Ahad, 17 Januari 2010

Teori & Kaedah Sejarah

1.0 Pengenalan
Secara umumnya, penyelidikan adalah tugasan saintifik yang membawa berbagai-bagai cabaran. Antaranya adalah menghasilkan dapatan kajian yang sesuai dan memperlihatkan keupayaan penyelidik mempersembahkan hasil kajian. Pada hakikatnya penyelidikan adalah bagi mencari jawapan atau menyelesaikan masalah dengan jawapan benar atau sekurang-kurangnya dapat mengetahui kebenaran yang logik melalui pemikiran yang mempunyai kesinambungan dengan fakta empirik. Penyelidikan juga mempunyai cabang-cabang yang amat luas dan tidak terbatas. Antara cabang-cabang penyelidikan yang utama dan diberikan tumpuan ialah penyelidikan pendidikan, penyelidikan sains, penyelidikan sosial, penyelidikan sejarah dan sebagainya. Walaupun bidang-bidang penyelidikan tersebut kelihatan berbeza, namun konsep asas ilmu penyelidikannya tidak jauh berbeza. Justeru tumpuan khusus dalam perbincangan ini adalah mengenai langkah-langkah yang dijalankan dalam penyelidikan sejarah.

Definsi penyelidikan sejarah ialah penyusunan sistematik yang membabitkan kajian dan penilaian data yang berkaitan peristiwa yang terjadi pada masa lampau. Penyelidikan sejarah mengkaji punca, kesan ataupun corak (trend) peristiwa dan secara tidak langsung menganalisis apa yang berlaku pada masa kini, seterusnya membuat ramalan apa yang bakal berlaku pada masa akan datang melalui kajian. Kajian sejarah juga boleh dianggap sebagai suatu proses membina semula perkara yang berlalu secara sistematik dengan mengumpul, menilai, mengesah dan mensintesiskan fakta bagi menemukan rumusan yang dipertahankan. Penyelidikan sejarah merupakan salah satu aktiviti penting yang dapat menyumbangkan kepada penemuan dan penulisan sejarah terutama yang baru supaya ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Penulisan dan jumpaan perkara sejarah amat bergantung kepada usaha-usaha penyelidikan yang dilakukan oleh para sejarawan. Kajian sejarah yang baik adalah melibatkan kajian secara sistematik, mempunyai objektif, kaedah pengumpulan data serta analisis, dan memastikan sumber yang digunapakai adalah sahih serta terhindar daripada sebarang pemalsuan. Dalam erti kata yang lain penyelidik sejarah sewajarnya beretika.

1.1 Etika Penyelidikan Sejarah
Penyelidikan sejarah adalah merupakan proses yang dinamik dan interaktif, ia berlaku berdasarkan kepercayaan dan kerjasama mereka yang terlibat dalam penyelidikan. Hubungan penyelidik, kumpulan penyelidik dan partisipan adalah penting. Mengurus hubungan ini secara bertanggungjawab ialah merupakan isu sebenar berkaitan dengan etika. Menurut Othman Lebar (2007), terdapat beberapa peringkat isu etika dalam proses penyelidikan. Antaranya adalah etika dalam penyataan masalah kajian, etika dalam penyataan tujuan dan soalan kajian, etika dalam pengumpulan data, etika dalam analisis dan interpretasi data, serta etika dalam menulis dan menyebarkan hasil kajian. Etika penyelidikan dalam penyelidikan sejarah penting bagi mengelakkan sesuatu penyelidikan itu dipengaruhi unsur-unsur bias, melakukan kesilapan, memalsukan fakta, melakukan penyelidikan separuh jalan, kekaburan bukti, serta kekurangan bahan atau sumber. Justeru untuk memperteguhkan kedudukan hasil penyelidikan ini, etika yang ketat perlu dipatuhi bermula dari awal hingga berakhir penyelidikan tersebut.


2.0 Langkah-langkah Penyelidikan
Dalam penyelidikan sejarah, terdapat beberapa langkah utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang penyelidik. Antara langkah-langkah penyelidikan tersebut, penyataan masalah, mengemukan hipotesis, membuat rujukan sumber, menentukan kaedah, menentukan strategi dan teknik, menjadualkan kerja, menganalisa dan menginterpretasi data, dan melaporkan hasilan. Oleh yang demikian berikut adalah huraian mengenai setiap peringkat atau disiplin yang perlu ditempuhi oleh setiap sejarawan yang menjalankan penyelidikan.

2.1 Penyataan masalah
Penyelidikan sejarah bukan bermakna penyelidik menjalankan projek yang baru, lain dari yang lain dan penting. Tujuan penyelidikan sejarah adalah menghurai, menerangkan, menjelaskan dan membuat tanggapan dan bukannya mengemukakan yang baru. Begitu juga, jelas bahawa projek-projek penyelidikan tidak dimulakan daripada titik permulaan tetapi penyelidik telah diransangkan oleh idea-idea serta penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan oleh orang lain. Sewajarnya penyelidik memulakan penyelidikannya dengan membaca penyelidikan-penyelidikan lain yang sama dengan lingkungan minatnya, lazimnya dia dapat sesuatu yang baru yang perlu dilakukan untuk memperbaiki penyelidikan sedia ada ataupun untuk memperbaharui penyelidikan lama. Bertitik tolak dari situlah seseorang penyelidik menyatakan masalah kajiannya dan bertindak memulakan penyelidikan tersebut.

Contoh penyataan masalah adalah mengenai teori kedatangan Islam ke Malaysia, sama ada penyebaran melalui mubaligh-mubaligh Islam yang datang ke Melaka, atau penyebaran Islam oleh pelayar-pelayar China melalui Terengganu.

2.2 Mengemukakan hipotesis
Hipotesis adalah saranan sementara bagi menjelaskan fenomena yang dikaji atau saranan sementara sebagai penyelesaian masalah. Hipotesis membolehkan penyelidik mengaitkan teori dengan cerapan. Bukti-bukti cerapan penyelidikan akan menentukan sama ada sesuatu hipotesis itu perlu diterima atau diketepikan. Antara tujuan mengemukakan hipotesis dalam penyelidikan adalah untuk memberi jangkaan atau ramalan sementara tentang fenomena yang dikaji, memberi kenyataan hubungan yang boleh diuji secara langsung, memberi panduan kepada penyelidikan kerana hipotesis mewakili objektif tertentu, menentukan kaedah penyelidikan yang harus digunakan, memberi rangka laporan dapatan serta kesimpulan kajian.

Hipotesis kajian boleh dikemukakan dalam bentuk hipotesis induktif daripada cerapan, iaitu melalui cerapan penyelidik boleh menentukan susur-galur dan kemungkinan hubungan yang wujud dan membuat hipotesis bagi menjelaskan hubungan tersebut, atau hipotesis deduktif daripada teori-teori atau dapatan-dapatan penyelidikan terdahulu yang boleh memandu penyelidikan ke arah yang lebih umum. Penyelidik perlu mengemukakan hipotesis untuk memberi panduan bagi pengumpulan data dan infrensi data, selain itu hipotesis juga dapat menunjukkan sama ada penyelidik mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang yang membolehkan penyelidik menjalankan penyelidikan dengan berkesan.

Seseorang penyelidik juga perlu mengemukakan hipotesis yang memenuhi ciri-ciri tertentu bagi membolehkannya diterima sebagai hipotesis penyelidikan. Antara ciri-ciri tersebut ialah, hipotesis hendaklah dinyatakan dengan mudah, jelas dan tepat, hipotesis mestilah tekal dengan pengetahuan yang ada, yakni tidak bertentangan dengan teori dan hukum yang ada, hipotesis hendaklah mempunyai kuasa penjelasan iaitu keupayaan hipotesis menerangkan fenomena yang dikaji dengan logik, tepat dan jelas. Seterusnya hipotesis mestilah boleh diuji. Pengujian hipotesis membolehkan kepastian dibuat sama ada bukti-bukti yang diperolehi menyokong atau tidak menyokong hipotesis yang bersifat sementara itu.
Contoh hipotesis dalam penyelidikan sejarah mengenai kedatangan Islam ke Malaysia ialah, Batu Bersurat Terengganu membuktikan penyebaran Islam ke Malaysia adalah melalui pelayar-pelayar China yang berurusan di Terengganu.

2.3 Membuat rujukan sumber
Sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan. Sumber adalah berbeza dengan ilham kerana sumber tidak bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber boleh dirujuk semula apabila diperlukan. Sebenarnya sumber sejarah telah wujud dalam pelbagai bentuk, ada sumber ditulis pada kertas, dipahat seperti batu bersurat, diukir pada kayu, buluh, tulang, tanduk, daun, kepingan logam dan sebagainya. Semua bahan bertulis ini disimpan sebagai sumber sejarah. Oleh yang demikian, sumber merupakan suatu unsur yang penting dalam bidang penyelidikan sejarah, kerana tanpa sumber maka agak mustahil untuk menghasilkan penulisan sejarah yang baik.

Lazimnya sumber dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sumber pertama yang disebut sumber primer dan sumber kedua yang disebut sumber sekunder. Sumber primer ialah sumber yang biasanya belum ditafsir dan diperlengkapkan lagi. Contoh sumber primer adalah seperti surat tidak rasmi ataupun surat rasmi, catatan dan laporan harian, diari serta dokumen. Bahan-bahan seperti ini menjadi sumber primer disebabkan keadaannya sendiri yang merupakan sumber yang pertama mencatat sesuatu peristiwa yang berlaku. Sejarawan biasanya memilih dokumen-dokumen yang berupa sumber primer kerana sumber seperti ini memberi maklumat yang benar untuk dibuat penyelidikan.

Manakala sumber sekunder adalah seperti tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan berdasarkan sumber primer atau sumber-sumber lain dan sebagainya. Sumber sekunder ini merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan andaian yang dibuat seseorang penyelidik terhadap perkara-perkara yang diselidiknya dengan bersandarkan sumber utama. Sumber sekunder digunakan oleh penyelidik sebagai rujukan, perbandingan, ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta tafsiran terhadap perkara yang diselidiki mereka. Antara contoh sumber sekunder seperti buku, majalah, surat khabar, latihan ilmiah, karangan ataupun esei yang menganalisis sesuatu yang penting serta tesis.

Walau apapun kategori sumber tersebut, yang nyata ia sangat penting dalam sesuatu penyelidikan sejarah. Seseorang penyelidik dalam usaha menghasilkan sesuatu karya sejarah mestilah berusaha mendapatkan sumbernya, kemudian memilih sumber tersebut, mana-mana yang berkaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penyelidikannya. Penyelidik juga harus mengkaji serta menganalisis sumber-sumber yang diperolehi untuk mendapatkan fakta-fakta dan seterusnya melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap penyelidikannya.

Tidak kurang pentingnya, sumber yang digunakan adalah sumber yang mempunyai kesahihannya, supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya pemalsuan sumber. Pemalsuan bukan sahaja bermaksud mengadakan apa yang tiada dalam sumber yang asli, bahkan pemalsuan juga merujuk kepada sebarang penambahan atau pengurangan serta kesilapan dalam menterjemah isi kandungan sesuatu sumber. Kesahihan sumber dalam erti kata yang lain, adalah bertujuan untuk memastikan fakta yang diaplikasikan dalam sesuatu penulisan itu sentiasa benar dan layak untuk berdiri sebagai sumber sejarah. Selain itu, kesahihan sumber adalah untuk memelihara sifat sejarah sebagai saintifik. Menurut Abdul Rahim Abdul Rashid (1998), terdapat empat ciri yang menyebabkan sejarah adalah sains iaitu berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat objektif. Oleh itu, dalam maksud untuk menjadi sejarah sebagai satu bidang saintifik, aktiviti kesahihan sumber perlu dilakukan.


2.4 Menentukan kaedah, teknik dan strategi
Kaedah penyelidikan atau metodologi adalah merupakan kaedah yang digunakan bagi membuat penyelidikan sejarah atau peristiwa sesuatu perkara itu berlaku. Ia bermaksud menggunakan tatacara yang betul mengikut kaedah-kaedah yang ditentukan dalam menghuraikan sesuatu peristiwa yang berlaku. Kaedah penyelidikan sejarah lebih memberi tumpuan utama terhadap usaha mencari sumber sesuatu peristiwa dan sumber tersebut haruslah mempunyai autoroti yang dapat dipertahankan. Sebarang andaian yang dibuat haruslah dibuktikan melalui sumber yang diperolehi.

Secara umumnya terdapat dua kaedah asas persejarahan, iaitu kaedah persejarahan tradisi dan kaedah pensejarahan moden. Konsep dan kaedah pensejarahan tradisi ini telah dipelopori oleh Bapa Sejarah Dunia iaitu Herodotus dan Thucydides. Sejarawan ini telah mengaplikasikan kaedah pemerhatian, temuduga dan rujukan terhadap bahan bertulis dalam penulisan karya sejarah mereka. Herodotus dalam penulisannya yang berjudul Perang Parsi yang mengisahkan peperangan antara tentera Athens dengan Parsi yang berlaku pada tahun 478 SM, telah menggunakan kaedah temuduga dalam penghasilannya. Beliau juga telah melakukan kajian mendalam dengan melihat sendiri tempat-tempat yang terlibat dalam peperangan, malah menemubual tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan tersebut.

Selain daripada menyaksi sendiri kesan-kesan peperangan di beberapa tempat yang telah dikunjungi dan menemuduga tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan, Herodotus juga telah menggunakan bahan-bahan bertulis dan kesan-kesan peninggalan lama seperti babad, puisi, epik, karya geografi, etnografi dan perubatan, dokumen kerajaan, inskripsi, batu bersurat, bangunan dan rumah berhala dalam penulisannya. Melalui contoh penulisan sejarah Peperangan Parsi telah menunjukkan bahawa penyelidikan sejarah secara tradisi adalah dengan menggunakan kaedah pemerhatian, temubual dan rujukan terhadap bahan bertulis klasik.

Kaedah pensejarahan moden pula dipelopori oleh Lepold Von Ranke, yang diberi gelaran Bapa Pensejarahan Moden kerana beliau telah membawa era baru dalam bidang pensejarahan sehingga dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman di Universiti Berlin. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2002), beliau dikatakan sejarawan Barat pertama yang telah menekankan kepentingan penggunaan sumber primer dalam penyelidikan sejarah dan membuat penilaian sumber secara kritikal demi pembangunan bidang sejarah sendiri. Selain itu, Ranke menyatakan secara jelas bahawa sejarah seharusnya ditulis dengan sebenar-benarnya tentang apa yang telah berlaku berdasarkan dokumen yang berkaitan dengannya. Ranke juga menyarankan agar sejarawan tidak melakukan spekulasi, tidak bersikap berat sebelah atau bias, mereka dan memasukkan unsur-unsur fiksyen ke dalam sejarah.

Oleh yang demikian seseorang penyelidik sejarah boleh memilih untuk menjalankan penyelidikan secara tradisi yang menekankan aspek pemerhatian, temuduga dan rujukan bahan bertulis atau membuat penyelidikan secara moden yang menekankan penulisan yang jelas dan ditulis sebenar-benarnya tentang apa yang berlaku melalui sumber primer, tanpa spekulasi, bias serta memasukkan unsur-unsur fikysen. Secara ringkasnya kaedah pensejarahan moden menekankan penulisan sejarah secara tepat dan objektif.

2.5 Menjadualkan kerja
Sesuai dengan sifatnya penyelidikan sejarah yang berbentuk sistematik, maka penyelidikan sejarah sewajarnya mempunyai jadual kerja yang tersusun. Sesuatu penyelidikan perlu dirancang dengan teliti. Jadual kerja atau pelan tindakan akan membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan memudahkan kerja-kerjanya. Jadual kerja yang rapi juga boleh membantu dari segi menjimatkan masa serta kos yang diperlukan. Perancangan atau jadual kerja tersebut hendaklah selari dengan skop penyelidikan, kaedah yang dipilih, kemudahan-kemudahan fikizal dan situasi pengkaji. Namun jadual kerja yang disusun tidaklah bersifat rigid, malah ianya tetap boleh diubahsuai mengikut keadaan semasa dan tempat.
Seperti yang telah dihuraikan, sesuatu penyelidikan bertitik tolak daripada penyataan masalah yang dikemukakan oleh penyelidik. Penyelidik boleh menghuraikan permasalahan yang utama dan permasalahan sampingan atau yang berkaitan. Kemudiannya penyelidik melakarkan tuju arah penyelidikan melalui penyataan hipotesis supaya kerja-kerja penyelidikan tidak tersasar jauh atau sebagai panduan untuk memulakan penyelidikan sumber. Seterusnya penyelidik juga mengenalpasti kaedah kajian yang akan dijalankan sama ada secara tradisi atau secara moden. Kenalpasti sumber-sumber yang boleh membantu dalam penyelidikan, sama ada sumber primer atau sekunder atau kedua-duanya. Data-data atau maklumat yang diperolehi mesti dari sumber yang mempunyai tahap kebenaran yang tinggi serta tidak dipertikaikan lagi ketepatannya. Setelah semua sumber atau maklumat diperolehi, penyelidik akan membuat laporan atau penulisan tersebut. Perlu ditegaskan penulisan laporan penyelidikan yang baik dan bermutu perlu melalui beberapa draf dan diulang semak serta dikemaskini setiap kali draf dibuat.

Melalui jadual kerja yang mantap dan dipatuhi, akan menatijahkan penulisan penyelidikan yang bermutu tinggi. Jadual kerja sebagai pengawal bisu yang sentiasa membimbing penyelidik dalam menyempurnakan penyelidikannya. Sekiranya tanpa jadual kerja yang efisyen dan sempurna, kadangkala berlaku penyelidikan separuh jalan, kerana penyelidik akan kehilangan arah bagai nakhoda tanpa kompas pelayaran.

2.6 Menganalisa dan Menginterpretasi data
Sejarah bukanlah hanya sekadar kumpulan bahan-bahan sejarah lama semata-mata, tetapi kandungannya perlu dikaji, dinilai dan diberi pengamatan yang kritis seterusnya untuk dijadikan panduan bagi generasi akan datang. Sekiranya sejarawan tidak memandang sesuatu sumber itu dengan kritis, maka sejarawan itu belum lagi boleh dikategorikan sebagai sejarawan yang sebenar-benar sejarawan. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2002), sumber yang telah diuji kebenarannya merupakan perkara yang amat penting dalam sejarah dan berbeza dengan penulisan sastera yang kreatif, dan sekiranya sumber itu diterima bulat-bulat maka masyarakat tidak akan dapat menerima hakikat sesuatu peristiwa sejarah yang telah berlaku itu sama ada benar ataupun tidak sebagaimana berlakunya pada karya Sejarah Melayu. Bagi sejarawan Barat kritikan terhadap kebenaran sejarah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan luaran bertujuan menganalisis sumber sejarah untuk mengesahkan akan kebenarannya serta kesahihannya manakala kritikan dalaman bertujuan untuk menentukan ketepatan atau kerasionalan tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah.

Ramai sejarawan tradisi pada peringkat awal tamadun menulis sejarah tanpa memberi perhatian terhadap aspek kebenaran dan kesahihan sejarah tersebut. Keadaan ini berbeza dengan tradisi pensejarahan Islam, dari awal lagi telah memberi perhatian yang sewajarnya terhadap aspek kebenaran dan kesahihan sejarah. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2002), At-Tarabi antara sejarawan awal selepas Hijrah yang memberi perhatian terhadap kebenaran sejarah, ketika menulis sejarah nabi-nabi beliau telah membuat penyelidikan secara lisan dengan bertanya kepada orang-orang yang boleh dipercayai dan mempunyai ingatan yang cukup kuat. Tabari mengikuti kaedah yang diamalkan oleh para muhadisun (pakar hadis) dalam mencapai sumber sejarah agar sejarah yang dihasilkan itu adalah sejarah yang benar-benar jelas dan tepat faktanya.

Berlainan pula dengan sejarawan Barat yang mengatakan kritikan sejarah terutamanya sumber sejarah telah bermula apabila muncul Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold Von Ranke pada abad ke-19. Menurut Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya (1988), Ranke merasakan bahawa penulisan dan pentafsiran sejarah secara kritikal dengan membuat kritikan terhadap perkara yang meragukan perlu berjalan seiring. Melalui usaha beliaulah sejarah telah menjadi suatu disiplin ilmu moden setanding dengan ilmu-ilmu lain pada abad ke-20. Berikutan itu ramai intelektual Barat mula meragui kesahihan sejarah Barat yang selama ini ditulis dengan mencampuradukan unsur-unsur dongeng, mitos dan lagenda untuk menyedapkan lagi peristiwa atau jalan cerita sejarah itu. Setelah menyelidiki kaedah yang digunakan oleh sejarawan Islam, mereka cuba memperkenalkan serta mempraktikkannya.

Kritikan amat penting bagi mencari kesahihan sumber dan penyampai sumber tentang sesuatu peristiwa sejarah. Sekiranya penyampai sumber melakukan pembohongan maka sumber yang diberi itu adalah sumber yang palsu. Justeru itu jika berlaku keraguan, maka sejarawan akan cuba mencari bukti-bukti lain. Arba’iyah Mohd Noor (2002), menyenaraikan empat langkah-langkah yang boleh dilakukan sekiranya berlaku keraguan. Pertama, mereka akan mengesan semula siapakah yang mengeluarkan sesuatu sumber tersebut. Kedua, kandungan sumber yang ditulis itu mestilah diuji terlebih dahulu untuk mengetahui kaitannya dengan fakta-fakta primer yang diketahui. Sekiranya bercanggah, pemalsuan dapat diketahui. Seterusnya, dokumen-dokumen yang diperolehi mungkin berhubung dengan tanda-tanda tertentu. Umpamanya, sejarawan yang menggunakan sumber dokumen tulisan tangan memerlukan satu kajian khusus untuk membuat keputusan sama ada sesuatu skrip itu benar dari segi masa dan tempatnya. Mereka memerlukan ahli filiologi untuk menentukan atau menilai gaya bahasa daripada teks yang digunakan. Keempat, Sejarawan boleh meminta pertolongan daripada pakar dalam bidang teknikal untuk memeriksa bahan yang digunakan pada masa pengeluaran dokumen tersebut.

Walaupun dikatakan sumber itu mungkin mempunyai kebenaran serta kesahihan dari sudut kritikan luaran, tepai jika kandungannya diragui ketepatan serta kerasionalannya, maka sumber itu tidak wajar dijadikan sumber rujukan sejarah. Kerasionalan dan kebenaran sesuatu sumber itu boleh diteliti bila dihubugkaitkan dengan persoalan ‘siapa, bila dan di mana’, Persoalan ‘siapa’ berkait dengan diri penulis (subjek) sesuatu karya sejarah itu. Dengan mengetahui latar belakang penulis, maka kita boleh mengetahui sama ada fakta yang diberikan itu benar ataupun salah. Jika kita dapati penulis tersebut seorang pemerintah, ketua atau seorang sejarawan pada zaman yang sama serta mereka pernah tinggal di tempat atau negara yang sama, kita akan dapat melihat wujud perbezaan dari segi pendekatan, keterangan dan tafsiran. Mereka akan menulis mengikut konsep, matlamat, serta idea menereusi kaca mata mereka sendiri. Maka akan wujudlah bias dalam pentafsiran idea yang sedia ada.

Dalam hal kritikan dalaman ini sewajarnya sejarawan mengambil kira beberapa perkara penting sebelum membuat penyelidikan rapi, iaitu memahami bahasa, maksud tulisan penulis dan mengetahui akan ragam, niat serta fikirannya itu sama ada sejarawan itu prejudis atau mudah terpengaruh dengan fakta-fakta lain atau menulis berdasarkan fakta sejarah yang benar atau pun tidak. Selain itu, penggunaan bahasa juga sentiasa berubah-ubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Contohnya bahasa yang ditulis lima atau enam abad yang lampau tentu amat berbeza berbanding dengan bahasa yang digunakan pada hari ini.

Ketepatan sesuatu sumber bukan sekadar yang telah dibincangkan di atas sahaja. Terdapat beberapa sumber dan fakta sejarah yang kurang kerasionalannya telah mula dipertikai oleh beberapa sejarawan lain. Contohnya, kenyataan Arnold Toynbee, Marco Polo seorang pelayar berbangsa Itali telah tiba di negara China sekitar tahun 1271- 1295 melalui Laut Hitam dan Istambul. Toynbee juga menyebut Marco Polo akan singgah di istana Kublai Khan setibanya di China. Namun kini, kenyataan tersebut dianggap tidak benar oleh sejarawan moden atas beberapa alasan yang agak rasional. Antaranya, tiada satu rekod pun kedatangan Marco Polo ke China, tiada satu pun kenyataan dalam rekod China tentang kedatangannya ke istana Kublai Khai sebagai tetamu sepanjang ketibaannya di sana. Kedua, Marco Polo gagal membuat kenyataan tentang budaya makan China dengan menggunakan penyepit, tradisi mengikat kaki atau teh sebagai minuman kegemaran orang China. Ketiga Marco Polo tidak pernah membuat kenyataan tentang sahabat-sahabat atau sesiapa yang ditemui sepanjang pelayaran ke negara China.

2.7 Melaporkan hasilan
Setelah berjaya mengumpul segala sumber yang diperolehi sama ada secara tradisi iaitu melalui pemerhatian, temubual atau bahan sejarah seperti teks, dokumen atau artifak dan sebagainya, penyelidik meneruskan penyelidikan dengan kritikan luaran untuk memastikan kebenaran sumber serta kritikan dalaman untuk menentukan ketepatan serta kerasionalannya, maka langkah seterusnya penyelidik menghasilkan penulisan sejarah bagi sesuatu yang diselidiknya. Penyelidik yang bertanggungjawab akan melahirkan penulisan yang berwibawa dan dapat diterima sebagai sesuatu yang bermutu tinggi. Bagi menjadikan ia bermutu tinggi, adalah menjadi kewajipan penyelidik untuk menulis berdasarkan kebenaran serta ketepatan fakta dan membuat penghuraian yang tepat tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur lain. Sebagai ahli sejarah yang terlatih, penyelidik sedaya upaya akan meminimakan campur tangan pandangannya dalam sesuatu cerita. Penyelidik perlu menyedari akan integriti yang diwajibkan, bertanggungjawab terhadap bukti yang dipilih, disusun dan diinterpretasi dan mengelakkan unsur-unsur personaliti.

Menulis laporan penyelidikan sejarah bukanlah sesuatu yang mudah seperti penulisan kreatif yang lain. Ia memerlukan perancangan yang teliti serta menulis dalam satu kerangka yang boleh disemak dan dinilai. Di samping itu pengorganisasian utama sesuatu penyelidikan pada kebiasaannya adalah disusun dalam bentuk kronologi atau tajuk. Kebanyakan tajuk-tajuk dalam penyelidikan sejarah akan disusun dalam bentuk kronologi atau susunan topik mengikut perkembangan masa. Dari segi penulisan pula, penyelidik yang berwibawa akan mengelakkan kelemahan dalam pembinaan ayat dan perenggan, nahu, ejaan, tanda bacaan, pemilihan perkataan dan lain-lain yang berkaitan. Penulisan sejarah adalah menekankan terhadap sumber dan pembuktian. Sesuatu penulisan perlu mengemukakan bukti dan alasan yang ditunjukkan di dalam nota kaki. Penulisan laporan sewajarnya menggunakan bahasa yang mudah difahami dan ayat yang dibina biasanya pendek dan jelas. Penulisan laporan yang berkesan hanya akan tercapai jika penulisan itu dapat difahami oleh para pembaca tidak kira latar belakang pekerjaan mereka.

Penulisan sejarah memerlukan kerja yang bersungguh-sungguh dengan memaksa diri untuk memulakan tanpa mengira minat atau inspirasi. Hasil penulisan sejarah yang baik, kebiasaannya melalui dua atau lebih draf. Draf pertama biasanya panjang dan ianya akan melalui proses pemotongan dan pengeditan ayat. Semasa menyemak draf, kaedah cut and paste kadang kala digunakan bagi menjimatkan masa. Dalam semua peringkat draf, perhatian utama harus ditumpukan untuk mengemukakan bukti-bukti jelas. Contohnya jika ia memerlukan penjelasan, interpretasi jelas harus diberikan. Penyelidik perlu sedari, golongan pembaca kepada penulisan sejarah adalah golongan terpelajar yang berminat dengan disiplin ini. Oleh itu kesalahan-kesalahan remeh dari segi nahu, bahasa dan ejaan akan mengurangkan minat pembaca untuk membaca laporan penyelidikan tersebut.

Hakikatnya matlamat utama penulisan sejarah adalah untuk menyampaikan hasil penyelidikan dalam bentuk yang paling berkesan. Oleh itu, penulisan yang berkesan perlu tepat, jelas dan disampaikan dalam gaya yang menarik, elakkan kesilapan-kesilapan kecil yang akan mengganggu konsentrasi pembaca. Menurut Abdul Rahman Abdullah (1994), ahli-ahli sejarah bersetuju bahawa penulisan sejarah perlu memberikan perhatian terhadap memperkembangkan penjelasan, berkeupayaan dalam penyaringan, logik dan konsisten dalam perbahasan adalah merupakan kualiti yang menyumbang kepada penulisan laporan yang berkesan. Tidak kurang pentingnya juga ialah bentuk penulisan laporan tersebut dikemukakan sama ada dalam bentuk artikel, monograf atau buku. Ketiga-tiga penulisan tersebut tidak mempunyai perbezaan dari segi kaedah, gaya penyampaian dan rujukan sumber. Bagaimanapun, perbezaan utama adalah dari segi saiz atau panjang sesuatu penulisan itu.

Artikel merupakan sebuah penulisan ilmiah yang pendek, kebiasaannya diterbitkan melalui jurnal atau makalah. Penerbitan jurnal adalah dalam bentuk berkala atau tahunan. Panjang artikel pada kebiasaannya adalah sekitar 10 000 perkataan atau ditulis sekitar 20 halaman dengan langkau dua. Sementara monograf merupakan terbitan ilmiah dalam bentuk tidak bersiri atau berkala mengenai sesuatu tajuk tertentu atau tajuk yang berkaitan ditulis secara perseorangan. Biasanya monograf merupakan hasil kerja yang terperinci, dokumentasi terhadap tajuk yang terhad atau mengenai seseorang. Dalam bidang sejarah monograf merujuk kepada penerbitan sesuatu penyelidikan mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa atau seseorang tokoh. Ia merupakan hasil kajian yang tidak terlalu panjang tetapi mempunyai cukup maklumat. Biasanya diterbitkan sekali sahaja dengan jumlah cetakan yang terhad. Sedangkan buku pula adalah merupakan satu penulisan yang dihasilkan daripada penyelidikan dan buah fikiran seseorang penyelidik mengenai sesuatu tajuk. Ia diterbitkan dalam bentuk buku dengan mempunyai halaman yang tebal, tiada had maksimum jumlah halaman bagi penerbitan bagi sesebuah buku kerana ia bergantung kepada matlamat penulisan seseorang penulis. Buku mestilah mempunyai tahap ilmiah yang tinggi, mengandungi sumber rujukan yang lengkap serta membuat perbincangan mengenai sesuatu tajuk. Buku mengandungi beberapa bab, minimumnya 5 bab dan juga mengandungi bibliografi serta indeks di bahagian akhir penulisan dan biasanya boleh dicetak atau diterbitkan berulang kali.

3.0 Kesimpulan
Penyelidikan sejarah merupakan satu bentuk penyelidikan yang rumit kerana penyelidikan sejarah adalah untuk mempelajari, menggali fakta-fakta serta menyusun dan menghuraikan hubungan atau kesimpulan berkaitan peristiwa masa lampau. Kerumitan juga disebabkan kuasa pengawasan penyelidik ke atas sampel adalah terbatas memandangkan pembolehubah bebas berada di luar jangkauan penyelidik dalam melakukan penilaian dan interpretasi.

Seperti dinukilkan, penyelidikan yang baik mesti melalui langkah-langkah yang telah ditetapkan secara umum oleh sejarawan terdahulu, seperti pendefinisian masalah, rumusan hipotesis yang perlu diuji, pengumpulan data yang sistematik, analisis interpretasi data, membuat kritikan luaran dan dalaman terhadap sumber yang diperolehi dan seumpamanya. Di samping mematuhi langkah-langkah tersebut faktor etika dalam penyelidikan juga tidak boleh dipandang enteng oleh para penyelidik supaya hasil penyelidikan yang dihasilkan bersih dan tulen tanpa sebarang campur tangan penyelidik. Namun, syabas kita ucapkan kepada sejarawan-sejarawan yang sentiasa bertungkus-lumus membuat penyelidikan demi penyelidikan yang menjadi bahan rujukan masyarakat.


RUJUKAN

Abdul Rahim Abdul Rashid. 1998. “Ilmu Sejarah: Teori dan Amalan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah”. Kertas Sempena Simposium Kebangsaan Ilmu Sejarah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Pusat Pengajian Luar Kampus USM.

Azizi Yahaya et al. 2007. Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.

Mohd Majid Konting. 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusof Ibrahim. 1986. Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengenai Teori & Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Muhd Yusof Ibrahim. 1997. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Othman Lebar. 2007. Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan Kepada Teori dan Metod. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

http://jironakamura.blogspot.com/2007/09/bincangkan-langkah-langkah-yang-perlu.html

http://www.banyak-ilmu.co.cc/2008/11/langkah-langkah-penelitian-sejarah.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan