk datang ke situ. Di samping itu Funan turut menerima ancaman yang kuat daripada sebuah kerajaan Khmer yang bernama Chen-la.

Selepas kejatuhan empayar Funan, pada kurun ke-7 muncul pula sebuah kerajaan Srivijaya yang terletak di Sumatera dan berpusat di Palembang. Srivijaya merupakan sebuah empayar Melayu awal yang sangat bergantung kepada perdagangan. Kedudukannya di Selat Melaka dan di Selat Sunda menjadikannya pengawal lalu lintas yang sebelumnya dipegang oleh Kerajaan Kantoli dan Melayu. Bagi mengukuhkan penguasaannya dalam bidang ekonomi, Srivijaya telah menawan kerajaan Jambi di Sumatera, Kedah dan Ligor di Tanah Melayu, Bangka, Tulang Bawang dan Minanga di Sumatera serta Tarumanaga di Jawa Barat. Penguasaan tersebut membolehkan Srivijaya mengawal laluan perdagangan antarabangsa antara China dan India.

Pada abad ke-8M, kerajaan Mataram di Jawa Tengah di bawah Dinasti Sailendra telah mengancam Srivijaya. Sejak tahun 775M, kerajaan Srivijaya mula diperintah oleh keturunan Sailendra dari Jawa, dan pada abad ke-8 hingga ke-10M, Empayar Srivijaya telah berpecah menjadi negeri-negeri yang labih kecil. Bagaimanapun, di akhir abad ke-10M, Srivijaya muncul kembali sebagai pusat perdaganagan. Srivijaya menguasai Selat Sunda setelah berjaya menawan Jawa, dan Srivijaya berjaya menyekat kapal-kapal perdagangan dari singgah di pelabuhan-pelabuhan Jawa. Oleh itu Srivijaya berjaya mengembalikan kuasanya ke atas bekas tanah jajahannya sekaligus memudahkannya menguasai perdagangan di Asia Tenggara.

Dari perluasan kuasa tersebut, telah memberikan keuntungan kepada Srivijaya kerana dasar tersebut membolehkan Srivijaya memungut hasil-hasil cukai dari kapal-kapal perdagangan yang belayar melalui Selat Melaka dan Selat Sunda. Srivijaya juga menerima ufti dari negeri-negeri tanah jajahannya. Untuk memantapkan lagi keselamatan negara serta kepentingan ekonominya, Srivijaya telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan China dan kerajaan Chola di selatan India. Namun kerajaan Srivijaya mulai merosot akibat ancaman kuasa-kuasa luar seperti Chola. Kerajaan Chola telah menyerang Srivijaya pada tahun 1025M. Ikutan daripada itu, jajahan Srivijaya seperti Langkasuka dan Jambi telah mula dikuasai oleh Raja Chola. Kerajaan Sukhotai pula memperluaskan kuasanya dengan menawan jajahan Srivijaya di utara Tanah Melayu. Akhirnya Palembang yang menjadi pusat pemerintahan Srivijaya telah ditawan oleh Majapahit pada tahun 1377M.

Sebuah lagi kerajaan di Indocina ialah kerajaan Angkor yang telah didirikan oleh seorang raja yang bernama Yasovarman I pada akhir kurun ke-9M. Bandar Angkor letaknya di sebuah gunung dan ianya berkota. Bandar Angkor dikelilingi dengan kubu parit dan mempunyai sistem bekalan air yang sangat baik. Kerajaan Angkor di bawah pemerintahan Suryavarman II pada tahun 1113 hingga 1150M mengorak langkah menawan negeri-negeri lain. Dia menyerang negeri-negeri berdekatan dengan Khmer dan meluaskan empayarnya ke sebelah barat. Jajahannya meliputi pantai Teluk Benggala dan hingga di sebelah selatan menuju ke Segenting Kra lalu menakluk Pan-pan, yang merupakan sebuah kerajaan di Segenting Kra.

Sempadan Empayar Angkor diperluaskan lagi di bawah pemerintahan Jayavarman VII yang memerintah dari tahun 1181 hingga 1218M. Di sebelah utara sempadannya diperluaskan dari sepanjang Sungai Mekong hingga ke Vien Chang, di barat orang-orang Khmer menguasai hingga ke Burma. Di selatan pula mereka menguasai utara Semenajung Tanah Melayu. Kemerosotan empayar Angkor mula berlaku apabila adanya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat yang dipaksa berperang dan bekerja membina negeri, sedangkan mereka tidak merasai faedahnya. Hanya kaum kerabat diraja sahaja yang mendapat faedah daripada empayar yang luas dan ibu negeri yang besar itu. Akhirnya pada kurun ke-14M, peperangan saudara berlaku di dalam empayar tersebut. Kesempatan tersebut digunakan oleh Thai untuk menakluk Angkor pada tahun 1431M.

Sebuah lagi empayar yang luas, mempunyai kuasa politik yang hebat serta berpengaruh di Alam Melayu ialah Empayar Majapahit. Kerajaan Majapahit mula tertegak di tanah Jawa antara tahun 1292 hingga 1528M dan empayar ini melalui zaman gemilangnya sekitar tahun 1293 hingga 1398M. Tokoh yang paling terkenal dalam Empayar Majapahit ialah Patih Gajah Mada yang menjadi Perdana Menteri kepada Raja Hayam Wuruk. Patih Gajah Mada bertanggungjawab memperluaskan kuasanya hingga meliputi Pulau Bali, Kepulauan Makasar, sebahagian Pulau Borneo, Temasik, Pahang, selatan Sumatera termasuk Srivijaya dan Sunda di Jawa Barat. Dengan kejatuhan Srivijaya ke tangan Majapahit membolehkan Majapahit menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka dan di Selat Sunda. Para pedagang dari pelabuhan Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat mula bertumpu ke pelabuhan –pelabuhan Majapahit di Pulau Jawa.

Kemerosotan Empayar Majapahit mula dirasai apabila Patih Gajah Mada yang dianggap sebagai arkitek di sebalik kejayaan Empayar Majapahit telah meninggal dunia. Majapahit sukar mendapatkan pemimpin pengganti yang berkalibar seperti Patih Gajah Mada. Selain itu terdapat juga faktor perebutan kuasa yang menjadikan Empayar Majapahit semakin lemah. Di samping itu kebangkitan kerajaan Melaka di Tanah Melayu dan penyebaran agama Islam juga menjadi faktor penting kejatuhan Majapahit. Para pedagang Islam dari Arab, Parsi dan India lebih banyak menguasai dunia perairan Melayu. Oleh itu apabila mereka mendapati terdapat pelabuhan Islam di Melaka, mereka mula bertumpu ke Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang mula berkembang juga mula menguasai jajahan-jajahan Majapahit di pantai timur Sumatera. Jajahan takluknya yang lain mula membebaskan diri dari kekuasaan Majapahit.

Sebuah lagi empayar Melayu yang amat penting untuk dibicarakan ialah Empayar Melaka. Melaka yang berasal daripada sebuah perkampungan nelayan telah dibuka pada tahun 1400M oleh Parameswara, seorang putera raja Palembang. Parameswara telah mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka dengan gelaran Raja Iskandar Shah. Beliau melaksanakan pemerintahan negeri baru ini berasaskan sistem pemerintahan Kerajaan Srivijaya. Dalam tahun 1414 pemerintah Melaka telah memeluk agama Islam, dengan demikian ramai saudagar-saudagar Islam singgah ke Melaka. Bertitik tolak dari peristiwa itu, Melaka muncul sebagai sebuah pelabuhan dan pusat persinggahan pedagang-pedagang China, India dan Arab. Di sinilah bermulanya Kesultanan Melayu dan keagungan Empayar Melaka.

Parameswara telah menubuhkan angkatan laut yang terdiri daripada orang-orang laut untuk mengawasi keselamtan para pedagang yang singgah di Melaka. Bagi menjamin keselamatan negeri Melaka, Parameswara telah menjalinkan persahabatan dengan kuasa-kuasa luar seperti Siam. Bagi mengelakkan serangan Siam ke atas Melaka, Parameswara telah menghantar ufti tahunan kepada Siam. Selain itu Parameswara turut menjalinkan persahabatan dengan kerajaan China. Langkah-langkah tersebut telah menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang semakin makmur.

Pemerintah-pemerintah di Melaka juga ialah penakluk yang berjaya. Mereka meluaskan kuasa mereka ke wilayah-wilayah timur Sumatera termasuklah Siak, Inderagiri, Jambi, Kampar serta Bentan dan semua negeri-negeri di Tanah Melayu. Pada tahun 1456 hingga 1498, Tun Perak yang menjadi Bendahara Melaka telah menjadikan Melaka sebuah empayar yang unggul. Tun Perak telah menjadi Bendahara di bawah empat orang Sultan iaitu, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Beliau digelar sebagai ‘Pembina Empayar’. Keadaan ini telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya di bawah kekuasaan Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Negeri-negeri tersebut ialah Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujong, Kedah dan Patani. Melaka telah menjadi kuasa besar yang hebat hingga dapat menangkis serangan Siam yang akhirnya berjaya menguasai Kelantan, dan pada kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan dengan Siam.

Empayar Melaka berada di puncak kegemilangan dan keagungan semasa Tun Perak menjadi Bendahara Melaka. Kematian Tun Perak pada tahun 1498, meninggalkan ruang kosong dalam pentadbiran Empayar Melaka. Pengaganti Tun Perak, Tun Puteh, Tun Mutahir dan kemudiannya Bendahara Paduka Tuan tidak dapat menjalankan tugas secemerlang Tun Perak. Akibatnya pentadbiran Melaka menjadi lemah. Keadaan dalam negeri semakin kucar-kacir akibat perpecahan dan huru-hara yang kerap berlaku. Selain daripada itu terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang keapada kemerosotan Empayar Melaka.

Antaranya pemerintahan Sultan Mahmud yang tidak cekap. Baginda tidak mengambil berat dan mengutamakan Empayar Melaka. Baginda membiarkan para pembesar menjalankan tugas dengan sewenang-wenangnya, ramai pembesar negeri mengamalkan rasuah. Perpecahan berlaku di kalangan pembesar-pembesar negeri dengan puak-puak tua dan puak-puak muda. Faktor kedua ialah permusuhan yang berlaku antara Melayu-Islam dengan Tamil-Islam. Sikap Tun Mutahir sebagai pemimpin Tamil-Islam yang mementingkan kaumnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Melayu-Islam. Keadaan seperti ini menyebabkan berlakunya pergaduhan yang menyebabkan berlakunya perpecahan yang serius.

Kelemahan pentadbiran Melaka telah menyebabkan kegiatan perdagangan terjejas. Pedagang-pedagang asing yang ingin berdagang di Melaka terpaksa menghulurkan hadiah kepada para pembesar yang rasuah, di samping pembayaran cukai yang semakin melambung. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pedagang asing, lalu mereka beralih ke Acheh iaitu sebuah pelabuhan di Pulau Sumatera. Kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan semakin pudar. Lantaran rasa tidak puas hati para pedagang telah mendorong sebahagian pedagang India dan China terutamanya membantu kuasa asing memusuhi kerajaan Melaka. Kedua-dua golongan ini telah membantu Portugis untuk menyerang Melaka.

Nasib kerajaan Melaka bertambah buruk apabila askar-askar upahan Jawa telah berpaling tadah. Mereka tidak mempertahankan kerajaan Melaka sebaliknya mereka melarikan diri ketika peperangan meletus. Begitu juga halnya dengan pemimpin jajahan takluk Melaka yang tidak memberi bantuan langsung kepada pasukan Melaka untuk menentang serangan musuh. Malahan, jajahan-jajahn tersebut cuba membebaskan diri mereka daripada kuasa kerajaan Melaka. Keadaan seumpama ini menyebabkan Melaka kehilangan kekuatan untuk menangkis serangan Portugis yang lengkap dengan senjata moden dan berdisiplin. Akhirnya Empayar Melaka yang hebat tersungkur jatuh ke tangan tentera Portugis pada tahun 1511 di bawah pimpinan Alfonso d’ Albuquerque.

Sebuah lagi empayar kerajaan Melayu, ialah Empayar Brunei yang mencapai zaman kegemilangannya dari abad ke-15 hingga abad ke-17. Pada zaman tersebut Kesultanan Brunei telah berjaya meluaskan kekuasaannya ke seluruh Borneo dan hingga ke Filiphina di sebelah utara. Brunei berada di zaman kemuncaknya di bawah pemerintahan Sultan Bolkiah, iaitu Sultannya yang keenam, yang memerintah sejak tahun 1458 hingga tahun 1524M. Baginda Sultan Bolkiah terkenal atas penglibatan baginda yang suka mengembara di laut, dan baginda pernah menakluki Manila.

Empayar Kesultanan Brunei, juga sama nasib dengan semua empayar negeri-negeri Melayu yang lain. Empayar Brunei turut mengalami kejatuhannya selepas pemerintahan Sultan Hassan. Kejatuhan Empayar Brunei berpunca daripada pergolakan dalaman disebabkan perebutan kuasa antara waris diraja. Selain daripada itu, kejatuhan Empayar Brunei juga disebabkan timbulnya pengaruh kuasa penjajah Eropah di rantau sebelah sini, yang telah menggugat corak perdagangan tradisi, serta memusnahkan asas ekonomi Brunei dan kesultanan Asia Tenggara yang lain. Pada tahun 1839, pengembara Inggeris yang bernama James Brooke tiba di Borneo dan membantu Sultan menundukkan sebuah pemberontakkan. Sebagai balasannya, beliau dilantik menjadi gabenor dan kemudiannya ‘Rajah’ Sarawak di barat laut Borneo sebelum meluaskan kawasan di bawah pemerintahannya. Sejak itulah berakhirnya Empayar Kesultanan Brunei.


Penutup

Ketamadunan ialah warisan yang amat penting bagi generasi manusia merentasi langkauan masa mahupun batasan geografi. Tamadun meletakkan manusia pada suatu tahap yang tinggi. Ia membezakan antara tahap pencapaian sesuatu rumpun bangsa dengan rumpun bangsa yang lain. Tamadun juga menjamin nilai-nilai kemanusiaan itu terus hidup dalam kehidupan manusia, serta mempertahankan kualiti intelek, perasaan, dan keperibadian manusia. Tanpa ketamadunan, manusia boleh jatuh sehingga ke tahap terendah yang mungkin boleh setara dengan penghidupan haiwan. Tamadun telah menjulang keupayaan akal, sementara tanpa tamadun manusia akan balik semula kepada prinsip, yang terkuat jadi terunggul. Namun, kewujudan tamadun sesuatu bangsa itu mungkin tidak berkekalan. Ibnu Khaldun dalam Esa Khalid dan Mohd Azhar Abd Hamid (2004) menyatakan, setiap tamadun akan melalui zaman kemunculan dan peningkatan, zaman kegemilangan, dan zaman penurunan. Cuma tempoh masa hayatnya sahaja berbeza-beza di antara satu tamadun dengan yang lain. Kini ketamadunan agung yang dilalui hanya menjadi bahan sejarah melalui kesan peninggalan tamadun sama ada dari aspek fizikal seperti bangunan, manuskrip, peralatan dan sebagainya, mahupun secara semangatnya seperti yang ditinggalkan dalam budaya pewaris-pewarisnya. Hakikatnya ketamadunan agung tersebut telah berakhir.

(9856 patah perkataan)


RUJUKAN

Afifah Abu Yazid. 2003. Pengajian Tamadun Asia. Bentong, Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Esa Khalid & Mohd Azhar Abd Hamid. 2004. Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India, China dan Jepun. Skudai, Johor : Universiti Teknologi Malaysia

Ghazali Darusalam. 2001. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Ghazali Darusalam. 2001. Sumbangan Sarjana Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd Rahman Al-Ahmadi. 1993. Tamadun Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Dewan Edisi Ketiga. 1998. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. 2005. Petaling Jaya : International Law Book Services

Mohd Dahlan Mansoer. 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohd Liki Hamid. 2006. Pengajian Tamadun Islam. Kuala Lumpur : PTS Profesional Publishing Sdn Bhd

Mohd Yusof Hasan. 2000. Pemikiran Saintifik. Petaling Jaya : Laser Press Sdn Bhd
Open University Malaysia. 2008. HBSS4103 Sejarah Ketamadunan Manusia. Kuala Lumpur : Open University Malaysia.

Thambirajah M. 1985. Malaysia Dalam Sejarah 1. Kuala Lumpur : Federal Publications Sdn Bhd

Yasir Mansor. 2009. Tamadun Dunia Hingga Tahun 1800. Shah Alam : Federal Marshall Cavendish Education

Yew Chee Wai, Wan Iqmal & Ros Maria Chin. 2008. Sejarah SPM. Petalin Jaya : Sasbadi Sdn Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan