Isnin, 18 Januari 2010

Kertas Kajian

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer ke atas pencapaian murid dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kajian ini berbentuk kuasi-eksperimen yang melibatkan 66 orang murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, dalam Daerah Kota Setar, Kedah. Sampel kajian dipilih secara bertujuan terdiri daripada dua kumpulan murid yang mempunyai tahap pencapaian yang hampir sama, dikelompokkan kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Pengkaji terlibat secara langsung dalam kajian ini, dengan kumpulan rawatan diajar dengan kaedah peta minda berbantukan komputer sementara kumpulan kawalan pula diajar secara konvensional. Instrumen kajian yang digunakan ialah dua set ujian pencapaian yang mengandungi 30 dan 40 soalan objektif aneka pilihan. Kedua-dua kumpulan murid menduduki ujian pra dan ujian pasca. Dapatan kajian menunjukkan bahawa min pencapaian ujian pra bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan masing-masing ialah 59.23 dan 58.00, iaitu perbezaan min sebanyak 1.23. Seterusnya dalam ujian pasca 1, didapati min pencapaian kumpulan rawatan ialah 77.59, manakala min pencapaian kumpulan kawalan ialah 66.53, iaitu perbezaan min sebanyak 11.06. Begitu juga dalam ujian pasca 2, min pencapaian kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan masing-masing ialah 86.29 dan 67.74, iaitu perbezaan min sebanyak 18.55. Analisis ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi kumpulan rawatan berbanding dengan kumpulan kawalan selepas kajian dijalankan. Dapatan kajian di atas menunjukkan bahawa pencapaian pelajar dalam kumpulan rawatan adalah lebih baik, berbanding pelajar dalam kumpulan kawalan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Kesimpulannya, kaedah peta minda berbantukan komputer, ternyata memberi kesan ke atas kemajuan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.


BAB I

PENGENALAN

1.1 PENDAHULUAN
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan salah satu bidang ilmu yang penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri setiap orang murid. Melalui pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran ini, adalah diharapkan murid-murid akan menjadi warganegara yang sihat sahsiah dan tingkah lakunya. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga diharapkan dapat melahirkan insan yang seimbang seperti yang terangkum dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru guru-guru yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun dan mengolah aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, YB Puan Komala Devi semasa menjawab soalan YB Chong Eng, Bukit Mertajam semasa persidangan Dewan Rakyat Kesebelas, pada 12 April 2005, murid-murid tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan belajar mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah untuk pembentukkan akhlak, kerana Kementerian Pelajaran berpendirian bahawa proses pembentukkan akhlak harus dilakukan secara berterusan bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah melalui proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, aktiviti harian sekolah dan juga kegiatan ko-kurikulum. Sehubungan itu, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu diberi perhatian dan penekanan di semua peringkat. Usaha kementerian pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk mempekenalkan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini amatlah bertepatan masanya, memandangkan berlakunya masalah keruntuhan akhlak dan moral generasi muda masa kini. Kadar jenayah yang sedang melanda generasi muda hari ini amat membimbangkan. Oleh itu segala kelemahan yang dihadapi oleh murid-murid semasa mempelajari Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu dikaji bagi mengenalpasti punca-punca serta mencari alternatif untuk mengatasinya.


1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah suatu mata pelajaran teras yang telah diperkenalkan semula pada tahun 2005, secara berperingkat-peringkat bagi tahap dua di sekolah rendah dan bermula dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima bagi sekolah menengah. Kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merangkumi aspek-aspek pengetahuan sivik, kemahiran sivik, dan nilai-nilai sivik. Tema utama bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sekolah rendah ialah sayangi diri, sayangi keluarga, hidup bersama di sekolah dan masyarakat, kenali budaya Malaysia, Malaysia negaraku dan sedia hadapi cabaran.

Berhubung dengan tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara” di bawah tema Malaysia negaraku, didapati ramai murid tidak dapat menguasainya tajuk tersebut dengan baik. Di samping kebanyakan guru yang mengajar secara kaku, iaitu hanya menggunakan kaedah tradisional yang kurang sesuai dengan tuntutan zaman. Kaedah chalk and talk, penggunaan buku teks adalah contoh yang kerap digunapakai oleh guru-guru di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sedangkan bagi murid-murid kaedah tradisional ini tidak menarik dan membosankan. Apatah lagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bukanlah mata pelajaran yang terlibat dengan peperiksaan. Keadaan inilah yang menyumbangkan kepada murid-murid tidak menguasai pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang akan mewatakkan mereka sebagai generasi yang berhemah dan berakhlak mulia.

Faktor berikutnya, guru-guru dan pentadbir di sekolah-sekolah juga memandang mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebagai mata pelajaran ringan yang tidak perlu diberi penekanan. Biasanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diagihkan kepada guru-guru sekadar mencukupkan bilangan masa mengajar seminggu, supaya seimbang dengan rakan guru yang lain. Malah tidak menjadi perkara pelik dan aneh apabila didapati semua kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajarkan oleh guru besar atau penolong kanan. Hal demikian berlaku kerana mereka beranggapan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah mata pelajaran yang mudah dan tidak merugikan murid-murid sekiranya guru besar atau penolong kanan tidak dapat masuk ke kelas disebabkan kesibukan masa dengan tugas-tugas pentadbiran.


1.3 PERNYATAAN MASALAH
Melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, adalah diharapkan dapat membentuk keperibadian murid yang seimbang serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. Seterusnya, usaha ini akan dapat melahirkan generasi yang peka tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara, menghargai perpaduan dan mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Matlamat yang ideal ini adalah untuk melahirkan modal insan dalam masyarakat seperti yang dicita-citakan oleh pihak kerajaan. Namun, sekiranya aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dikesampingkan oleh guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, harapan dan matlamat tersebut tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Seterusnya, matlamat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan secara umumnya ingin memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab murid dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik serta boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Matlamat seterusnya ialah untuk melahirkan murid yang setia pada negara, cinta akan tanahair, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia serta boleh berinteraksi ke arah mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan sejahtera. Untuk memastikan matlamat tersebut dapat dicapai, murid-murid sepatutnya terlebih dahulu perlu menguasai pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai-nilai sivik. Bagaimanapun, melalui pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan, pengkaji mendapati murid-murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, tidak dapat menguasai pengetahuan sivik pada tahap yang sepatutnya. Hal demikian dapat dibuktikan melalui keputusan peperiksaan akhir tahun 2008 yang menunjukkan hanya 64% sahaja murid lulus (6% mendapat gred A, 25% mendapat gred B dan 33% mendapat gred C) manakala 36% murid gagal dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Justeru, pengkaji mengambil langkah untuk melihat kembali perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah khususnya di sekolah pengkaji sendiri. Apakah terdapat kaedah yang sesuai untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran tersebut secara lebih berkesan supaya murid-murid dapat belajar dengan berkesan ke arah menguasai pengetahuan sivik. Penggunaan kaedah yang sesuai dan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi perkara yang amat penting. Oleh itu, pengkaji merasa perlu diberikan penekanan tentang penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer semasa mengajarkan tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”.

Beberapa kajian lepas mendapati bahawa penggunaan kaedah peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan pencapaian murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran (Altablig bt Ali 2006, Asma binti Ishak 2005, Rusilah Jais et. al 2004, dan Sim Ah Hock et. al 1997). Pengkaji mengharapkan penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara akan dapat meningkatkan pencapaian dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Seterusnya pengkaji juga mengharapkan kajian yang dijalankan ini akan memberikan hasil yang positif, untuk memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di kalangan murid-murid.


1.4 TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini ialah untuk mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan.


1.5 OBJEKTIF KAJIAN
Secara khususnya, objektif kajian ini ialah untuk ;
i. menentukan adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pra bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan.

ii. menentukan adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan.

iii. menentukan adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pasca bagi tajuk
Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar mengikut jantina


1.6 SOALAN KAJIAN
Soalan-soalan berikut ingin dijawab melalui kajian ini;
i. Adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pra bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan?

ii. Adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Indentiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan?

ii. Adakah wujud perbezaan min skor pencapaian Ujian Pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar mengikut jantina?


1.7 BATASAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan 66 orang murid daripada dua buah kelas tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, Kedah. Sampel dipilih secara bertujuan untuk maksud kajian. Oleh itu, dapatan kajian ini tidak boleh digeneralisasikan mana-mana kumpulan lain.

Kajian ini hanya melibatkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan. Tajuk ini diajarkan dalam masa empat minggu sahaja.

Semasa kajian dijalankan, pengkaji sendiri yang telah mengajar kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Langkah ini mungkin akan memberi kesan ke atas keputusan kajian.

Selain itu, pengkaji hanya menggunakan satu set ujian pra dan dua set ujian pasca yang digubal sendiri oleh pengkaji sebagai instrumen kajian. Ujian pra dan set pertama ujian pasca mengandungi 30 soalan objektif aneka pilihan (A, B dan C) sementara set kedua ujian pasca mengandungi 40 soalan aneka pilihan (A, B dan C).


1.8 KEPENTINGAN KAJIAN
Hasil dapatan kajian ini diharap dapat membantu guru-guru membuat refleksi tentang pengajarannya serta memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran agar sesuai dengan tahap kesediaan dan minat murid. Dalam proses pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan guru-guru seharusnya menggunakan kaedah pengajaran yang boleh meransang pembelajaran murid. Kaedah peta minda dengan berbantukan komputer telah dapat mengekalkan tumpuan dan perhatian murid kepada pengajaran guru dan seterusnya akan meningkatkan pencapaian.

Hasil kajian ini juga penting kepada murid-murid yang berpencapaian rendah dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kemungkinan faktor ini disebabkan oleh kaedah pengajaran guru secara tradisional dan membosankan. Dengan penggunaan kaedah peta minda yang memaparkan imej, warna, frasa serta garisan anak panah yang sesuai akan membantu murid-murid untuk menguasai kemahiran yang dipelajari dan menghindarkan rasa bosan semasa pembelajaran. Murid-murid akan lebih mudah mengingati isi pelajaran kerana tidak perlu membaca ayat yang panjang serta sukar difahami. Imej, warna, frasa, dan sebagainya itu tidak terlalu abstrak berbanding dengan syarahan guru. Tony Buzan (2006) berpendapat, secara nyata peta minda merupakan penggunaan grafik. Kata kunci dalam peta minda selalunya dihasilkan dalam bentuk gambaran atau pola kerana otak manusia lebih mudah menerima ransangan yang berbentuk pola.

Selanjutnya kajian ini juga dapat meransang guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk lebih bersedia, kreatif dan sentiasa peka dengan tugas mendidik di dalam bilik darjah. Penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer menuntut seseorang guru itu membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan pengajaran. Guru-guru juga akan lebih kreatif untuk menghasilkan peta minda yang menarik, padat dan mudah untuk difahami oleh murid-murid.

Selain itu, hasil kajian ini juga mungkin mempunyai kepentingan kepada pihak pentadbiran sekolah, yakni guru besar yang ingin tahu kaedah yang sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kaedah peta minda dengan berbantukan komputer dapat dilaksanakan oleh guru-guru kerana kebanyakan guru-guru telah menguasai kemahiran asas menggunakan komputer.


1.9 DEFINISI ISTILAH
1.9.1 Ujian pra ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan sebelum kajian dijalankan

1.9.2 Ujian pasca ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan diakhir kajian dijalankan

1.9.3 Ujian rintis ialah satu ujian yang diberikan kepada kumpulan murid yang tidak terlibat dalam kajian untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaannya.

1.9.4 Kumpulan rawatan ialah kumpulan murid yang diajarkan dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer

1.9.5 Kumpulan kawalan ialah kumpulan murid yang diajar dengan kaedah konvensional

1.9.6 Peta minda merupakan satu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, warna dan sebagainya. Dalam kajian ini, peta minda yang digunakan dipaparkan melalui skrin, berbantukan komputer dan Liquid Crystal Display (LCD).
1.9.7 Berbantukan komputer ialah penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai alat (tool) untuk membantu pelajar mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran.

1.9.8 Kaedah Konvensional menunjukkan kepada kaedah tradisional ataupun kaedah sedia ada dalam pengajaran dan pembelajaran.


1.10 RUMUSAN
Bab ini menghuraikan tentang masalah kajian, tujuan dan persoalan kajian yang hendak dijawab, kepentingan kajian, batasan kajian serta beberapa definisi istilah yang menjadi komponen penting dalam setiap kajian. Dapatan kajian ini diharap dapat membantu guru-guru memperbaiki aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya kelemahan penyampaian guru tidak berterusan sehingga menjejaskan minat pelajar untuk belajar.



BAB II

TINJAUAN LITERATUR

2.1 PENDAHULUAN
Tujuan kajian ini dijalankan antara lain adalah untuk menggunakan satu kaedah yang sesuai serta boleh membantu murid meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pengkaji menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer untuk mengajarkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terdapat dalam sukatan pelajaran tahun empat. Dalam bab ini juga pengkaji mengutarakan literatur-literatur berkaitan mengenai peta minda, teori-teori yang berkaitan serta beberapa kajian berkaitan yang telah dijalankan mengenai peta minda dan pembelajaran berbantukan komputer.

2.2 LITERATUR BERKAITAN PETA MINDA
Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu pelajar, mencatat nota dengan ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001), penggunaan peta minda semakin penting sebagai satu kemahiran mengorganisasi maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2007) menyatakan, peta minda membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan. Peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada kreativiti seseorang.

Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses maklumat secara linear dan dalam masa yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding, menganalisa dan sebagainya. Peta minda adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea utama diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, underlining, anak panah, warna dan sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan masa dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Dalam proses pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu dapat .... learn more, remember more, use less paper, invest less effort ... yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.

Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak seseorang memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih mudah untuk dirakamkan dalam ingatan jangka panjang. Poh Swee Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat nota dengan pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan. Nota tersebut wujud sebagai satu gambaran mental yang lengkap, bermakna dan senang diingati.

Penggunaan peta minda dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh membantu mencapai beberapa matlamat. Menurut Ab Fatah Hassan (1994), antaranya mengorganisasi maklumat, membantu kepada pengekalan ingatan, membuat perkaitan antara pengetahuan yang baru dengan pengetahuan sedia ada, membantu kepada pengekalan konsep baru, memperjelas dan mengvisualisasikan struktur kognitif pelajar dan menggalakkan kreativiti. Faktor tersebut juga boleh menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru.

Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang SPM 2006, Nadia Rohani Malik Panter-Brick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu. Beliau mendapat pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar menggunakan kaedah peta minda Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal pelajaran.

Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan pameran “Daerah Samad – 100 lakaran oleh A. Samad Said” di Galeri Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun 2007), manuskrip-manuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad sendiri, berperanan sebagai peta minda yang mengungkapkan secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya sasteranya dari mula sampai tamat. Selanjutnya dijelaskan, disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar, turut tersisip kata-kata puitis dan mesej mendalam yang meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak Samad. Ini menunjukkan kelebihan penggunaan peta minda dalam membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk penulisan naratif.


2.3 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah amatlah digalakkan, kerana penggunaan komputer dapat menarik minat murid-murid untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih sistematik. Menurut Nor Hayati (2002), salah satu kaedah yang sesuai digunakan untuk menarik minat murid-murid ialah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, iaitu satu pengajaran yang dibantu oleh komputer dengan melibatkan perisian-perisian yang sesuai samada dicipta sendiri atau telah dicipta oleh orang lain untuk tajuk-tajuk tertentu. Ahmad Nizar (1997) pula berpendapat, pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi pembelajaran di mana murid-murid dapat berinteraksi dan dibimbing oleh komputer melalui satu program pembelajaran terancang yang bertujuan untuk mencapai matlamat pembelajaran.

Menurut Kanagambal (1997), pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi di mana komputer digunakan untuk mengajar dan mengasah sesuatu kemahiran. Selain itu beliau menyatakan bahawa melalui pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, adalah usaha untuk menyampaikan maklumat, membimbing, melatih dan menilai prestasi murid-murid. Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer juga dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang menarik dan lebih efektif kerana pelajaran dapat disampaikan dengan cara yang lebih menghiburkan. Menurut Kanagambal lagi, antara matlamat yang dicapai oleh pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah mempelajari sesuatu dengan lebih cepat, lebih mudah serta lebih banyak mengingati kembali bahan yang dipelajari, merperoleh sikap positif terhadap alat komputer, dapat berinteraksi dengan komputer dengan lebih aktif dan fleksibel dalam pembelajaran, iaitu pelajar menentukan cara menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.

Seterusnya, menurut Mohamad Hasan (1998), penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah (a) komputer mampu mendorong pembelajaran dilaksanakan secara interaktif dan secara tidak langsung akan menimbulkan suasana seronok belajar, (b) kecanggihan bahan grafik pada program komputer boleh menambahkan lagi daya kreativiti pelajar dan memperbaiki kemahiran penulisan murid, (c) terdapat beberapa program komputer yang mencabar, yang mendorong kepada kemahiran berfikir di kalangan murid, (d) guru-guru dapat berperanan sebagai fasilitator dan mampu membantu murid sepenuhnya dari segi isi pelajaran, (e) pelajar boleh mengikuti pelajaran pada bila-bila masa dan merasa kurang tertekan, dan (f) komputer dapat membekalkan maklumat terkini, mengambil semua maklumat, menyalin maklumat, menyimpan maklumat dan memaparkan maklumat untuk perbincangan atau persembahan.

Mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer pula, Zoraini Wati Abas (1992) berpendapat, langkah pertama penggunaan komputer di dalam kurikulum sekolah menjurus kepada pembelajaran berbantukan komputer yang boleh dianggap sebagai alat (tool) untuk membantu pelajar mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran. Komputer yang digunakan di sekolah boleh diaplikasikan melalui pelbagai cara untuk menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran guru. Perhatian yang diberikan semasa proses pembelajaran sangat penting, kerana melalui perhatian tersebut akan menatijahkan sesuatu yang diharapkan.


2.4 TEORI-TEORI BERKAITAN
Selain daripada bukti-bukti kejayaan penggunaan peta minda dan kelebihan-kelebihan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, terdapat juga beberapa teori serta pandangan yang sesuai atau yang menyokong penggunaan peta minda dapat memberi manfaat kepada proses pembelajaran. Antaranya Teori Pembelajaran Gestalt /Kognitif, Teori Ausubel, dan Teori Pelbagai Kecerdasan (Gardner). Ahli-ahli psikologi gestalt atau kognitif berpendapat, dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Ragbir Kaur (2006) menyatakan, setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan menyusun segala pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya di dalam ingatan. Penggunaan peta minda adalah selari dengan pendapat mazhab gestalt yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman yang tersimpan untuk membolehkan dia menghubungkaitkan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah dihadapi.

David Ausubel seorang ahli psikologi kognitif yang menekankan penguasaan maklumat melalui penggunaan bahasa yang bermakna. Menurut Ragbir Kaur (2006), maklumat yang dipelajari secara bermakna dapat diingat dengan lebih lama berbanding dengan apa yang dipelajari secara hafazan. Dr Ismail Zain (13 Jun 2005) Utusan Malaysia, telah menyatakan pembelajaran secara hafalan tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif, malah tidak sesuai dengan zaman yang serba maju ini. Selanjutnya beliau berpendapat penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Gardner yang terkenal dengan teori kecerdasan pelbagai menyatakan bahawa kecerdasan adalah kebolehan seseorang untuk menyelesaikan masalah. Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura Harun (2006) dalam penyelesaian masalah terdapat pelbagai cara bukan hanya tertumpu kepada satu cara tertentu sahaja dan Gardner telah mengenalpasti sembilan jenis kecerdasan yang ada dalam diri individu. Dalam proses pembelajaran menggunakan peta minda adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid yang mempunyai kecerdasan visual dan ruang, kecerdasan bahasa dan kecerdasan interpersonal. Dalam sesuatu kumpulan pembelajaran yang dibentuk mungkin terdapat ahli kumpulan yang berbeza kecerdasan. Perbezaan tersebut dapat membantu murid-murid untuk menghasilkan peta minda yang kreatif dan asli.


2.5 KAJIAN BERKAITAN
Kajian-kajian berkaitan dengan penggunaan peta minda telah banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di kalangan pendidik sendiri. Antaranya ialah Altablig bt Ali (2006), Asma binti Ishak (2005), Rusilah Jais et. al (2004), dan Sim Ah Hock et.al (1997). Begitu juga terdapat kajian yang berkaitan dengan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berbantukan komputer oleh Kam Foo Kong (2006).

Altablig bt Ali (2006) telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda dalam mengingati konsep atau fakta sejarah ke atas 35 orang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit Buntar. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan pelajar yang berpencapaian sederhana telah meningkat sebanyak 60% manakala pelajar yang lemah hanya 6% sahaja. Beliau merumuskan bahawa penggunaan peta minda dapat membantu pelajar-pelajar sederhana mengingat fakta sejarah bagi mendapat markah terutamanya dalam soalan struktur Kertas 2.

Asma binti Ishak (2005), telah menjalankan kajian ke atas 30 orang murid tahun 4 Arif di Sekolah Kebangsaan Jelempok. Kajian beliau, penggunaan peta minda dapat meningkatkan kemahiran mencatat nota. Dapatan kajian beliau menunjukkan berlaku peningkatan kumpulan pencapaian tinggi dalam ujian pasca menjadi 40% berbanding ujian pra 7%. Bagi kumpulan pencapaian rendah pula menurun kepada 3% dalam ujian pasca berbanding 40% dalam ujian pra. Sehubungan itu beliau berpandangan bahawa penggunaan peta minda dalam mencatat nota adalah berjaya.
Seterusnya Rusilah Jais et. al (2004) juga telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda bagi mata pelajaran matematik di kalangan pelajar perakaunan. Kajian tersebut melibatkan seramai 158 responden di kalangan pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan pelajar yang mendapat gred A sebanyak 26.6% dalam ujian pasca berbanding 7% dalam ujian pra. Pelajar yang mendapat gred B juga meningkat daripada 7.6% dalam ujian pra kepada 12% dalam ujian pasca. Bagi gred C menunjukkan penurunan peratus dalam ujian pasca iaitu 3.2% berbanding 10.1% dalam ujian pra. Rusilah Jais et. al (2004) merumuskan bahawa penggunaan peta minda dalam mata pelajaran matematik adalah berkesan.

Sim Ah Hock et.al (1997), telah menjalankan kajian tentang kesan strategi pemetaan konsep terhadap pemprosesan maklumat Sains dengan berbantukan komputer ke atas 141 orang pelajar semester 3 di lima buah maktab perguruan. Dapatan kajian tersebut dirumuskan bahawa, terdapat perbezaan min dalam ketiga-tiga pemboleh ubah bersandar antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan adalah signifikan, dengan kumpulan eksperimen memperolehi skor yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan. Oleh itu dapatan kajian menyokong pengintegrasian strategi pemetaan konsep untuk memproses maklumat dengan pembelajaran berbantukan komputer.

Kam Foo Kong (2006), menjalankan kajian ke atas 42 orang pelajar tingkatan 1L di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keledang. Kajian beliau tentang meningkatkan minat pelajar kepada mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah pembelajaran berbantukan komputer. Hasil dapatan kajian beliau menunjukkan pelajar yang memperolehi skor 40% ke atas (lulus) dalam ujian pasca meningkat kepada 86% berbanding 47.6% dalam ujian pra. Pelajar yang memperolehi skor 40% ke bawah (gagal) pula menurun kepada 14% dalam ujian pasca berbanding 52.4% dalam ujian pra. Dengan demikian Kam Foo Kong merumuskan bahawa kaedah pengajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menggunakan komputer telah menunjukkan peningkatan pencapaian yang ketara.


2.6 RUMUSAN
Berdasarkan literatur berkaitan dan kajian-kajian yang berkaitan telah menunjukkan bahawa kaedah penggunaan peta minda serta peta minda dengan berbantukan komputer dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan memberikan kesan yang positif terhadap pencapaian murid-murid. Peta minda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran juga seiring dan sesuai dengan pandangan dan teori-teori pembelajaran seperti Teori Gestalt / Kognitif , Teori Ausubel dan Teori Kecerdasan Gardner.




BAB III

METODOLOGI KAJIAN

3.1 PENDAHULUAN
Kajian ini adalah mengenai kaedah penggunaan peta minda berbantukan komputer dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Bab ini, akan membincangkan kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini. Kaedah Perbincangan meliputi reka bentuk kajian, populasi dan sampel, alat kajian yang digunakan, tatacara pengumpulan data dan seterusnya tatacara penganalisaan data.

3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan kelas tahun empat, iaitu kumpulan pertama yang disebut sebagai kumpulan rawatan, dan kumpulan kedua disebut sebagai kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan diberi ujian pra sebelum kajian dijalankan, manakala ujian pasca pula akan diberikan diakhir kajian dijalankan. Kajian ini telah dijalankan selama empat minggu dan pengkaji sendiri menjalankan pengajaran bagi kedua-dua kumpulan, agar dapat mengurangkan ralat dalam kajian ini.

Untuk menjalankan kajian kuasi eksperimen ini, pengkaji memilih dua buah kelas yang telah sedia ada, di mana kumpulan rawatan menerima pembelajaran dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer untuk mempelajari tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara” sementara kumpulan kawalan menerima pembelajaran tajuk yang sama dengan menggunakan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et.al (2007), kumpulan rawatan biasanya menerima atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian, sementara kumpulan kawalan menerima layanan yang berbeza ataupun dikekalkan dalam bentuk biasa. Kedua-dua kumpulan tersebut telah diberi ujian pra dan ujian pasca sebelum dan selepas kajian dijalankan. Walaupun pemilihan sampel tidak dilakukan secara rawak, pengkaji telah mengenalpasti bahawa sampel bagi kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai kebolehan pencapaian yang hampir sama berdasarkan peperiksaan akhir tahun 2008. Menurut Campbell & Stanley (1996), reka bentuk kuasi eksperimen adalah melibatkan dua kumpulan yang tidak setara atau nonequivalent control group design. Manakala menurut Mohd Majid (1990) pula, reka bentuk kuasi eksperimen tidak menggunakan persampelan rawak untuk memilih sampel bagi dimasukkan ke dalam kumpulan rawatan dan kawalan kerana kedua-dua kumpulan tersebut sebenarnya telah disatukan sebelum kajian bermula.

Tujuan reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara bagi kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Di dalam reka bentuk kuasi eksperimen ini terdapat dua pemboleh ubah yang dikaji, iaitu pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tak bersandar (bebas). Di dalam kajian ini pemboleh ubah bersandar ialah pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara” yang diperolehi melalui ujian pra dan ujian pasca, manakala pemboleh ubah tak bersandar ialah kaedah pengajaran dengan menggunakan peta minda berbantukan komputer dan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et. al (2007), satu bahagian daripada persekitaran yang dimanipulasikan adalah pemboleh ubah tak bersandar, manakala kesan tingkah laku manipulasi adalah pemboleh ubah bersandar, iaitu apa yang diukur.

Selain pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak bersandar, terdapat pemboleh ubah-pemboleh ubah luaran atau pemboleh ubah ekstranus yang mungkin mengganggu keputusan kajian, seperti kaedah pemilihan sampel, interaksi antara kumpulan, jangka masa kajian dan penyediaan soalan. Bagi mengawal pemboleh ubah-pemboleh ubah ekstranus tersebut, beberapa langkah wajar diberi perhatian. Antaranya, jangka masa kajian dijalankan mestilah relevan dengan tajuk yang dipilih dalam sesuatu kajian .

Tujuan reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian dalam tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara melalui ujian pra dan ujian pasca bagi kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Rajah 3.1 menunjukkan bagaimana reka bentuk kuasi eksperimen dalam kajian ini dijalankan.


RAJAH 3.1
Reka Bentuk Kajian



Jangka masa kajian ini ialah selama empat minggu dan pengkaji menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi kedua-dua kumpulan. Ujian pra diberikan kepada kedua-dua kumpulan sebelum pengajaran dan ujian pasca pertama diberikan selepas pengajaran guru dalam masa dua minggu pertama. Ujian pasca kedua diberikan selepas pelajar kumpulan rawatan melakukan aktiviti membina dan membentangkan peta minda, dan kumpulan kawalan mencatat nota pelajaran serta menjawab soalan secara lisan.

Hasil daripada penganalisaan statistik ke atas data yang diperolehi akan memberikan pengkaji ketentuan keputusan samada proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan peta minda berbantukan komputer bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berkesan atau tidak bagi meningkatkan pencapaian para pelajar. Seterusnya pembinaan soalan ujian pra dan ujian pasca adalah melalui perbincangan dan tunjuk ajar daripada guru kanan mata pelajaran di sekolah tersebut.


3.3 POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Populasi dalam kajian ini ialah semua murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Semua murid telah mengikuti mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua buah kelas telah dipilih daripada tiga buah kelas tahun empat secara bertujuan bagi maksud kajian ini sebagai sampel. Sampel terdiri daripada 66 orang pelajar yang hampir sama pencapaian. Mereka ini dikelompokkan kepada dua kumpulan, 33 orang dikelompokkan ke dalam kumpulan rawatan, manakala 33 orang lagi dikelompokkan ke dalam kumpulan kawalan.


3.4 ALAT KAJIAN
Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah satu set ujian pencapaian ujian pra dan dua set ujian pasca. Ujian pencapaian ini terdiri daripada 30 dan 40 soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan jawapan (A, B dan C), yang berkaitan dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Semua item ujian pencapaian ini telah dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (2003), Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, (2004) dan Buku Teks Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, KBSR Tahun 4, (2004).

Bagi menentukan kesahan kandungan, pengkaji telah membina item-item dalam alat kajian ini berdasarkan jadual spesifikasi ujian (JSU) mengikut aras Taksanomi Bloom. Bagi meningkatkan lagi kesahan kandungannya pengkaji juga telah merujuk kepada beberapa orang guru yang berpengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi mendapatkan pandangan dan komen mereka. Berdasarkan ulasan guru-guru pakar tersebut pengkaji telah membaiki dan menggantikan beberapa item yang kurang sesuai.

Pengkaji telah menjalankan ujian rintis ke atas ujian pencapaian menggunakan kaedah uji-ulang-uji untuk mendapatkan pekali kebolehpercayaan alat kajian. Dua ujian yang sama ditadbirkan ke atas 34 orang pelajar yang tidak terlibat dalam kajian ini dalam jarak masa tiga minggu bagi melihat ketekalan alat kajian. Menurut Mohd Majid (2004), markat-markat yang didapati daripada pengukuran pertama dan pengukuran kedua dikorelasikan. Pekali korelasi yang terhasil merupakan indeks kebolehpercayaan, sekiranya pekali korelasi positif dan teguh maka indeks kebolehpercayaan bagi alat ukur tersebut adalah tinggi.

Berdasarkan data skor ujian kali pertama dan skor ujian kali kedua, analisis korelasi Pearson telah dijalankan ke atas skor-skor tersebut. Keputusan analisis korelasi Pearson menunjukkan nilai pekali korelasi, r = 0.861 (p <>
3.5 TATACARA PENGUMPULAN DATA KAJIAN
Kajian akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar melibatkan 66 sampel yang dibahagikan kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan dikehendaki menduduki ujian pra. Pengkaji menguruskan sendiri ujian pra tersebut dan pengkaji menyemak skor yang diperolehi oleh sampel bagi kedua-dua kumpulan. Pengkaji melibatkan diri secara langsung dengan mengajar kedua-dua kumpulan tersebut. Kumpulan kawalan diajar menggunakan kaedah konvensional sementara kumpulan rawatan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer. Kedua-dua kaedah pengajaran ini akan dijalankan dalam masa empat minggu. Ujian pasca pertama dijalankan selepas dua minggu guru menyampaikan pengajaran dengan menggunakan set soalan yang sama dengan ujian pra. Selepas dua minggu berikutnya, pada hari terakhir kajian, semua pelajar dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan telah menduduki ujian pasca kedua, dengan menggunakan set soalan yang sama dengan sedikit pindaan dan penambahan. Seterusnya skor-skor ujian tersebut dikumpulkan untuk dianalisis oleh pengkaji.


3.6 TATACARA PENGANALISAAN DATA KAJIAN
Keputusan ujian pra dan ujian pasca yang telah dikumpulkan akan dianalisis dengan membandingkan min skor pencapaian bagi kedua-dua kumpulan rawatan dan kawalan. Data-data yang diperolehi dipersembahkan melalui jadual dan graf untuk menjelaskan perbandingan antara kutipan data tersebut.


3.7 RUMUSAN
Kajian ini adalah kajian berbentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan sampel, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Sampel kajian terdiri daripada 66 orang pelajar tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Kedua-dua kumpulan tersebut akan menduduki ujian pra sebelum kajian dijalankan dan ujian pasca diakhir kajian dijalankan. Data-data dari kedua-dua ujian tersebut dikumpulkan dan dianalisiskan dengan menggunakan menggunakan jadual dan graf.



BAB IV

HURAIAN DAN ANALISIS DATA

4.1 PENDAHULUAN
Kajian yang telah dijalankan ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah keberkesanan penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer dalam tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara, salah satu tajuk dalam sukatan pelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4. Seramai 66 orang pelajar yang terdiri daripada dua buah kelas tahun 4 dan pengkaji terlibat dalam penyelidikan ini. Sebuah kelas telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer, disebut sebagai kumpulan rawatan, manakala sebuah lagi kelas telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk yang sama secara konvensional, kelas ini disebut sebagai kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan terdiri daripada 33 orang pelajar. Kedua-dua kumpulan tersebut telah menduduki ujian pra sebelum pengajaran dan pembelajaran dan ujian pasca selepas pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hasil kajian ini akan dijelaskan secara terperinci dalam bab ini.


4.2 PROFIL RESPONDEN
Kajian ini melibatkan 66 orang pelajar lelaki dan perempuan tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Semua pelajar mengikuti mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Taburan responden dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 4.1 di bawah. Kumpulan rawatan terdiri daripada 24 orang pelajar lelaki dan 9 orang pelajar perempuan, manakala kumpulan kawalan pula terdiri daripada 17 orang lelaki dan 16 orang pelajar perempuan. Semua responden yang terlibat dalam penyelidikan ini berbangsa Melayu.

JADUAL 4.1
Profil Responden
Kumpulan Lelaki Perempuan Jumlah
Rawatan 24 9 33
72.72% 27.28% 100%
Kawalan 17 16 33
51.51% 48.49% 100%
Jumlah 41 25 66
62.12% 37.88% 100%



4.3 DAPATAN KAJIAN
Untuk menjawab soalan-soalan kajian, pengkaji menganalisis dapatan kajian seperti di bawah ini:-
Untuk menjawab soalan (i) adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pra bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan?

Pengkaji telah menjalankan Ujian Pra sebelum pelajar didedahkan dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Keputusan Ujian Pra bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan adalah seperti yang ditunjukkan dalam jadual 4.2 dan rajah 4.1 di bawah.
JADUAL 4.2
Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pra
Skor Gred Kumpulan Rawatan Kumpulan Kawalan
Frekuensi Peratus Frekuensi Peratus
80 – 100 A 2 6.06 1 3.03
60 – 79 B 15 45.45 12 36.36
40 – 59 C 13 39.39 20 60.60
20 – 39 D 3 9.09 - -
00 – 19 E - - - -
Min terkumpul 59.23 58.00


RAJAH 4.1
Graf Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pra

Berdasarkan Ujian Pra yang dijalankan didapati 90.91% pelajar kumpulan rawatan lulus
( 6.06% pelajar mendapat gred A, 45.45% pelajar mendapat gred B dan 39.39% pelajar mendapat gred C) manakala pelajar kumpulan kawalan mendapat 100% lulus (3.03% pelajar mendapat gred A, 36.36% pelajar mendapat gred B dan 60.60% pelajar mendapat gred C) dalam ujian tersebut. Namun jumlah min terkumpul bagi kumpulan rawatan ialah 59.23 manakala min terkumpul bagi kumpulan kawalan 58.00. Selisih min terkumpul bagi kedua-dua kumpulan tersebut ialah 1.23, ini menunjukkan perbezaan min terkumpul yang tidak ketara, jelas menggambarkan kedua-dua kumpulan mempunyai tahap pencapaian yang hampir sama.


Seterusnya untuk menjawab soalan (ii) adakah wujud perbezaan min skor pencapaian ujian pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Indentiti Negara di kalangan pelajar-pelajar dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan? , pengkaji telah menjalankan dua ujian pasca selepas para pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk tersebut. Kumpulan rawatan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer manakala kumpulan kawalan menggunakan kaedah konvensional.

JADUAL 4.3
Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pasca 1
Skor Gred Kumpulan Rawatan Kumpulan Kawalan
Frekuensi Peratus Frekuensi Peratus
80 – 100 A 14 42.42 4 12.12
60 – 79 B 18 54.54 20 60.60
40 – 59 C 1 3.03 9 27.27
20 – 39 D - - - -
00 – 19 E - - - -
Min terkumpul 77.59 66.53

RAJAH 4.2
Graf Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pasca 1

Setelah menjalankan pengajaran dan pembelajaran selama dua minggu bagi kedua-dua kumpulan, pengkaji telah menjalankan Ujian Pasca 1. Kumpulan rawatan telah mendapat 42.42% gred A berbanding hanya 12.12% bagi kumpulan kawalan. Begitu juga kumpulan rawatan hanya mendapat 3.03% bagi gred C berbanding kumpulan kawalan yang mendapat 27.27%. Jumlah min terkumpul kumpulan rawatan 77.59 sedangkan min terkumpul bagi kumpulan kawalan hanya 66.53. Selisih min terkumpul kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan agak ketara iaitu 11.06. Ini menunjukkan bahawa kumpulan rawatan mendapat kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.


Kemudian pengkaji memberikan tugasan kepada kumpulan rawatan untuk membina peta minda dalam kumpulan dan dibentangkan kepada kelas, dan kumpulan kawalan pula membuat catatan nota dan bersoal jawab secara lisan. Aktviti bagi kedua-dua kumpulan tersebut dijalankan selama dua minggu. Kemudian pengkaji sekali lagi menjalankan Ujian Pasca 2.

JADUAL 4.4
Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pasca 2
Skor Gred Kumpulan Rawatan Kumpulan Kawalan
Frekuensi Peratus Frekuensi Peratus
80 – 100 A 28 84.85 4 12.12
60 – 79 B 4 12.12 23 69.70
40 – 59 C 1 3.03 5 15.15
20 – 39 D - - 1 3.03
00 – 19 E - - - -
Min terkumpul 86.29 67.74


RAJAH 4.3
Graf Peratus dan Min Pencapaian Ujian Pasca 2

Kumpulan rawatan terus menunjukkan peningkatan pencapaian, 84.85% mendapat gred A sedangkan kumpulan kawalan kekal 12.12% mendapat gred A. Begitu juga min terkumpul bagi kumpulan rawatan 86.29 berbanding kumpulan kawalan 67.74. Selisih min terkumpul antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan sebanyak 18.55, jelas membuktikan bahawa pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer lebih berkesan dalam mempengaruhi pencapaian serta membantu daya ingatan para pelajar.


Bagi menjawab soalan kajian yang (iii) adakah wujud perbezaan min skor pencapaian Ujian Pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar mengikut jantina?, perbandingannya boleh dilihat melalui kedua-dua keputusan Ujian Pasca.

JADUAL 4.5
Frekuensi dan Min Pencapaian Ujian Pra dan Ujian Pasca Mengikut Jantina
Skor Gred Ujian Pra Ujian Pasca 1 Ujian Pasca 2
Lelaki
(N=41) Perempuan
(N = 25) Lelaki
(N=41) Perempuan
(N = 25) Lelaki
(N=41) Perempuan
(N = 25)
80 – 100 A 2 1 11 7 20 10
60 – 79 B 17 10 25 13 17 12
40 – 59 C 20 13 5 5 4 2
20 – 39 D 2 1 - - - 1
00 – 19 E - - - - - -
J U M L A H 41 25 41 25 41 25
Min terkumpul 58.79 58.32 72.56 71.24 77.55 74.50


RAJAH 4.4
Graf Min Pencapaian Responden Mengikut Jantina

Jadual 4.5 dan Rajah 4.4 menunjukkan min terkumpul yang diperolehi oleh pelajar mengikut jantina. Dalam Ujian Pasca 1, min terkumpul pelajar lelaki 72.56 manakala min terkumpul pelajar perempuan ialah 71.24. Selisih min terkumpul tersebut ialah 1.32. Dalam Ujian Pasca 2 pula, min terkumpul pelajar lelaki ialah 77.55 dan min terkumpul pelajar perempuan 74.50. Selisih min terkumpul antara pelajar lelaki dan perempuan ialah 3.05. Kesimpulannya, tidak wujud perbezaan min skor pencapaian yang ketara antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam Ujian Pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.


4.4 RUMUSAN
Melalui analisis data yang menjawab soalan kajian tersebut jelas menunjukkan peningkatan min pencapaian para pelajar dalam kumpulan rawatan lebih ketara berbanding peningkatan min pencapaian kumpulan kawalan. Oleh itu dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer adalah lebih berkesan berbanding dengan kaedah konvensional.



BAB V

RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN

5.1 PENDAHULUAN
Bab ini membincangkan secara ringkas tentang kajian serta perbincangan, kesimpulan dan implikasi hasil daripada dapatan kajian yang telah diperolehi dalam Bab IV. Pengkaji juga membincangkan beberapa cadangan berkaitan dengan kajian lanjutan yang boleh dijalankan oleh penyelidik lain yang berminat dengan tajuk kajian ini. Akhir sekali, satu kesimpulan secara keseluruhan tentang kajian ini turut diperkatakan.


5.2 RUMUSAN HASIL KAJIAN
Bahagian ini akan menerangkan secara ringkas tentang kajian yang dijalankan. Rumusan kajian ini meliputi penerangan tentang tujuan kajian, reka bentuk kajian, instrumen kajian dan kaedah analisis data yang telah digunakan bagi memenuhi kehendak kajian.

Secara amnya, kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun 4, di Sekolah Kebangsan Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar. Manakala secara khususnya pula, objektif kajian ini ialah untuk menentukan adakah terdapat perbezaan min skor pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan pelajar-pelajar yang menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer dengan para pelajar yang mempelajari tajuk ini secara konvensional. Selanjutnya kajian ini juga ingin menentukan adakah terdapat perbezaan min skor pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di antara pelajar-pelajar lelaki dan perempuan.

Kajian yang telah dijalankan ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen dengan pemilihan sampel secara bertujuan bagi dua buah kelas tahun 4 di sekolah pengkaji. Seramai 66 orang pelajar terlibat dalam kajian ini, seramai 33 orang pelajar dari sebuah kelas yang mempelajari Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer, dan seramai 33 orang pelajar dalam sebuah kelas yang lain mempelajari tajuk ini dengan kaedah konvensional.

Kajian ini menggunakan dua set ujian pencapaian sebagai instrumen kajian. Set pertama terdiri daripada 30 soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan jawapan (A, B dan C) yang berkaitan dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Set kedua terdiri daripada 40 soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan jawapan (A, B dan C). Instrumen ini telah diuji kesahan isi kandungannya dengan merujuk kepada guru-guru berpengalaman dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Selain itu instrumen tersebut telah dirintis menggunakan kaedah uji-ulang-uji untuk mendapatkan pekali kebolehpercayaannya. Untuk menjawab ketiga-tiga soalan kajian yang telah ditetapkan dalam kajian ini, data yang diperolehi persembahkan dalam bentuk jadual dan graf.


5.3 PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN
Hasil daripada analisis data yang diperolehi melalui ujian pra menunjukkan bahawa pada peringkat permulaan kajian, pelajar-pelajar dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan adalah mempunyai pencapaian atau berkebolehan hampir sama dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Min terkumpul pencapaian ujian pra bagi kumpulan rawatan ialah 59.23 manakala min terkumpul pencapaian bagi kumpulan kawalan pula 58.00. Selisih min antara dua kumpulan tersebut ialah 1.23. Skor tertinggi bagi kumpulan rawatan ialah 80% manakala skor tertinggi bagi kumpulan kawalan ialah 77%.

Seterusnya analisis data menunjukkan berlaku perbezaan min pencapaian dalam Ujian Pasca 1 dan Ujian Pasca 2 bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Hal ini demikian menunjukkan bahawa pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara adalah lebih baik dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer berbanding dengan kaedah konvensional. Pencapaian pelajar sangat ketara apabila pelajar dilibatkan secara langsung menghasilkan peta minda seperti yang telah dibuktikan melalui peningkatan min pencapaian dalam Ujian Pasca 2. Keputusan yang didapati di atas juga telah menyokong pendapat Kanagambal (1997) yang menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang menarik dan lebih efektif, di samping dapat memberi maklumat dengan lebih cepat dan konsep lebih mudah diingati dengan lebih lama sehingga dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan di akhir pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, keputusan ini juga telah menyokong pendapat yang telah dikemukakan oleh Ab Fatah Hasan (1994) yang menyatakan bahawa penggunaan peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran boleh membantu mencapai beberapa matlamat, antaranya membantu kepada pengekalan ingatan, dapat membuat perkaitan antara pengetahuan yang baru dengan pengetahuan sedia ada, membantu kepada pengekalan konsep baru, memperjelas dan mengvisualisasikan struktur kognitif pelajar dan menggalakkan kreativiti serta menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru.

Seterusnya analisis data juga menunjukkan bahawa di antara pelajar lelaki dan perempuan tidak mempunyai perbezaan min pencapaian yang ketara dalam tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa antara pelajar lelaki dan perempuan mempunyai kebolehan yang hampir setara dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Hasil kajian ini juga telah menyokong kajian yang dijalankan oleh Nor Hayati Hj Mt Ali (2002) yang mendapati terdapat pencapaian yang sama antara pelajar lelaki dan perempuan dalam mempelajari tajuk penjelmaan dalam mata pelajaran matematik.


5.4 IMPLIKASI DAPATAN KAJIAN
Guru seharusnya sedar bahawa walaupun pelajar-pelajar berada di dalam kelas yang sama, para pelajar biasanya mempunyai latar belakang dan sosio ekonomi yang berbeza. Oleh itu, guru-guru haruslah mempelbagaikan kaedah dan teknik semasa menyampaikan isi pelajaran supaya keseluruhan pelajar dapat menerimanya dengan berkesan di samping dapat mengingati isi pelajaran dalam jangka masa yang lebih lama. Justeru, sebagai seorang guru yang berdedikasi, yang mementingkan kejayaan akademik para pelajar, para guru haruslah mempunyai perancangan dan persediaan yang rapi untuk setiap topik pelajaran sejak awal penggal persekolahan lagi supaya tahap pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan.

Guru-guru juga perlu mempelbagaikan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik-bilik darjah, terutamanya bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Hal ini telah ditunjukkan keberkesanannya melalui hasil dapatan kajian dalam Bab IV. Penggunaan peta minta berbantukan komputer sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara, boleh mempertingkat pencapaian pelajar bagi tajuk tersebut, menyeronokkan serta boleh menarik minat pelajar terhadap pembelajaran yang disampaikan. Di samping itu peta minda berbantukan komputer juga boleh mengelakkan kebosanan pelajar mengadap petikan teks secara berpanjangan. Peta minda membantu pelajar mengingati fakta melalui kata kunci, idea, serta gambaran yang ringkas dan jelas.
Berdasarkan dapatan kajian, pencapaian pelajar yang didedahkan dengan kaedah penggunaan peta minda berbantukan komputer menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding dengan kaedah konvensional. Implikasinya di sini menunjukkan bahawa penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif kepada strategi pengajaran yang sedia ada yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Justeru itu, tidak mustahil sekiranya penggunaan kaedah ini dalam matapelajaran yang lain turut sama akan menunjukkan keberkesanannya. Para pendidik boleh menggunakan kaedah ini dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri untuk menarik minat pelajar, kerana kepentingannya ialah dapat memberi manfaat kepada Dasar Pendidikan Negara.

Implikasi daripada dapatan-dapatan tersebut, pendidik perlu bijak mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas. Strategi yang dilaksanakan tidak seharusnya terhad kepada penyampaian isi pelajaran secara kuliah semata-mata kerana ingin menghabiskan sukatan pelajaran tanpa mengambil kira tahap kefahaman pelajar dan lebih tertumpu kepada pengajaran secara tradisional sahaja. Oleh itu, guru boleh menggunakan kaedah penggunaan peta minda berbantukan komputer sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer sememangnya memerlukan pengorbanan, dan usaha yang lebih dari pihak guru bagi membuat persiapan awal. Seseorang guru perlu lebih kreatif serta aktif ketika menyampaikan pengajaran supaya murid-murid dapat menerimanya dengan lebih berkesan.

Pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pihak pentadbiran sekolah serta warga pendidik perlulah mengambil inisiatif agar penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer dapat dikuasai oleh para pendidik dan diamalkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas supaya pelajar dapat merasa lebih seronok untuk belajar terutamanya bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan atau yang seumpamanya. Ini diharap dapat mempertingkatkan prestasi pelajar dalam semua mata pelajaran dan seterusnya melahirkan seorang individu yang berkeyakinan, cemerlang, gemilang dan terbilang.

5.5 CADANGAN KAJIAN LANJUTAN
Berdasarkan dapatan dan batasan daripada kajian ini, beberapa cadangan dikemukakan, antaranya ialah :
i. Sampel yang dipilih dalam kajian ini hanya melibatkan pelajar daripada dua buah kelas tahun 4 di sekolah pengkaji sendiri, dan pengkaji terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran bagi kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar kajian seumpama ini dapat diperluaskan lagi ke atas sampel yang lebih ramai dengan melibatkan pelbagai kategori sekolah supaya hasil dapatan kajian akan lebih menyeluruh.

ii. Pengkaji berkeyakinan, penggunaan peta minda berbantukan komputer bukan sahaja sesuai untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara bagi pelajar sekolah rendah sahaja, tetapi penggunaan peta minda berbantukan komputer juga sesuai untuk semua warga pendidikan sama ada di sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar kajian-kajian lanjutan boleh dijalankan untuk melihat keberkesanan kaedah tersebut di pelbagai peringkat pengajian serta pelbagai tajuk dalam pelbagai mata pelajaran khususnya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

iii. ` Di dalam kajian ini, pengkaji hanya membincangkan berkaitan peningkatan pencapaian dengan menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer berdasarkan kepada soalan ujian pra dan pasca. Maka kajian selanjutnya perlu dijalankan dengan menggunakan alat kajian yang lain untuk mencari kesan yang lain. Kajian ini hanya dilaksanakan selama empat minggu pengajaran sahaja. Kajian lanjutan dicadangkan supaya dapat dijalankan dalam masa yang lebih lama mungkin dua hingga tiga bulan.

iv. Kajian ini juga boleh dilanjutkan ke seluruh negara bagi membolehkan perbandingan tentang hasil kajian dapat dilakukan. Selain itu, dicadangkan agar mata pelajaran lain turut memurnikan hasil dapatan kajian ini supaya dapat bersifat lebih menyeluruh dan lengkap. Penekanan yang lebih terutamanya dalam aspek sistem pengurusan panitia, kualiti perkhidmatan panitia, elemen penyeliaan bagi mata pelajaran, kepuasan kerja di kalangan guru terhadap tugas harian dirasakan adalah lebih hampir dan berupaya melengkapkan dapatan kajian, terutama di dalam meramalkan hubungannya dengan pencapaian mata pelajaran.

v. Pihak-pihak yang berkenaan hendaklah mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus-kursus dan latihan-latihan yang berkaitan dengan kaedah penggunaan peta minda berbantukan komputer kepada seluruh warga pendidik, supaya mereka lebih mahir untuk mengaplikasikan kaedah tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah tanpa menghadkan kepada sesuatu mata pelajaran sahaja.

5.6 RUMUSAN
Daripada hasil kajian dan analisis data yang telah dijalankan, maka dapatlah dibuat kesimpulan bahawa penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran telah dapat membantu dalam mempertingkatkan pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara ke atas pelajar tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar. Hal ini jelas dilihat melalui peningkatan min skor pencapaian ujian pasca bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di kalangan para pelajar dalam kumpulan rawatan berbanding dengan kumpulan kawalan. Walaupun min pencapaian dalam kumpulan kawalan juga meningkat, iaitu daripada 58.00 kepada 67.74 tetapi peningkatan agak rendah berbanding peningkatan min pencapaian kumpulan rawatan iaitu 59.23 kepada 86.29. (Rujuk Rajah 5.1). Jelaslah di sini penggunaan kaedah peta minda berbantukan komputer amat memberansangkan serta menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.
RAJAH 5.1
Graf Bandingan Peningkatan Min Ujian Pra dan Ujian Pasca


















2 ulasan: