Selasa, 19 Januari 2010

Psikologi & Perkembangan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran 2

PENGENALAN
1.1.1 DEFINISI
Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran adalah terdiri daripada satu kumpulan kanak-kanak yang berbagai jenis, dikenalpasti oleh doktor pakar, mempunyai ciri-ciri rendah keupayaan mental dan rendah kebolehan dalam pengubahsuaian tingkahlaku.
1.1.2. KELAS BERMASALAH PEMBELAJARAN
Kewujudan kelas ini adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik agar mendapat peluang-peluang yang seimbang dengan kanak-kanak biasa dalam pendidikan mengikut keupayaan masing-masing.
1.1.3. KURIKULUM
Matlamat kurikulum untuk melengkapkan kanak-kanak ini dengan kemahiran-kemahiran bagi membantu mereka mencapai perkembangan yang menyeluruh untuk membolehkan mereka BERDIKARI dan menjadi anggota masyarakat yang berguna.
Fokus kurikulum :
i)Kemahiran belajar
ii)Kemahiran berinteraksi/sosial
iii)Kemahiran rekreasi
iv)Kemahiran di rumah v)Kemahiran urusdiri vi)Kemahiran pravokasional
2.0 KAJIAN DAN PEMERHATIAN
2.1 Kajian dan pemerhatian yang dibuat adalah keatas kanak-kanak biasa seperti biodata dibawah;
1. Nama : Siti Faridah binti Mohd Zukri
2. Umur : 10 tahun
3. Jantina : Perempuan
4. Sekolah : S.K Sri Taman, Alor Setar , Kedah.
5. Pertalian : Anak
6. Kedudukan dalam keluarga : Anak kelima dari enam adik beradik
7. Pekerjaan Ayah : Guru
8. Pekerjaan ibu : Suri Rumah Tangga

Beberapa objektif kajian kes ini adalah seperti berikut;
2.1.1 Kajian ini membolehkan para pendidik dan para pentadbiran menkaji beberapa aspek perkembangan kanak-kanak dari segi fizikal, emosi, sosial dan intelek. Seterusnya membandingkan dengan kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
2.1.2 Kajian ini dapat memberi garis panduan kepada kita semua dalam meninjau perhubungan mereka dengan rakan-rakan dan masyarakat dan dapat
memberi sokongan moral kepada mereka dalam menempuhi kehidupan seharian.
2.1.3 Kajian ini juga dapat memberi maklumat kepada ibu bapa, pegawai perubatan, dan lain-lain pihak tentang perbezaan perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial kanak-kanak bermasalah ini dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Maklumat ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka kearah pembentukan insan yang seiring dengan golongan normal.
2.1.4 Kajian ini juga dapat memberi maklumat yang mana dapat membantu kita memahami, menghargai minat dan kecenderungan mereka, walaupun mereka mengalami kecacatan. Oleh itu masyarakat tidak memandang rendah terhadap golongan cacat ini khususnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

2.2 KAJIAN DAN PEMERHATIAN
Kajian dibuat selama 2 jam dengan dengan urutan masa lebih kurang selama 10 minit setiap satu fasa kajian. Pemerhatian dibuat pada masa-masa yang berlainan seperti waktu pagi selepas bangun tidur, masa bersiap ke sekolah, dalam perjalanan ke sekolah, masa balik dari sekolah, masa rehat, waktu beriadah, dan waktu malam sebelum tidur. Semua tingkahlaku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini telah direkodkan dalam satu laporan seperti dibawah ini.
2.2.1 11 hb Februari 2007 (jam 6.00 pagi hingga 6.10 pagi)
Tepat jam 6.00 pagi dia dikejutkan oleh ibunya dari tidur untuk ke sekolah. Dengan sekali kejut saja dia terus bangun dan bergegas ke bilik air untuk mandi,
Dia tidak banyak bercakap selepas bangun dari tidur, mungkin masih lagi rasa mengantuk. Didalam bilik air dia menguruskan sendiri dirinya tanpa bantuan dari ibunya. Lebih kurang 10 minit dia selesai mandi dan sebagainya.
2.2.2 11 hb Februari 2007 (jam 6.30 pagi hingga 6.40 pagi )
Selepas selesai memakai pakaian sekolah dengan sendiri, dia terus memakai telekung untuk solat subuh, selesai solat dia mengemas buku dan peralatan untuk ke sekolah. Selepas itu dia terus ke meja makan untuk sarapan, selalunya dia minum sahaja kerana belum terasa lapar lagi. Masa sarapan inilah dia akan memberitahu kepada ibu atau bapanya tentang pelajaran atau masalah –masalah mengenai pembelajarannya. Dia seorang yang periang dan suka bercerita serta bertanya berbagai perkara yang kurang difahami olehnya. Kadang-kadang tak terlayan dengan karenahnya dan pertanyaannya itu. Selesai sarapan dia menyiapkan keperluan sekolahnya sekali lagi.
2.2.3 11 hb Februari 2007 (jam 7.15 pagi hingga 7.25 pagi )
Lebih kurang pukul 7.15 pagi dia bersalaman dengan ibunya untuk ke sekolah. Dia pergi bersama ayahnya dengan hanya berjalan kaki kerana sekolah berhampiran dengan rumahnya sahaja. Dalam perjalanan ke sekolah dia banyak bertanya dengan ayahnya tentang berbagai perkara yang dia lihat semasa dalam perjalanan itu. Dia seorang kanak-kanak yang cerdas dari segi fizikalnya. Pernah memenangi Olahragawati peringkat sekolah pada tahun 2006.
Sampai di pintu pagar sekolah dia tidak pernah lupa mencium tangan ayahnya sebelum masuk ke sekolahnya.
2.2.4 11 Februari 2007 ( jam 2.30 petang hingga 2.40 petang )
Selalunya pada waktu begini dia akan berehat di depan televisyen untuk menonton cerita yang dia minat seperti cerita dari seberang iaitu Ratapan Si Anak Tiri. Semasa menonton TV, dia akan menonton dengan penuh kusyuk sambil menghayati setiap perkataan yang diucapkan oleh pelakun cerita tersebut. Sambil sesekali dia akan meniru dialog yang diucapkan oleh para pelakun cerita tersebut, terutamanya dialog yang agak melucukan, sesuai dengan jiwanya yang periang dan suka akan suasana yang melucukan. Jika terdapat perkataan yang tidak difahami dalam dialog tersebut dia akan bertanya kepada ibubapanya untuk mendapat penjelasan sampai dia betul-betul faham. Dia juga bertindak sebagai penterjemah kepada adiknya yang berumur 6 tahun kerana adiknya belum memahami jalan cerita tersebut. Dia suka melayan kerenah adiknya tanpa rasa jemu, dia sangat sayang akan adiknya.
2.2.5 11 Februari 2007 ( jam 3.30 petang hingga 3.40 petang )
Selepas menonton televisyen dia akan mengambil beg sekolahnya dan mentelaah pelajaran ataupun membuat kerja sekolah yang disuruh oleh gurunya.
Dia akan membuat kerjanya tanpa disuruh oleh ibu atau ayahnya. Jika terdapat perkara-perkara yang kurang difahaminya barulah dia akan bertanya kepada kedua-dua ibubapanya.
2.2.6 11 Februari 2007 ( jam 4.00 petang hingga 4.10 petang )
Selepas membuat kerja sekolah atau mentelaah pelajaranya dia akan mengajak adiknya bermain di luar rumah. Dia akan melayan kerenah adiknya yang baru berumur 6 tahun itu dengan penuh kasih sayang. Kadang-kadang dia membantu adiknya dalam pelajaran seperti membantu melukis dan mewarna gambar-gambar dalam buku Tadika adiknya. Dia seorang kakak yang bertanggung jawab dan boleh diharap untuk menjaga adiknya tersebut sewaktu ketiadaan ibubapanya.
2.2.7 11 Februari 2007 ( jam 5.00 petang hingga 5.10 petang )
Biasanya pada waktu begini kawannya akan datang ke rumah untuk mengajaknya bermain, dia akan ceria menyambut kedatangan kawannya itu. Dia banyak bercakap berbanding kawannya itu. Entah apa yang dibincangkan oleh mereka saya kurang pasti kerana tak mahu mengganggu kegembiraan mereka bermain. Dari segi pergaulan, dia cukup cepat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan terutamanya kawan-kawan yang baru dikenalinya. Kelihatan kawan-kawannya cukup senang dengan perangainya. Saya tidak pernah melihat dia bertengkar atau berkelahi dengan kawan-kawannya. Dia memang mempunyai ramai kawan.
2.2.8 11 Februari 2007 ( jam 7.00 petang hingga 7.10 petang )
Tepat jam 7.00 petang tanpa diarah selalunya dia akan masuk kedalam bilik air untuk mandi dan membersihkan dirinya selepas penat bermain tadi. Selalunya
dialah yang akan mandi dulu dari adik beradik yang lain. Dia seorang anak yang menepati masa. Didalam bilik air, jika ada kain baju yang kotor, dia akan menolong memasukkan kedalam mesin basuh tanpa diarah oleh ibunya.
2.2.9 11 Februari 2007 ( jam 8.00 malam hingga 8.10 malam )
Waktu ini waktu dia mengaji bersama adik beradiknya dengan bergurukan kepada ibunya. Pencapaiannya dalam mengaji Al-Quran agak baik juga. Dia kurang sabar sikit dalam mengaji ini. asyik nak cepat habis saja. Ibunya terpaksa mengambil pendekatan memujuk dalam pengajarannya itu.
2.2.10 11 Februari 2007 ( jam 9.00 malam hingga 9.10 malam )
Waktu begini adalah waktu dia mengulangkaji pelajarannya dan membuat kerja sekolah yang disuruh oleh gurunya. Kadang-kadang dia perlu juga diingatkan oleh ibunya kerana kalau tak berbuat demikian dia akan asyik dengan TV sahaja. Semasa mengulangkaji pelajaran, dia akan membuat sendiri dan akan bertanya kepada ibu atau ayahnya apabila dia tidak faham mengenai sesuatu perkara. Satu kelemahan yang terdapat pada dirinya ialah kerja-kerja yang dibuatnya kurang berhati-hati, selalu hendak cepat siap saja, kadang-kadang akan terdapat banyak kesalahan dalam kerja yang dibuatnya. Bila diterangkan semula baru dia sedar akan kesilapan yang dilakukan itu.
2.2.10 11 Februari 2007 ( jam 10.00 malam hingga 10.10 malam )
Dia selalunya akan tidur awal, kerana mungkin letih bermain pada siangnya. Sebelum dia masuk tidur dia akan mengemaskan semula peralatan sekolahnya
dan akan memasukkan segala keperluan untuk dibawa ke sekolah ke dalam beg sekolahnya. Dia akan pastikan segala keperluan untuk esok semuanya mencukupi. Dia seorang anak yang suka kepada kekemasan dan dia tak mahu tertinggal barang keperluan semasa di sekolah esok.
2.2. 12 11 Februari 2007 ( jam 10.30 malam hingga 10.40 malam )
Dia sudah berada diatas katil bersama-sama adiknya, Sebelum lena dia selalunya akan bercerita berbagai perkara dengan adiknya. Adiknyalah yang akan bertanya dan menyuruh dia bercerita sebelum mereka lena. Kalau tidak ditegur oleh ibunya mungkin mereka akan terlajak bersembang sehingga larut malam. Dia suka sangat bercerita kerana dia banyak idea yang hendak diluahkan. Selalunya pukul 11.00 malam barulah mereka berdua beradik akan lena.
2.3 MENGENALI SINDROM DOWN
Ramai pernah mendengar namun ramai juga cetek pengetahuan mengenainya. Ia bukan penyakit moden atau penyakit 'orang kaya', malah Sindrom Down (SD) tidak tepat dikatakan penyakit.
SD tidak boleh diubati. Ia terjadi kerana keadaan baka tidak normal. Dianggarkan SD terjadi pada kadar satu bagi setiap 650 kelahiran. Perkembangan mental dan fizikal kanakkanak SD lambat berbanding kanak-kanak biasa.
Kanak-kanak SD perlu pendidikan khas seawal mungkin agar dapat membantu mereka berdikari. SD terbahagi tiga—Trisomi, Translocation dan Mosaic. Tidak kira jenis apa, kanak-kanak SD boleh dikenali melalui wajah mereka yang hampir sama.
2.3.1 Masalah kesihatan dihidapi kanak-kanak SD:
• Sakit jantung berlubang
• Mudah mendapat selesema, radang tenggorok, radang paru-paru
• Kurang pendengaran
• Lambat/bermasalah bertutur
• Penglihatan kurang jelas
2.3.2 Ciri fizikal kanak-kanak SD :
• Hidung kemek
• Lidah tebal dan kerap terjelir
• Tapak tangan lebar
• Tapak tangan ada hanya satu lipatan
• Jari-jari tangan semua montok-montok.
• Jari kelengkeng tangan melengkung
• Jarak ibu jari kaki dengan jari kedua, lebar
• Leher pendek dan besar
• Kelopak mata berlipat-lipat
• Sendi longgar
• Otot lembik
• Badan gempal
• Kulit putih bersih
• Lemah dalam pembelajaran.
2.4 PERBEZAAN KANAK-KANAK BIASA DENGAN KANAK-KANAK SINDROM DOWN
2.4.1 Pertumbuhan
Pertumbuhan kanak-kanak Sindrom Down tidak begitu ketara kalau dibandingkan dengan kanak-kanak normal, Saiz fizikal mereka selalunya lebih besar dari kanak-kanak biasa, badan mereka selalunya lebih gempal tetapi otot-ototnya nampak lembik. Ini kemungkinan disebabkan oleh keadaan mereka yang kurang aktif menyebabkan otot-otot mereka tidak kuat seperti kanak-kanak biasa yang terlalu aktif pada peringkat ini.
Dari segi mental pula pertumbuhannya agak lambat dari kanak-kanak biasa. Keupayaan untuk memikirkan tentang banyak perkara tidak dapat mencapai tahap seperti mana pertumbuhan pada kanak-kanak biasa. Keupayaan mental mereka agak kebelakang dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Pertumbuhan mental mereka ketinggalan agak jauh kebelakang dari kanak-kanak biasa yang sebaya dengan mereka. Ini kemungkinan disebabkan oleh kerosakan saraf-saraf otak yang dialami oleh mereka.
Pertumbuhan dari segi sosial pula begitu ketara kalau dibandingkan dengan kanak-kanak biasa, mereka agak lambat untuk berinteraksi dengan ahli-ahli bukan keluaraga mereka seperti jiran, rakan sebaya dan guru. Mereka tidak pandai untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka terutamanya yang bukan dari keluarga mereka. Kemungkinan rasa rendah diri atau tidak mempunyai keyakinan diri yang membuatkan mereka sukar menyesuaikan diri
dalam masyarakat, lebih-lebih lagi jika tidak mendapat sokongan dari masyarakat sekelliling mereka.
Pertumbuhan perasaan suka , duka, kasih sayang dan sebagainya tetap ada pada diri kanak-kanak Sindrom Down ini. Mereka juga mempunyai emosi seperti kanak-kanak biasa yang lain. Mereka akan ketawa, menangis, sayangkan sesuatu seperti kanak-kanak biasa juga, cuma bezanya kawalan emosi tidak seperti kanak-kanak biasa. Mereka kurang mempunyai perasaan malu dibandingkan dengan kanak-kanak biasa yang sebaya dengan mereka.
2.4.2 Perkembangan
Didalam perkembangan fizikal kanak-kanak Sindorm Down, keupayaan mereka mengangkat, berjalan, berlari dan melompat tidak sama dengan kanak-kanak biasa. Kanak-kanak biasa mampu mengangkat benda-benda yang agak berat tetapi kanak-kanak Sindrom Down tak mampu melakukannya kerana otot-otot mereka yang agak lemah, begitu juga dengan keupayaan mereka berjalan, berlari dan melompat. Mereka tidak mampu melakukan semua itu kerana kelemahan pada otot-otot mereka dan juga kemungkinan masalah pada jantung mereka. Jadi perkembangan fizikal mereka tidak sama seperti kanak-kanak biasa yang seusia dengan mereka.
Dari segi perkembangan kognitif pula, kanak-kanak Sindrom Down ini kurang mempunyai kemahiran menggunakan bahasa, angka, pemikiran, penaakulan, pembentukan konsep dan ingatan. Ini adalah kerana perkembangan kognitif mereka tidak secepat kanak-kanak biasa, Tahap pemikiran mereka rendah dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Kanak-kanak Sindorm Down ini didapati sukar berbahasa dan kemahiran motor halus dan motor kasar lambat berkembang pada diri mereka.
Perkembangan dari segi sosial kanak-kanak Sindrom Down ini sangat rendah dibandingkan dengan kanak-kanak biasa, Mereka tidak dapat membezakan peranan antara lelaki dan perempuan, belum faham perbezaan lelaki dan perempuan walaupun umur mereka dah belasan tahun. Pergaulan mereka dengan rakan-rakan sebaya juga tidak menampakkan kematangan, mereka tidak dapat mengikut dan mempraktikkan disiplin kumpulan dengan baik seperti kanak-kanak biasa.
Dari segi emosi pula, kanak-kanak Sindrom Down ini tidak berupaya menguasai perasaan serta mengawal perasaan mereka ketika marah atau cemburu. Mereka kurang mempunyai perasaan malu dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Mereka akan menjerit dan menangis tanpa segan dikalayak ramai jika kemahuan mereka tidak dituruti. Perasaan segan atau malu kepada lain jantina juga kurang pada kanak-kanak ini, mereka kurang faham perbezaan peranan lelaki dan peranan perempuan, jadi perasaan malu kepada lain jantina kurang kepada mereka.
2.4.3 Personaliti
Kanak-kanak Sindrom Down selalunya mempunyai personaliti introvert, mereka kurang aktif dalam pergaulan, banyak menyendiri, kurang melakukan aktiviti kumpulan. Mereka tidak berapa suka dengan orang baru , terutama yang belum mereka kenali. Sukar diajak berbicara mungkin dsebabkan mereka kurang fasih berbahasa, mereka kurang percayakan diri sendiri, bersifat pemalu dan kadang- kadang menjadi pendiam. Walau bagaimana pun terdapat juga kanak-kanak Sindrom Down yang bersifat ekstrovert dan juga ambivert. Mereka yang berpersonaliti begini biasanya dipengaruhi oleh faktor persekitaran, terutamanya ibubapa, keluarga , jiran-jiran dan masyarakat keliling. Semua yang berada disekeliling mereka akan memberi motivasi kepada kanak-kanak ini untuk lebih berkeyakinan dalam mengharungi liku-liku hidup bermasyarakat. Apabila kanak-kanak ini mempunyai keyakinan diri, maka mereka akan lebih berani bergaul dengan orang- orang disekeliling mereka, mudah masuk dalam kumpulan-kumpulan, pandai menyesuaikan diri dengan rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Perasaan malu mereka dengan sendiri akan hilang dan mereka lebih suka bercampur dengan orang lain terutamanya dalam melakukan aktiviti berkumpulan.
Kanak-kanak biasa pula lebih berpersonaliti ekstrovert , mereka mudah dan cepat mendapat kawan, lebih suka berkumpulan dan lebih berkeyakinan diri dari kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Mereka lebih cepat menerima kawan baru dan bersifat terbuka dalam pergaulan. Jika terdapat kanak-kanak biasa bersifat introvert, ini kemungkinan terjadi oleh faktor-faktor genetik dan juga persekitaran. Contohnya masalah kegemukan akan membuatkan seseorang kanak-kanak itu memencilkan diri dari rakan-rakan kerana malu atau disisihkan oleh kawan-kawan.
Jadi personaliti ini boleh berubah pada setiap individu tidak kira kanak-kanak biasa ataupun kanak-kanak bermasalah pembelajaran khususnya Sindrom Down ini. Perubahan personaliti boleh dibentuk oleh orang terdekat dengan kanak-kanak Sindrom Down itu seperti ibubapa, keluarga dan guru-guru mereka serta
masyarakat sekeliling mereka. Kita perlu memberi input dan didikan ke arah positif demi membentuk personaliti yang sempurna bagi kanak-kanak ini.
2.4.4 Perbezaan kanak-kanak-biasa dengan kank-kanak Sindrom Down
Perbezaan kanak-kanak biasa dengan kanak-kanak Sindrom Down begitu ketara sekali dari segi fizikal, emosi, kognitif dan sosial mereka. Perkembangan kanak-kanak biasa dari segi fizikal, emosi, kognitif dan sosial adalah bersesuaian dengan peringkat umur mereka tetapi perkembangan untuk kanak-kanak Sindrom Down pula adalah terkebelakang berbanding dengan umur mereka. Ini adalah disebabkan oleh kebolehan intelek kanak-kanak sindrom Down ini rendah berbanding dengan kanak-kanak biasa. Tahap kerencatan mental kanak-kanak Sindrom Down inilah yang menyebabkan mereka kurang dari segi pencapaian dalam aspek-aspek fizikal, emosi. Sosial dan kognitif berbanding dengan kanak-kanak biasa yang sebaya dengan mereka.
Kanak-kanak Sindrom Down perlu didedahkan dengan konsep-konsep konkrit, iaitu konsep yang boleh dilihat dan disentuh. Peneguhan adalah sangat penting dilakukan dengan serta merta apabila sesuatu tugasan telah selesai tidak kira objektif tercapai atau pun tidak tercapai.
2.5 Suasana membesarkan kanak-kanak SD:
• Suasana persekitaran penting, membantu pembesaran kanak-kanak SD. Ketenangan dan kemesraan penjaga dapat merangsang penerimaan pembelajaran lebih cepat.
• Alat permainan perlu sesuai teknik pengajaran. Ia perlu ditambah untuk mengelak kebosanan mereka.
• Kanak-kanak SD perlu berasa selamat, disayangi dan diterima keluarga serta masyarakat. Ini membantu membentuk imej diri positif dan mendorong mereka belajar.
• Disiplin perlu diterap pada usia awal. Nyatakan had tingkah laku yang dibenar dan tidak dibenarkan.
• Perlu beri pujian kepada setiap kecermerlangan dicapai.
2.6 Membantu kanak-kanak SD bertutur
Kebanyakan kanak-kanak SD lambat bertutur. Mereka wajar dibantu pada usia awal. Antara langkah perlu diambil:
• Adakan kegiatan atau permainan bahasa yang dapat menarik perhatian mereka.
• Cuba dapatkan perhatian sebelum bercakap dengan mereka.
• Jangan terlalu banyak bertanya. Tunggu tindak-balas mereka dan beri mereka peluang menjawab.
• Guna ayat pendek dan bahasa mudah difahami.
• Sambil bertutur, buat aksi atau lakonan.
• Latihan berterusan.
• Pilih masa sesuai, terutama ketika mereka masih segar dan aktif.
• Tumpu kepada satu perkara. Beri masa, peluang dan latihan sebelum beralih kepada latihan baru.
• Guna setiap peluang, berinteraksi dengan mereka.
• Selalu beri tindak-balas kepada setiap percakapan mereka.
2.7 Peringatan kepada ibu bapa dan guru-guru:
• Cara terbaik kanak-kanak SD mempelajari perkara baru, melalui boneka.
• Pilih alat permainan sesuai tahap perkembangan kanak-kanak.
• Sedia bahan sampingan untuk permainan khayalan.
• Jangan terlalu memaksa mereka melakukan sesuatu.
• Boneka pilihan atau kesayangan, dapat dijadikan pendorong.
• Apabila kanak-kanak SD boleh bermain dengan alat permainan mudah, mereka boleh dibiarkan bermain sendirian.
• Jangan biar kanak-kanak SD bersendirian. Mereka perlu bergaul, memberi dan menerima tindak-balas daripada rakan.
2.8 Cadangan kepada ibu bapa
Jangan berasa sedih jika dikurnia anak SD. Ibu bapa perlu tabah dan atasi perasaan itu dengan menyayangi, membimbing dan mengajar mereka seperti anak normal.
Ibu bapa perlu membuat rujukan doktor, sekiranya mendapati anak mereka SD. Dapatkan maklumat mengenainya, dengan menghubungi pusat SD. Jadi ahli persatuan SD, cara itu anda dapat bertukar pengalaman dan berkongsi maklumat demi kebaikan anak.
2.9 RUMUSAN
Sindrom Down merupakan kecacatan baka (genetik) dan tidak boleh diubati. Dianggarkan Sindrom Down terjadi pada kadar satu bagi setiap 650 kelahiran. Perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak Sindrom Down lambat berbanding kanak-kanak biasa. Kanak-kanak Sindrom Down perlu pendidikan khas seawal mungkin agar dapat membantu mereka berdikari. Pengidap Sindrom Down boleh menguruskan diri mereka tanpa bantuan orang lain jika dididik dengan betul. Sindrom Down terbahagi kepada tiga—Trisomi, Translocation dan Mosaic. Tidak kira jenis apa, kanak-kanak Sindrom Down boleh dikenali melalui wajah mereka yang seiras. Masalah bahasa juga dapat dilihat dengan jelas berbanding dengan kanak-kanak biasa. Didikan dan tunjuk ajar yang berkesan dapat membantu mereka berdikari apabila tamat persekolahan nanti.
Perbezaan mereka dengan kanak-kanak biasa adalah sangat ketara dari segi fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Jadi pertumbuhan, perkembangan dan personaliti mereka adalah tidak sama dengan kanak-kanak biasa. Ini adalah disebabkan kecacatan yang mereka alami dari segi mental dan fizikal sejak lahir. Kita sebagai pendidik perlu bijak menangani permasalahan yang dihadapi oleh kanak-kanak Sindrom Down ini.
Sekian ,terima kasih . Diharap tugasan ini akan dapat memberi sedikit input kepada diri saya dan juga guru-guru yang bakal berkecimpung dalam dunia kanak-kanak berkeperluan khas ini khususnya Sindrom Down.



BIBLIOGRAFI:
Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, Maklumat Pendidikan Khas 2005, Putrajaya.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas. Kuala Lumpur.
Suraya Adam (1996). Perkembangan Pendidikan Khas dan Pendidikan Pemulihan serta Peranan Guru. Latihan Ilmiah: Bangi Universiti Kebangsaan Malaysia.
HBSL 1103 Pengenalan Pendidikan Kanak-kanak Masalah pembelajaran.
HBSL 1203 Psikologi dan Perkembangan Kanak-kanak Masalah Pembelajaran.
http://www.ds-health. com/trisomy.htm
http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=407
http://www24.brinkster.com/mawarbonda/Berita.htm



4 ulasan:

  1. thanks.. saya dapt info berguna kat sini tuk agsiment sy

    BalasPadam
  2. assalamualaikum,
    saya ade ambik input akak sbgai rujukan utk asgment saya. minta halal yea, syukran ats perkongsiannya..jazakillah khairan

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum.

    Saya memilki anak SD. Usia 2 setengah tahun kini. Saya ada menulis blog mengenainya dan juga info2 mengenai SD untuk sy share bersama2 dgn rakan2 senasib.

    Mohon untuk copy-paste artikel ni utk diletakkan di blog saya. Saya akan masukkan nama blog tuan sbg sumber . Terima kasih.

    Blog saya http://yang-teristimewa.blogspot.com/

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum. Saya pun sama spt pembaca lain byk dpt info utk asgmnt. Moga puan proleh pahala drp Allah dgn apa yang puan usahakan.

    BalasPadam