Isnin, 18 Januari 2010

Pendidikan Moral Tahun 2

1.0 Pengenalan
13 Mei 1969 telah mencatatkan satu sejarah hitam negara kita, apabila berlakunya tragedi berdarah yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat biasa. Tragedi tersebut berlaku kerana tiadanya persefahaman antara kaum yang terdapat di dalam negara kita. Api perkauman yang menyala-nyala membakar semangat perkauman rakyat sehingga pihak kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat. Pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku itu, pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang drastik seperti memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 yang berbentuk serampang dua mata, iaitu menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum melalui kegiatan ekonomi. Menurut Ibrahim Saad (1990), seterusnya pihak kerajaan juga telah memberikan penekanan dalam sistem pendidikan dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah, mengadakan kurikulum yang sama serta berorentasikan Malaysia, menyediakan peluang pendidikan serta pengagihan peruntukan yang adil antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Menurut Nazarudin Hj Mohd Jali et.al (2001), ekoran dari rusuhan atau sengketa kaum 13 Mei 1969 juga, menyebabkan kerajaan melancarkan Rukunegara yang akan memupuk perpaduan dan integrasi nasional.

Ahli-ahli sejarah negara kita telah berpendapat peristiwa tersebut juga disebabkan kerapuhan hubungan antara kaum yang telah sengaja dan dirancangkan oleh penjajah British ketika menjajah negara lebih daripada seratus tahun. Pihak penjajah telah menjalankan dasar pecah dan perintah dengan menempatkan orang-orang Melayu di kampung-kampung, orang-orang Cina di lombong-lombong dan kawasan bandar manakala orang-orang India ditempatkan di kawasan ladang dan estet-estet. Konsep ini telah menimbulkan ketidaksefahaman antara kaum serta bibit-bibit pransangka terhadap kaum yang lain sentiasa berakar umbi di kalangan masyarakat, sehingga mendorong tercetusnya perkara-perkara yang tidak diingini.

Secara umumnya seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini mengharapkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 tersebut tidak akan berulang lagi. Oleh itu pelbagai program diatur supaya persefahaman antara kaum dapat diwujudkan serta menjadi pegangan kepada generasi demi generasi yang akan datang. Sehubungan dengan itu untuk menyemaikan benih persefahaman antara kaum di kalangan murid-murid, suatu program yang berbentuk mendengar suara hati (conscience building program) wajar dilaksanakan.

2.0 Konsep Suara Hati (conscience)
Dari segi bahasa suara hati membawa maksud perasaan dalaman seseorang individu. Menurut Kamus Dewan (2002), suara hati ialah merupakan perasaan hati untuk membezakan antara baik dengan buruk. Suara hatilah yang akan menjelmakan perasaan menyesal atas sesuatu perkara buruk yang telah dilakukan. Sebagai contoh, seseorang murid yang telah meniru dalam peperiksaan, akan merasa menyesal melalui suara hatinya, walaupun beliau telah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan tersebut. Menurut http://www.unimas.my suara hati ialah ruang kosong yang ada dalam diri manusia yang harus diisi dengan hal-hal yang baik. Jika ruang kosong tersebut tidak diisi dengan hal-hal yang baik, secara automatik ruang kosong tersebut akan terisi dengan hal-hal yang buruk dan keji. Umpamanya hal-hal yang baik yang patut dilakukan oleh seseorang murid sekolah ialah memberikan ucapan salam ketika berjumpa dengan guru. Sekiranya murid tersebut tidak berbuat demikian, dengan sendirinya menunjukkan bahawa murid tersebut tidak menghormati gurunya.

Immanuel Kant (1724) pula menterjemahkan suara hati sebagai hak bagi seseorang untuk tidak melakukan sesuatu sekiranya ianya melanggar prinsip moral yang mereka pegang. Bagi Kant prinsip moral yang dipegang ialah sesuatu tindakan yang dilakukan mesti mengambil kira manusia sebagai matlamat tetapi bukan sebagai alat untuk mencapai matlamat. Sebagai contoh, seseorang itu adalah dianggap bermoral apabila menolong orang yang di dalam kesusahan, sebaliknya mencuri harta orang lain adalah tidak bermoral kerana beliau dijadikan alat untuk mencapai kebahagian orang lain. Prinsip yang kedua, manusia adalah bertanggungjawab ke atas sesuatu perkara yang dilakukan kerana seseorang itu mempunyai akal untuk berfikir dan memilih sesuatu tindakan. Prinsip yang berikutnya sesuatu tindakan itu dapat dipertahankan secara moral apabila ia menghormati kebebasan maruah dan hak manusia lain, dan prinsip ini dapat digunakan oleh semua orang disemua tempat.

Justeru sesuatu tindakan yang diambil oleh murid-murid di sekolah sewajarnya mengambil kira prinsip tersebut, seperti tidak menyimpan pransangka terhadap orang lain terutamanya yang berlainan bangsa, jantina, agama, sosio ekonomi dan sebagainya. Kita wajib mengakui kebaikan yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita, menunaikan janji yang dibuat, bercakap benar, mengamalkan keadilan dalam semua perkara serta tidak mencederakan orang lain tanpa sebab yang munasabah. Keadaan ini turut dijelaskan oleh Mardzelah Makhsin (2007), bahawa konsep kewajipan moral itu termasuklah mengatakan kebenaran, menunaikan janji, mengakui kebaikan orang lain, adil dan tidak mencederakan orang lain.

Dalam Islam suara hati (conscience) digambarkan dengan berbagai-bagai nama seperti, qalb, fu’ad, lubb, sirr, ‘aql dan sebagainya. Apa jua istilah dan sebutannya semua itu berhubung dengan pengertian kesedaran, atau biasa disebut di dalam wacana Islam sebagai hati atau qalb (kalbu). Hati manusia itu sentiasa bolak-balik, yakni suatu ketika merasa senang dan diketika yang lain merasa susah, disuatu ketika menerima sedangkan diketika yang lain menolak. Nabi Muhamad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Hati disebut qalb (yang berbolak-balik), kerana kondisinya memang suka
berbolak-balik. Perumpamaan hati itu seperti sehelai bulu yang menancap
di akar pohon, ia akan berbolak-balik tak keruan digerakan oleh angin”
(Riwayat Ahmad)

Kesimpulannya konsep suara hati yang dibincangkan ini memang telah wujud dan diamalkan oleh sebahagian masyarakat yang berbilang kaum di negara kita dalam sesetengah perkara. Maknanya proses penambahbaikkan terhadapnya masih jauh dan panjang serta perlu diteruskan. Antara usaha ke arah tersebut ialah dengan menumpukan kepada program-program yang boleh memupuk persefahaman antara kaum.


3.0 Pemahaman Suara Hati Berdasarkan Pegangan Agama
Setiap rakyat Malaysia terutama para pelajar sepatutnya dapat memahami konsep suara hati bagi agama-agama lain yang diamalkan dalam masyarakat kita selain daripada memahami dan mengamalkan ajaran agama yang dianutinya. Hal demikian juga dapat membantu para pelajar dan masyarakat seluruhnya untuk memahami perbezaan kefahaman yang terdapat di kalangan mereka.

3.1 Suara Hati Dalam Agama Islam
Islam dari segi bahasa adalah berasal daripada perkataan salam yang membawa maksud tulen, suci, damai, aman atau sejahtera, taat dan menyerah. Manakala pengertian Islam dari segi syarak pula adalah mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai petunjuk dan cara hidup kepada semua manusia.

Di sisi Islam suara hati sentiasa tertakluk kepada tiga pegangan atau ajaran Islam yang utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Selagi mana tidak bertentangan dengan perkara tersebut, Islam tidak menghalang umatnya melakukan sesuatu perkara. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang
menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan
mencegah daripada yang mungkar”
(Surah Ali Imran 3:104)

Manusia diseru untuk melakukan perkara-perkara kebajikan seperti melakukan ibadah, tolong menolong sesama manusia, hormat-menghormati antara satu sama lain dan sebagainya lagi. Dimasa yang sama juga seseorang manusia tidak boleh hanya melakukan kebaikan semata-mata dengan mengabaikan tanggungjawab mengajak atau menyuruh orang lain juga melakukan kebaikan serta sentiasa berusaha untuk mencegah daripada berlaku perkara-perkara mungkar atau maksiat dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Suara hati ini hendaklah turut difahami serta dihayati oleh para pelajar dari kaum-kaum lain. Perkara tersebut ini secara umumnya dapat diterima oleh semua agama dan kaum yang terdapat di negara kita. Perbezaan akidah, syariah dan akhlak perlu difahami juga supaya berlakunya persefahaman yang dicita-citakan.

3.1.1 Akidah
Menurut Mohd Rosmizi Abd Rahman (2005), akidah ialah pegangan serta keyakinan kepada tuhan yang Esa iaitu Allah s.w.t. Kepercayaan ini adalah ikatan hati serta simpulan yang kemas di dalam hati dengan sepenuh keyakinan kepada Allah. Percaya akan keEsaan dzatNya, maha mendengar, maha melihat, maha mengetahui, tidak ada sekutu bagiNya dan yang seumpamnya lagi. Meyakini kitab Al Quran telah diturunkan secara wahyu kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril. Dalam erti kata yang lain, wajib diiktikadkan bahawa Allah itu tuhan yang mengusai alam ini dan sangat tinggi kesempurnaanNya yang tidak ada sebarang kekurangan atau cacat cela bagiNya. Kemantapan keimanan seseorang itu juga wajib yakin dan percaya berkenaan kerasulannya, kitab-kitabNya, malaikat-malaikat yang sentiasa beribadah kepadaNya, percaya kepada perkara-perkara ghaib serta ketetapan Allah dalam sesuatu perkara. Semua ini terkandung dalam Rukun Iman yang enam.

Keimanan seseorang itu tidak akan sempurna jika tidak disertakan dengan tuntutan ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu, mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, menunaikan puasa di bulan ramadhan, mengeluarkan zakat serta menunaikan fardu Haji di Baitullahilharam. Keimanan dan keyakinan ini dimanifestasikan atau diterjemahkan menerusi syariah dan Ibadah. Akidah yang bersih akan melahirkan insan yang berakhlak mulia, akidah yang tersasar akan melahirkan individu yang hina dan tidak sempurna.

3.1.2 Syariah
Menurut Profesor Dato’ Dr Harun Din (2003), syariah adalah perjalanan hidup manusia dan kehidupan sosial manusia yang berteraskan Al Quran dan sunnah. Ini bermaksud syariah adalah peraturan-peraturan yang digariskan dalam agama Islam meliputi segala aspek hal ehwal kehidupan sejagat. Syariah meliputi empat bidang besar iaitu, ibadat, muamalat, munakahat dan janayat.

a. Ibadat
Dari segi bahasa ibadah dapat ditakrifkan sebagai patuh, taat dan menyerah diri kepada pihak yang lain. Dari segi istilah ibadah merupakan sebarang tindakan yang melambangkan perasaan rendah diri, patuh dan menyembah Allah s.w.t dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan keikhlasan sama ada ibadah khusus seperti yang terkandung dalam Rukun Iman dan Rukun Isalam ataupun ibadah umum yakni semua aktiviti kehiduan manusia yang meliputi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Ibadah sangat luas dan dalam. Ibadah perlu disertai dengan akhlak yang mulia supaya umatnya dapat mencapai kehendak dan memenuhi piawai yang ditentukan oleh Allah dan Rasulnya. Ini bererti ibadah yang dilaksanakan dengan jujur, ikhlas dan sempurna akan mendapat ganjaran pahala yang setimpal dengannya daripada Allah s.w.t. Firman Allah :
“Dan ingatlah, Aku tidak menjadikan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah
kepadaKu”
(Adz Dzaariyat 51:56)

Menurut Mustafa Hj Daud (1995), umat Islam terbahagi kepada dua berdasarkan konsep ibadahnya. Golongan pertama : Golongan yang hanya melaksanakan rukun Islam yang lima yakni hanya menyembah Allah sehari semalam lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, berzakat dan menunaikan haji. Disamping itu juga melakukan amalan-amalan lain seperti berzikir, berdoa, bertaubat dan sebagainya. Sedangkan aspek-aspek kehidupan yang lain tidak dianggap ibadah. Golongan yang kedua pula mempunyai pandangan yang lebih luas dan menerima rukun Islam dan amalan lain seperti berzikir, berdoa, bertaubat dan sebagainya. Aspek kehidupan yang lain seperti politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pentadbiran, pendidikan dan segala kegiatan umat Islam turut diterima sebagai ibadah yang umum serta diamalkan mengikut hukum syariah Islamiah.

b. Mualamat
Konsep mualamat dalam Islam termasuklah perkara-perkara yang melibatkan kemasyarakatan, perniagaan, alam sekitar, pembinaan dan sebagainya. Dari sudut perniagaan umpamanya, Islam telah menggariskan etika perniagaan yang wajar diikuti oleh para pengikutnya. Menurut Mardzelah Makhsin (2007), etika tersebut meliputi, pertama prinsip tidak memudaratkan yakni prinsip ini menghalang atau mengurangkan sifat ataupun tindakan negatif kepada orang lain, dengki-mendengki, mementingkan diri sendiri ataupun menyebabkan berlakunya ketidak adilan kepada orang lain. Kedua, niat yang betul, iaitu peniaga Islam mesti mempunyai niat yang ikhlas dalam perniagaannya supaya mendapat keredhaan Allah dalam segala aspek kehidupan. Ketiga Al-adl wa ihsan, salah satu etika dalam perniagaan dalah Islam adalah melaksanakan al-adl wa ihsan ataupun keadilan dan ihsan melalui sedekah, berlaku adil, tidak membuat kezaliman malah sering melakukan kebajikan. Prinsip-prinsip yang seterusnya adalah seperti keadilan dalam perniagaan, amanah dan benar dalam segala urusan perniagaan serta amar makruf nahi mungkar yakni dituntut berniaga dengan cara yang betul dengan menolak segala yang buruk dan jelas bertentangan dengan Al Quran dan sunnah nabi.


c. Munakahat
Munakahat adalah satu bidang yang membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah-kahwin, cerai dan ruju’. Di dalam bidang ini dibincangkan tentang tuntutan-tuntutan serta larangan-larangan yang digariskan oleh Islam yang berkaitan dengan nikah-kahwin serta cerai-ruju’. Menurut http://www.al-azim.com/masjid/infoislam. menyenaraikan perincian yang terkandung di dalam munakahat iaitu, maskahwin atau mahar, walimattul ‘arus atau kenduri meraikan perkahwinan, talaq atau pembubaran perkahwinan, ruju’ dan sebagainya. Antaranya ditegaskan dalam Al Quran seperti firmanNya:
“Diharamkan kamu mengahwinkan ibu kamu, anak
saudara, emak saudara sebelah bapa, emak saudara
sebelah ibu, anak saudara dari saudara lelaki dan anak
saudara dari saudara perempuan kamu”
(An Nisaa’ Ayat 22)

“Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (ruju’) akan isteri-isteri di dalam
masa ‘iddah itu jika mereka bertujuan mahu
membuat perdamaian”
(Al Baqarah 2:228)

d. Janayat
Menurut para fuqaha’ janayat ialah perbuatan yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk menceroboh atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja. Pentakrifan tersebut berkaitan dengan membunuh atau menghilangkan anggota tubuh badan. Di dalamnya terkandung beberapa hukum yang berkaitan seperti Hukum Hudud, Hukum Qisas, Hukum Diyat dan hukum Ta’zir. Allah telah menegaskan tentang hukum janayat ini antara seperti firman yang bermaksud:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina,
hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-
duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi
oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman
kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan
hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh
sekumpulan dari prang-orang yang beriman”
(An-Nur ayat 2)

3.1.3 Akhlak
Akhlak secara mudah adalah merupakan sistem perlakuan secara menyeluruh yang meliputi budi pekerti, kelakuan dan tabiat yang menjadi sebahagian daripada peribadi manusia. Ia meliputi cara individu Islam bertindak dalam hubungannya dengan manusia, alam sekitar juga penciptanya. Akhlak Islam adalah berdasarkan Al Quran dan Hadis. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad)
mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia”
(Al Qalam 68:4)

“Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasululllah
Itu contoh ikutan yang baik ....”
(Al Ahzaab 33:21)

Oleh itu akhlak adalah asas pembentukan tingkah laku manusia yang dinilai melalui ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar..

3.2 Suara Hati Dalam Agama Kristian
Kefahaman tentang suara hati bagi agama Kritian itu dapat jelmakan melalui Supuluh Rukun (The Ten Commandments). Menurut Solomon (1996), Sepuluh rukun itu adalah suruhan dan larangan yang menjadi sebahagian penting ajaran agama Kristian yang terdapat dalam Kitab Perjanjian Lama (The Old Testament). Sepuluh rukun tersebut ialah:
a. Aku Tuhan kamu
b. Kamu tidak menyembah tuhan-tuhan lain selain Aku
c. Jangan salah gunakan nama tuhan kamu
d. Ingat hari Sabbath dan jadikan hari mulia
e. Hormati bapa dan ibu kami
f. Kamu tidak boleh berzina
g. Kamu tidak boleh membunuh
h. Kamu tidak boleh mencuri
i. Kamu tidak boleh menjadi saksi palsu
j. Kamu tidak boleh tamak hak orang lain

Empat rukun yang pertama adalah berhubung rapat dengan etika manusia kepada tuhan manakala enam rukun berikutnya menyentuh soal-soal kemasyarakatan dalam kehidupan manusia seharian.

Seterusnya suara hati dari ajaran Kristian pula terdapat di dalam Perjanjian Baru (New Testament) yang dihasilkan oleh ‘ulama’ berdasarkan catatan ajaran yang sebenar daripada Perjanjian Lama. Menurut Solomon (1996), Perjanjian Baru merangkumi panduan berkenaan kehidupan seharian yang harus dipatuhi bagi mendapatkan kehidupan yang bahagia dan berjaya. Perkara penting yang ingin disampaikan melalui kitab ini, penganut-penganut Kristian harus patuh pada Jesus Christ sebagai penyelamat kehidupan mereka. Menurut Eow Boon Hin (2004), kitab ini menerangkan berkenaan kepentingan etika dan moral yang baik dalam kehidupan. Agama Kristian tidak membezakan taraf di kalangan penganutnya kerana mereka percaya semua makhluk diwujudkan oleh tuhan yang sama. Antara kandungan yang terdapat dalam Perjanjian Baru ialah :
a. Jadikan Jesus Christ sebagai teladan iaitu mencontohi Jesus Christ seperti yang ditunjukkan dalam kehidupan melalui percakapan dan perbuatan
b. Cari keredhaan tuhan iaitu melakukan perkara-perkara direstui, direlai dan disukai tuhan
c. Bersikap rendah diri dan lemah lembut, iaitu menghormati orang dengan berbudi bahasa dan sopan santun
d. Kasihi jiran iaitu berbuat baik kepada jiran atau orang-orang berada di sekeliling
e. Kasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri iaitu mencintai dan menyayangi semua sebagaimana orang itu menyayangi dan mencintai diri sendiri
f. Bercakap benar iaitu memberitahu sesuatu perkara dengan tepat dan betul sebagaimana ia berlaku
g. Jangan tamak iaitu tidak ingin memiliki sesuatu benda secara berlebih-lebihan tanpa batasan
h. Jangan menipu iaitu tidak memperdaya, menyeleweng dan menyesatkan orang
i. Jangan menghina iaitu tidak mengeji dan merendah-rendahkan orang
j. Jauhi tujuh dosa besar (the seven deadly sins) dengan tidak melakukan tujuh perkara yang mendatangkan kemurkaan Tuhan :
 Membangga diri
 Berbohong
 Membunuh
 Berniat jahat
 Cepat melakukan keburukan
 Menjadi saksi palsu
 Menabur fitnah dan menghasut

Daripada perkara yang disenaraikan di atas dapatlah disimpulkan bahawa penganut Kristian tidak boleh melakukan dan melanggari peraturan agama kerana perbuatan itu mendorong ke arah keburukan yang menjejaskan diri sendiri dan orang lain.

4.0 Program Suara Hati Yang Dilaksanakan
Begitu banyak sekali program mendengar suara hati dapat dijalankan di peringkat sekolah yang melibatkan pelbagai kaum. Antaranya aktiviti gotong-royong, lawatan sambil belajar, aktiviti perkhemahan, aktiviti khidmat sosial masyarakat, sukan dan riadah, sambutan hari perayaan dan seumpamanya. Sebagai contoh saya akan memfokuskan kepada aktiviti perkhemahan kerana aktiviti tersebut biasanya menjadi tarikan kepada semua pelajar tanpa mengira jantina, kaum, agama, usia dan kedudukan ekonomi. Oleh itu untuk melibatkan para pelajar yang berbagai latar belakang adalah lebih mudah.
4.1 Perancangan Program Suara Hati
Jenis Aktiviti : Perkhemahan Perdana
Kumpulan Sasaran : Unit Beruniform Sekolah (Tahap 2)
Tarikh : 15 – 17 November 2007
Tempat : SK Jalan Datuk Kumbar.

Aktiviti Perkhemahan Perdana peringkat sekolah adalah merupakan aktiviti tahunan yang akan melibatkan semua pelajar tahap dua. Program tersebut bertujuan untuk menanamkan semangat yakin diri, bekerjasama dan toleransi, menghargai masa, disiplin diri, berdikari dan seumpamanya. Perkhemahan selama 2 hari 2 malam yang dirancangkan ini dimuatkan dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan. Antaranya mendiri dan menghiasi khemah, menyedia dan memasak makanan, pertandingan kawat, persembahan kebudayaan, latihan pertolongan cemas, bersembahyang berjemaah, kuliah subuh dan sebagainya.

Aktiviti perkhemahan turut melibatkan sekumpulan kecil para pelajar bukan Islam yang berketurunan India dan Cina. Oleh yang demikian para peserta perkhemahan sentiasa diingatkan supaya mereka perlu sensistif dengan perasaan atau suara hati rakan-rakan dalam kumpulan. Semasa mendirikan khemah umpamanya, para peserta dikehendaki mendirikan sebuah khemah khas yang akan dijadikan surau sementara, para peserta yang bukan beragama Islam hendaklah memahaminya dengan tidak membuat bising ketika para peserta Islam sedang berjemaah atau mengikuti kuliah. Begitu juga semasa menyediakan makanan, para peserta yang beragama Islam telah memahami bahawa rakan mereka yang beragama Hindu tidak boleh dihidangkan dengan daging lembu, sebagai tanda hormat mereka akan menyediakan lauk yang dapat dinikmati oleh semua ahli kumpulan.

Semasa persembahan kebudayaan yang dijalankan oleh setiap kumpulan ahli kumpulan akan membuat persembahan yang tidak melanggar fahaman agama serta adat masing-masing. Misalnya pelajar cuba mengelakkan melakukan persembahan yang berunsurkan agama dan kepercayaan serta mengelakkan daripada membuat persembahan yang berunsur menghina dan merendahkan kaum lain.

Dalam pertandingan kawat dan menghiasi khemah pula ahli kumpulan yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama tetap akan menunjukkan kerjasama dan komitmen dalam kumpulan bagi memastikan penyertaan mereka dalam pertandingan akan membawa kemenangan.

Begitu juga semua peserta Islam diwajibkan bersembahyang jemaah bagi setiap waktu, sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan yang beragama Islam para peserta bukan Islam seharusnya memberikan peluang rakan-rakan mereka yang beragama Islam menguruskan diri terlebih dahulu. Ketika peserta Islam bersembahyang peserta bukan Islam akan menguruskan diri dengan tidak membuat bising. Begitu juga para peserta perempuan Islam wajib memelihara auratnya walaupun ketika bersama dengan peserta perempuan yang bukan Islam.

Daripada semua aktiviti tersebut diharapkan dapatlah disemai benih-benih persefahaman antara kaum dan agama dalam melakukan aktiviti secara bersama. Di sinilah akan dipraktikan apa yang telah disebutkan oleh Immanuel Kant sebagai, setiap orang berhak untuk tidak melakukan sesuatu sekiranya melanggar prinsip moral yang mereka pegang. Sebagai contoh para peserta bukan Islam tidak perlu mengangkat tangan berdoa ketika para peserta Islam membaca doa sebelum dan selepas makan.


5.0 Penutup
Menyedari betapa bahayanya negara sekiranya masyarakat di dalam negara tersebut tidak dapat menjalinkan persefahaman antara kaum dan agama,maka program mendengar suara hati yang dirancang untuk dilaksanakan secara bersama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama diharap dapat menanam benih-benih kesefahaman seperti yang diharapkan. Demi menjaminkan persefahaman yang lebih utuh, adalah disyorkan program yang seumpama ini perlu dijalankan dari semasa ke semasa. Program-program sebegini dapat membantu para pelajar untuk memamahi bahawa perbezaan bukanlah halangan untuk sentiasa bergaul secara muhibbah.


RUJUKAN

Eow Boon Hin, 2004. Pendidikan Moral, Khas Untuk IPTS. Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn Bhd.

Harun Din, Prof Dr. 2003. Manusia dan Islam. Selangor: Hizbi Sdn Bhd.

Ibrahim Saad, 1990. Perubahan Pendidikan di Malaysia: Satu Cabaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan, (ed. Kedua), 2002. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mardzelah Makhsin, 2007. Sains Pemikiran & Etika. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Mohd Rosmizi Abd Rahman, 2005. Panduan Memilih Agama. Pahang : PTS Publications and Distributors Sdn Bhd

Mustafa Hj Daud, 1995. Konsep Ibadat Menurut Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Nazarudin Hj Mohd Jali et.al, 2001. Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan (ed. Kedua). Petaling Jaya: Prentice Hall.

Solomon, Robert C.A , 1996. A Handbook For Ethic. Florida: Harcourt Brace

Tafsir Al Quran, (ed. Keenam). 1987. Selangor: Klang Book Centre. (tjh)

http://.www.al-azim.com/masjid/infoislam [online]. (25 September 2007)

http://.www.unimas.my [online]. (25 September 2007)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan