Ahad, 17 Januari 2010

Pengenalan Antropologi

1.0 Pengenalan
Pujangga silam ada berkata, jika kebahagian cinta dapat diwujudkan dalam perkahwinan, akan terciptalah syurga dunia. Madah tersebut lebih jelas tergambar apabila kita memahami maksud atau takrif bagi sesebuah perkahwinan. Menurut Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom dan Ramli Hassan (2006), perkahwinan merupakan satu ikatan yang menghalalkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan sama ada dari sudut agama atau pandangan sistem masyarakat setempat. Pergaulan dalam perkahwinan diselimuti penuh kemesraan dan kasih sayang yang membolehkan seseorang itu menikmati atau mengecapi sesuatu yang belum dirasainya ketika hidup membujang atau bersendirian.

Perkahwinan adalah satu institusi kehidupan yang paling asas dan terdapat hampir di seluruh dunia. Sejak Zaman Batu lagi, manusia telah mendirikan gerbang perkahwinan mengikut adat kepercayaan dan anutan fahaman masing-masing. Tegasnya generasi manusia berterusan sejak Allah s.w.t menciptakan Nabi Adam a.s dan hasil zuriatnya berkembang sehingga ke hari ini adalah daripada amalan perkahwinan itu sendiri. Hal demikian adalah bertepatan dengan Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu anak-anak dan cucu cicit serta dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yan baik lagi halal”

Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, maka mereka bukanlah daripada golonganku. Sunnahku ialah nikah, dan sesiapa yang mencintaiku maka amalkanlah Sunnahku, Sunnahku ialah berkahwin”


Melalui Firman Allah s.w.t dan Hadis Rasulullah s.a.w tersebut jelas menunjukkan bahawa instutusi perkahwinan sesuatu yang mulia dan dituntut khususnya kepada penganutnya. Islam sebenarnya mensyariatkan perkahwinan bukan hanya sekadar untuk keseronokan sahaja, bahkan untuk menyambung zuriat manusia di atas muka bumi. Menurut Mohamad Som Sujiman dan Abdul Basir Mohamad (2006), perkahwinan dan proses melahirkan anak-anak daripada perhubungan antara suami isteri merupakan suatu perkara yang lumrah, malah perkahwinan menjadi satu fitrah kehidupan manusia. Antara perkara yang menjadi tuntutan kepada sebuah perkahwinan ialah faktor biologi, faktor psikologi, faktor sosial dan faktor kerohanian.

Dari segi biologi, manusia yang sihat dan cukup sifatnya akan sentiasa mempunyai nafsu syahwat dan cinta berahi. Amat sukar untuk mengawal nafsu syahwat selain menyalurkan melalui ikatan yang sah. Menurut Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom dan Ramli Hassan (2006),seseorang yang memuaskan nafsu syahwat dan membina kasih sayang hasil daripada perhubungan ini akan lebih puas dan yakin terhadap kemampuan diri sebagai manusia bagi menghadapi kehidupan. Dari segi psikologi pula, manusia diciptakan tidak lepas daripada sifat lemah dan ingin berpasangan. Selain mengadakan hubungan batiniah, manusia mahukan teman untuk berbual-bual, berkongsi masalah dan bermanja-manja. Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom dan Ramli Hassan (2006), menyatakan bahawa, dengan menyalurkan kehendak seksual melalui perkahwinan, seseorang itu memperolehi ketenteraman fikiran atau tidak bimbang terhadap sebarang komplikasi hasil daripada hubungan tersebut. Seterusnya dari segi sosial, perkahwinan merupakan kunci yang membina asas sesebuah institusi kemasyarakatan. Ikatan perkahwinan dan kekeluargaan yang terbina boleh dijadikan asas ekonomi dan kuasa politik yang mampu menstabilkan negara. Dan faktor yang terakhir, iaitu dari segi kerohaniannya, perkahwinan adalah cabang penyucian jiwa serta merupakan arah jalan hidup kerana melalui perkahwinan keluarga akan terbentuk serta muncul semangat kasih sayang, tolong-menolong dan rasa kemesraan.

2.0 Perkahwinan Masyarakat Melayu (Islam)
Dalam masyarakat Melayu, perkahwinan merupakan sesuatu yang murni. Satu jalinan atau ikatan yang dimaterai melalui proses keagamaan dengan restu kedua ibu bapa dan dengan pengiktirafan masyarakat. Perkahwinan dalam masyarakat Melayu merupakan suatu upacara yang panjang lebar hingga memakan belanja yang besar dan masa yang agak panjang. Keadaan demikian kerana masyarakat Melayu beranggapan bahawa perkahwinan seseorang merupakan hari yang istimewa baginya. Pasangan pengantin dianggap dan dilayan sebagai raja, sebab itulah lahirnya ungkapan Raja Sehari. Sementara bagi seseorang gadis pula perkahwinan bererti berakhirnya kawalan ibu bapa terhadapnya. Upacara yang panjang dan pelbagai itu merupakan adunan upacara adat dan sebahagiannya tuntutan syariat Islam. Antara upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam malah sebahagiannya adalah dituntut seperti, merisik serta meninjau, melamar dan meminang , menghantar belanja, mas kahwin dan akad nikah, dan diakhiri dengan majlis perkahwinan atau walimah. Berikut dijelaskan maksud bagi setiap upacara yang menjadi kelaziman bagi sesebuah perkahwinan masyarakat Melayu khususnya mengikut lunas-lunas yang diizinkan Islam.

2.1 Merisik dan meninjau
Dalam soal yang berkaitan dengan perkahwinan, adat merisik merupakan langkah yang terawal sekali, iaitu untuk menentukan samada seseorang gadis itu telah bertunang atau telah mempunyai teman lelaki yang istimewa. Sekiranya gadis yang dimaksudkan itu telah bertunang atau mempunyai teman lelaki, maka hasrat untuk mengahwininya akan terhenti setakat itu sahaja. Adat ini dilakukan sebelum dilakukan adat meminang dan merisik merupakan satu perbuatan yang dilakukan dalam keadaan rahsia. Pihak lelaki mengutuskan wakil yang biasanya terdiri daripada saudara mara yang sudah biasa dengan urusan seumpama ini untuk merisik maklumat pihak sebelah gadis dan maklumat tersebut biasanya diperolehi melalui jiran-jiran terdekat keluarga gadis tersebut.

Adat merisik biasanya dilakukan dalam masyarakat tertutup, yang hubungan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan tidak dapat dilakukan. Secara prinsipnya merisik dilakukan apabila seseorang lelaki ingin mengahwini seseorang perempuan yang tidak dikenalinya atau mungkin dikenali tetapi sekadar perkenalan biasa. Setelah risikan dilakukan dan didapati gadis berkenaan belum berpunya lagi, adat meninjau akan dilakukan, yang biasanya dilakukan oleh orang yang sama.

Kedatangan wakil untuk meninjau biasanya tidak diberitahu terlebih dahulu. Ia bertujuan untuk melihat keadaan serta perwatakan gadis tersebut yang sebenar, latar belakang keluarga dan rumah tempat mereka tinggal. Suasana rumah yang kucar kacir dan berselarak boleh bertukar menjadi bersih dan kemas jika wakil memaklumkan terlebih dahulu yang dia akan datang berkunjung, lebih-lebih lagi jika pihak perempuan mengesyaki tujuan sebenar kehadiran wakil. Perkara-perkara yang ditinjau oleh wakil ialah peribadi gadis yang berkenaan, termasuk budi bahasa dan sopan santunnya. Keadaan ini boleh diperhatikan ketika gadis tersebut menyambut kedatangan tetamu, cara dia menghidangkan minuman atau makanan dan cara dia mempelawa tetamu minum juga boleh diperhatikan. Selain itu, cara seseorang gadis itu bercakap, cara membahasakan diri serta cara memanggil wakil yang berada di hadapannya juga diperhatikan. Pihak wakil lelaki juga memerhatikan beberapa aspek lain seperti kebersihan diri, terutamanya cara berpakaian dan berhias. Keadaan rumah juga boleh dijadikan ukuran untuk menilai seseorang gadis itu rajin atau sebaliknya.

Biasanya wakil tidak mengemukakan soalan-soalan peribadi tentang gadis berkenaan secara terus terang kepada penjaga atau ibu bapanya, ataupun kepada waris-waris yang kebetulan hadir bersama. Namun demikian dengan kebijaksanaan dan pengalaman wakil, perbualan mereka sedikit sebanyak diselitkan dengan pertanyaan mengenai gadis yang dirisik secara tidak langsung. Perbualan juga berkisar tentang bilangan adik-beradik. Antara lain adakah di antara mereka yang sudah berumah tangga dan yang paling perlu ialah adakah si gadis mempunyai kakak yang masih bujang. Sekiranya ada kakak atau abang yang belum kahwin lagi, hadiah atau sagu hati hendaklah diberikan kepada kakak atau abang tadi. Perkahwinan seumpama ini dinamakan melangkah bendul.

Meninjau umumnya meliputi seluruh aspek yang berkaitan dengan perempuan yang hendak dipinang, termasuk latar belakang ekonomi keluarga, tubuh badan, paras rupa dan lain-lain lagi. Hal-hal rahsia yang mungkin boleh menimbulkan rasa kecil hati biasanya diperolehi daripada orang lain, misalnya jiran sebelah rumah. Perkara tersebut biasanya ada kaitan dengan asal usul keterunan gadis tersebut, sama ada mempunyai penyakit keturunan, gila dan sebagainya. Masyarakat Melayu zaman dahulu khususnya ketika memilih calon isteri sangat mementingkan latar belakang pengetahuan agama, tata susila dan budi bahasa. Gadis yang diketahui tidak tamat mengaji al-Quran bukan merupakan pilihan yang sesuai. Urusan perkahwinan mungkin terhenti terus jika didapati gadis tersebut tidak pernah mengaji al-Quran atau sedang bertengkar dengan adik-beradik ketika tinjauan dilakukan.

Adat meninjau ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak lelaki bahkan juga oleh pihak perempuan. Ibu bapa pihak perempuan akan meninjau keadaan sebenar lelaki yang ingin memperisterikan anaknya seperti yang dilakukan oleh pihak lelaki, terutama untuk memastikan lelaki berkenaan masih bujang dan mempunyai latar belakang ekonomi yang baik dan mampu menyara hidup anak mereka. Tinjauan ini biasanya dilakukan ketika tempoh memberi jawapan sama ada pinangan yang dilakukan pihak lelaki itu diterima atau ditolak.

2.2 Melamar dan Meminang
Setelah segala urusan merisik dan meninjau sempurna dilakukan dan natijah yang diperoleh menggalakkan serta dirasakan bahawa gadis berkenaan serasi, maka langkah yang berikutnya ialah melamar. Maksud melamar ialah menanyakan persetujuan daripada pihak perempuan sebelum adat meminang dilakukan. Adat melamar merupakan satu pernyataan secara terus terang tentang keadaan seseorang gadis, sama ada sudah berpunya atau sebaliknya. Jika gadis tersebut masih belum berpunya maka persetujuan daripada pihak perempuan untuk menerima kedatangan meminang pihak lelaki dipastikan terlebih dahulu. Peminangan tidak boleh dilakukan kepada wanita yang telah dipinang oleh seseorang melainkan ianya telah melepaskan hak peminangannya. Hal tersebut pernah disabdakan oleh Nabi Muhamad s.a .w yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, maksudnya :
“Orang muslim adalah saudara mukmin, maka tidak halal bagi seseorang mukmin untuk meminang seseorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya hingga nyata sudah ditinggalkan”

Lamaran dilakukan oleh pihak lelaki dengan cara menghantar beberapa orang wakil yang terdiri daripada saudara-mara yang dipercayai boleh mengendalikan tugas tersebut, dan mungkin juga termasuk orang yang pernah ditugaskan untuk merisik dan meninjau. Dalam pertemuan tersebut kedua-dua belah pihak saling berbual dan bertanya untuk mendapat keterangan lanjut tentang pasangan yang akan dijodohkan. Di sesetengah tempat bahasa kiasan dan kata ibarat juga digunakan. Dalam urusan ini orang yang mahir memainkan kata-kata seperti berpantun diperlukan. Setelah semuanya sempurna dan gadis yang dimaksudkan belum berpunya serta bersedia menerima kedatangan rombongan meminang, pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin tanda, yang juga diistilah sebagai pertunangan tidak rasmi.

Lazimnya pihak perempuan akan meminta tempoh beberapa hari untuk memberi jawapan yang pasti, iaitu persetujuan menerima rombongan peminangan, sekalipun pihak perempuan sebenarnya suka dan bersetuju dengan rombongan pihak lelaki. Pihak perempuan meminta tempoh supaya tidak dikata orang yang pihak perempuan menjual murah. Masa tersebut boleh digunakan untuk berunding dengan saudara-mara di samping menyelidik latar belakang lelaki berkenaan dengan teliti dan berhati-hati demi kebaikan gadis berkenaan. Setelah persetujuan daripada pihak keluarga diperoleh dan dirasakan lelaki berkenaan sesuai dijadikan suami maka pihak perempuan akan memaklumkan keputusan tersebut ketika wakil pihak lelaki datang ke rumah gadis tersebut untuk menanyakan keputusan daripada pihak perempuan seperti yang telah ditetapkan. Sekiranya pihak perempuan bersetuju, utusan pihak lelaki meminta tempoh untuk berunding bagi menetapkan hari meminang secara rasmi.

Setelah berbincang dan mencapai kata sepakat, utusan daripada pihak lelaki datang untuk menetapkan hari pertunangan. Pelbagai perkara dibincangkan termasuk jumlah barang hantaran serta jumlah rombongan pihak lelaki yang akan datang bersama pada hari peminangan tersebut. Perkara tersebut dibincangkan untuk memudahkan pihak perempuan membuat persiapan untuk menerima kedatangan rombongan pihak lelaki di samping menyediakan balasan hantaran.

Sebelum meminang, seseorang lelaki harus melihat perempuan yang akan dipinang pada muka dan dua tapak tangan sahaja. Begitu juga sebaliknya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya agar kedua-duanya dapat menepati kehendak dan maksud masing-masing. Keharusan pihak lelaki boleh melihat perempuan yang akan dipinang pada anggota-anggota yang telah disebutkan sebelum ini walaupun tanpa keredhaannya, dan sebaik-baiknya kehadiran lelaki itu untuk melihat, dilakukan sebelum meminang. Seandaianya gadis itu tidak secucuk di hati pihak lelaki dengan sebab-sebab yang tertentu bolehlah ia mengundurkan diri tanpa menyakiti pihak gadis tersebut.

Pada hari yang dijanjikan, keluarga kedua-dua belah pihak bersiap sedia untuk menghantar dan menerima utusan meminang secara rasmi. Rombongan pihak lelaki terdiri daripada beberapa orang wanita dan lelaki yang telah berumur serta mempunyai hubungan keluaga yang rapat dengan pihak lelaki. Di kalangan mereka terdapat seorang yang berpengalaman dengan urusan seumpama ini dan akan bertindak sebagai ketua rombongan. Rombongan pihak lelaki berserta hantaran akan disambut oleh pihak perempuan yang memang telah sedia menunggu. Hantaran diletakkan di tengah majlis di hadapan seluruh hadirin. Wakil pihak perempuan akan duduk berhadapan dengan ketua wakil pihak lelaki untuk memulakan istiadat meminang. Sirih junjung diletakkan di hadapan mereka berdua.

Kebiasaanya satu majlis makan yang dimulakan dengan bacaan doa selamat diadakan. Selepas makan kedua-dua pihak saling berkenal-kenalan terlebih dahulu untuk melahirkan kemesraan atas pertemuan tersebut. Setelah saling berkenalan, wakil pihak perempuan memulakan istiadat dengan bertanya kepada wakil pihak lelaki tentang si empunya sirih di hadapan mereka. Wakil pihak lelaki menyebut nama lelaki yang diwakilinya dan nama perempuan gadis yang hendak dipinang pun disebut. Pelbagai soalan yang berkaitan antaranya dibicarakan oleh kedua-dua belah pihak dengan suara yang ditinggikan supaya dapat didengari dengan jelas dan semua perhatian tertumpu kepada perbualan mereka berdua. Kemudian tepak sirih yang diterima oleh wakil pihak perempuan dikembalikan kepada wakil pihak lelaki sambil memaklumkan sama ada peminangan tersebut diterima atau sebaliknya. Kemudian seorang wanita yang mewakili pihak lelaki, biasanya ahli keluarga yang terdekat akan masuk menemui gadis berkenaan untuk disarungkan cincin pertunangan. Dengan tersarung cincin tersebut maka rasmilah pertunangan gadis tersebut dengan lelaki yang berkenaan.

Majlis diteruskan lagi dengan kedua-dua belah pihak akan berbincang menetukan jumlah belanja hantaran, mas kahwin, dan tarikh untuk melangsungkan perkahwinan. Jumlah wang belanja kahwin biasanya diusulkan oleh pihak perempuan dan mengikut adat, jumlah wang hantaran yang ditentukan itu diterima andainya difikirkan munasabah dan dalam lingkungan kemampuan pihak lelaki. Jika pihak perempuan berat hendak menerima pinangan tersebut dan tidak berupaya untuk menolak secara terus terang, maka belanja yang tinggi dan tidak munasabah akan dikenakan sebagai salah satu helah untuk menolaknya. Umumnya rundingan tentang hantaran belanja kahwin adalah mudah, kedua-dua pihak cuba melancarkan rundingan supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Kedua-dua pihak turut membincangkan upacara perkahwinan seperti tarikh yang sesuai, jumlah hantaran serta bilangan rombongan yang akan mengiringi pengantin dan banyak lagi perkara lain yang perlu dibincangkan supaya majlis berjalan lancar.

2.3 Mas kahwin dan akad nikah
Mas kahwin ialah pemberian wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal dikahwininya. Jumlah mas kahwin tersebut ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi jika sudah baligh atau janda jumlahnya boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mas kahwin boleh dibayar dalam pelbagai cara yang mempunyai nilai atau memberi faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama. Mas kahwin boleh dibayar secara tunai atau berhutang. Jika mas kahwin secara berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang meninggal dunia. Jika suaminya meninggal dunia, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mas kahwin wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isteri dan jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan sebahagian daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh dan mas kahwin masih berhutang, suami tidak wajib membayarnya tetapi jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mas kahwin tersebut.
Adapun hantaran belanja kahwin adalah tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seseorang lelaki yang ingin berkahwin untuk membayar mas kahwin sahaja. Mas kahwin boleh terdiri daripada emas, duit, besi atau sekadar bacaan al-Quran. Namum begitu tidak menjadi kesalahan dalam masyarakat Islam untuk memberi dan menerima hantaran belanja kahwin yang telah dipersetujui bersama. Sebaik-baiknya jumlah hantaran belanja kahwin tidaklah membebankan pihak lelaki.

Akad nikah merupakan satu acara yang paling penting dalam sesebuah perkahwinan masyarakat Islam. Akad nikah bukan suatu adat tetapi merupakan tuntutan agama yang mesti dilaksnakan dengan sesempurna mungkin. Upacara ini dilaksnakan selepas segala perjanjian yang dikenakan ke atas pihak lelaki telah dilaksanakan, seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan hantaran lain sepertimana yang telah dipersetujui bersama kedua-dua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat Qadi ataupun di rumah pengantin perempuan. Namun sebaik-baiknya majlis akad nikah tersebut dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempatnya luas, terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan pengantin lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki perempuan sukar dikawal. Selain mengganggu pengantin lelaki, sepatutnya pengantin perempuan mesti berada di dalam bilik atau di sebalik tabir atau tirai supaya terlindung daripada kaum lelaki. Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat Qadi yang menikahkan.

Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah. Dalam upacara akad nikah bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya, namun dia juga boleh mewakilkannya kepada Qadi atau Imam. Qadi atau Imam akan dibantu oleh dua orang saksi yang adil. Lazimnya sementara menunggu kehadiran rombongan pihak lelaki majlis berzanji atau khatam al-Quran diadakan. Sebelum upacara akad nikah dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh Qadi atau Imam serta dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas hamparan khas di tengah-tengah majlis. Wali atau wakil wali akan menemui pengantin perempuan untuk bertanya sama ada dia bersetuju atau sebaliknya dengan pernikahan yang akan dijalankan. Qadi atau Imam juga akan membacakan khutbah nikah serta menerangkan secara umum akan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain yang berkaitan dengan rumahtangga yang bakal dibina dari sudut Islam. Kemudian Qadi atau Imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki hendaklah menyambut lafaz nikah tersebut. Lafaz tersebut berbunyi :
“ Aku nikahkah dikau polan binti polan (pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak RMXX (telah ditetapkan) tunai” dan disambut pengantin lelaki “Aku terima nikahnya ...(sama seperti yang dilafazkan oleh Qadi atau Imam)”

Kedua-dua saksi mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas didengar atau perlu diulangi sehingga kedua-dua saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda syukur kerana kedua-dua mempelai telah selamat dijabkabulkan. Selepas selesai majlis akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur. Kemudian pengantin lelaki akan menemui pengantin perempuan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin kepada isterinya dan keduanya bersalaman. Adat ini dilaksanakan sebagai simbolik kedua-duanya telah sah dijabkabulkan dan bermulalah kehidupan suami isteri.

2.4 Majlis Perkahwinan atau walimah
Mengadakan majlis perkahwinan atau walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran Islam dan sunnah Rasulullad s.a.w kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim serta mendoakan kebahagian pasangan pengantin. Majlis perkahwinan atau walimah juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu. Tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali orang-orang miskin.

Majlis perkahwinan atau walimah bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya mengikut anjuran agama. Alangkah ruginya, jika majlis yang dirancang bukan sehari dua, malah berbulan-bulan dan mungkin juga bertahun-tahun dengan perbelanjaan yang agak besar tetapi dianggap sia-sia dan tidak mendapat balasan baik di sisi Allah s.w.t kerana penganjurannya diselit dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Antara upacara yang bertentangan dengan syariat Islam ialah seperti istiadat menepung tawar, bersanding, tidak mengundang golongan miskin, nyanyian serta tarian joget lambak dan sebagainya.

Majlis perkahwinan atau walimah adalah sunat diadakan tetapi menerima jemputan adalah wajib selagi majlis tersebut tidak tersasar daripada syariat Islam. Terdapat beberapa adab dalam majlis perkahwinan atau walimah, seperti dilakukan selepas upacara akad nikah, menjemput jemputan mengikut keutamaan, iaitu saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran serta kenalan. Bagi pengantin wanita pula hendaklah mengikut sunnah Nabi Muhamad s.a.w dengan cara bersederhana, tiada unsur maksiat dan kemungkaran. Islam membenarkan majlis perkahwinan atau walimah dijalankan mengikut adat resam budaya masing-masing selagi tidak dipengaruhi dengan adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain. Islam juga melarang sama sekali berhutang yang membebankan bagi tujuan untuk menganjurkan majlis perkahwinan atau walimah.

Sudah menjadi kelaziman, majlis perkahwinan tersebut akan diadakan secara bergotong-royong yang melibatkan keseluruhan masyarakat setempat. Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai-bagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan bilik pengantin, menyediakan bunga telur dan seumpamanya. Orang-orang lelaki dewasa bertanggungjawab menyediakan juadah pada majlis tersebut, pemuda dan pemudi sedia membantu sebagai penanggah dalam majlis tersebut. Beberapa hari sebelum itu, kaum ibu amat sibuk bergotong-royong memastikan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak disediakan secukupnya.

Pada hari tersebut, majlis diadakan dengan penuh meriah dengan dihadiri sanak saudara jauh dan dekat, jiran tetangga serta sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket yang dihias indah dengan perhiasannya sekali. Kehadiran pengantin lelaki dan rombongan akan disambut oleh pengantin perempuan diiringi dengan paluan kompang. Pasangan mempelai diarak dengan bunga manggar menuju ke rumah pengantin perempuan, kemudian kedua mempelai dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat yang disediakan. Kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga menyembah pengantin juga akan diadakan. Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya disertai oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua mempelai akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.


3.0 Perkahwinan Masyarakat India (Hindu)
Perkahwinan seperti diungkapkan dalam Kita suci Veda ialah untuk mewujudkan kebahagian bersama lahir dan batin termasuk pula dalam pengertian untuk memperoleh keturunan yang suputra (anak-anak dan cucu-cucu) sebagai penerus kehidupan keluarga. Penyatuan suami isteri yang tidak dapat dipisahkan diibaratkan suami isteri itu satu jiwa dua badan. Dari perkahwinan mempelai diamanatkan untuk bergembira dan tinggal di rumah sendiri yang menunjukkan kepada kita seseorang yang telah sedia memasuki gerbang perkahwinan (Gahastha) hendaknya dapat menyiapkan rumah sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Bagi masyarakat India perkahwinan adalah berbentuk perkahwinan monogami. Perkahwinan masyarakat India di Malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu vaitiikat tirumanam, tamil tirumanam dan eliyat tirumanam. Perkahwinan masyarakat India biasanya dilaksnakan mengikut golongan etnik iaitu Tamil, Malayalam, Telugu dan sub etnik seperti Chetti, Mutaliyar, Veelaalar, Teevar dan sebagainya serta status ekonomi, pedanda iaitu Brahmin Gurukkal, Pandaaram dan sebagainya. Terdapat beberapa upacara yang perlu dilalui dalam sesebuah perkahwinan masyarakat India.

3.1 Merisik
Apabila seseorang lelaki telah mengemukakan hasrat hati untuk berkahwin kepada ibu bapanya, ibu bapa lelaki atau saudara terdekat akan bertindak untuk merisik seseorang gadis yang akan diperisterikannya. Dalam upacara merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu faktor-faktor lain seperti status ekonomi serta status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga tidak dipandang ringan atau diabaikan. Biasanya maklumat-maklumat tersebut diperolehi secara langsung daripada pihak-pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat handai dan saudara-mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik.

3.2 Kunjungan ke rumah pengantin
Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan gadis yang menjadi calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau melihat bakal isteri. Dalam upacara tersebut rombongan pihak pengantin lelaki perlu datang dalam jumlah yang ganjil walaupun dalam bilangan yang ramai. Rombongan pihak lelaki akan membawa bersama buah tangan dalam kunjungan tersebut seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum untuk diserahkan kepada pihak perempuan. Buah tangan tersebut dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima buah tangan yang dibawa oleh pihak lelaki sekiranya bersetuju dengan maksud tersebut. Jika sebaliknya, mereka hanya melayan orang yang datang sebgai tetamu dan tidak boleh menerima barang-barang tersebut.

Bakal pengantin perempuan akan memakai sari serta dipertanggungjawabkan untuk menghidangkan minuman. Ketika itu bakal pengantin lelaki berpeluang untuk melihat dan menilai calon isteri dengan lebih dekat lagi. Oleh itu, bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan itu dibalas pula oleh wakil perempuan. Bakal pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.

Setelah berlakunya adat kunjung-mengunjung kedua-dua belak pihak, kedua-dua bakal pengantin akan mengkaji kesesuaian atau kecocokan antara mereka berdua untuk hidup sebagai sepasang suami isteri yang serasi. Adat penyesuaian bakal pengantin ini disebut sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, kerana dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep penceraian. Oleh yang demikian kedua-dua pihak berhati-hati untuk membuat keputusan untuk hidup bersama sebagai suami isteri. Terdapat 21 aspek yang perlu yang diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Di antara yang masih diamalkan lagi dalam masyarakat Hindu ialah Tina poruttam, Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam, dan Veetai poruttam.

3.3 Ikat janji / niccayam
Upacara ikat janji atau niccayam akan dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah bakal pengantin perempuan dengan jumlah yang ganjil serta membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil pihak perempuan. Sebaik sahaja sampai di rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji untuk bersatu.

Seterusnya bakal pengantin lelaki akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Kemudian perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian daripada itu, mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan, juga tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.


3.4 Parisam
Setelah selesai upacara ikat janji, pasangan pengantin akan melakukan adat parisam. Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah merupakan pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah yang ganjil. Hantaran-hantaran tersebut perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali.

Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada masa yang sama alat muzik tradisional seperti naatasawaram dan meelam dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil kuttu vilakku diletakkan bersebelahan puuruna kumbum sebagai menunjukkan kurniaan tuhan.

Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang yang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberikan keapada anaknya. Ketika itu pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberikan kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin, adat ikat janji dan pemberian hadiah merupakan adat yang sering dilakukan oleh masyarakat India. Namun ada di kalangan mereka yang tidak lagi melakukan upacara tertsebut untuk mengelakkan pembaziran.

3.5 Majlis Perkahwinan
Kemuncak kepada segala upacara yang panjang itu ialah diadakan majlis perkahwinan. Namun dalam masyarakat India, sebelum majlis perkahwinan berlangsung terdapat beberapa perkara penting yang perlu dilaksnakan. Antaranya kad jemputan, penyediaan thaali atau tjrumaanggalyam dan mukuurtta kaal.

Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan dibuat berdasrkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang. Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang, kelapa, pinang, dan sebagainya yang melambangkan kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.

Thaali atau tjrumaanggalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Keadaan ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawarkan perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali. Kemudian upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiya. Dalam upacara ini bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak wajib diperbuat daripada emas, kerana thaali boleh dibuat daripada kunyit untuk mengelakkan daripada kecurian.

Mukuurtta kaal pula diadakan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukuurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran antara dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter. Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan seperti sirih pinang, kumkum, kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan berdoa kepada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu yang telah dibuang kulitnya. Hujung kayu tersebut diikat dengan daun ara atau mangga dengan menggunakan kain berwarna merah. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin berserta lima orang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Lazimnya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam, yang menunjukkan perkahwinan ini dijalankan adalah berdasarkan aspek suku kaum. Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan seumpamnya. Kad ucapan disapu dengan air kunyit di bawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi perkahwinan. Upacara kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus yang disapu dengan kunyit tiga hari sebelum hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin perempuan. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami ister.

Adat dalam perkahwinan tidak berakhir dengan majlis perkahwinan sahaja. Masih terdapat beberapa adat yang dijalankan selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat selepas majlis perkahwinan ialah, pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Ketika itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan. Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Makanan selain daripada sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging.
4.0 Ringkasan Upacara Perkahwinan
4.1 Adat perkahwinan dalam masyarakat Melayu :
Merisik Dijalankan oleh saudara mara terdekat bagi pihak lelaki seperti ibu bapa. Bertujuan memastikan gadis yang dihajati itu belum atau sudah berpunya dan untuk menyelidiki latar belakang gadis serta keluarganya.

Meminang Urusan meminang dilakukan oleh kaum keluarga terdekat bagi pihak lelaki. Bertujuan menetapkan tarikh, masa dan hari yang sesuai untuk bertunang, termasuk hantaran dan jumlah rombongan.

Bertunang Pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran secara rasmi. Untuk berbincang mengenai belanja kahwin, tempoh pertunagan dan hal-hal lain.

Akad nikah Selepas dilaksanakan segala perjanjian seperti wang belanja, mas kahwin, dan hantaran yang ditetapkan. Biasanya dilakukan di masjid atau surau.

Majlis perkahwinan Kemuncak istiadat perkahwinan dan pengantin digelar raja sehari. Diadakan di rumah pengantin perempuan dengan diadakan kenduri yang sangat meriah. Bertujuan untuk menyatakan kesyukuran kepada tuhan dan perkhabaran gembira kepada masyarakat

4.2 Adat perkahwinan dalam masyarakat India :
Merisik Bertujuan untuk melihat beberapa aspek seperti fakator etnik, sub etnik, kasta dan agama. Juga untuk melihat faktor lain seperti status ekonomi dan sosial yang merangkumi umur, tahap pendidikan, pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga.
Melihat bakal isteri Selepas merisik, pengantin lelaki akan pergi ke rumah bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri. Pihak lelaki datang dengan jumlah yang ganjil. Kelapa, sirih pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta kumkum dibawa sebagai buah tangan.
Ikat janji / niccayam Bakal pengantin lelaki melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Sebagai tanda ikatan kedua-dua bakal pengantin akan menukar sirih pinang yang disebut taambuulan marrutal.
Parisam Adat parisam terbahagi dua, parisam biasa iaitu pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam ialah pemberian hadiah pada hari yang sama sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan.
Upacara perkahwinan Upacara dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia. Pedanda menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai menyarung cincin. Pengantin lelaki mengalungkan thaali kepada pengantin perempuan hingga ke aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin

5.0 Persamaan dan Perbezaan
Daripada huraian yang telah diberikan di atas, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan dalam upacara atau istiadat perkahwinan dalam masyarakat Melayu mengikut lunas-lunas Islam serta perkahwinan masyarakat India yang menganut agama Hindu.

5.1 Adat Merisik
Dari segi persamaan adat merisik ini ialah, adat merisik bagi kedua-dua masyarakat iaitu masyarakat Melayu (Islam) dan masyarakat India (Hindu) adalah merupakan langkah awal ke arah menyatukan dua hati antara si lelaki dan si perempuan. Adat merisik bagi kedua-dua masyarakat tersebut biasanya dilakukan oleh saudara terdekat yang menjadi wakil pihak lelaki ke atas si gadis yang menjadi pilihan si lelaki dengan niat untuk memperisterikannya. Kadang-kadang orang tengah atau jiran terdekat sebelah perempuan akan membantu pihak lelaki dalam mengenali si gadis serta keluarganya. Banyak maklumat dapat dicungkil daripada orang tengah tersebut.

Dari segi perbezaannya pula, adat merisik bagi masyarakat Melayu dilakukan secara rahsia, yakni tidak diketahui oleh pihak perempuan. Tujuan merisik bagi masyarakat melayu ialah untuk mengetahui samada gadis yang menjadi pilihan hati si lelaki telah bertunang atau mempunyai teman yang istimewa atau tidak. Jika gadis tersebut telah bertunang atau mempunyai teman istimewa maka hasrat untuk mengahwininya akan terhenti setakat itu sahaja. Selain itu wakil pihak lelaki yang terlibat dalam upacara merisik juga membuat tinjauan tentang perwatakan gadis tersebut, latar belakang keluarga, serta keadaan rumah tempat tinggal keluarga gadis tersebut.

Sementara adat merisik bagi masyarakat India menekankan beberapa perkara seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Di samping itu faktor-faktor status ekonomi keluarga, umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras si gadis diambil perhatian dan tidak ketinggalan tentang latar belakang keluarga.

5.2 Kunjungan ke rumah pengantin
Adat berkunjung ke rumah perempuan oleh bakal pengantin lelaki untuk melihat sendiri paras rupa dan perwatakan gadis yang menjadi calon isterinya adalah amalan dalam masyarakat India. Dalam masyarakat Melayu adat tersebut amat jarang dilakukan, walaupun Islam mengharuskan seseorang lelaki untuk melihat pada muka dan dua tapak tangan gadis pilihannya sebelum upacara peminangan dijalankan. Bakal pengantin biasanya mendapatkan maklumat daripada wakil yang telah pergi merisik.

5.3 Melamar dan meminang atau ikat janji
Dalam masyarakat Melayu, selepas adat merisik, jika pertimbangan dibuat bahawa gadis tersebut sesuai menjadi calon isteri bagi seseorang lelaki, maka upacara melamar dan meminang akan dilakukan. Melamar bermakna penyataan secara terus terang dari pihak lelaki terhadap pihak perempuan sama ada gadis tersebut sudah berpunya atau sebaliknya dan jika gadis belum berpunya maka persetujuan pihak perempuan untuk menerima kedatangan pihak lelaki untuk meminang dibincangkan.

Pada hari yang dijanjikan, rombongan pihak lelaki yang terdiri beberapa orang wanita dan lelaki yang telah berumur akan berbincang dengan wakil pihak perempuan mengenai belanja hantaran, mas kahwin, tarikh untuk melangsungkan perkahwinan dan sebagainya. Sebentuk cincin pertunangan akan disarungkan ke jari gadis sebagai tanda rasmi pertunangan. Sejumlah hantaran yang dipersetujui yang dibawa oleh pihak lelaki akan dibalas pula dengan sejumlah hantaran dari pihak perempuan.
Sementara dalam masyarakat India, upacara ikat janji atau niccayam dijalankan setelah kedua-dua pihak mendapati kedua-dua bakal pengantin secocok untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Wakil pihak lelaki akan datang ke rumah bakal pengantin perempuan dengan jumlah yang ganjil berserta barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana, dan kumkum untuk diserahkan kepada pihak perempuan. Kedua-dua bapa akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Dalam upacara ikat janji atau niccayam bakal pengantin akan melafazkan ikat janji menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Sebagai tanda ikatan kedua-dua bakal pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal.

5.4 Mas kahwin dan akad nikah atau Parisam
Mas kahwin dan upacara akad nikah merupakan dua perkara yang wajib yang tidak dapat tidak mesti disempurnakan dalam sesebuah perkahwinan bagi masyarakat Melayu. Mas kahwin ialah pemberian wajib pengantin lelaki kepada gadis yang menjadi calon isterinya. Lazimnya pada masa kini, mas kahwin dibayar dalam bentuk wang sama ada tunai ataupun hutang, tetapi mas kahwin juga boleh diberikan dalam bentuk yang lain selain wang mengikut permintaan wali si gadis atau permintaan bakal pengantin yang status janda.

Akad nikah pula ialah satu bentuk lafaz atau ikrar yang dilakukan oleh wali atau wakilnya iaitu Imam atau Qadi dan disambut oleh pengantin lelaki. Sebelum akah nikah dilakukan pengantin lelaki hendaklah menyempurnakan hantaran belanja, dan mas kahwin terlebih dahulu. Selain kehadiran wali atau wakil wali, pengantin lelaki dan perempuan majlis akad nikah juga perlu disaksikan oleh dua orang saksi yang adil mengikut pandangan Islam. Imam atau Qadi akan membaca khutbah nikah kepada kedua-dua pasangan yang mendirikan rumah tangga. Dengan termetrinya lafaz akad nikah ini bererti rasmilah kedua-dua pengantin sebagai pasangan suami isteri. Lenyaplah segala yang diharamkan kepada lelaki dan perempuan yang ajnabi.

Dalam masyarakat India, pemberian yang setara dengan mas kahwin yang dilakukan oleh masyarakat Islam disebut Dowry. Lazimnya ialah berupa pemberian wang atau barangan daripada keluarga isteri kepada pihak suami. Tetapi amalan tersebut sudah tidak diamalkan secara menyeluruh dalam masyarakat India moden. Dalam masyarakat India moden pengantin lelaki akan memberikan beberapa jenis hantaran yang disebut parisam dalam jumlah yang ganjil kepada pihak perempuan. Parisam ini disediakan oleh wanita yang sudah bersuami dan mereka dipanggil cumanggali. Bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberikan anaknya. Ketika itu pengantin perempuan akan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan, dan beberapa orang saudara mara akan mengalungkan bunga pada bakal pengantin perempuan.

Upacara perkahwinan dalam masyarakat India dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin akan menikmati kehidupan bahagia berumahtangga hingga ke hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin selepas upacara menyarung cincin. Upacara tersebut diteruskan dengan pengantin lelaki mengalungkan thaali kepada pengantin perempuan. Kemudian mereka berdua memberi hormat kepada ibu bapa dan mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan serta menyapu debu suci di dahi pada pengantin perempuan. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan meminum susu bercampur pisang dalam sebiji gelas. Upacara tersebut menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.


5.5 Majlis Perkahwinan
Kemuncak kepada istiadat dan upacara perkahwinan bagi masyarakat Melayu dan India ialah mengadakan majlis perkahwinan. Bagi masyarakat melayu majlis perkahwinan juga dikenali sebagai walimah. Majlis seumpama ini adalah sunnah Rasullah s.a.w kerana tujuan majlis perkahwinan ialah untuk menghebahkan kepada masyarakat setempat bahawa sipolan dan sipolan telah mendirikan rumah tangga yang sah. Keadaan ini dapat mengelakkan berlakunya fitnah. Di samping itu majlis perkahwinan juga sebagai landasan untuk mengeratkan silaturrahim sesama saudara-mara, rakan dan taulan. Berbagai juadah atau hidangan disediakan kepada para jemputan tanpa mengira kedudukan atau darjat seseorang.
Bagi masyarakat India pula, yang dititik beratkan ialah persiapan sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Persiapan yang dimaksudkan ialah kad jemputan, penyediaan thaali dan mukuurtta kaal. Kad jemputan dalam bilangan yang ganjil akan dibawa ke kuil untuk bersembahyang bersama. Kemudian kad tersebut akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan sebaliknya. Thaali pula sebagai lambang kesucian perkahwinan yang dikalungkan ke leher kedua-dua pengantin, dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum majlis perkahwinan. Manakala mukuurtta kaal pula diadakan lima hari sebelum hari perkahwinan.

Berbeza dengan masyarakat Melayu, majlis perkahwinan masyarakat India dilakukan dikuil dengan upacara-upacara keagamaan dengan niat memohon restu dari tuhan. Pasangan pengantin melakukan pelbagai upacara dengan disaksikan oleh saudara mara dari kedua-dua belah pihak. Kemuncaknya kedua-dua mempelai akan disandingkan dengan penuh adat dan amalan keagamaan. Jamuan seperti sayur-sayuran disediakan kepada para tetamu.

6.0 Kesimpulan
Sesebuah perkahwinan yang menyatukan antara dua hati bagi mana-mana masyarakat di dunia ini akan melalui pelbagai upacara yang dipengaruhi oleh adat atau keagamaan. Dalam masyarakat Islam umpamanya terdapat upacara yang ditunjangi adat dan ada yang mengikut ajaran agama. Namun selagi adat tidak bertentangan dengan agama upacara tersebut adalah harus dilakukan. Jika upacara adat tersebut bertentangan dengan ajaran agama maka upacara tersebut tidak wajar lagi dilaksanakan di dalam sesebuah perkahwinan, umpamanya bersanding, menepung tawar dan sebagainya. Sebuah perkahwinan yang menempuh masa dan upacara yang panjang ini diharapkan ianya akan mendapat keberkatan, melahirkan zuriat keturunan yang akan menambahkan lagi kebahagian berumah tangga. Kesabaran dan kematangan dalam mengemudi bahtera berumahtangga amatlah penting sekali supaya mahligai yang dibina akan terus berdiri kukuh hingga ke akhir hayat.


RUJUKAN
Amran Kasimin. 2002. Perkahwinan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Mohtar H. Md Dom. 1977. Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu. Petaling Jaya : Federal Publications Sdn Bhd.

Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom dan Ramli Hassan. 2006. Seksualiti Manusia – keharmonian jalinan antara jantina. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohamad Som Sujimon dan Abdul Basir Mohamad. 2006. Fikah Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Shamsuddin Suhor dan Noor Aziah Mohd Awal. 2007. Undang-undang Keluarga Sivil Jilid 9. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://emjayjb.multiply.com/journal/item/155

http://idesa.net.my/modules/news/article.php?storyid=114

http://kebudayaan.kpkk.gov.my/about/perkhidmatan/?c5=473&menu_id=46&c3=40&click=1

http://malaysiana.pnm.my/01/01010201mel_merisik.htm

http://malaysiana.pnm.my/01/01030201ind_merisik.htm

http://www.malaysiabanner.com/wedding/lamaran/adatmeminang.html

http://malaysianwedding.blogspot.com/

http://perkahwinanindia.blogspot.com/2007/09/perkahwunan-india.html

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3244:perkahwinan-masayarakat-india&catid=185:masyarakat_majmuk

http://syikinyahya.wordpress.com

http://unitagamakmb.com/

1 ulasan: