Ahad, 17 Januari 2010

Manusia & Alam Sekitar

1.0 PENGENALAN.
Hutan boleh ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan serta serangga yang saling hidup dengan beraneka cara dengan meliputi kawasan yang sangat luas. Kawasan hutan amat memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanah sebagai komponen yang akan menyokong pertumbuhan, kematangan dan seterusnya pembiakan hutan dengan baik.

Menurut http://pkukmweb.ukm.my , secara umumnya di seluruh dunia ini terdapat tiga kawasan Hutan Hujan Tropika. Kawasan yang paling luas ialah kawasan Hutan Hujan Tropika Amerika di Lembangan Amazon. Hutan Hujan Tropika di Indo-Malaya adalah kawasan yang kedua luas di dunia, sementara Hutan Hujan Tropika di Conga, Afrika adalah merupakan kawasan Hutan Hujan Tropika yang terkecil.

Hutan Hujan Tropika di Malaysia dipercayai merupakan ekosistem yang paling tua dan rumit di dunia. Ekologi Hutan Hujan Tropika di Malaysia dan kawasan lain mempunyai dua ciri yang amat ketara iaitu kadar pertumbuhan yang tinggi dan kepelbagaian spesies yang sukar disaingi. Menurut Khairudin Hj. Kamaruddin (1992), berdasarkan stastistik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, dianggarkan terdapat 14 500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga di Hutan Hujan Tropika Malaysia. Daripada jumlah tersebut 9000 spesies tumbuhan berbunga terdapat di Semenanjung Malaysia dan 3000 spesies daripadanya adalah spesies pokok. Daripada 3000 spesies pokok dalam Hutan Hujan Tropika tersebut, terdapat 677 spesies balak yang meliputi 168 genus yang mempunyai nilai dagangan.

2.0 KEPENTINGAN HUTAN KEPADA EKONOMI NEGARA.
Umum mengetahui bahawa hasil hutan merupakan salah satu sumber yang menjadi penyumbang pendapatan negara pada masa kini. Di antara bidang-bidang yang memberi sumber ekonomi kepada negara adalah pembalakan, eko-pelancongan, perubatan, kawasan tadahan air, habitat semulajadi kepada flora dan fauna, pencegahan hakisan, penstabil cuaca bumi serta pembersih udara dan sumber bahan mentah.
2.1 Pembalakan.
Hutan Negara kita kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok cengal, pokok meranti, pokok merbau, pokok resak dan pokok keranji. Pokok-pokok ini dikategorikan sebagai pokok kayu balak. Sumber kayu-kayan hutan hujan tropika di Malaysia kaya dengan taburan berbagai spesies pokok-pokok balak komersial negara seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi. Ini menjamin bekalan sumber kayu-kayan di negara kita untuk tujuan kegunaan tempatan mahupun untuk dieksportkan. Selain itu, kepelbagaian flora dan spesies kayu-kayan telah membolehkan industri yang berasaskan kayu untuk menggunakan spesies-spesies kayu dijalankan secara lebih meluas.

Sektor perhutanan adalah satu sumber pendapatan negara yang penting. Ia memainkan peranan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dari segi pendapatan pertukaran asing, hasil kerajaan, pelaburan dan pekerjaan. Antara Januari hingga September 1990, nilai eksport balak dan barangan kayu adalah RM 2.1 billion atau 40% daripada jumlah pendapatan eksport negara. Jumlah pelaburan industri berasaskan kayu bagi tempoh tersebut adalah melebihi RM 967 juta. Punca-punca eksport sektor perhutanan adalah terdiri daripada kayu gergaji, papan lapis, kayu kumai, venir dan perabot. Jumlah hasil hutan yang dipungut daripada royalti, premium dan sumber-sumber lain seperti hukuman, denda dan pampasan berkaitan dengan perhutanan, lesen dan perkhidmatan perhutanan pula bernilai RM 203 juta. Selain itu, ia juga menawarkan pekerjaan lebih daripada 62800 orang sama ada dalam kegiatan pembalakan atau kegiatan hiliran seperti kilang papan dan perabot pada tempoh itu kepada penduduk tempatan.

2.2 Eko-Pelancongan.
Eko-pelancongan memang merupakan salah satu produk yang berdaya saing bagi industri pelancongan di pasaran global. Ini dapat dibuktikan lagi dengan sumbangannya sebayak 5% dalam pendapatan dalam sektor pelancongan negara kita. Bagi memelihara sumber alam semulajadi dan kekayaan warisan budaya yang menjadi teras bagi produk-produk eko-pelancongan. Keperluan untuk rekreasi hutan mula dirasai sejak tahun 1967, akibat daripada peningkatan ekonomi dan kepesatan pembangunan negara yang membuatkan warga kota memerlukan kawasan-kawasan untuk beriadah bagi mengelakkan dari tekanan dan kesibukan harian. Untuk memenuhi permintaan ini Jabatan Perhutanan mula membangunkan kawasan-kawasan hutan sebagai kawasan-kawasan rekreasi dengan mengadakan kemudahan-kemudahan asas kepada pengunjung seperti perkelahan, perkhemahan, merentas hutan dan berenang.

2.3 Perubatan.
Hutan juga adalah gedung penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Secara anggarannya, satu perempat daripada prekripsi dadah adalah bersumber daripada tumbuhan yang terdapat di hutan hujan tropika. Ini telah meningkatkan kegunaan tumbuhan tempatan terutamanya dari hutan dalam bidang perubatan. Contohnya ubat anti-Malaria dan kuinin. Kebanyakan daripada tumbuh-tumbuhan hutan hujan tropika mengandungi nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Biasanya ia dapat mengubati penyakit yang akan membawa kepada maut seperti penyakit kuning. Misalnya dalam kegunaan perubatan tradisional, masyarakat Melayu meminum air rebusan Tongkat Ali ( Eurycoma longifolia dan E.apiculata ) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ali bagi mengubati demam cacar (smallpox ) manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan deman malaria . Di antara spesies-spesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatannya termasuklah daripada jenis selusuh Fatimah / kacik Fatimah ( Labisia sp. ), mempisang (Goniothalamus sp.) dan medang ( Cinnamomum sp.). Bunga pakma (Rafflesia hasselti ) pula dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di pasaran.

2.4 Sumber Bahan Mentah.
Hutan adalah sebagai sumber bahan mentah . Hutan merupakan tempat asal bagi kebanyakan tanaman makanan manusia dan haiwan. Makanan yang kita guna seharian adalah berasal dari hutan hujan tropika. Antaranya termasuklah kopi, buah-buahan dan rempah. Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti manggis ( Garcinia mangostana ) dan rambutan ( Hephelium lappaceum ). Selain itu, buah-buahan seperti limau, pisang , betik, mangga dan nanas secara asalnya adalah berasal dari hutan hujan tropika. Tumbuh-tumbuhan seperti halia, lada hitam, vanila, cengkih, kayu manis, buah pala dan lada juga tumbuh secara liar di hutan hujan tropika pada mulanya .

2.5 Sumber keluaran hasil hutan bukan kayu.
Hutan juga adalah penting sebagai sumber keluaran hasil hutan bukan kayu yang mempunyai kegunaan yang berlainan. Ia termasuklah rotan, buluh, mengkuang dan pandan, tumbuh-tumbuhan pewarna, damar dan lain-lain.
Rotan adalah hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia. Ia telah menjadi satu perusahaan yang penting yang tertumpu di kawasan luar bandar. Ia lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan dan melibatkan aktiviti mengeksport barangan rotan separa proses dan siap. Manau ( Calamus manan ) adalah rotan yang paling popular diperdagangkan dan berharga tinggi.
Terdapat 28 genera dengan 150 spesies palma asli di Malaysia. Bagaimanapun penekanan dan penggunaannya hanya terhad bagi jenis-jenis palma yang popular seperti rumbia, nipah dan bertam sahaja.
Nipah ( Nypa fruticans ) tumbuh di sepanjang tebing-tebing sungai seluruh Semenanjung Malaysia. Daun-daunnya boleh digunakan untuk membuat atap dan barangan kraf manakala daun-daun muda yang masih belum terbuka (anak daun ) digunakan bagi membuat kertas pembalut tembakau rokok. Buah-buahnya pula boleh dimakan sementara tangkainya boleh diperah bagi mendapatkan nira ( palm-wine ).
Rumbia atau sagu ( Metroxylon sagu ) dan ( M.rumphii ) ialah jenis palma yang lebih besar dan hidup di paya-paya air tawar. Ianya merupakan bahan utama dalam pembuatan tepung sagu daripada bahagian dalam batangnya. Daunnya pula boleh disisir menjadi atap dan dinding rumah. Isi batangnya juga berguna sebagai bahan makanan kepada binatang ternakan seperti ayam dan itik.
Bertam ( Eugeissona tristis ) adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman di Semenanjung Malaysia. Bertam juga boleh dijadikan atap. Buahnya kadang-kala diukir untuk dijadikan barang hiasan.
Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili rumput ( Gramineae ). Penggunaan buluh adalah lebih meluas. Ini disebabkan sifat batangnya yang ringan, seragam, tegar dan mudah diperolehi. Dengan penggunaan mesin-mesin pemprosesan, industri barangan berasaskan buluh dapat dikembangkan menjadi perusahaan yang lebih berdaya maju. Misalnya, Kedah merupakan negeri yang terbanyak mengeluarkan buluh semantan ( Gigantochloa scortechinii ). Rebung-rebung buluh terutamanya buluh betung ( Dendrocalamus asper ) dan beting ( Gigantochloa levis ) yang hidup liar atau ditanam boleh dijadikan sumber makanan yang berzat.

2.6 Menyediakan Peluang Pekerjaan

Untuk mendapatkan hasil-hasil hutan yang telah dibincangkan di atas, berbagai kerja dan proses telah dilakukan. Secara tidak langsung hutan adalah majikan yang penting bagi negara kita. Melati Mohd Arif (2007), melaporkan bahawa sehingga bulan Mac 2007, industri perkayuan di negeri Sarawak sahaja telah memberi pekerjaan kepada 92 360 orang penduduk kira-kira 40% daripada keseluruhan 229 572 orang pekerja di negeri tersebut.


3.0 IMPLIKASI PEMBANGUNAN TANAH TINGGI KEPADA ALAM SEKITAR.
Semakin hari semakin pesat pembangunan yang dilakukan demi memenuhi tuntutan-tuntutan semasa. Setiap pembangunan yang dijalankan sudah tidak dinafikan, pasti akan membawa kepada implikasi-implikasi yang tertentu. Begitu juga pembangunan yang dilakukan di kawasan tanah tinggi tentu mempunyai implikasi terhadap alam sekitar. Antara implikasi tersebut ialah :

3.1 Hakisan tanah dan tanah runtuh
Pembangunan kawasan tanah tinggi juga boleh menyebabkan berlakunya hakisan dan menyebabkan berlakunya fenomena tanah runtuh. Tumbuh-tumbuhan semulajadi yang berfungsi sebagai tutup bumi untuk mencegah hakisan sementara akarnya mencengkam dan mengikat tanah supaya tidak longgar. Sekiranya kawasan tanah tinggi telah menjadi gondol, dan apabila hujan lebat turun, hakisan akan mudah berlaku dan kadang kala boleh menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Sejarah telah membuktikan pada tahun 1993 apabila berlakunya tragedi Highland Towers yang telah mengorbankan 170 orang mangsa. Menurut http://www.reach.org.my TV3 melalui Buletin Utama pada17 Februari 2006 telah menyiarkan berita penggondolan tanah di sekitar tanah tinggi Cameron Highland iaitu di Kampong Pos Terisu dan Sungai Palas berdekatan dengan Ladang Teh Boh. Penggondolan tersebut telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan mengancam nyawa penduduk setempat.

3.2 Pencemaran air.
Pembangunan di kawasan tanah tinggi yang berlaku dengan berleluasa akan mewujudkan pencemaran air. Kualiti air sungai di Cameron Highlands didapati mula tercemar kesan daripada aktiviti pembangunan infrastruktur, penggunaan bahan kimia, racun dan baja daripada pertanian yang tidak terkawal dan berleluasa. Sungai yang teruk terjejas ialah Sungai Telom, Sungai Bertam, Sungai Ikan dan Tasik Habu. Pembukaan tanah pertanian yang kurang sistematik (tiada perangkap lumpur) telah menimbulkan kelodakan dalam air yang tinggi sehingga menyebabkan pemendapan di Tasik Habu. Kualiti air tasik ini telah terjejas dengan nilai pepejal terampai sehingga 202mg/l. Nilai ini adalah lapan kali ganda daripada standard yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar iaitu pada tahap 25 mg/l bagi air kelas satu.

3.3 Peningkatan suhu.
Pembangunan di kawasan tanah tinggi akan menyebabkan kemusnahan terhadap hutan contohnya di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands. Secara keseluruhan, min suhu tahunan di Cameron Highlands semakin meningkat dari setahun ke setahun terutama pada dekad 1990-an. Peningkatan suhu ini dikaitkan dengan aktiviti penebangan hutan bagi dijadikan kawasan pertanian di Lembangan Bertam. Peranan pokok sebagai agen penyederhanaan suhu dan “penstabilan iklim” telah berkurangan. Dianggarkan bagi setiap pokok hutan ia mampu menampung 400 liter air bagi satu-satu masa. Hasil pemerhatian mendapati penduduk di kawasan ini ada yang menggunakan payung pada waktu siang dan banyak premis perniagaan yang memasang kipas ekoran peningkatan suhu. Hasil kaji selidik mendapati 77.6 peratus responden berpendirian bahawa Cameron Highlands tidak lagi sejuk berbanding dengan tahun 1970-an dan 1980-an khususnya di Ringlet dan Tanah Rata.

3.4 Gangguan terhadap penempatan orang asli.
Kerancakan pembangunan yang dijalankan di Cameron Highlands telah merubah persekitaran semula jadi termasuk menggangu kehidupan manusia khususnya petempatan orang asli. Pembangunan telah melibatkan penarahan bukit dan pembersihan hutan yang mengganggu dan memusnahkan banyak elemen dalam persekitaran. Kehidupan orang asli juga turut terjejas kerana kawasan hutan yang menjadi hasil pendapatan mereka telah diteroka umpamanya pekerjaan mencari rotan hanya dilakukan setahun sekali berbanding sebelum ini. Malahan sungai-sungai di kawasan petempatan orang asli ini juga menjadi cetek dan tercemar dengan kelodak dan racun perosak yang menyebabkan spesis akuatik semakin berkurangan. Malahan penduduk di Lembah Menson mengatakan sungai-sungai di kawasan ini menjadi semakin cetek dan dianggarkan kedalaman sungai telah menurun dari enam kaki kepada satu kaki sahaja berbanding sepuluh tahun yang lalu.

3.5 Pusat pelupusan sampah yang kurang strategik.
Pelupusan sampah sarap yang tidak sistematik akan menimbulkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Pelupusan sampah secara terbuka akan menyebabkan masalah pencemaran udara (bau), tanah, air dan pembiakan vektor penyakit. Hasil kajian mendapati hanya wujud satu pusat pembuangan/pelupusan sampah di Cameron Highlands, iaitu di Batu 34 yang berada pada kedudukan 1400 meter dari aras laut. Tapak pelupusan ini kurang sesuai kerana ia berada di kawasan tanah tinggi serta berhampiran dengan anak Sungai Bertam, iaitu Sungai Batu Pipih. Kedudukan ini amat tidak strategik kerana kedudukan di kawasan “pintu masuk” sebelum sampai ke Cameron Highlands memaksa setiap pengunjung menghidu bau sampah dari kawasan ini terlebih dahulu sebelum sampai ke Ringlet. Sampah sarap banyak terdapat di kawasan sungai kerana pihak yang menguruskan sampah sarap telah mengambil “jalan mudah” dengan menolak sampah ke bawah cerun di kawasan sungai dan memburukkan lagi keadaan di kawasan ini. Apabila hujan lebat air larian sungai akan membawa sampah sarap lalu menyebabkan sungai menjadi kotor.

Pembakaran sampah secara semulajadi juga berlaku kerana tiada saluran pelepasan gas yang disediakan di tapak pelupusan ini oleh pihak yang bertanggungjawab. Pencemaran bau daripada kawasan ini turut dialami oleh penduduk di Habu yang berada di kedudukan yang lebih rendah terutama apabila tiupan angin datang dari kawasan tersebut.

3.6 Kehilangan habitat flaura dan fauna
Pembangunan kawasan tanah tinggi akan menyebabkan kemusnahan habitat semulajadi kepada 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di kawasan tersebut. Menurut Khairudin Hj Kmaruddin (1992), satu hektar Hutan Hujan Tropika di Malaysia mengandungi lebih daripada 180 jenis pokok. Di Semenanjung Malaysia, terdapat lebih 8000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga yang telah direkodkan. Di Sarawak pula 70% daripada kawasannya adalah diliputi kawasan Hutan Hujan Tropika. Di situ terdapat lebih 8000 spesies flora dan 2000 spesies fauna. Oleh itu pembangunan di kawasan seperti ini pasti akan menjejaskan habitat semulajadi flora dan fauna.

3.7 Pemendapan dan fenomena banjir
Satu lagi kesan negatif apabila berlakunya pembangunan di kawasan tanah tinggi ialah berlakunya pemendapan yang menjadikan sungai semakin cetek. Permukaan tanah yang terdedah menyebabkan berlakunya hakisan apabila hujan turun. Hakisan tanah tersebut akan menghasilkan mendapan di dasar sungai. Apabila berlaku hujan lebat, sungai tidak dapat menampung jumlah air yang banyak disebabkan oleh keadaan sungai yang cetek dan disebabkan aliran air di dalam sungai yang perlahan. Menurut Utusan Malaysia (18 Februari 2005), banjir besar telah berlaku pada tahun 2003 di Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam yang menyebabkan Kampung Budaya ditenggelami air sedalam 8 meter. Turut tenggelam ialah Taman Orkid di dalam taman pertanian itu. Fenomena ini berlaku kerana berlakunya pembangunan yang pesat di kawasan tersebut yang menyebabkan hampir keseluruhan kawasan Seksyen U10, iaitu kawasan hutan seluas 1200 hektar telah ditebang dan tanah-tanah bukit mula diratakan oleh pihak pemaju perumahan.

4.0 PERANAN TUMBUHAN KEPADA ALAM SEKELILING DAN MANUSIA
Sumbangan tumbuhan terhadap alam sekeliling dan kehidupan manusia memang tidak dapat dinafikan. Kehidupan manusia tentu sukar tanpa tumbuh-tumbuhan. Peranan tumbuhan kepada alam sekeliling dan manusia ialah:


4.1 Ekosistem
Ekosistem adalah satu cabang kajian dalam ekologi. Di mana ia merupakan satu proses interaksi antara benda-benda hidup dengan benda-benda bukan hidup dalam alam sekitar. Kajian ini berhubung kait mengenai interaksi antara benda hidup dengan persekitarannya. Sebuah ekosistem boleh berskala kecil seperti sebuah kolam atau berskala besar seperti kawasan hutan hujan tropika. Sesebuah ekosistem terdiri daripada dua komponen, iaitu komponen biotik dan komponen abiotik. Komponen biotik mengandungi organisma hidup seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia. Sementara abiotik meliputi persekitaran fizikal seperti bentuk muka bumi, batuan, tanah, air, udara, mineral dan sumber tenaga suria. Kawasan hutan merupakan satu ekosistem dengan tumbuh-tumbuhan semulajadi sebagai salah satu komponen biotik utama. Tumbuh-tumbuhan saling berinteraksi dengan unsur-unsur lain dalam komponen biotik dan abiotik. Keadaan tersebut dapat mewujudkan satu persekitaran yang seimbang. Keadaan Persekitaran yang seimbang dapat menjamin kesejahteraan alam sekeliling dan manusia.

Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen. Keadaan ini membantu meningkatkan kualiti udara. Daun dan ranting pokok yang gugur akan diuraikan oleh pengurai seperti bakteria, serangga, dan kulat. Proses pereputan akan mengembalikan nutrien ke dalam tanah dan seterusnya menyuburkan tanah. Kesuburan tanah dapat membantu manusia dalam bidang pertanian. Selain itu, tumbuh-tumbuhan hijau juga membekalkan sumber tenaga kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Maka tumbuh-tumbuhan semulajadi adalah penting untuk membentuk ekosistem yang seimbang.

4.2 Habitat Hidupan Liar
Tumbuh-tumbuhan semulajadi menjadi habitat atau tempat perlindungan hidupan liar. Hidupan liar di negara kita termasuklah kumpulan mamalia, amfibia, reptilia, ikan, burung, dan invertebrata. Contohnya hutan hujan tropika di Taman Negara Semenanjung Malaysia melindungi tapir dan tenggiling. Haiwan memilih kawasan tumbuh-tumbuhan semulajadi yang berlainan untuk kesesuaian masing-masing. Harimau lebih sesuai di kawasan hutan tanah pamah dan badak sumatera pula hidup dalam hutan paya air tawar.

Manakala Taman Negara di Semenanjung Malaysia telah dikekalkan sebagai habitat untuk rusa. Di samping itu, spesies hidupan liar dari kawasan lain juga dipelihara di habitat hutan yang disediakan. Contohnya Pusat Pemeliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor diwujudkan untuk memelihara Badak Sumatera.

Hutan membekalkan makanan secara langsung dan tidak langsung kepada haiwan yang memakan daun, putik bunga, pucuk daun, buah-buahan, bijian dan pelbagai bahagian lain pokok. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hidup dalam pelbagai cara dan saling bergantung antara satu sama lain.

4.3 Kawasan Tadahan
Kawasan tadahan ialah kawasan bukit-bukau yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan yang tebal dan menjadi punca aliran sungai atau membentuk saliran semulajadi. Kawasan pergunungan yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan tebal biasanya menjadi legeh sungai utama. Hutan juga bertindak sebagai penapis di mana ia dapat menentukan kebersihan dan kejernihan air.

Air merupakan sumber utama kepada manusia. Apabila hujan turun di kawasan tanah tinggi yang diliputi hutan, air hujan akan menyerap ke dalam tanah dan tidak mudah tersejat. Air terkumpul di atas tanah membentuk alur. Alur-alur ini akan bercantum membentuk anak-anak sungai. Air yang diserap akan membentuk ekuifer dan akan keluar di permukaan bumi sebagai mata air. Tumbuh-tumbuhan membantu mengekalkan lembapan dan memperlahankan kadar aliran air. Oleh itu air di kawasan tadahan dapat dikekalkan. Kerajaan telah mewartakan banyak hutan simpan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan. Sebagai contoh Hutan Simpan Semenyeh dan Ulu Kelang.

4.4 Habitat Flora dan Fauna
Hutan di Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis flora dan fauna. Flora ialah semua jenis tumbuh-tumbuhan semulajadi yang terdapat di sesuatu kawasan. Manakala fauna merupakan semua binatang di sesuatu kawasan. Hutan hujan tropika mengandungi flora terbanyak di dunia. Contohnya terdapat 7500 spesies tumbuhan berbiji. Setiap spesies haiwan mempunyai habitat tersendiri. Pemilihan habitat tertentu mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti jenis tanah, kelembapan atau cahaya matahari. Contohnya terdapat paku-pakis yang tumbuh di kawasan pergunungan, di tepi pantai berpasir, di atas batu dan di tepi sungai. Pokok tumu dan murai pula tumbuh subur di kawasan pedalaman yang tidak dipengaruhi oleh air pasang surut. Semua tumbuhan-tumbuhan ini sangat berguna kepada alam sekeliling dan manusia sejagat.

Tumbuh-tumbuhan juga menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan bagi hidupan liar. Haiwan memakan bijian, buah-buahan, pucuk daun dan putik bunga. Kesemua bahagian tumbuhan ini amat berguna kepada persekitaran dan manusia. Tanpa tumbuh-tumbuhan haiwan di persekitarannya mungkin akan mati. Haiwan juga memilih tempat tinggal berlainan untuk keselamatan. Kepelbagaian flora dan fauna di negara kita telah menjadi daya tarikan kepada pelancong, para penyelidik, dan sebagai bahan warisan kepada generasi yang akan datang.

4.5 Sumber Perubatan
Terdapat tumbuh-tumbuhan di hutan hujan tropika mengandungi fitokimia. Fitokimia adalah bahan kimia semulajadi dalam tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Tumbuh-tumbuhan yang biasa digunakan sebagai sumber perubatan seperti gandarusa, asam jawa, inai, pokok putat, kacip fatimah dan tongkat ali. Tumbuh-tumbuhan ini digunakan sama ada bahagian akar, pucuk, daun matang, kulit, bunga atau buahnya.

Eksperimen yang dilakukan mencatat lebih daripada 1300 spesies tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai bahan perubatan tradisional . Di antara penyakit-penyakit yang boleh diubati ialah kencing manis, kembung perut, kurap dan lain-lain. Selain itu tumbuh-tumbuhan yang biasanya digunakan untuk perubatan ialah;
Jenis tumbuhan Sesuai untuk penyakit
Buah petai Buah pinggang, kencing manis dan mengeluarkan cacing kerawit.
Akar dan batang periuk kera Demam
Bunga raya Batuk dan kahak, demam

Masyarakat Melayu telah lama menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai penawar pelbagai jenis penyakit.

4.6 Pencegah Hakisan tanah
Tumbuh-tumbuhan semulajadi juga berfungsi sebagai tutup bumi atau mencegah hakisan. Akar-akar tumbuhan mencengkam dan mengikat tanah supaya tidak longgar. Tumbuhan di kawasan hutan membantu menstabilkan tanah khususnya di kawasan yang bercerun curam. Apabila hujan turun dengan lebatnya, hakisan tidak mudah berlaku kerana air yang mengalir dihalang oleh tumbuh-tumbuhan dan tanah pula dicengkam oleh akar. Air yang meresap masuk ke dalam tanah juga akan diserap oleh akar tumbuh-tumbuhan. Di kawasan yang terdedah dan tiada tumbuhan, tanah mudah terhakis. Apabila hakisan tanah dihanyutkan ke dalam sungai ia menyebabkan masalah terhadap ikan dan manusia. Ikan menderita kerana air menjadi kabur, manakala manusia mempunyai masalah apabila memudiki laluan sungai yang cetek kerana jumlah tanah dan lumpur yang meningkat dalam air. Pada masa yang sama, petani akan kehilangan lapisan atas permukaan tanah yang penting untuk bertani.

4.7 Eko pelancongan
Eko pelancongan ialah suatu usaha kerajaan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di samping menggalakkan aktiviti pelancongan. Eko pelancongan juga dirancang untuk menghargai dan mengawal persekitaran berdasarkan tarikan alam semulajadi sesuatu kawasan. Pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan semulajadi di Malaysia menjadi tarikan pelancong, khususnya pelancong dari luar negara.

Selain untuk mempromosikan eko pelancongan sebagai tambahan kepada sumber pendapatan negara kerajaan juga telah menjadikan hutan semulajadi sebagai destinasi eko pelancongan yang terkenal di Malaysia. Kerajaan telah mewartakan hutan semulajadi seluas 1.16 juta hektar sebagai taman negara. Antara taman negara yang menjadi tempat pelancongan ialah Taman Negara, Hutan Endau-Rompin, Taman Negara Gunung Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Gua Niah. Pelbagai kemudahan disediakan untuk menarik lebih ramai pelancong menikmati keindahan alam semulajadi yang terpelihara di negara kita. Antara aktiviti pelancongan yang boleh didapati seperti meniti silara (canopy walk), mengikut rintis, meredah hutan (jungle tracking), mendaki gunung, berkayak dan sebagainya. Kesemua aktiviti ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan serta pengalaman pelancong tentang alam semulajadi di negara kita. Taman Negara yang terletak di Pahang juga merupakan hutan hujan yang tertua di dunia. Terdapat lebih daripada 10000 spesies tumbuhan dan 250 spesies burung dalam hutan tersebut. Ini dapat menjadi tarikan pelancong terutamanya pelancong dari luar negara.

4.8 Pembiakan Hidupan Laut
Kawasan hutan paya air masin yang berlumpur menjadi habitat bagi pelbagai spesies fauna. Pelbagai spesies hidupan laut seperti ketam, ikan belacak, udang, siput, kerang dan buaya membiak di kawasan ini. Tumbuh-tumbuhan semulajadinya dapat memecahkan ombak dan memperlahankan arus dan menjadikan hidupan laut lebih selamat. Reputan tumbuh-tumbuhan menjadi sumber makanan kepada beberapa haiwan seperti umpun-umpun. Umpun-umpun ini menjadi makanan ketam dan ikan. Akar jangkang pokok dapat melindungi telur-telur ikan dan udang daripada ombak kuat dan pemangsa. Siput, kerang dan anak ketam pula berselindung di celah-celah akar pokok.

4.9 Pembekal hasil-hasil Hutan atau Sumber Perhutanan
Tumbuh-tumbuhan di dalam hutan telah membekalkan pelbagai sumber seperti kayu balak, bahan mentah untuk industri, sumber makanan dan lain-lain. Semenanjung Malaysia mempunyai lebih 25000 jenis pokok yang sesuai untuk pembalakan seperti cengal, balau, jati, meranti, seraya, jelutong dan keruing. Hasil eksport balak dan hasil industri kayu berperanan untuk:

- Menambahkan pendapatan negara. Pengeluaran kayu balak menyumbangkan 1.5% atau
RM3.2 juta daripada nilai eksport pada tahun 2000.

- Pembangunan sosio ekonomi negara.
- Memberi peluang pekerjaan.

Hutan juga membekalkan rotan dan damar yang menjadi bahan mentah untuk industri perabot. Contohnya rotan dijadikan perabot dan damar dijadikan bahan varnis. Kepelbagaian flora ini juga memberi potensi yang luas untuk kemajuan industri yang berasaskan kayu seperti kilang papan, perabot, pulpa dan kertas. Rotan, mengkuang, buluh, dan nipah juga sangat penting dalam membangunkan industri perabot dan kraf tangan.

4.10 Sumber Makanan dan Sumber Bahan Mentah
Selain daripada tumbuh-tumbuhan menjadi sumber makanan utama kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan juga menjadi sumber makanan yang sangat penting kepada manusia. Ia membekalkan pelbagai zat makanan kepada manusia. Tanpa tumbuh-tumbuhan tidak mungkin manusia akan hidup sihat. Bagi masyarakat orang asli mereka bergantung 100% kepada tumbuh-tumbuhan atau hasil hutan sebagai sumber makanan mereka. Cameron Highland merupakan tempat terbaik yang membekalkan makanan untuk manusia. Udaranya yang sejuk amat sesuai untuk bercucuk tanam.

5.0 LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU MENYELAMATKAN BUMI.
Untuk memastikan alam sekitar sentiasa kita dapat diselamatkan daripada kerosakan-kerosakan yang serius, beberapa langkah patut dipraktikkan. Antara langkah-langkah yang dianggap wajar ialah :

5.1 Penghutanan Semula
Penghutanan semula merupakan proses penanaman pokok-pokok terpilih di kawasan hutan yang telah ditebang. Jabatan Perhutanan Malaysia telah mengambil langkah memelihara dan memulihara hutan melalui penghutanan semula. Penghutanan semula dilaksanakan dengan menanam semula pokok-pokok yang bermutu, matang dan tahan daripada serangan penyakit di kawasan hutan yang telah ditebang. Antara pokok yang selalu ditanam oleh Jabatan Perhutanan ialah pokok pain, pokok akasia, merbau, jati dan pokok eukaliptus. Langkah ini ialah untuk memastikan supaya hasil hutan dapat dikekalkan. Penghutanan semula dijalankan di kawasan hutan hujan tropika dan hutan paya air masin. Contoh penghutanan semula seperti di kawasan hutan paya air masin di Tanjung Piai, Johor.

Penghutanan semula juga dijalankan di negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat, Kanada, China, Korea dan negara-negara Asia Tenggara. Pokok yang ditebang telah digantikan dengn pokok yang cepat tumbuh dan batang-batang lurus supaya ia dapat menghasilkan sumber kayu di masa depan.

5.2 Ladang Hutan
Ladang hutan ialah hutan buatan manusia yang dijadikan sebagai langkah pemuliharaan tumbuh-tumbuhan semulajadi. Jabatan Perhutanan telah menjalankan Projek Ladang Hutan Kompensatori yang telah dilancarkan pada tahun 1982 bertujuan untuk membekalkan bahan kayu untuk kegunaan am bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan. Spesies pokok yang ditanam adalah dipilih berdasarkan kriteria berikut:

a. cepat tumbesar dan berupaya mencapai saiz kayu balak dalam tempoh 15 tahun.
b. Boleh mengeluarkan kayu yang sesuai untuk kegunaan am.
c. Boleh mengeluarkan bekalan biji benih yang subur serta mencukupi.

Spesies pokok utama yang ditanam di bawah pokok projek ini ialah Acacia Mangium, Yemane dan Batai. Perladangan hutan boleh dilakukan dengan dua cara. Cara pertama ialah dengan mengadakan penghutanan semula di kawasan bekas pembalakan. Cara kedua melibatkan proses penghutanan di kawasan yang dahulunya terbiar. Ladang hutan mula dimusnahkan di Gua Musang, Kelantan pada tahun 1960-an dengan penanaman pokok jati.

5.3 Mewartakan Hutan Simpan dan Taman Negara
Jabatan Perhutanan Malaysia telah mewartakan banyak kawasan hutan sebagai hutan simpan. Hutan simpan ialah kawasan hutan yang dilarang menjalankan aktiviti pembalakan dan pemburuan. Contoh hutan simpan di Malaysia ialah Hutan Simpan Hulu Gombak (Selangor), Hutan Simpan Tanjung Tuan (Negeri Sembilan), Hutan Simpan Sepilok (Sabah), Hutan Simpan Bukit Air (Sabah) dan Hutan Simpan Bukit Lama (Sarawak).

Hutan lipur ialah hutan simpan yang diwujudkan oleh Jabatan Hutan dan dijadikan sebagai tempat rekreasi dan mendapat maklumat tentang hutan. Hutan lipur yang dipilih adalah kawasan hutan yang mudah dikunjungi orang ramai. Contohnya Hutan Lipur Ulu Kinta, Hutan Lipur Sungai Congkak dan Lembah Danum di Sabah. Pelawat boleh mengenali tumbuh-tumbuhan semulajadi di kawasan hutan lipur dengan lebih dekat. Melalui cara ini dapat memupuk rasa cinta terhadap alam semulajadi dan sikap bekerjasama untuk memelihara serta memulihara sumber hutan.

Beberapa buah taman negara dan hutan lipur juga diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada pelbagai jenis spesies tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar. Taman Negara dan hutan lipur ialah hutan simpan yang dibuka untuk menjadi kawasan tarikan pelancongan. Contoh Taman Negara, Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Mulu dan Hutan Lipur Gunung Berlumut.

5.4 Penebangan Terpilih
Pembalak di hutan digalakkan menjalankan penebangan terpilih. Di bawah rancangan penebangan terpilih, hanya pokok-pokok yang cukup matang sahaja dibenarkan ditebang. Pegawai dan renjer hutan akan sentiasa mengawasi segala kegiatan pembalakan di kawasan hutan.

5.5 Menghadkan Pengeluaran Lesen
Di Malaysia, kegiatan pembalakan dan pemburuan perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. Ini adalah satu tindakan untuk mengurangkan kadar perhutanan. Justeru itu, pengeluaran lesen pembalakan perlu dihadkan supaya dapat mengawal pembalakan secara berleluasa. Manakala permit pemburuan dihadkan untuk mengelakkan pemburuan secara tidak terkawal bagi melindungi hidupan liar.

5.6 Menubuhkan Pusat Penyelidikan
Pusat penyelidikan dan pemuliharaan hutan harus ditubuhkan untuk melindungi tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar. Untuk tujuan memelihara dan memulihara kawasan hutan, Pusat Penyelidikan Hutan Malaysia (Forest Research Institute Malaysia, FRIM) telah ditubuhkan. Fungsi utama FRIM ialah:
- menjalankan dan menganjurkan penyelidikan mengenai pembangunan sektor perhutanan dan pemuliharaan sumber hutan.
- Memperoleh dan menyebar maklumat berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan perhutanan, hasil hutan dan penggunaan hasil hutan.
- Menyelaraskan penyelidikan tentang perhutanan dan penggunaan sumber hutan di dalam Malaysia dan mengadakan hubungan kerjasama dengan badan-badan di luar Malaysia berkaitan dengan perkara-perkar tersebut.

FRIM telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan baka pokok yang bermutu tinggi.

5.7 Rawatan Silvikultur
Jabatan Perhutanan akan memberi rawatan silvikultur untuk memelihara pokok-pokok dalam hutan. Hutan dibalak yang mempunyai stok anak-anak pokok asli dari jenis yang dikehendaki tetapi menghadapi persaingan saliran dan diganggui oleh pepanjat perlu mendapat rawatan sivikultur. Rawatan silvikultur melibatkan dua kaedah, iaitu menebas sekeliling anak pokok yang berharga dan kaedah gelangan racun pada akar pokok. Rawatan silvikultur bertujuan untuk meningkatkan isi kandungan hutan dengan jenis-jenis pokok yang terpilih dan menghindarkan persaingan daripada pokok-pokok yang tidak dikehendaki. Cara pemeliharaan hutan ini dapat memastikan pokok-pokok hutan yang ditanam akan cepat matang.

5.8 Penguatkuasaan Undang-undang
Beberapa akta telah digubal oleh kerajaan untuk melindungi tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar. Contoh akta yang telah digubal ialah:
a. Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
b. Akta Taman Negara
c. Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan 1993)

Di bawah akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, terdapat 70 spesies hidupan liar dan 551 jenis burung liar telah dilindungi. Hidupan liar yang dilindungi dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
a. Spesies yang dilindungi sepenuh
Boleh diburu, dibela dan dimakan. Terdapat 292 jenis haiwan dan 641 jenis burung dalam kategori ini, termasuk buaya, beruang, harimau, burung helang dan enggang.
b. Spesies yang dilindungi
Terdapat 507 jenis haiwan dalam kategori ini yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu haiwan buruan seperti pelanduk dan musang dan haiwan yang tidak boleh diburu seperti gajah dan monyet.

Di bawah undang-undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melindungi hidupan liar di negara kita.

5.9 Kempen Kesedaran
Kempen kesedaran dijalankan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan usaha pemeliharaan tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar. Pelbagai program kesedaran telah dijalankan oleh Persatuan Pencinta Alam dan Kelab Alam Sekitar di peringkat sekolah. Orang Awam juga perlu diberi kesedaran agar mereka turut menghargai dan bertanggungjawab terhadap tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar. Kempen kesedaran diwujudkan melalui pelbagai kaedah seperti ceramah, tayangan slaid, video dan menerokai hutan. Kaedah-kaedah ini telah dijalankan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan, Jabtan PERHILITAN, WWF (Worldwide Fund For Nature) dan Persatuan Pencinta Alam.

Pendidikan merupakan satu saluran yang amat penting untuk meningkatkan kesedaran penduduk tentang kepentingan alam sekitar. Melalui pendidikan alam sekitar sama ada secara formal atau tidak formal boleh membantu menerapkan serta meningkatkan tahap kesedaran penduduk tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar demi mencapai kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik. Pendidikan secra formal boleh diterapkan melalui KBSR, KBSM dan di institusi pengajian tinggi. Pendidikan secara tidak formal boleh disalurkan melalui program-program atau seminar, forum, risalah dan penerbitan yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sahabat Alam Sekitar (SAM) dan sebagainya. Program-program yang lazim dijalankan ialah projek wira alam, program kesedaran alam sekitar, pertandingan debat alam sekitar antara IPT, program sekolah bestari serta anugerah alam sekitar dan pertandingan menulis esei / cerpen alam sekitar. Pelbagai prinsip boleh diterapkan untuk keharmonian alam sekitar seperti prinsip hidup seimbang, prinsip cintakan persekitarann, prinsip menghormati alam atau bumi dan lain-lain lagi.

5.10 Pengekalan Hutan Bakau
Hutan bakau adalah sejenis hutan yang tumbuh di kawasan paya pinggir pantai atau muara sungai. Ia merupakan satu ekosistem pinggir pantai dan muara sungai di kawasan tropika yang telah berkembang sejak dahulu. Ia adalah satu kawasan menyimpan, mengumpul dan mengitar semula bahan-bahan nutrien, maka ia menjadi satu kawasan pembiakan bagi ikan, udang dan hidupan laut yang penting. Hutan bakau juga patut dikekalkan kerana ia merupakan aset pada pelancongan, melindungi pinggir pantai, tempat perlindungan haiwan dan ikan, hasil kayu, tempat bekalan makanan serta penyelidikan dan pendidikan.

5.11 Guna Semula Bahan Kitar Semula (recycle)
Setiap hari kita membuang sampah dan sampah ini akan dilupuskan oleh pihak berkuasa untuk memastikan kebersihan alam sekitar terus terjaga. Setiap tahun jumlah sampah yang dibuang terus meningkat dan kawasan pelupusan sampah semakin penuh. Dalam sehari kita menghasilakan 16 000 tan sampah. Kos untuk melupuskan sampah ini mencecah jutaan ringgit. Oleh itu kita bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam menguruskan sisa pepejal harian. Kita boleh melaksanakan sistem 3R di rumah. 3R bermaksud kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle). Antaranya bahan yang boleh dikitar semula ialah kertas, kaca, tin aluminium, plastik dan sebagainya yang dibuang mengikut warna tong sampah kitar semula yang disediakan iaitu oren, biru dan jingga. Dengan cara ini banayk sumber- sumber asli dapat diselamatkan kerana bahan yang digunakan untuk membuat barangan di atas dihasilkan daripada alam semulajadi. Sebagai contoh kertas dibuat daripada tumbuh-tumbuhan. Semakin banyak pembaziran kertas maka semakin banyaklah tumbuh-tumbuhan ditebang sewenang-wenangnya. Secara tidak langsung ini boleh memusnahkan alam sekitar. Oleh itu dengan adanya usaha bersama untuk melakukan 3R, sudah pasti sumber-sumber asli ciptaan tuhan dapat dikawal dengan berkesan.

5.12 Menghargai Barang-barang
Sebagai manusia kita seharusnya menghargai barang-barang yang dibuat daripada hasil semulajadi seperti perabut jati, rotan, tikar mengkuang, beg tangan dan lain-lain lagi. Dengan menghargai barang-barang ini proses pembuangan dan pembaziaran dapat dikurangkan. Pengurangan menghasilkan barang-barang itu dapat mengurangkan penggunaan sumber-sumber asli seperti pemburuan binatang secara haram atau pembalakan secara haram.

5.13 Menubuhkan Taman Raya yang melindungi Hutan Hujan dan Hidupan Liar
Pembentukan kawasan perlindungan seperti taman nasional adalah cara yang baik untuk menyelamatkan hutan hujan dan ekosistem yang lain. Kawasan yang dilindungi adalah lokasi yang menerima perlindungan kerana nilai alam sekitar dan nilai kebudayaan. Secara umumnya, kawasan terlindung diuruskan oleh kerajaan dan penjaga serta pengawal taman berperanan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan taman raya untuk memerangi aktiviti haram seperti pemburuan haram dan penebangan haram.

Kini, taman raya melindungi kebanyakan spesies yang paling menghadapi kepupusan di dunia ini. Binatang seperti panda hanya didapati di kawasan perlindungan. Taman raya adalah kaedah yang paling berjaya dan berkesan pada masa yang sama menerima sokongan daripada penduduk tempatan yang tinggal di dalam hutan dan di sekitar kawasan perlindungan. Sekiranya penduduk tempatan mempunyai kepentingan dalam taman raya, mereka akan membentuk komuniti atau ”community watch” yang melindungi taman daripada pemburuan dan pembalakan haram.

Satu cara yang berkesan dalam melindungi hutan hujan adalah melibatkan orang asli dalam pengurusan taman. Orang asli mengetahui lebih banyak perkara mengenai hutan berbanding dengan orang lain dan mempunyai kepentingan untuk mlindungi hutan sebagai ekosistem yang membekalkan mereka makan, perlindungan dan air bersih.

5.14 Menggalakkan Manusia tinggal atau hidup dengan cara yang tidak memudaratkan Alam Sekitar
Bahagian penting dalam menyelamatkan hutan hujan dan alam sekitar adalah menggalakkan semua manusia hidup dengan cara yang tidak berbahaya kepada dunia mereka. Memandu kereta bahan api efisien, memelihara air, dan memadamkan lampu apabila tidak memerlukannya. Di negara berhutan hujan banyak saintis dan organisasi berusaha untuk membantu penduduk tempatan hidup dengan cara yang kurang berbahaya terhadap alam sekiatr. Terdapat orang yang menamakan usaha ini sebagai ”sustanable development” atau pembangunan mapan. Pembangunan mapan mempunyai mtlamat untuk memperbaiki kehidupan manusia dan pada masa yang sama melindungi alam sekitar. Tanpa memperbaiki kehidupan manusia yang tinggal di dalam dan di sekitar hutan hujan, adalah sukar untuk melindungi taman raya dan hidupan liar. Selain daripada usaha-usaha di atas, manusia juga digalakkan:

5.14.1 Menanam pokok kerana pokok menggunakan karbon dioksida untuk proses fotosintesis kemudian menghasilkan gas oksigen. Pokok dan hutan juga boleh menyejukkan persekitaran dan mengurangkan hakisan tanah.
5.14.2 Menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisien dan berhemat kerana penjanaan tenaga elektrik secara konvensional menghasilkan banyak karbon.
5.14.3 Menggunakan kenderaan secara lebih efisien, misalnya pengangkutan awam atau enjin kenderaan mesra alam seperti penggunaan hidrogen atau bahan api mesra alam.
5.14.4 Memastikan keluarga dan organisasi kita terbabit dalam inisiatif mesra alam dengan pelbagai program serta amalan.
5.14.5 Mengganti setiap aktiviti yang membebaskan gas karbon dioksida dengan aktiviti memerangkap karbon atau menghasilkan gas oksigen seperti menanam pokok dan pemerangkapan biogas supaya terhasil situasi sekurang-kurangnya karbon sifar.

5.15 Memulihkan dan mengembalikan Hutan Hujan
Apabila kita sedang menyelamatkan hutan hujan, kita juga harus melihat bagaimana hutan yang dimusnahkan boleh dipulihkan. Hutan hujan boleh dipulihkan dengan menggunakan arang dan tulang binatang. Satu bidang penyelidikan yang memberi kebaikan melihat masyarakat kuno yang m endiami di hutan Amazon sebelum kedatangan orang Eropah pada abad ke-15. Nampaknya populasi ini berupaya memperkaya tanah hutan hujan yang biasanya kurang nutrisi, dengan menggunakan arang dan tulang binatang. Dengan memperbaiki kualiti tanah, sebidang kawasan luas Amazon boleh digunakan untuk pertanian. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap kawasan hutan hujan demi tanah pertanian. Tambahan pula, tanah yang dikenali sebagai ”terra preta’ ini boleh digunakan untuk memerangi pemanasan global sedangkan ia meresap karbon dioksida, sejenis gas rumah hijau yang penting.

Alam sekitar merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya. Kehidupan manusia yang bergantung sepenuhnya kepada sumber alam sebagai tempat tinggal dan punca rezeki seharusnya berusaha meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pernahkah anda terbayangkan keadaan bumi kita 50 tahun akan datang? Ramai antara kita yang terlalu khusyuk dan pasrah dengan kehidupan sendiri sehingga terlupa tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga alam sekitar. Oleh itu semua pihak seharusnya berganding bahu untuk menjaga dan mencintai alam sekitar. Keadaan bumi kita pada hari ini mencerminkan diri kita yang sebenar. Manusia seharusnya menghentikan segala aktiviti yang boleh merosakkan bumi ini, seperti pembalakan haram dan pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar. Masa sudah suntuk, oleh itu, kita seharusnya menghargai dan menggunakan setiap saat yang tinggal untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih selamat dan kaya dengan khazanah sebelum terlambat.

5.16 Pendidikan Alam Sekitar
Memberikan pendidikan tentang alam sekitar secara formal adalah satu langkah awal yang diyakini akan memberikan natijah yang amat positif. Pendidikan alam sekitar perlu memandangkan masyarakat yang ada pada hari ini adalah bertanggungjawab untuk menjaga dan mensejahtera alam ini untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Pendidikan formal ini sepatutnya diperkenalkan sejak di bangku sekolah rendah lagi dan wajar berterusan hingga ke menara gading. Penekanan kurikulum adalah untuk mendidik generasi kini untuk bagaimana menjaga alam sekitar ini supaya sentiasa terpelihara dan di samping mengkaji kesan-kesan yang mungkin akan dialami jika alam ini tidak diurustadbirkan dengan baik.

6.0 Penutup
Hutan diciptakan Allah dengan pelbagai hikmah yang disedari mahupun yang tidak disedari. Terlalu berharga dan pentingnya peranan hutan kepada kehidupan ini. Berbagai-bagai kebaikan yang dapat kita perolehi, haiwan dan serangga turut mendapat faedahnya. Kalau hutan tidak dijaga, nantilah padah yang akan menimpa. Di hutan ada pelbagai khazanah, pelbagai kekayaan. Punggahlah, tarahlah tapi biar berhemah jangan serakah. Semoga hutan akan kekal buat generasi yang akan datang, kerana hutan bukan milik kita tapi milik semua.


Rujukan
Abd Rahim Md Nor, 2004. Geografi Tingkatan 3, Pulau Pinang: Cerdik Publication Sdn. Bhd.

Abd Rahim, N. 1991. Hutan Merendahkan Suhu, Mencegah Pencemaran Dunia.
Dewan Masyarakat ;Disember :4 – 8 ms.

Cheah Li Pheng.(tiada tarikh). Hutan Hujan Tropika di Malaysia dan Kegunaannya.
http://pkukmweb.ukm.my [Online] (01 Jun 2008)

Chong Hui Ling & Chong Yoon Choi, 2003. Geografi Tingkatan 1, Selangor: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, 2005. Kutipan Hasil Hutan 2005.
http://forestry.pahang.gov.my [Online] (02 Jun 2008)

Kepentingan hutan untuk kehidupan. Dewan Kosmik (November 1995).

Khairudin Hj Kamaruddin, 1992. Hutan Hujan Tropika Semenanjung Malaysia. Kepong, Selangor : Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Melati Mohd Arif. 18 Jun 2007. Usaha Tingkatkan Pengurusan Hutan Secara
Berkekalan Di Sarawak. http://www.bernama.com.my [Online] (01 Jun 2008)

Mohammad Ismail, 2004. Geografi Tingkatan 2, Selangor: Penerbit Fajar Bakti
Sdn. Bhd.

Mohd Shahwawid Hj Othman, 1995. Ekonomi Sumber Hutan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Nasib tanah tinggi Cameron Highlands, 20 Februari 2006, http://www.reach.org.my
[Online] (01 Jun 2008)

Noria Jusoh (___), Hutan, tumbuhan dan kegunaannya kepada manusia.
http://pkukmweb.ukm.my [Online] (05 Jun 2008)

Rape’ah Ahmad, Khalijah Maimon, Aziah Ismail & Foo Ho Loke, 2002. Geografi Tingkatan 1 (KBSM), Kuala Lumpur: Arus Intelek Sdn. Bhd.

Yeoh Siok Tee & Mohan a/l Palaniandy, 2007. HBSS3103 Manusia dan Alam Sekitar, OUM: Meteor Doc, Sdn. Bhd.

1 ulasan:

  1. Muhammad Iman Nashriq, berumur 2tahun mengidap penyakit lelah atau asma sejak berumur 5bulan. Adik ni berulang alik ke hospital sejak umur 5bulan sebanyak 3minggu sekali untuk buat rawatan sehinggalah dia berumur 2tahun. Tapi tetap tak nampak apa2 perubahan makin sembuh ke atau makin baik,tetap sama saja. Ibu cuba memberi rawatan tradisional lain tapi tak ada juga perubahan, keadaan anaknya masih sama. Beliau bersyukur sangat apabila bertemu jus ni daripada seorang kawan, Iman tak perlu lagi dah pergi hospital buat rawatan. Batuk2 biasa ada tapi yang ketaranya Iman dah tak ada semput-semput dan sesak nafas macam dulu lagi. Kalau dulu 3kali sebulan kena pergi sedut gas, sekarang tak perlu lagi. Alhamdulillah.
    ..........................................................................
    Dan ramai lg psakit2 yg gunakan produk ni sembuh dari masalah lutut kronik,kanser dan lain2 yg guna produk jutawan herbs ni. Ini kenyataan bkn rekaan untuk melariskan produk semata2. Benda elok harus dikongsi agar sama2 dapat manfaat,okay.

    Nanti boleh hubungi En. Mohd Zuhairi dn pm sendiri testimoni2 td tu yer..๐Ÿ˜‰

    9)Jadi saya mintak pd sape2 yg ada sakit kanser x kisah lah kanser apa pon...Call atau terus wasap Pengasasnya sendiri okay๐Ÿ‘‡๐Ÿป
    En. Mohd Zuhairi - 017468 7570


    ๐Ÿ’Yg penting ubat nya MAMPU DIBELI dan mujarab..mudah mudahan aaminn..๐Ÿคฒ๐Ÿผ


    Call order wasap@call- En mohd zuhairi- 0174687570

    ๐Ÿ˜kalau wasap lambat balas(biasa nya sebab ramai yg wasap dia.)
    Tp nanti dia akn blas jugak yer..
    #sharepadayangmemerlukan
    #sharing is caring

    BalasPadam