1. Chomsky (1957) menyatakan bahawa setiap penutur dan pendengar memiliki dua perkara penting iaitu kemampuan (competence) dan pengucapan (performance). Analisis secara terperinci, bagaimanakah dua aspek ini berlaku dalam proses komunikasi yang berkesan?
1.0 Pengenalan
Komunikasi ialah suatu proses penyampaian atau pemindahan mesej daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Ia juga adalah proses untuk mewujudkan kefahaman orang lain mengenai mesej yang disampaikan dan kedua-duanya mempunyai kefahaman yang dikongsi bersama. Menurut Maimunah Osman (2000), komunikasi merupakan asas kepada perhubungan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Setiap orang dalam satu masa berkomunikasi antara satu sama lain, secara disedari atau tidak sama ada sekadar tersenyum, melambai, menyentuh, bertanya khabar atau mengarah.
Komunikasi berkesan seharusnya melibatkan penggunaan deria antaranya ialah mata, telinga, mulut, hati dan sentuhan. Hal demikian kerana manusia mempunyai akal dan perasaan. Interaksi atau komunikasi yang hanya menggunakan akal atau yang hanya menggunakan perasaan adalah komunikasi yang tidak berkesan kerana tidak bersifat menyeluruh. Menurut Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad (2001), seseorang yang mempunyai tahap kemahiran perhubungan interpersonal yang tinggi dan berkomunikasi berkesan menggunakan deria manusia dengan bijaksana dalam proses komunikasinya, yakni mereka bercakap dengan berkesan, melihat dengan nyata, mendengar dengan aktif dan merasa dengan hati akan apa yang didengar atau disampaikan.
Menurut Zawiyah Mohammad Yusof (2009), keberkesanan komunikasi merujuk kepada sumber atau penyampai maklumat yang dapat menyampaikan maklumat atau perutusan, idea atau pengetahuan kepada penerima dengan tepat dan maksudnya sama tanpa menimbulkan kekeliruan atau salah faham. Komunikasi dalam bidang pendidikan misalnya, dapat dinilai daripada keupayaan seseorang guru menyampaikan isi pelajaran, ilmu pengetahuan, idea, maklumat, tunjuk ajar, nasihat kepada murid dengan baik dan tepat tanpa menimbulkan kekeliruan, kekaburan atau salah faham dengan menggunakan bahasa yang betul, sesuai serta sempurna tatabahasanya.
1.1 Kemampuan (competence) dan Pengucapan (performance)
Chormsky (1957), menyatakan bahawa setiap penutur dan pendengar memiliki dua perkara penting iaitu kemampuan (competence) dan pengucapan (performance) untuk membantu seseorang mencapai komuniksai berkesan. Seseorang komunikator yang berwibawa perlu mempunyai beberapa aspek kemampuan untuk diamalkan.
Pertama, kemampuan dari segi mengawal tingkah laku semasa berinteraksi dengan orang lain. Manusia dianugerahkan dengan deria dan fizikal antara lain untuk interaksi dan bergaul antara satu sama lain. Menurut Maimunah Osman (2000), ada orang yang mempunyai tahap kemahiran komunikasi interpersonal yang tinggi disebabkan kemahiran menggunakan dengan berkesan deria dan fizikal yang dianugerahkan. Antara kemahiran tingkah laku yang kita sering lihat ialah komunikasi mata, pergerakan tubuh, mimik muka dan air muka, ketrampilan dan suara. Sekiranya seseorang itu mampu melakukan bentuk-bentuk tingkah laku tersebut dengan baik, maka komunikasi yang berkesan akan dapat dihasilkan.
Seterusnya, komunikasi yang berkesan mampu menimbulkan minat orang lain untuk memberi perhatian dan menarik pendengar untuk bersamanya. Menurut Maimunah Osman (2000), anda seharusnya mahir memupuk minat orang terhadap apa yang anda ucapkan. Oleh itu untuk membuatkan orang lain berminat kepada percakapan anda, anda hendaklah terlebih dahulu mestilah menunjukkan dan mengekalkan minat anda. Antara cara yang boleh digunakan untuk menarik dan menimbulkan minat orang lain ialah libatkan pendengar, perbualan yang menghiburkan, membawa topik perbualan yang anda mahir dan mengenalpasti keistimewaan orang lain. Sekiranya komunikasi berlaku tanpa melibatkan pendengar, maka komunikasi yang berkesan belum dapat dihasilkan.
Ketiga, untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan, pihak yang mendengar seharusnya mampu untuk memberi perhatian kepada mereka yang sedang bercakap, ini dapat mendorong mereka untuk terus bercakap. Melalui pendengaran aktif, pendengar akan mengutip semua maklumat yang dihasilkan. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (1999), melalui tumpuan perhatian dan pemerhatian, ia dapat menghasilkan suasana yang sesuai kepada penghantar mesej untuk terus memberi maklumat dalam menghasilkan mesej yang lengkap. Antara cara menumpukan perhatian ialah mendengar dengan aktif, menumpukan sepenuh perhatian, pertembungan mata, duduk ke hadapan sedikit, memberi maklumbalas lisan dan bukan lisan dan bertanya untuk penjelasan selanjutnya.
Selain itu, mendengar adalah satu asas penting dalam komunikasi lisan. Ia membantu pengumpulan maklumat dan memperbaiki kefahaman tentang maklumat tersebut. Ia juga membantu memperbaiki kefahaman anda tentang tatakelakuan orang lain dan boleh memperbaiki perhubungan interpersonal. Mendengar yang dimaksudkan di sini ialah mendengar secara aktif dan komprehensif. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (1999), ketika mendengar, kita melakukan empat aktiviti iaitu memberi tumpuan, mendengar, memahami dan mengingat. Proses ini melibatkan beberapa deria terutama telinga, mata, mulut, hati dan memerlukan usaha bersungguh-sungguh. Sekiranya seseorang itu mampu melakukannya, maka komunikasi berkesan akan dapat dirasai.
Tidak kurang penting juga, kemampuan mereka yang sedang berkomunikasi memberikan pemerhatian boleh membantu mereka mengesan maklumat bukan lisan yang dilahirkan. Bagi penghantar yang berkesan, mesej lisan akan diperkukuhkan dengan mesej bukan lisan seperti mimik muka. Bagi penghantar yang tidak mahir dalam komunikasi berkesan, mesej yang disampaikan melalui saluran bukan lisan berkemungkinan tidak menggambarkan makna sebenar. Ada masanya penghantar menghantar mesej yang mengelirukan, apa yang dicakapkan tidak sama dengan apa yang terpancar di wajah. Justeru selain memberikan tumpuan pendengaran, kita juga perlu memerhatikan tingkahlaku nonverbal yang ditunjukkan. Ini akan membantu melahirkan komunikasi yang berkesan.
Seterusnya, komunikasi berkesan turut ditentukan melalui aspek kemampuan mengemukakan soalan bagi mendapatkan maklumbalas dan memberi maklumbalas. Ia berkisar kepada usaha kedua-dua belah pihak yang berinteraksi untuk menjelaskan atau menerangkan dengan lebih lanjut mengenai mesej atau perasaan di sebalik mesej. Walaubagaimanapun anda seharusnya boleh mengemukakan soalan yang tepat bagi mendapatkan maklumbalas yang tepat. Terdapat tiga jenis soalan yang boleh dikemukakan iaitu soalan tertutup, soalan terpimpin, dan soalan terbuka. Oleh itu, kemampuan mengemukakan sangat penting untuk merasai komunikasi yang berkesan.
Seterusnya kemampuan memberi refleksi perasaan merupakan aspek yang membantu mewujudkan komunikasi berkesan. Hakikatnya semua orang mempunyai perasaan, dan perasaan adalah sesuatu yang boleh dirasai tetapi agak sukar untuk digambarkan. Kita sendiri tidak mahir dengan perasaan sendiri. Di sinilah letaknya keistimewaan pendengar dan penerima dalam memberi tafsiran mengenai perasaan orang yang bercakap. Menurut Sulaiman Md Yassin, Mohd Salleh Lebar dan Azlina Abu Bakar (2002), dalam komunikasi dan berinteraksi, kemampuan membaca perasaan orang lain adalah penting bagi mendapatkan mesej yang tepat, kerana kadang-kadang gambaran dan kefahaman kita hanya bersifat tanggapan semata-mata. Jadi di sini kita perlu menggunakan kaedah merumus dan mengulangi apa yang dikatakan dalam ayat anda sendiri. Ini bertujuan untuk mendapat kesahihan, dan natijahnya lahirlah komunikasi berkesan seperti yang diharapkan.
Kesimpulannya, komunikasi berkesan memerlukan kepada kemampuan penutur menyampaikan mesej, pendengar menerima dan mentafsir mesej tersebut. Disamping itu kemampuan pancaraindera lihat, mimik muka dan sebagainya memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan komunikasi berkesan. Selain aspek kemampuan yang telah dibincangkan, pengucapan juga merupakan aspek penting dalam mencapai komunikasi berkesan.
Dari segi pengucapan, faktor kepakaran penutur atau komunikator adalah sangat penting. Menurut Ab Rahman Ab Rashid dan Wan Som Mamat (1995), seseorang yang sedang berucap atau berkomunikasi mestilah tahu perkara yang sedang dibicarakan. Oleh itu komunikator perlu berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidangnya. Tahap kepakaran yang diperlukan juga bergantung kepada khalayak. Misalnya, seorang guru lepasan diploma yang baru dua tahun mengajar diminta menyampaikan ceramah tentang kepentingan teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaraan kepada guru-guru terlatih yang pernah mengikuti kursus setahun dalam bidang berkenaan. Sepatutnya ceramah tersebut hendaklah disampaikan oleh pensyarah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi daripada peserta kursus.
Selain itu, pengucapan yang jelas juga akan membantu mewujudkan komunikasi yang berkesan. Seseorang yang bertinteraksi atau berucap perlu mempunyai mutu suara atau sebutan yang baik dan jelas, menggunakan intonasi yang sesuai, bertutur tanpa tersekat-sekat yakni mempunyai kelancaran dan fasih, menggunakan istilah-istilah yang dapat difahami, dan mesti menzahirkan gerak-geri yang selaras dengan pengucapannya. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (1999), kejelasan maklumat adalah amat penting, ini disebabkan dalam komunikasi antara individu, kita mesti mendapatkan perhatian daripada pihak yang satu lagi untuk membolehkannya mengolah maklumat yang diterima. Justeru di sinilah terletaknya kepentingan memilih kata-kata atau simbol-simbol yang digunakan dalam komunikasi.
Di samping itu, pengucapan yang aktif, bertenaga dan penuh minat akan mendapat kepercayaan yang lebih daripada khalayaknya berbanding dengan pengucapan yang pasif, lemah dan mereka yang tidak mengambil berat tentang perutusannya. Menurut Ab Rahman Ab Rashid dan Wan Som Mamat (1995), kelemahan seseorang komunikator itu untuk menguasai subjek dan khalayaknya dengan lebih bertenaga dan tegas, selalunya akan menyebabkan khalayak merasakan bahawa komunitor tidak mempedulikan subjek dan pengucapannya. Justeru, untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan, pengucapannya mestilah bersifat dinamik.
Seterusnya sesuatu komunikasi yang berkesan akan tercapai jika pengucapannya mempunyai kesinambungan, kerana komunikasi sering dikaitkan dengan satu proses yang berterusan. Keadaan ini memerlukan perulangan untuk menarik perhatian. Di samping itu, maklumat-maklumat yang disampaikan dalam bentuk susunan ayat juga mesti ada hubung kaitnya untuk melicinkan penerimaan pendengar. Zawiyah Mohammad Yusof (2009), berpendapat kesinambungan maklumat-maklumat yang dikemukakan itu akan saling mengukuhkan fakta-fakta yang telah disebut. Justeru aspek kesinambungan dalam pengucapan amat perlu dijaga untuk mencapai komunikasi berkesan.
Aspek pengucapan bukan terhenti setakat yang telah dibincangkan sahaja, malah banyak lagi perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian, seperti pengucapan yang mengambil berat terhadap pendengar, kaedah penyampaian, keikhlasan dan kejujuran dalam pengucapan, dan seumpamnya.
2. Kemahiran lisan merupakan kemahiran bahasa peringkat asas. Jika murid-murid tidak menguasai dengan baik, ia akan menggangu kemahiran bahasa yang lain. Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran lisan tersebut.
2.0 Pengenalan
Lisan adalah pertuturan atau percakapan. Apabila seseorang bercakap dengan orang lain, ia bukan sahaja melibatkan kemahiran bertutur semata-mata tetapi juga melibatkan kemahiran mendengar. Ini bermakna kemahiran lisan mempunyai dua kemahiran bahasa yang lain iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan, seseorang perlulah menguasai kedua-dua aspek ini dengan baik terlebih dahulu. Kedua-dua kemahiran ini saling lengkap melengkapi antara satu dengan lain. Menurut Koh Boh Boon (1989), seseorang yang mempunyai kemahiran mendengar dengan baik sudah pasti boleh memahami pertuturan orang lain, dan pada masa yang sama dia juga mampu bertutur atau memberikan respons terhadap apa yang didengarinya. Seseorang yang mahir dalam kemahiran lisan akan dapat melahirkan pendapat, idea dan perasaan dengan baik, dan akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan orang lain dalam apa jua situasi. Oleh itu kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran akan mengalami masalah pertuturan juga, malah sekiranya seseorang itu mengalami kes masalah pendengaran yang teruk atau pekak, kanak-kanak tersebut tidak dapat bertutur atau dikatakan bisu.
Menurut Ab Rahman Ab Rashid dan Wan Som Mamat (1995), kemahiran mendengar merupakan kemahiran lisan yang paling asas dan kemahiran ini berlaku pada peringkat penerimaan. Ini bermaksud kemahiran mendengar adalah kemahiran awal yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak dalam proses perkembangan penguasaan bahasanya. Oleh itu seseorang yang menguasai kemahiran mendengar dengan baik, biasanya akan dapat mendengar dengan baik semua perkara yang dituturkan oleh orang lain kepadanya dan dapat pula memahami maksud serta membuat tafsiran daripada apa yang didengarinya. Lundsteen dalam Open University Malaysia (2009), mendefinisikan mendengar sebagai satu proses minda yang memberikan makna kepada bahasa pertuturan. Proses mendengar merupakan satu proses fizikal yang melibatkan telinga sebagai alat penerima bunyi bahasa, manakala proses memahami pendengaran pula melibatkan proses psikologi dan mental seperti pengamatan, kecerdasan dan pemikiran yang disepadukan untuk membolehkan seseorang memahami segala yang didengarnya dan memberi tindak balas yang sesuai. Menurut Kamarudin Hussin (1999), mendengar adalah satu proses yang aktif yang merangkumi proses mendengar untuk memahami, mengingati, menilai dan mengkritik. Oleh itu mendengar secara aktif bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan telinga tetapi kepada semua pancaindera terutamanya penglihatan, iaitu menerusi komunikasi nonverbal. Pendengaran yang aktif perlu dilatih dengan betul supaya proses pendengaran dapat dilakukan dengan betul. Melaluinya pendengar dapat mebuat generalisasi, organisasi, mengagakkan hasil serta membuat rumusan.
Seperti yang telah dinyatakan di awal tadi, satu lagi kemahiran bahasa yang terkandung dalam kemahiran lisan ialah kemahiran bertutur. Menurut Izani Daud (2001), bertutur merupakan satu cara berkomunikasi yang kompleks dan melibatkan proses mental yang menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur-unsur prosidi dan cara paralingusitik semasa bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Secara fizikalnya pertuturan melibatkan alat-alat pertuturan seperti bibir, lidah, gusi dan pita suara. Bertutur juga merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa dan berlaku pada peringkat produksi. Dalam kemahiran bertutur, tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasaan sistem bunyi yang lain adalah amat penting untuk menghasilkan pertuturan yang baik. Perkara tersebut adalah untuk membolehkan seseorang penutur bertutur dengan baik dari segi dapat menyebut dengan tepat, mengikut bunyi, ejaan dan makna. Selain itu tekanan, panjang-pendek, kefasihan juga perlu diberikan perhatian.
Kesimpulannya, kemahiran lisan ialah gabungan antara kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Untuk menguasai kemahiran lisan yang baik, seseorang perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran mendengar dan diikuti dengan menguasai kemahiran bertutur. Kemahiran mendengar adalah kebolehan bahasa yang mula-mula sekali bagi kanak-kanak. Sebaik sahaja organ pendengaran kanak-kanak sudah terbentuk di dalam kandungan lagi, mereka sudah mula mendengar. Lebih daripada itu mendengar adalah asas kepada kemahiran-kemahairan bahasa yang lain iaitu bertutur, membaca dan menulis. Namun kemampuan menguasai kemahiran lisan antara individu dengan individu yang lain adalah berbeza. Perkara tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor yang mempengaruhinya.
2.1 Faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran lisan
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kemahiran lisan yang perlu diberikan perhatian. Faktor-faktor tersebut juga boleh dipisahkan mengikut kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur.
2.1.1 Kemahiran Mendengar
Faktor utama yang mempengaruhi kemahiran mendengar ialah faktor kesihatan iaitu keadaan fizikal seseorang pendengar. Seseorang yang mempunyai organ pendengaran yang baik tentu sekali akan dapat mendengar dengan baik juga. Seseorang kanak-kanak yang mengalami masalah atau kecacatan pada organ pendengaran akan mengalami masalah pendengaran seperti receptive aphasia. Menurut Kamrudin Hussin (1999), receptive aphasia berpunca daripada masalah diskriminasi pendengaran, lemah daya ingatan, dan sukar untuk mengaitkan makna perkataan. Akibatnya seseorang yang mengalami masalah ini akan sukar untuk mengikut arahan, bertindak balas, memahami perkataan, membentuk konsep, memahami jenaka dan sukar mengikuti pengajaran lisan.
Begitu juga bagi seseorang yang mengalami masalah yang serius pada organ pendengaran akan menyebabkannya menjadi pekak, dan seseorang yang pekak biasanya akan bisu. Menurut Zamri Mahamod (2007), tanpa deria pendengaran manusia tidak dapat berkomunikasi dengan sempurna, dan masalah pendengaran sering dikaitkan dengan dua rangkaian ketidakupayaan, iaitu apabila tiada pendengaran bermakna tiada pertuturan yang dihasilkan. Seseorang kanak-kanak yang pekak sejak dilahirkan tidak akan dapat mendengar dan meniru bunyi-bunyi dipersekitarannya.
Bentuk kemahiran mendengar juga turut mempengaruhi kemahiran mendengar seseorang. Menurut Ab Rahman Ab Rashid dan Wan Som Mamat (1995), jika tidak bersungguh-sungguh mendengar, maka timbullah banyak kekeliruan dan salah faham terhadap sesuatu mesej yang diucapkan. Oleh itu seseorang pendengar itu haruslah mendengar dengan aktif kerana pendengaran yang aktif dapat memahami isi kandungan dan perasaan yang telah diperkatakan. Selain itu pendengaran yang aktif turut mewujudkan suasana komunikasi yang terbuka untuk mengadakan perbincangan. Ini turut dijelaskan oleh Ab Rahman Ab Rashid dan Wan Som Mamat (1995), bahawa pendengar yang aktif adalah suatu kemahiran yang boleh mewujudkan penerimaan dan meningkatkan rasa saling mempercayai, malah boleh membantu dalam menyelesaikan masalah.
Seterusnya, tabiat mendengar juga boleh mempengaruhi kemahiran mendengar seseorang. Terdapat tabiat mendengar yang baik dan yang buruk. Zawiyah Mohammad Yusof (2009), telah menyenaraikan 25 contoh tabiat mendengar yang baik dan tabiat mendengar yang buruk. Antara tabiat mendengar yang baik ialah, cuba mendalami erti perkataan yang didengari dan mengawal reaksi, sabar mendengar sehingga penutur selesai bercakap, mendengar dengan bersungguh-sungguh, dan menyimpan maklumat. Sementara contoh tabiat mendengar yang buruk seperti, membiarkan emosi menguasai diri ketika mendengar perkataan tertentu, ghairah untuk menyampuk, berpura-pura memberi perhatian atau mendengar, dan mengabaikan maklumat yang didengari.
Sikap atau peribadi pendengar juga mempengaruhi kemahiran mendengar seseorang. Zawiyah Mohammad Yusof (2009), telah menyatakan bahawa sikap faham sebelum selesai bercakap, sikap gopoh dan sikap lebih dulu makan garam merupakan sikap negatif pendengar. Menurutnya orang bersikap faham sebelum selesai bercakap, sentiasa mempunyai sifat berat sebelah, prasangka dan pendapat peribadi yang sempit seperti mudah memperkecilkan orang lain. Pendengar yang gopoh pula, orang yang tidak mahu melaburkan masa untuk mendengar, mereka telah membuat kesimpulan sebelum mendengar fakta penuh. Begitu halnya dengan pendengar yang bersikap lebih dulu makan garam, mempunyai satu perasaan bahawa apa yang akan dia katakan lebih penting daripada mendengar apa yang orang lain akan katakan.
Seterusnya pendengar yang kaya dengan perbendaharaan kata akan mudah memahami segala yang didengari dan akan memberikann respon kepada maklumat yang diterimanya itu. Tetapi bagi pendengar yang tidak mempunyai perbendaharaan kata yang mencukupi akan mengalami masalah, kerana terdapat perkara-perakara yang didengari tetapi tidak dapat difahami olehnya.
2.1.2 Kemahiran Bertutur
Faktor utama yang mempengaruhi kemahiran bertutur seseorang ialah kemampuan alat-alat artikulasi seseorang. Alat-alat artikulasi ialah bibir, lidah, gigi, lelangit, gusi dan pita suara. Seseorang yang memiliki alat artikulasi yang baik akan dapat bertutur dengan normal, iaitu keupayaan mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa melalui mulut, dilafazkan dengan baik, fasih dan tidak sengau. Sebaliknya jika seseorang yang mengalami masalah artikulasi, ia akan mengeluarkan bunyi-bunyi pertuturan yang abnormal, menyebabkan percakapan menjadi tidak tepat atau percakapan tidak sesuai. Menurut Open University Malaysia (2009), masalah artikulasi terdiri daripada penggantian, pengguguran, pengubahan dan penambahan. Penggantian ialah bunyi tertentu dalam sesuatu perkataan digantikan dengan bunyi yang lain seperti malan untuk makan. Pengguguran bunyi pula melibatkan pengguguran atau menghilangkan bunyi konsonan seperti idung kepada hidung. Begitu juga pengubahan bunyi terjadi apabila sebutan asal diubah seperti susah kepada syusyah. Manakala penambahan pula bermaksud menambah bunyi tertentu dalam perkataan seperti bawa disebut bawah.
Mempelajari kemahiran bertutur juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kemahiran bertutur seseorang. Seseorang manusia sebenarnya sejak dilahirkan sudah mula mempelajari banyak perkara daripada ibu bapa atau orang yang paling hampir dengannya. Proses mempelajari berterusan samada secara sedar atau sebaliknya. Yahya Othman (2005) menyenaraikan beberapa langkah pembelajaran dalam kemahiran bertutur seperti, meniru irama dan intonasi, membandingkan sebutan, menyebut perkataan yang mudah, bersedia hendak berkomunikasi, berlatih secara senyap dan belajar untuk tidak takut untuk membuat kesilapan. Oleh itu proses mempelajarinya sangat penting dan menjadi penentu kepada seseorang untuk menguasai kemahairan lisan dengan baik atau sebaliknya.
Faktor yang seterusnya yang mempengaruhi kemahiran lisan seseorang ialah faktor kecerdasan. Menurut Zamri Mahamod (2007), kecerdasan otak biasanya dihubungkan dengan kemampuan otak untuk memproduksi bahasa. Kanak-kanak yang cacat otaknya selalu mempunyai pertuturan yang tidak sempurna. Justeru kanak-kanak yang cerdas mindanya akan memiliki perbendaharaan kata yang mencukupi. Seseorang yang memiliki perbendaharaan kata yang mencukupi atau banyak biasanya dapat bertutur dengan fasih dan lancar. Sedangkan jika seseorang yang mempunyai perbendaharaan kata yang terhad akan mengalami gangguan kelancaran pertuturan, tidak dapat menyampaikan mesej dengan tepat dan gagal memahami mesej yang diterima daripada orang lain.
Keempatnya ialah faktor alam sekeliling dan sosioekonomi sesebuah keluarga dan masyarakat. Kedududukan taraf sosioekonomi biasanya bergantung kepada pekerjaan dan pendapatan ibu bapa. Menurut Zamri Mahamod (2007), kanak-kanak yang berasal daripada keluarga kelas atasan dan pertengahan didapati boleh menguasai bahasa dengan lebih baik daripada kanak-kanak kelas bawahan. Kebiasaannya ibu bapa keluarga kelas atasan mempunyai tahap pendidikan yang baik. Keadaan tersebut adalah menjadi faktor yang mempengaruhi kemahiran bertutur di kalangan anak-anak mereka.
Faktor jantina juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kemahiran bertutur seseorang. Menurut ahli psikologi, kanak-kanak perempuan mempunyai tahap kematangan fizikal, emosi dan kognitif yang lebih cepat daripada kanak-kanak lelaki. Zamri Mahamod (2007), menyatakan kanak-kanak perempuan didapati lebih dahulu bercakap berbanding kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan menggunakan bahasa dan menguasai perbendaharaan kata dengan lebih cepat daripada kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur yang sama. Oleh itu kanak-kanak perempuan juga mempunyai kemahiran bertutur lebih baik berbanding kanak-kanak lelaki yang seusia dengannya.
Seterusnya ialah faktor gangguan bahasa kedua. Kanak-kanak yang mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan semasa bertutur atau berinteraksi. Ini kerana penguasaan bahasa pertama atau bahasa ibunda selalu mengganggu bahasa yang dipelajari itu. Keadaan itu turut dijelaskan oleh Zamri Mahamod (2007), bahawa kanak-kanak ekabahasa biasanya dapat bertutur lebih baik berbanding dengan kanak-kanak yang mempelajari dwibahasa. Ini disebabkan sistem nahu dan sebutan bahasa ibunda itu tidak sama dengan sistem bahasa sasaran dan ini menyebabkan kanak-kanak itu tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa tersebut.
2.2 Kesimpulan
Kemahiran mendengar dan bertutur merujuk kepada keupayaan seseorang memahami perkara yang didengar dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dalam pelbagai situasi pengucapan samada dalam perbualan harian atau situasi formal. Namun terdapat persamaan dan perbezaan dalam mempengaruhi kedua-dua kemahiran tersebut.
3.0 Penutup
Kemahiran lisan yang meliputi dua kemahiran bahasa lain iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur adalah faktor utama untuk melahirkan komunikasi yang berkesan bagi manusia. Tanpa menguasai mana-mana kemahiran bahasa samada kemahiran mendengar atau kemahiran bertutur atau kedua-duanya, sudah tentu komunikasi berkesan juga akan turut terjejas. Malah untuk mencapai tahap komunikasi yang berkesan seseorang individu juga perlu memiliki dua lagi perkara utama iaitu kemampuan (competence)dan pengucapan (performance). Secara ringkasnya, kesemuanya ini saling berkait antara satu dengan yang lain, sama-sama penting. Justeru untuk mengajar kanak-kanak supaya mencapai tahap komunikasi berkesan, kesemua aspek yang telah dibincangkan dalam tugasan ini tidak boleh dipandang remeh oleh para guru.
RUJUKAN
Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1999). Komunikasi untuk guru. Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn. Bhd.
Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. (2001). Santun komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ab Rahman Ab Rashid & Wan Som Mamat. (1995). Bahasa Melayu: bahasa dalam komunikasi dan proses komunikasi. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Juriah Long & Zainal Abidin Ahmad. 1985. Keberkesanan Penggunaan Bahasa Malaysia Dalam Komunikasi Lisan: Satu Tinjauan di Sekolah Menengah Rendah. [Monograf 1]. Bangi, Selamgor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamarudin Hussin. (1999). Pengajaran lisan, kemahairan mendengar dan bertutur. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Koh Boh Boon. (1989). Perspektif-perspektif dalam Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Maimunah Osman. (2000). Komunikasi Berkesan: Hubungan Interpersonal. Kuala Lumpur: Institut Tadbir Awam Negara (INTAN).
Yahya Othman. (2005). Trend dalam pengajaran Bahasa Melayu. Bentong, Pahang: PTS Publications Sdn. Bhd.
Zamri Mahamod. (2007). Psikolinguistik dalam pengajaran dan pemerolehan bahasa pertama dan kedua. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Zawiyah Mohammad Yusof. (2009). Kemahiran Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://home.hamidarshad.com/IKKkanak_lambat_bercakap.htm
http://irene-masalahpendengarandanpertuturan.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan